Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

"KALULAH SI ANWAR MASIH ADA…" MAHATHIR

Sejak Ghafar Baba dan beberapa tokoh veteran UMNO mendesak supaya jawatan-jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan,berbagai ramalan telah timbul tentang siapakah bakal pencabar untuk jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO pada bulan Mei ini.

Pencabar yang utama disebut-sebut ialah Tengku Razaleigh(Ku Li). Ku Li kembali ke dalam UMNO melalui jalan yang penuh dengan ranjau dan duri. Sungguhpun,pada satu ketika tatkala jawatan Timbalan Perdana Menteri(TPM) belum diisi,Ku Li lah orang yang disebut-sebut untuk menduduki kerusi TPM itu.

Permainan licik Mahathir,menyebabkan Ku Li telah tertipu dan jawatan TPM diserahkan kepada Abdullah Badawi. Namun demikian,Ku Li tidak putus asa,sebagai seorang gurkha yang taat,Ku Li telah menjanjikan untuk menyerahkan kembali Kelantan ke tangan UMNO dalam pemilu 1999, dengan harapan Mahathir akan menghadiahkannya sesuatu yang besar. Harapan Ku Li kecewa apabila PAS memenangi Kelantan dengan mudah,disamping menumbangkan beberapa orang kanan Mahathir yang terkubur dikawasan masing-masing.

Kekecewaan Ku Li bukan setakat tidak dapat menghadiahkan Kelantan kepada Mahathir,tetapi tercicir daripada kabinet baru Mahathir. Malah tiada seorang pun wakil dari Kelantan di ambil untuk menyertai kabinet Mahathir. Mahathir memberi alasan bahawa Ku Li masih tidak cukup kriteria untuk menjadi ahli kabinetnya. Yang sebenarnya , Mahathir takut sekiranya Ku Li diberi jawatan Menteri,Ku Li dapat menggunakan kedudukan itu untuk meluaskan pengaruhnya.

Ku Li berharap dia akan berpeluang untuk bertanding jawatan timbalan presiden yang dikosongkan itu. Tetapi,harapan ini pun terlepas apabila Mahathir meminta konsesus MKT untuk tidak dipertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Kini Ku Li terperangkap diantara melaksanakan amanat MKT,yang mana Ku Li adalah salah seorang ahlinya dengan permintaan hampir 60 bahagian UMNO yang mahukan Ku Li masuk bertanding. Ku Li menjadi serba salah,kerana jika masuk bertanding bererti engkar arahan Mahathir ,sebaliknya jika tidak bertanding akan mengecewakan permintaan bahagian-bahagian UMNO yang mahukan pertandingan.

Inilah peluang Ku Li terakhir untuk memastikan sama ada Ku Li hidup atau mati dalam arena politik tanah air. Usia Ku Li pun telah melewati 60 tahun. Ramai berpendapat bahawa inilah masa yang paling baik Ku Li masuk bertanding kerana bagi Ku Li tidak ada apa-apa yang merugikan. Menang akan membawa nafas baru dalam karier Ku Li,kalah maka berundurlah Ku Li dari arena politik tanah air.

Setengah ahli UMNO berpendapat Ku Li patut bertanding lawan Mahathir kerana mereka berpendirian bahawa UMNO perlu didemokrasikan daripada seorang pemimpin yang autokratik seperti Mahathir. UMNO perlu mempunyai seorang pemimpin baru, berwaswasan baru dan mempunyai agenda-agenda baru. UMNO bagi golongan ini perlu dilepaskan daripada cengkaman Mahathir yang bagi mereka lebih merupakan seorang diktator yang akan buat apa saja yang dia suka.

Golongan ini menganggap inilah peluang terbaik bagi Ku Li untuk menang kerana "mood" para perwakilan dan ahli-ahli UMNO sudah berubah akibat dibelasah oleh pembangkang dalam pemilu yang lalu. Ahli-ahli UMNO tahu dan Mahathir tahu bahawa kekalahan teruk UMNO dalam pemilu itu adalah kerana cara-cara Mahathir menangani kes DSAI yang menyakitkan hati masyarakat Melayu termasuk UMNO sendiri. Jika Ku Li berjanji untuk mengambil langkah-langkah memulihkan DSAI daripada tuduhan-tuduhan tidak berasas sudah tentu golongan pro DSAI dalam UMNO akan menyokong Ku Li sepenuhnya.

Sebahagian lain pula mahukan Ku Li bertanding untuk jawatan timbalan presiden. Peluang untuk Ku Li menang dalam pertandingan ini adalah lebih baik kerana mungkin para perwakilan akan merasakan dengan memilih Ku Li ke jawatan itu maka akan mengwujudkan satu "check and balance" dalam pengurusan dan pentadbiran UMNO .

Mahathir selaku "incumbent" mempunyai "advantange" yang berbagai. Terutama sekali kebolehan Mahathir untuk menggunakan segala kemudahan-kemudahan kerajaan bagi memanupalasikan keputusan. Kalau Mahathir dapat melakukan proses penipuan meluas dalam pilihanraya lalu inikan pula dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO.

Mahathir sedar bahawa masih ramai perwakilan yang bersimpati dengan DSAI. Mahathir juga akan buat sesuatu untuk meraih sokongan daripada golongan yang bersimpati dengan DSAI. Mungkin hingga ke tahap memberi pengampunan ke DSAI ? Mungkin Makamah Rayuan akan mengenepikan perintah hakim Augustine Paul dan membebaskan DSAI? Malah dalam kes liwat yang sedang berjalan sekarang nampaknya pihak pembela telah dapat mengemukakan bukti-bukti kukuh bagi menafikan tuduhan Azizan bahawa dia diliwat antara bulan Januari hingga Mac 1993. Mahathir tidak akan pergi mahkamah,kerana takut dibaham oleh Karpal Singh,dan mungkin kes ini dibuang saja. Dalam keadaan sekarang, apa saja boleh berlaku.

Perwakilan dan ahli UMNO yang pro DSAI ini akan menjadi "kingmaker" bagi menentukan siapa akan menang. Mahathir kini ketakutan,saban hari menunggu agar tidak ada bahagian UMNO yang akan mencalonkan Ku Li dan siang malam Mahathir mendabek dada mengigau,"..tulah,kalu si Anwar masih ada taklah akan jadi macam ni"

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com