Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KES SI RAHIM "BULLDOG": POLIS PATUT GEMBIRA…..

Pihak polis boleh tersenyum lebar kerana apa saja tindakan yang mereka lakukan terhadap orang awam nanti,walaupun salah,akan mendapat hukuman yang seringan-ringan daripada mahkamah Malaysia. Apakah tidaknya bila bekas si Rahim "bulldog" yang telah membelasah DSAI sampai hampir separuh mati si Rahim "bulldog" hanya didenda RM 2000 dan diberi hukuman penjara 2 bulan. Ini akan dijadikan contoh bagi penghakiman-penghakiman yang melibatkan keganasan polis seterusnya di masa akan datang.

Dengan penghakiman ini juga pihak polis akan bersyukur dan berterima kasih kepada Mahathir bahawa pihak polis akan sentiasa dilindungi oleh mahkamah walaupun mereka tahu perbuatan mereka itu salah dari segi undang-undang. Oleh itu dengan penghakiman ini ia merupakan satu ganjaran kepada pihak polis untuk melakukan apa saja terhadap orang awam.

Mokhtar telah ditugaskan untuk "ubah tiang gol" bagi menjaminkan supaya hukuman yang dijatuhkan oleh hakim adalah seringan-ringan yang dapat. Mahathir tidak mahu prosiding kes si Rahim "bulldog" berpanjangan memandangkan mungkin kedudukan Mahathir akan tergugat pemilihan pucuk pimpinan UMNO bulan Mei 2000 ini.

Dengan pengakuan bersalah si Rahim "bulldog" ini,ia mengesahkan bahawa si Rahim "bulldog" telah berbohong mengatakan DSAI berkeadaan sihat semasa dalam tahanan. Mahathir ,yang menuduh mata lebam DSAI itu adalah atas perbuatan DSAI sendiri jelas menjadi pembohong yang paling besar.

Bandingkanlah cara kerajaan Mahathir melayani kes DSAI dengan si Rahim "bulldog" ini:

a. Bila DSAI ditangkap,dia terus diaib,dihina dan terus didakwa dengan serta merta. Bila si Rahim "bulldog" ditahan,ia mengambil lebih kurang 18 bulan untuk dihadapkan di mahkamah.

b. DSAI dihukum 6 tahun penjara kerana salah guna kuasanya sebagai TPM. Si Rahim "bulldog" dihukum 2 bulan penjara kerana salah guna kuasa sebagai KPM kerana membelasah DSAI.

c. DSAI dinafikan peluang ikat jamin oleh hakim mahkamah sementara menunggu rayuan mahkamah lebih tinggi. Si Rahim "bulldog" dibenarkan ikat jamin dengan serta merta sementara menanti rayuan sebaik saja dijatuhkan hukuman.

d. Mokhtar "ubah tiang gol" dalam kes DSAI bagi memastikan DSAI dipenjaradengan apa cara sekali pun. Mokhtar "ubah tiang gol" untuk menolong si Rahim "bulldog" terlepas daripada hukuman yang berat.

e. Kesalahan DSAI dan kesalahan orang awam dikenakan hukuman paling maksima. Kesalahan si Rahim "bulldog" dijanjikan hukuman yang paling minima.

f. Hakim dalam kes DSAI asyik menekan pihak pembela dengan tak relevan setiap fakta hujahan mereka. Hakim dalam kes si Rahim "bulldog" begitu simpati tentang masa depan Si Rahim "bulldog" hingga sanggup tidak mahu melihat si Rahim "bulldog" hilang pencennya sekiranya dipenjarakan.

g. Hakim dalam kes DSAI tidak mengambilkira jasa DSAI semasa menjadi TPM. Hakim dalam kes si Rahim "bulldog" mengambilkira jasa si Rahim "bulldog"semasa membuat penghakiman.

Kini peguam negara cuba berpura-pura menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penghakiman tersebut dan telah membuat rayuan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat. Kalau sudah tahu bahawa si Rahim "bulldog" akan dikenakan hukuman yang ringan kenapa ubah pertuduhan ? Bukankah pertuduhan asal itu lebih selesa? Inilah yang dikatakan konspirasi peringkat tinggi.

Di mana letaknya keadilan ? Budak sekolah pun tahu membedakan antara yang adil dan tidak adil. Tetapi,ahli-ahli UMNO masih buta mata dan buta hati terhadap ketidakadilan yang berleluasa diamalkan oleh kerajaan BN hari ini.

Apakah kita mahu perkara sebegini berlaku kepada saudara mara kita ? Biarlah rakyat menjadi hakim ke atas kepincangan yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com