Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

APAKAH PELUANG DSAI DALAM MAHKAMAH RAYUAN ?

Mahkamah rayuan mula mendengar kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI). Pihak pembela telah mengemukakan 29 asas rayuan sebagai sokongan kepada rayuan terhadap hukuman penjara selama 6 tahun kerana menyalahgunakan kuasa ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dulu.. Sepanjang perjalanan kes ini tiada terdapat bukti-bukti material atau saksi-saksi yang "corroborative" yang boleh menyokong dengan kukuh pertuduhan pihak pendakwa.

Azizan,Ummi Halfilda,SAC Musa Hassan dan beberapa orang pegawai kanan polis, termasuk seorang ahli kimia yang kononnya pakar dalam ujian DNA telah memberi keterangan bagi pihak pendakwa dan sebuah tilam usang dikemukakan sebagai bahan bukti, tetapi keterangan mereka ini banyak menimbulkan kesangsian dan keraguan. Malah dari keterangan-keterangan itu seolah-olah nampak wujudnya satu konspirasi yang amat licik dirancangkan oleh Mahathir dengan bantuan konspirator lain bagi tujuan kepentingan politik masing-masing.

Tidak ada apa-apa luar biasa dengan kes ini,kecuali orang yang didakwa itu adalah DSAI,mantan Timbalan Perdana Menteri. Seperti kes-kes lain,kes "rasuah" DSAI ini adalah satu kes yang mudah tetapi telah dipersulitkan kerana gangguan dan tekanan daripada Mahathir yang mahukan DSAI dipenjarakan walau dengan apa cara sekali pun. Oleh itu pihak pendakwa terpaksa melakukan apa saja asalkan pertuduhan terhadap DSAI itu lekat dan DSAI dihukum penjara.

Dalam kes O.J.Simpson,seorang pemain profesional "American Football" ,yang dikatakan membunuh isteri dan kekasih isterinya telah terlepas daripada hukuman gantung kerana bukti material yang dikemukan oleh pihak pendakwa adalah meragukan. Sarong tangan yang dikatakan telah digunakan dalam pembunuhan itu adalah agak kecil dan tidak dapat memuatkan tangan O.J.Simpson.

Hakim telah memberi "benefit of the doubt" dengan membuang kes tesebut. Nasib baik bagi O.J.Simpson tidak ada kuasa tekanan atau gangguan daripada pihak-pihak tertentu yang boleh memastikan O.J.Simpson dihukum seperti dalam kes DSAI ini.

Sepatutnya dalam kes DSAI ini hakim juga patut memberi "benefit of the doubt" kerana keterangan-keterangan yang diberi oleh saksi-saksi pendakwa adalah bercanggah dan saksi seperti Azizan yang sendiri mengaku bahawa dia telah dilatih terlebih dahulu oleh SAC Musa Hassan di Bukiti Aman untuk memberi keterangan.

Malang sekali dalam perjalanan kes ini hakim menerima pindaan mengikut rentak yang dimainkan oleh pihak pendakwa hinggakan di tengah-tengah kes sedang berjalan, pertuduhan diubah dengan tiba-tiba dan segala keterangan berkaitan dengan tuduhan salahlaku seks dibuang.

Hakim juga telah menunjukkan sikap yang berat sebelah kerana tidak mahu menerima penghujjahan pembela yang berkait dengan konspirasi,tetapi sebaliknya menerima tindakan pihak pendakwa seperti mengubah tarikh pertuduhan beberapa kali dan beberapa yang lain.

Beberapa persoalan menarik perhatian dalam kes tersebut, antaranya:

  • - kenapa hakim menerima perubahan tarikh dari pihak pendakwa ?

  • - kenapa pertuduhan diubah ditengah jalan?

  • - Azizan sendiri mengaku dia diajar oleh SAC Hassan di Bukit Aman.

  • - kenapa hakim kerap sangat menolak hujjah-hujjah pembela sebagai tak relevan?

  • - apa tujuan pendakwa mengheret pakar kimia dan dikatakannya pakar DNA?

  • - kenapa pakar kimia memusnahkan segala spesimen-spesimen air mani yang patut menjadi bahan exhibit mahkamah?

  • - apa tujuan tilam usang diusung naik turun mahkamah?

  • - kenapa hakim tidak membenarkan rakaman perbualan Ummi Halfilda dengan seorang tokoh politik dari Sarawak dimainkan?

  • - pernahkan Azizan membuat laporan polis? setahu kita Azizan hanya mengadu kepada Ummi Halfida saja.

Apakah badan kehakiman kita bebas daripada badan eksekutif? Hakim dilantik oleh Yang DiPertuan Agung dan Majlis raja-raja atas cadangan Mahathir. Hakim boleh ditukar atau dibuang jika Mahathir mengarahkanya. Jika hakim membuat keputusan yang tidak menyenangkan Mahathir maka Mahathir akan bertindak untuk menukarkan, memecat atau memencenkan hakim tersebut. Itulah yang terjadi dengan bekas hakim negara YB Tun Salleh Abbas dulu.

Jelas hakim begitu takut dan gementar dengan Mahathir yang mahu pastikan bahawa DSAI dihukum. Mahathir memang dendam kepada DSAI dan Mahathir akan lakukan apa saja bagi memastikan DSAI merengkok dalam penjara. Rakyat sendiri dapat merasakan bahawa betapa kecutnya hati sihakim bila membuat penghakiman ini. Rakyat juga tahu bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan terhadap DSAI adalah palsu semata-mata demi untuk memuaskan nafsu buas Mahathir yang ingin berpaut kepada kuasa selama-lamanya.

Kalau Mahathir sendiri boleh menghalang peguam negara daripada mengambil tindakan terhadap Rafidah Aziz,Rahim Thamby Chik dan Daim Zainuddin dalam kes rasuah dan salah guna kuasa,apatah lagi dengan keputusan-keputusan penghakiman yang bakal diberi oleh mahkamah? Inilah yang dikatakan Malaysia boleh, Mahathir lagi serba boleh. Siapa berani membantah kemahuan Mahathir kerana setiap kali Mahathir buka mulut,habis "depa ketaq terberak keciciran". Bolehkah keadilan terjamin dalam mahkamah rayuan ini ?

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com