Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

SANGGANG : USAH MERATAP KEKALAHANNYA…

Sikap PAS/BA yang terlalu yakin akan menang adalah salah satu punca kekalahan calonnya di Sanggang. Bagi UMNO/BN memenangi kerusi Sanggang dengan apa cara sekali pun merupakan prioritinya yang ulung. Lantaran itu UMNO/BN melakukan apa saja bagi memastikan calonnya menang. "Setback" yang dialami dalam pemilu 1999 menjadi paduan kepada UMNO/BN untuk mempertahankan kerusi Sanggang tersebut.

BA/PAS pula menganggap bahawa mood perubahan yang dibawanya semasa pemilu 1999 akan terus bertiup di sanubari rakyat dan ini dapat diteruskan lagi di Sanggang. Tetapi dugaan mereka salah kerana UMNO/BN telah pulun sesungguh hati sambil mengadaikan maruah dan martabatnya untuk memastikan kemenangan calonnya itu. PAS/BA terpaksa menerima hakikat kekalahan tersebut.

Sungguhpun UMNO/BN menang besar dengan bertambahnya majoriti tidak bererti sokongan kepada UMNO sudah mula meningkat semula. Adakah UMNO/BN memang secara adil dan ikhlas ? Jawabnya,tidak,kerana BN/UMNO telah melanggar berbagai amalan demorasi yang ada bagi memastikan kemenangan calonnya

UMNO/BN telah memperkudakan segala agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan penerangan,Kemas,Jabatan Hal Ehwal Orang Asli,Risda,Felcra,Felda serta jentera dan alatan kerajaan telah digunakan bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihanraya kecil ini.

UMNO/BN juga telah menaburkan berjuta-juta ringgit dalam bentuk wang tunai,kain batik,kain pelekat,kampit beras,subsidi baja,kelulusan tanah TOL,basikal,saham serta tawaran menunaikan haji cara percuma untuk pengundi Sanggang. Malah UMNO/BN telah menjanjikan bulan dan bintang kepada penduduk Sanggang,hinggakan penduduk Sanggang terpaksa membalas budi dengan mengekalkan kuasa UMNO/BN di Sanggang.

Bukan semua pengundi Sanggang bersikap demikian, tetapi sebahagian besar termakan budi UMNO/BN itu. Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana tuntutan kehidupan mereka seharian dianggap lebih penting daripada soal-soal keadilan,kezaliman dan kepincangan kerajaan Mahathir.

Bagi UMNO/BN pilihanraya kecil bukan lagi satu pertandingan yang mudah dan murah. Kalau dulu UMNO/BN boleh menang pilihanraya kecil dengan mudah tanpa membelanjakan wang yang banyak,tetapi bermula dari Sanggang setiap pilihanraya kecil yang bakal diadakan nanti akan menelan kos berjuta-jua ringgit wang rakyat sebagai sogokkan untuk para pengundi.

Sanggang menjadi fokus seluruh negara dan diadakan ketika UMNO menghadapi masalah kemerosotan sokongan dari orang Melayu dan pemilihan pucuk pimpinannya bulan Mei ini. Oleh itu Sanggang diberi tumpuan yang sepenuhnya untuk menentukan yang calonnya menang dengan apa cara sekali pun.

Keputusan pilihanraya kecil Sanggang juga telah menunjukkan bahawa sokongan terhadap UMNO/BN meningkat sebanyak 735 undi sedangankan sokongan terhadap PAS/BA berkurangan sebanyak 190 undi. Apakah peningkatan undi bagi UMNO/BN itu hasil dari sokongan orang-orang Melayu? Adakah kekurangan undi yang diterima oleh PAS/BA itu menunjukkan bahawa orang Melayu sudah menolak perjuangan PAS/BA?

Peningkatan undi bagi UMNO tidak bermakna orang Melayu sudah mula menyokong UMNO. Kelebihan undi itu mungkin diterima daripada ahli-ahli UMNO yang dulunya telah mengundi pembangkang kerana tidak suka kepada calon yang dipilih semasa pemiliu 1999 lalu atau daripada sokongan orang bukan Melayu yang bertambah. Gaya dan stail kempen yang dijalankan oleh PAS/BA mungkin tidak menyenangkan pengundi Sanggang dan ini adalah salah punca yang menyebabkan undi PAS/BA merosot.

Walau apa jua tafsiran diberi terhadap fenomena kekalahan ini,PAS/BA tidak perlu meratap kekalahannya itu,kerana memang kalah adalah adat pertandingan . Perjuangan menentang kezaliman,kekejaman,salah guna kuasa, rasuah dan penindasan ke atas rakyat jelata oleh kerajaan Mahathir tidak seharus berakhir dengan satu pilihanraya kecil ini. Perjuangan ini perlu diteruskan sehingga keadilan dapat dicapai, mungkin esok atau lusa atau setahun atau 10 tahun yang akan datang dan setiap perjuangan itu ada risikonya!

ALI ALLAH DITTA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com