Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


MAHATHIR MENGAUM MACAM SINGA TAPI…….. !!!

Apabila hakim Ariffin Jaka mengecualikan Mahathir daripada menghadiri mahkamah untuk memberi keterangannya dalam kes pembicaraan DSAI,jelas ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem kehakiman negara kita. Tindakan hakim tersebut seolah-olah memberi isyarat bahawa sememangnya DSAI tidak berpeluang langsung untuk menang dalam kesnya itu.

Kalau dari awal-awal lagi dengan segala bukti kukuh yang dikemukakan oleh DSAI dalam sapinanya untuk membawa Mahathir ke mahkamah ditolak mentah-mentah oleh hakim Ariffin Jaka, sudah tentu hakim tersebut telahpun menulis keputusan kes dan hanya menanti masa yang sesuai untuk membentang dan menjatuhkan hukuman.

Kes pendakwa dalam perbicaraan ini adalah sangat lemah dan dibina semata-mata atas pengakuan Azizan, pertuduhan palsu yang direkacipta oleh Ummi Halfilda dibantu oleh para konspirator,pihak polis dan peguam negara yang mahukan DSAI disingkirkan walau dengan apa cara sekali pun.

Buat pertama kali kes DSAI ini telah membuktikan kepada kita siapakah yang lebih berkuasa dan kebal di negara ini. Walaupun perlembagaan negara,pada seketika dahulu meletakkan raja-raja Melayu "above the law",tetapi sebenarnya orang yang paling berkuasa dan "above the law" hari ini ialah Mahathir Mohamad.

Walaupun Mahathir melaung-laungkan bahawa negara ini mengamalkan demokrasi dan rakyat boleh membuat pilihan mengikut kehendak diri masing-masing tetapi pada dasarnya,Mahathirlah yang menentukan apa yang rakyat boleh lakukan,kerana ini negara Mahathir dan Mahathir berkuasa.

Dalam negara Mahathir,Mahathir buat undang-undang dan Mahathir melaksanakan undang-undang. Polis dan mahkamah adalah didalam cengkaman Mahathir. Mahathir boleh mengharamkan apa saja dan memaksa mahkamah mengikut arahannya. Mahkamah tidak lagi bebas kerana hakim-hakim dan peguam negara hanya mengikut telunjuk Mahathir.

Pendakwaan ke atas orang yang salah dan melakukan rasuah adalah dibuat cara pilihan mengikut budibicara Mahathir. Pegawai kerajaan yang dikatakan menerima sogokkan bagi meluluskan sesuatu ditangkap dan dituduh kerana rasuah walaupun tidak terdapat bukti-bukti yang kukuh.

Tetapi menteri-menteri dan menteri besar yang terang-terang melakukan rasuah,merogol dara sunti dan melarikan wang berjuta-juta ringgit,cukup dengan bukti-bukti kukuh yang membolehkan pendakwaan terhadap mereka dilepaskan oleh peguam negara kerana kononnya tiada bukti yang cukup.

Dalam negara Mahathir apa yang Mahathir cakap adalah "law" dan rakyat patut patuhinya. Hakim-hakim mahkamah membuat keputusan bedasarkan kepada tafsiran undang-undang yang Mahathir tentukan. Maka tidak hairanlah bila seorang yang mencuri coli di "supermarket dikenakan 6 tahun penjara sedangkan Rahim "bulldog" yang memukul orang hampir setengah mampus dikenakan hukuman 2 bulan penjara dan dilepaskan dengan ikat jaminan.

Mahathir juga memperbodohkan ahli-ahli UMNO dengan mengeluarkan arahan supaya jawatan-jawatan tertentu seperti jawatan presiden parti UMNO tidak dipertandingkan. Kononnya,pertandingan akan memecahbelahkan parti dan orang-orang Melayu. Sebenarnya,arahan itu akan membolehkan Mahathir terus berkuasa. Apa yang Mahathir tidak sedar UMNO sudah lama berpecah dan orang Melayu sudah tidak lagi menyokong UMNO.

Mahathir sememangnya orang yang gagah lagi berkuasa. Mahathir berani bersuara dan menjadi jaguh atas isu-isu yang pelik. Mahathir pandai buat "judgement" ketas berbagai isu termasuk kisah tingkahlaku DSAI. Mahathir bukan setakat memaklumkan ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia tentang perangai DSAI itu tetapi menghebahkan cerita tersebut di kota London,Paris,Tokyo,New York, dan Washington kononnya dia tahu segala-galanya,termasuk apa yang orang lain tidak tahu.

Tetapi,apabila Mahathir diajak ke mahkamah untuk menceritakan segala-gala yang Mahathir tahu bagi mengukuhkan pertuduhannya terhadap DSAI,Mahathir jadi macam tikus memohon hakim melindunginya agar Mahathir mendapat "immunity" daripada menghadiri mahkamah.

Inilah jaguh UMNO yang disanjungi oleh kononnya 2 juta orang ahli UMNO yang cakap tak serupa bikin,bak kata DSAI " Nah,seorang yang begitu hebat mengaum seperti seekor singa tiba-tiba saja menjadi pengecut seperti seekor tikus,menggeletar takut disoal…."

ALI ALLAH DITTA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com