Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

UMNO MENGUNDI ALA "MEMILIH KETUA DARJAH"

Petang Sabtu lalu,rakan saya mengajak saya menghadiri mesyuarat agung UMNO peringkat cawangan di kampungnya. Mesyuarat tersebut diadakan di balai raya kampung tersebut. Saya bukan ahli mana-mana parti,tetapi gemar mengikuti pergolakkan semasa politik tanah air.

Oleh kerana hujan turun lebat pada petang itu maka saya terpaksa berlindung di balairaya di mana mesyuarat agong UMNO cawangan akan diadakan;duduk di sebelah belakang dewan menanti kawan saya yang akan menghadiri mesyuarat dalam dewan tersebut.

Mesyuarat agong yang sepatutnya bermula pada pukul 3.00 petang tertangguh sehingga pukul 4.20 petang,kerana tidak cukup korum. Saya difahamkan dari rakan saya bahawa cawangan tersebut mempunyai 267 ahli yang berdaftar,tetapi apa yang saya saksikan tidak sampai 30 orang saja yang hadir. Mesyuarat bagi Pemuda dan Wanita berlangsung pada tengah hari walaupun kehadiran amat sedikit.

Saya bersama-sama dua orang lain yang sedang menumpang berlindung daripada hujan lebat telah diminta keluar dewan,tetapi atas rayuan rakan saya, kami diizinkan tinggal di balairaya tersebut tetapi jauh ke belakang.

Mesyuarat berjalan dengan rancak,disertai dengan wakil-wakil UMNO bahagian dan juga negeri. Wakil-wakil ini berpakaian kemas,ada yang berbush jacket dan ada yang berkot dan bertali leher,yang wanita pula ikut uniform mereka berbaju kurung putih merah,ada yang tak bertudung. Nampak gerun juga bagi orang-orang kampung lain yang hadir itu yang hanya berpakaian biasa dengan seliper getah saja.

Mesyuarat bermula dalam keadaan kelam kabut kerana tidak ramai ahli yang hadir. Malah ada seorang ahli perwakilan mohon untuk menangguhkan mesyuarat kerana tidak cukup korum,tetapi permohonan telah ditolak.

Bila masa pemilihan untuk jawatan-jawatan bermula timbul beberapa kekecohan, terutamanya tentang cara mana pengundian hendak dijalankan. Rakan saya mencadangkan supaya pengundian cara sulit diamalkan tetapi telah ditolak oleh pengerusi tetap atas nasihat seorang wakil khas yang hadir itu.

Mengikut rakan saya perlembagaan UMNO,mensyaratkan pengundian dalam pemilihan pucuk pimpinan parti hendaklah dibuat secara sulit. Tetapi, amalan itu tidak pernah dibuat,sebaliknya mereka mengundi cara angkat tangan.

Kebebasan memilih adalah perkara asas dalam sistem demokrasi dan ia hanya dapat diamalkan secara undi sulit dengan demikian ia menjamin kerahsiaan si pengundi. Sistem inilah yang dilakukan di mana-mana saja.

Mahathir sentiasa bercakap besar tentang demokrasi dalam UMNO tetapi bila datang bab pengundian kenapa pula dibuat cara angkat tangan? Abdullah Badawi pun beria-ia menyokong proses pengundian secara angkat tangan ini kerana mengikutnya ia adalah tradisi yang telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Pengundian secara terbuka atau secara angkat tangan ini adalah tidak demokratik dalam ertikata bahawa orang yang melakukkan pengundian tersebut mudah dikenali dan senang dipengaruhi melalui ugutan, tekanan dan paksaan. Lagi pun pengundian cara angkat tangan ini biasa dilakukan secara tidak ikhlas. Pengundian secara ini membolehkan perwakilan-perwakilan tahu siapa mengundi siapa.

Hasil daripada pengundian cara angkat tangan ini,timbul ketegangan dan salah faham antara perwakilan yang hadir. Mereka yang tewas akan bermasam-masam muka dengan mereka yang berjaya.

Tengku Razaleigh sendiri mencadangkan supaya proses pengundian dalam pemilihan pucuk pimpinan di peringkat bahagian UMNO hari ini dibuat secara undi sulit. Ku Li sudah baca dari awal-awal lagi jika cara pengundian dibuat secara angkat tangan sudah pasti tiada ada satu bahagian pun yang akan berani mencalonkan Ku Li bagi bertanding sama jawatan presiden atau timbalan presiden UMNO dalam Perhimpunan Agong UMNO bulan Mei 2000 ini.

