Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

UMNO DITOLAK KERANA PERSONALITI MAHATHIR !

Antara bulan Mac dan April ini semua bahagian UMNO akan mengemukakan calon untuk mempertandingkan pelbagai jawatan-jawatan penting dalam Perhimpunan Agung UMNO bulan Mei 2000 ini. Kalau mengikut kemahuan MKT pertandingan adalah terbuka kepada semua,kecuali bagi jawatan presiden dan timbalan presiden. MKT juga telah bersetuju bahawa presiden dan timbalan presiden yang ada sekarang seharusnya mengekalkan jawatan masing-masing.

Jawatan timbalan presiden sebenarnya adalah kosong sejak DSAI dipecat daripada jawatan TPM dan UMNO. Abdullah Badawi hanya menumpang dijawatan tersebut atas belas ehsan perlantikan Mahathir. Yang jelas,pemilihan Abdullah Badawi bukanlah pilihan ramai ahli-ahli UMNO tetapi adalah pilihan Mahathir sendiri.

Mahathir memberi alasan bahawa sekiranya ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi ini ia akan memecah belahkan UMNO. Apa yang Mahathir tidak memaklumkan kepada ahli-ahli UMNO lain ialah keinginan Mahathir untuk terus menerajui UMNO dan seterusnya berkuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk beberapa ketika lagi. Mahathir juga takut jika ada pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden, Mahathir dan Abdullah Badawi mungkin kalah teruk.

UMNO sebagai sebuah parti sememangnya sudah lama berpecah, hanya menanti hancur saja lagi. Perpecahan UMNO bermula sejak DSAI disinggirkan daripada UMNO dan pilihanraya 1999 membuktikan bahawa bukan setakat UMNO berpecah malah UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang-orang Melayu.

Sambutan UMNO di kalangan orang Melayu terutama golongan muda amat mengecewakan sekali. UMNO hanya dikerumuni dengan orang tua,orang yang mempunyai kepentingan,kroni-kroni,dan pemimpin Melayu yang korup tidak tahu malu,yang dicemari skandal,salah gunakuasa serta yang sanggup memeras kehidupan rakyat jelata untuk kepentingan diri sendiri.

Pada tahun 2004 ini pengundi berdaftar akan bertambah sebanyak 1.6 juta lagi dan lebih 60% daripada pengundi berdaftar ini adalah terdiri daripada anak-anak muda keturunan Melayu yang "anti-establishment". Golongan muda ini yang lahir selepas merdeka mempunyai sedikit atau tiada langsung kesetiaan mereka kepada UMNO. Malah mereka ini lahir ketika UMNO sendiri sedang bergolak dengan rasuah,skandal,perasugut dan salah gunakuasa dengan begitu berleluasa.

Golongan muda orang Melayu ini juga adalah golongan terpelajar,sekurang-kurangnya sampai ke peringkat SPM sudah tahu menilai antara yang baik dan buruk. Cakap saja pasal rasuah,skandal dan salah gunakuasa,mereka boleh menamakan menteri-menteri kerajaan yang terlibat. Nama seperti Daim,Rafidah, Rahim Thamby Chik,Mohd.Taib, Megat Jonid,Sanusi Jonid,Shahidan Kassim dan lanun-lanun UMNO lain sering menjadi mainan buah mulut masyarakat hari ini.

Apa Mahathir buat untuk menangani masalah ini? Cukupkah dengan sekadar mengharamkan majalah-majalah yang berbau politik atau menghadakan terbitan Harakah kepada dua kali sebulan? Menyekat terbitan Harakah tidak bererti akan menambahkan pembaca akhbar-akhbar tempatan yang pro kerajaan? Selagi Mahathir tidak mengatasi masalah rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa di kalangan menteri-menterinya dan tokoh-tokoh UMNO selagi itu orang Melayu akan membenci UMNO.

Ketidakpuasan hati dalam UMNO berpunca daripada cara Mahathir menangani isu DSAI dan isu-isu semasa lain. Rata-rata orang Melayu telah sedar bahawa Mahathir sudah lama berada di mahligai pemerintahan dan sudah tiba masanya Mahathir berundur. Tetapi, Mahathir adalah mahafiraun,apa saja Mahathir kata ahli UMNO akan sokong secara buta tuli,tambah-tambah lagi mereka yang mengelilingi pinggang Mahathir. Sebab itu tiada satu bahagian UMNO yang berani, sehingga kini,untuk mencalonkan seorang pencabar bagi menentang Mahathir atau Abdullah Badawi.

Ramai ahli UMNO yang mahu Tengku Razaleigh(Ku Li) masuk bertanding tapi mereka ini "takut" dijerkah Mahathir, kerana bila Mahathir jerkah habis "ketaq ataih bawah" Apakah tiadanya di setiap mesyuarat cawangan dan bahagian ada "spy" Mahathir yang memerhati tindakan mereka dan akan menjajikan sesuatu yang baik jika hanya Mahathir dan Abdullah dicalonkan untuk kedua-dua jawatan tertinggi itu.

Ahli UMNO juga bercakap pasal "survival" parti UMNO,tetapi tidak berani untuk berbuat sesuatu. Tokoh-tokoh veteran UMNO seperti Ghaffar Baba dan Musa Hitam lantang bersuara minta perubahan,tetapi siapa yang berani memulakannya?

Peluang Ku Li bagi mendapatkan undi yang cukup untuk menentang Mahathir adalah tipis dan sekiranya Ku Li mencabar Mahathir,adalah terlalu sukar untuk Ku Li hendak menewaskan Mahathir kerana Mahathir pintar main politik kotor.Sebaliknya peluang Ku Li untuk mencabar dan menewaskan Abdullah Badawi adalah cerah kerana mengambil kira undi-undi perwakilan yang anti Mahathir,pro Anwar dan ahli bekas S46 yang masuk UMNO yang masih ramai dalam UMNO.

Kemenangan Ku Li akan memberi tekanan kepada Mahathir untuk memikirkan soal persaraannya. Kemenangan Ku Li juga diibaratkan sebagai satu mesj jelas kepada Mahathir supaya bersedia untuk mengundurkan diri.

UMNO memang sakit dan tiada ubat yang dapat merawat sakitnya itu kecuali ada kepemimpinan dan halatuju yang baru. Kekuatan UMNO terletak di tangan rakyat khususnya orang-orang Melayu. Tetapi apabila orang-orang Melayu sendiri sudah tidak dapat menerima UMNO,UMNO hendak berpaut kepada siapa lagi ? Buktinya kemenangan beberapa calon UMNO dalam pemilu 1999 atas sokongan pengundi bukan Melayu.

Orang Melayu menolak UMNO kerana imej UMNO yang buruk yang diadunkan dengan personaliti-personaliti yang korup,mabuk kuasa,gila harta,gila betina melibatkan pemimpin-pemimpin dari peringkat atas,seperti, Mahathir,Abdullah Badawi,Daim, Rafidah,Megat Jonid,Rahim Thamby Chik hinggalah ke pemimpin di bahagian dan cawangan.

Musa Hitam berpesan agar orang-orang UMNO "pulihkan UMNO baik-baik" dan "tukarkan diri-sendiri,sebelum ditukarkan" Apakah impian Musa Hitam ini akan menjadi kenyataan? Jawapannya tidak mungkin kerana UMNO akan hancur selagi Mahathir terus berkuasa. Bersediakah UMNO untuk tukarkan Mahathir, sebelum rakyat menukarkannya nanti ?

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com