Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KADIR JASIN : "FOOD FOR THOUGHTS" ?

Penangkapan beberapa tokoh-tokoh pembangkang dan ugutan untuk menarik balik permit KDN Harakah serta pengharaman beberapa buah penerbitan seperti Detik, Ekslusif,Wasilah dan Tamadun tempoh hari menunjukkan betapa kejamnya regim Mahathir terhadap kebebasan bersuara di Malaysia.

Kadir Jasin,"editor in chief " kumpulan The New Straits Times dan anak emas Mahathir juga tidak terlepas daripada kekejaman Mahathir dan telah diarah berhenti,setelah menjawat jawatan tersebut selama 12 tahun kerana telah membuat beberapa komen sinis terhadap UMNO dan kerajaan dalam tulisan-tulisannya baru-baru ini.

Kumpulan New Straits Times ini sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan UMNO dan akhbar-akhbar New Straits Times ,Berita Harian,Malay Mail dan Harian Metro inilah yang menjadi lidah rasmi UMNO secara tidak langsung.

Hubungan Mahathir dengan Kadir Jasin sememangnya sangat intim. Di mana Mahathir pergi Kadir Jasin tetap berada disisinya. Malah ada setengah pihak memaklumkan bahawa Kadir Jasin telah memainkan peranan penting dalam episod menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kadir Jasin juga telah dikaitkan dengan beberapa konspirator yang terlibat dengan kes DSAI tersebut.

Setelah Datuk Ahmad Nazri Abdullah dan beberapa orang penyokong DSAI berhenti daripada Berita Harian,Kadir Jasin telah mengambil alih tugas ketua editor media tersebut. Tugas Kadir Jasin pada ketika itu adalah untuk memastikan peningkatkan jualan akhbar-akhbar harian NST,Berita Harian,Malay Mail dan Harian Metro yang telah merosot hasil jualannya akibat daripada kes pemecatan DSAI. Berbanding dengan Harakah yang jualannya meningkat daripada 70,000 kepada 300,000 naskah.

Kadir Jasin sedar bahawa adalah sukar untuk meningkatkan jualan akhbar-akhbar ini jika perubahan-perubahan drastik tidak dilakukan supaya selaras dengan selera pembaca masa kini. Pernah dalam ruangan mingguannya, "Other Thots", Kadir Jasin berkata bahawa jika pembaca tidak suka kepada polisi sesebuah akhbar atau cara akhbar tersebut menangani sesuatu isu, orang tidak akan membelinya dan itu adalah hak mereka.

Maka tidak hairan kalau jualan akhbar-akhbar kumpulan NST merudum kerana berita-berita yang disiarkan adalah berat sebelah dan mengandungi unsur-unsur pembohongan, penipuan dan hipokrasi. Perkara ini rakyat tahu dan Mahathir tahu.

Kadir Jasin cuba melakukan beberapa perubahan dalam stail pelaporan berita melalui akhbar-akhbar ini,malah komen-komen yang dibuat semasa kempen pilihanraya dan selepas pilihanraya terhadap beberapa isu tidak menyenangkan beberapa pihak dalam UMNO termasuk Mahathir sendiri.

Kadir Jasin dalam beberapa siri komennya juga telah mengkritik langkah MKT UMNO yang mengisytiharkan agar tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO. Berhubung dengan ini Kadir Jasin berkata adalah agak terlewat jika perpaduan parti dijadikan sebagai alasan untuk menangguhkan demokrasi dalam parti.

Dalam satu komen lain, Kadir Jasin berkata , "What the Supreme Council has done is to put its own interests before that of the nations.That is nothing less than a dereliction of duty." Kata-kata sini Kadir Jasin ini telah membuat Mahathir tersinggung dan marah.

Mengikut berita yang tidak rasmi,tempat Kadir Jasin ini akan diganti oleh Datuk Ahmad Sebi,seorang kroni Daim Zainuddin yang telah lama bercita-cita untuk mengisi jawatan tersebut. Mahathir akan buat apa saja mengikut rentak dan iramanya.

Sokongan orang-orang Melayu kepada Mahathir sudah pudar, tetapi Mahathir masih lagi berdegil untuk terus berkuasa. Mahathir tidak pernah dan tidak akan menjadi jaguh demokrasi. Mahathir pandai mengkritik tetapi tidak mahu dikritik,itulah stail Mahathir.

ALI ALLAH DITTA




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com