Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Apakah doa Mahathir akan dimakbulkan ?

Apabila UMNO gagal mengekalkan jumlah kerusi yang dimenanginya pada 1995 dalam pemilu 1999 lalu, Mahathir sepatut bertindak segera untuk memulihkan imej UMNO sebagai sebuah parti ulung bagi orang Melayu. Sebaliknya, Mahathir dengan angkuh menolak segala anggapan bahawa UMNO sudah tidak diterima oleh orang Melayu lagi. Siapa saja yang cuba menegur akan menerima habuannya,seperti nasib A.Kadir Jasin yang terpaksa berhenti daripada jawatan ketua editor NSTP baru-baru ini kerana kritikannya yang sinis terhadap UMNO. Tidak pernah dalam sejarah pilihanraya di negara ini,UMNO mengalami kekalahan yang teruk.

YAB Tengku Abdul Rahman,Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn sentiasa disanjung tinggi oleh masyarakat Malaysia,khususnya masyarakat orang Melayu kerana sumbangan mereka untuk meninggikan taraf hidup masyarakat orang Melayu. UMNO senantiasa mendapat sambutan orang-orang Melayu pada zaman kepimpinan ketiga-tiga tokoh agong ini.

Mahathir juga disanjung oleh orang Melayu seketika dahulu kerana keberaniannya mencuba lain daripada yang lain. Populariti Mahathir di kalangan orang Melayu memuncak ketika Mahathir bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI) meneraju kerajaan. Sokongan DSAI juga telah membolehkan Mahathir menewaskan Tengku Razalegih dalam pertandingan sengit untuk jawatan Presiden UMNO dalam tahun 1987. Tanpa sokongan DSAI, Mahathir sudah tentu kecundang dalam pertarungan itu.

Keunggulan Mahathir di mata dunia sama ada di negara Barat atau di negara Timur atau di negara Timur Tengah atau di negara dunia ke-3 juga bertumpang atas nama DSAI. Pendek kata DSAI banyak menyumbang ke arah kepopularan Mahathir di dalam dan di luar negara.

Malangnya kerana hendak mengejar kuasa dan kekayaan,menjaga kroni dan kepentingan mereka serta mengamalkan nepotisme ,Mahathir telah lupa segala pertolongan dan bantuan yang telah dihulurkan oleh DSAI. Sebaliknya melalui satu konsperasi yang jitu,Mahathir berkomplot menjatuhkan dan mengaibkan DSAI dengan sedemikian rupa.

Walaupun mahkamah belum memastikan sama ada DSAI bersalah atau tidak dalam kes liwat ini, tetapi Mahathir sudah membuat keputusan muktamad di kota London bersama-sama Ummi Halfilda bahawa DSAI sememangnya bersalah dan tidak bermoral dan perlu menerima hukuman sewajarnya. Sekarang terpulanglah kepada hakim Ariffin Jaka untuk menentukan berapa tahun lagi DSAI perlu dipenjarakan di Sungai Buluh nanti.

Dendam Mahathir bukan saja terhadap DSAI,tetapi juga terhadap kaum keluarga DSAI serta mereka yang rapat dengan DSAI termasuklah peguam-peguam yang membela DSAI. Maka tidak hairanlah bila Mahathir mengarah penangkapan dan pendakwaan terhadap Mohd.Ezam,Marina Yusof dan Karpal Singh sebelum Mahathir keluar makan angin pada bulan Januari lalu.

Bencinya Mahathir kepada Karpal Singh begitu memuncak, bukan setakat Mahathir sanggup buat apa saja bagi memastikan Karpal Singh tewas dalam pilihanraya 1999 dengan menggunakan undi pos dan pengundi hantu di Jelutong. tetapi sanggup melafazkan kata-kata,"I don’t see why I should like Karpal Singh…then I like very much to hang lawyers,these particular lawyers.But of course this is just a wish." Demikianlah doa Mahathir.

Setiap kali Mahathir berdoa semuanya akan akan dimakbulkan. Harapan Mahathir meminta konsensus MKT supaya tidak ada pertandingan bagi kedua-dua jawatan presiden dan timbalan presiden berhasil. Permintaan Mahathir agar DSAI dikenakan penjara kerana "rasuah kuasa" dimakbulkan oleh hakim Augustine Paul .Permintaan Mahathir agar pihak peguam negara tidak meneruskan pendakwaan terhadap Rafidah Aziz,Rahim Thamby Chik,Daim Zainuddin dan Eric Cheah dalam kes rasuah dan salah guna kuasa walaupun terdapat bukti-bukti yang cukup kukuh juga tercapai.

Beberapa badan perhubungan UMNO negeri telah menyambut baik usul MKT supaya tiada pertandingan diadakan. Namun demikian masih terdapat banyak bahagian-bahagian UMNO di beberapa buah negeri yang tidak setuju dengan resolusi itu. Terdapat hampir 50 bahagian UMNO setakat ini telah menyatakan sokongan kepada Tengku Razaleigh untuk bertanding pada bulan Mei ini. Kali ini doa Mahathir tidak kesampaian.

Pertandingan mengikut Mahathir akan menimbulkan perpecahan dalam UMNO tetapi kalau tidak ada pertandingan tidak wujudlah sistem demokrasi dalam UMNO. Sekiranya Mahathir terlalu takut akan berlaku perpecahan dalam UMNO,isytiharkan saja dirinya dan Abdullah Badawi sebagai presiden dan timbalan presiden seumur hidup.

Mahathir nampaknya bingung dan sudah tersepit dalam permainannya ini kerana ramai tokoh yang mengelilingi kabinet dalamannya itu adalah bekas ahli team B dulu seperi Abdullah Badawi,Rais Yatim,Zainal Abidin Zin,Kadir Sheikh Fadzir,Ibrahim Ali. Sungguhpun mereka ini nampak setia kepada Mahathir tetapi mereka juga dalam diam sedang menunggu dan melihat perkembangan yang akan berlaku seterusnya.

Difahamkan hampir 35% daripada ahli UMNO masih bersimpati dengan DSAI. 35% inilah yang menjadi tarikan oleh team Mahathir dan team Tengku Razaleigh.. Tidak hairanlah kalau Mahathir sendiri berdoa agar DSAI dapat meminta ahli UMNO yang bersimpati dengan DSAI membantu bagi menjaminkan kemenangan Mahathir nanti. Apakah doa Mahathir ini akan dimakbulkan?

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com