Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

BILA MAHATHIR MAIN 'ACI-LOP' DENGAN MAHKAMAH !

Apabila seseorang disapina untuk memberi keterangan dalam mahkamah dia perlu hadir di mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Sekiranya orang itu tidak hadir maka mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Dalam hal ini juga seseorang itu tidak berhak untuk mempersoalkan kenapa dia disapinakan. Tambah lagi bila orang berkenaan mempersoalkan motif dia disapinakan. Inilah yang dilakukan oleh Mahathir.

Dalam perbicaraan kes liwat ini,seorang pemandu DSAI,Abdullah Sani dipanggil memberi keterangan,tetapi Abdullah Sani tiada di mahkamah ketika itu. Hakim Ariffin Jaka dengan perasaan marah telah mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Sebaliknya apabila Mahathir bermain "aci-lop" dengan sapina mahkamah, Hakim Ariffin Jaka tidak berkata apa-apa. Hakim Ariffin Jaka seharusnya mengeluarkanan waran tangkap terhadap Mahathir yang enggan mematuhi arahannya. Clinton pun pernah diarah beri keterangan depan hakim, Clinton akur arahan tersebut tetapi kenapa Mahathir begitu ego sangat? Mahathir perlu belajar dari Clinton !

Demokrasi yang kita amalkan,meletakkan setiap warganegara pada tahap yang sama dari segi undang-undang negara,tiada siapa yang dikecualikan. Tetapi, bila Mahathir kena sapina,Mahathir seolah-olah berlagak yang dia adalah mengatasi undang-undang,cuba hendak tunjuk kekebalannya. Cuba teliti sedutan ucapan Mahathir yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini. Mahathir berkata bahawa dia akan hadir mahkamah jika diperlukan,tetapi menambah;"saya tidak mahu ia menjadi permainan politik"Saya harap(kenyataan saya) relevan dengan kes yang dibicarakan. Tetapi jika mereka mahu menjadikannya satu pertunjukan politik,saya tidak fikir ia sesuatu yang wajar." Mahathir juga berkata dia tidak fikir kenyataannya perlu. "Saya tidak tahu banyak mengenai perkara ini. Saya fikir kenyataan telah pun diberikan".

Pihak pembela tahu bahawa Mahathir adalah seorang saksi material yang sangat penting dalam perbicaraan kes liwat DSAI ini. Sebaliknya, Mahathir ada hati untuk menyoal apakah relevan kehadirannya dalam mahkamah. Mahathir perlu sedar jika tidak kerana tindakannya memecat dan mengaibkan DSAI demikian rupa maka tidak akan berlangsung kes ini. Jadi soal releven atau tidak Mahathir berada di mahkamah tidak timbul. Biarkan mahkamah saja tentukan sama ada keterangan Mahathir itu relevan atau tidak.

Orang yang disapinakan dalam kes ini ialah Mahathir,bukan Mahathir sebagai PM,kenapa pihak pendakwa begitu sibuk hendak menghalang kehadiran Mahathir di mahkamah? Proses mencabar sapina itu patut dilakukan oleh peguam yang dilantik Mahathir sendiri bukan pihak pendakwa. Pihak pendakwa seharusnya berkecuali dan patut menasihati Mahathir supaya hadir ke mahkamah. Sebaliknya pihak pendakwa membantah kehadiran Mahathir atas alasan bahawa Mahathir tidak menyaksikan kejadian liwat yang didakwa itu dan bukanlah saksi material. Kalau begitu Ummi Halfilda pun bukan saksi material kerana Ummi Hafilda pun tidak pernah menyaksikan kejadian tersebut.

Mahathir juga tidak seharusnya tentukan sama ada soalan-soalan yang akan dikemukan oleh pihak pembela merupakan soalan-soalan yang relevan atau tidak. Itu adalah tugas mahkamah untuk menentukan sama ada soalan-soalan itu relevan atau tidak. Mahathir seolah-olah tuntut jika keterangannya tidak relevan dia tidak perlu hadir. Mahathir fikir dia tu siapa ?

Mahathir juga berkata "Saya tidak tahu banyak mengenai perkara ini. Saya fikir kenyataan telah pun diberikan". Bukan kah Mahathir yang pecat DSAI kerana kes moralnya. Selepas itu diadakan mesyuarat MKT lalu memecat DSAI daripada UMNO. Mahathir yang panggil semua ketua bahagian termasuk menteri besar dan ketua menteri di PWTC dan menceritakan panjang lebar kenapa tindakan itu dilakukan. Dalam sidang akhbar Mahathir juga berkata, "He (DSAI) even mastubate his friends" Jadi kalau Mahathir berkata dia tidak tahu menahu banyak perkara ini,nampak sangat Mahathir menipu !

Mahathir telah menjelajah seluruh Malaysia dan menghebahkannya dalam setiap majlis perhimpunan pemimpin bersama rakyat. Mahathir juga menghebahkan kes ini di mana saja dia pergi,sama ada di kota London, Paris, New York,Washington dalam misi lawatan rasminya bila bertemu dengan rakyat Malaysia di sana.

Menteri-menterinya juga ditugaskan untuk mengadakan roadshow masing-masing, dan diheret bersama-sama mereka Ummi Halfida ke sana sini bagi menjual kisah dongeng murahan tersebut. Mahathir mengulangi tuduhan terhadap DSAI dengan bantuan Ummi Halfilda sendiri dalam pertemuan Mahathir dengan pelajar-pelajar di kota London baru-baru ini. Kalau Mahathir masih mengatakan bahawa dia tidak tahu menahu perkara ini, nampak benar Mahathir sudah nyanyuk. Atau mungkin buat pertama kali Mahathir menyatakan perkara yang benar.

Mahathir sememangnya takut hendak datang ke mahkamah kerana Mahathir khuatir lebih banyak tembelang Mahathir dan para konspiratornya terdedah. Akan menjadi satu kesilapan besar jika Mahathir bercakap benar ,malah besar lagi kesalahan jika dia berbohong dalam mahkamah. Jika Mahathir di pihak yang benar kenapa perlu dia takut hendak hadir mahkamah?

Setiap institusi kerajaan,termasuk polis, jabatan peguam negara dan badan kehakiman sudah berada dalam gengaman Mahathir dan sentiasa mengikut telunjuk Mahathir. Hakim Ariffin Jaka pada minggu lalu telah menetapkan bahawa dia akan hanya mengarah Mahathir hadir ke mahkamah jika keterangan Mahathir adalah relevan dengan kes itu. Nampak sangat yang hakim pun terpaksa akur kemahuan Mahathir. Kalau begitu mahkamah tidak perlu keluarkan sapina langsung. Bagi Mahathir,"akulah mahkamah,akulah undang-undang" dan tiada siapa boleh mempersoalkannya. Bak kata orang Kedah,"bila Mahathiaq beletiaq,depa semua ketaq, sampai terkencing dalam seluaq!!"

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com