Maka tidak hairan dalam beberapa mesyuarat agong bahagian yang diadakan baru-baru ini tiada satu bahagian pun berani mencalonkan Ku Li atau sesiapa saja untuk mencabar Mahathir dan Abdullah Badawi,kecuali Bahagian Tanah Merah.

Dalam mesyuarat agong bahagian ini lazimnya ada wakil UMNO negeri atau pusat. Dalam kes mesyauarat agong cawangan ini ada wakil bahagian dan juga ada wakil negeri. Wakil UMNO bahagian dan negeri ini nampak macam "spy" Mahathir atau Abdullah Badawi yang kerap memerhati telatah para perwakilan yang hadir. Malah merekalah banyak memberi arahan dan teguran itu dan ini.

Mahathir, pernah mengatakan bahawa terpulang kepada perwakilan untuk menentukan sama ada pengundian itu harus dibuat cara sulit atau terbuka. Tambahnya lagi para perwakilan boleh mencadangkan sama ada untuk memilih bagi mengundi secara sulit atau terbuka.

Mahathir sendiri tidak mahukan isu pengundian itu menjadi sesuatu yang wajib,kerana jika Mahathir minta pandangan ahli-ahli MKT sudah tentu semua ahli MKT,kecuali Abdullah Badawi akan pilih pengundian cara sulit. Kenapakah Mahathir cuba berkecuali dalam penentuan cara pengundian ini? Mengapa Mahathir sendiri mahukan perwakilan menentukan cara pengundian ? Walhal tatacara mengundi secara sulit sedia termaktub dalam perlembagaan UMNO ?

Pengundian cara angkat tangan memudahkan ,"spy-spy" yang hadir nampak siapa sokong siapa. Maklumat ini akan sampai kepada Mahathir dan Mahathir kelak akan bertindak terhadap orang yang tidak menyokong nya.

Setelah tamat mesyuarat,rakan saya dengan muka masam dan nada yang marah menegur tentang berbagai kelemahan yang timbul dalam mesyuarat tadi. Mengikutnya,orang yang patut dipilih tidak terpilih, orang yang kerja kuat pula tersinggir dan yang terpilih menjadi ketua cawangan bersaudara dengan ketua bahagian. Usul mengekalkan Mahathir dan Abdullah Badawi sebagai presiden dan timbalan presiden diterima sebulat suara.

Rakan saya berkata ahli yang bayar yuran tidak sampai 40 orang,itupun ketua cawangan yang bayar. Dulu ramai orang beria-ia hendak jadi ahli,tetapi sekarang orang dah "meluat" dengan UMNO. Dalam hati terfikir saya ini kah UMNO yang Mahathir megah-megahkan kononnya mempunyai hampir 2.5 juta ahli,

Dalam perjalanan balik terkenang kembali apa yang berlaku dalam mesyuarat cawangan itu,maka teringat saya akan teguran Musa Hitam yang berkata "mesyuarat-mesyuarat agong,semuanya tersusun dan disusun rapi yang makin lama merupakan mesyuarat"endorsement" dan kurang mesyuarat yang ingin menyampaikan keluhan rakyat, kritik rakyat dan tuntutan rakyat". Itulah apa yang berlaku sebentar tadi dalam balairaya itu.

Mesyuarat cawangan itu juga menjadi tempat Mahathir dan Abdullah Badawi menaikkan "orang-orang depa" yang akan menjadi wakil ke Bahagian seterusnya ke Perhimpunan Agung UMNO bulan Mei nanti.

Kalau itulah caranya, Mahathir dan MKT tidak perlu khuatir tentang pertandingan kerana perwakilan-perwakilan yang akan hadir adalah penyokong Mahathir dan Abdullah Badawi semata-mata yang akan meneruskan tradisi mengampu dan "angkat tangan" dalam Persidangan Agung Mei 2000 ini.

Saya juga hairan, kenapa UMNO sudah berusia 54 tahun,melalui 10 pilihanraya,tetapi masih gemar mengamalkan mengundi "ala memilih ketua darjah"?

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com