Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PERWAKILAN UMNO - JANGAN JADI PAK TURUT SAJA..!!

Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi telah memenangi kerusi presiden dan timbalan presiden UMNO dengan mudah setelah meraih sokongan lebih daripada 155 bahagian UMNO baru-baru ini. Kemenangan padu ini kononnya hasil daripada perpaduan ahli-ahli UMNO. Tetapi adakah ahli-ahli UMNO ini diberi kebebasan untuk memilih?,sedangkan rata-rata orang tahu bahawa mereka telah diarah untuk memastikan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Apa yang jelas sokongan orang Melayu kepada UMNO sudah kian pudar. Pemilu 1999 lalu,telah menunjukkan gejala ini apabila UMNO tewas banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya. Apakah kekalahan ini menunjukkan orang Melayu sudah tidak gemarkan UMNO lagi atau orang Melayu bencikan Mahathir? Inilah perkiraan yang perlu dihitung oleh Mahathir dan UMNO.

Mahathir dengan bangga mengatakan bahawa orang-orang Melayu sudah mula menyokong UMNO semula dan pilihanraya kecil Sanggang dijadikan indikator untuk mengukur sokongan orang Melayu kepada UMNO. Apa yang berlaku di Sanggang tidak semestinya menunjukkan bahawa orang Melayu telah kembali menyokong UMNO. BN/UMNO dengan jentera pilihanrayanya yang mewah dengan wang ringgit untuk ditaburkan serta pemberian hadiah seperti kain,basikal,baju, pakaian yang disoggokkan kepada rakyat Sanggang untuk meraih sokongan mereka. Rakyat juga ditakut-takutkan dengan pelbagai ugutan,ditambah pula dengan penipuan dalam daftar pemilih maka tidak hairan BN/UMNO boleh menang mudah.

Mahathir perlu juga ingat,arahannya supaya kedua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan telah memberi laluan mudah bagi Mahathir dan Abdullah Badawi untuk mengekalkan kuasa masing-masing untuk tiga tahun akan datang. Siapa yang berani mencabar arahan tersebut ? Tengku Razaleigh yang diura-ura akan bertanding menentang Mahathir atau Abdullah Badawi bagi salah satu jawatan tersebut juga terpaksa berundur macam tikus.

Masalah UMNO bukan kerana ahli UMNO itu tidak mahu bersuara, tetapi tidak boleh bersuara. Ahli-ahli UMNO semuanya menunjukkan kesetiaan macam budak sekolah yang menerima apa saja arahan dan teguran guru mereka. UMNO mengamalkan satu sistem kesetiaan yang memberi imbuhan yang lumayan jika ahli-ahlinya sentiasa taat dan akan dizalimi jika mereka menentang. Apa yang berlaku ke atas DSAI adalah contoh yang paling baik. Ahli UMNO tidak ada pilihan lain,cuma mendiamkan diri dengan menyokong Mahathir secara buta tuli untuk elak daripada dizalimi.

Amalan kesetiaan dalam UMNO menyebabkan ramai ahli-ahlinya begitu taksub kepada pemimpin,hinggakan apa saja pemimpin itu lakukan sama ada baik atau buruk semua bagus belaka bagi mereka. Walaupun ahli-ahli UMNO sedar tentang kes-kes rasuah,skandal seks dan salahguna kuasa yang melibatkan beberapa orang menteri besar dan menteri kerajaan Mahathir seperti Rafidah Aziz,Daim Zainuddin,Mohamad Taib,Rahim Thamby Chik,Megat Jonid dan baru-baru ini perbuatan mencarut oleh Adnan Yaakob dan tindakan samseng oleh Sanusi Jonid,ahli-ahli UMNO masih lagi mendiamkan diri dan memperakui tindakan-tindakan itu.

Ahli-ahli UMNO tahu bahawa UMNO hari ini bukan lagi macam UMNO dulu. UMNO hari ini dicemari dengan budaya rasuah,penipuan,samseng,tamak,gila seks dan gila kuasa. Ahli UMNO juga tahu bahawa sistem kehakiman dan undang-undang negara tidak lagi mengikut amalan perundangan yang lazim. Undang-undang yang diguna pakai hari ini adalah undang-undang Mahathir,kerana sekarang Mahathir yang menentukan siapa yang patut dihukum mengikut amalan pertuduhan secara terpilih. Semua hakim dan jabatan peguam negara adalah dibawah gengaman Mahathir. Mahathir kebal dan bebas dari tindakan undang-undang,sebab itu bila hakim arah Mahathir ke mahkamah Mahathir buat tidak peduli saja.

Ahli UMNO janganlah anggap Mahathir itu kebal dari segala-segalanya. Janganlah mendiamkan diri sedangkan Mahathir,menteri-menterinya dan para kroninya mengeledah hasil negara. Janganlah mendiamkan diri melihat Mahathir merogol sistem perundangan dan kehakiman negara,memperkecilkan peranan sultan serta raja dan cuba meletakkan dirinya atas segala-galanya.

Mahathir hanya pandai bercakap,memperdaya dan mengugut orang Melayu kononnya orang Melayu akan dijajahi semula. Kononnya,pihak pembangkang akan menimbulkan huru hara. Kononnya akan berulang peristewa 13 Mei sekali lagi. Mahathir memang pandai temberang,pandai meyalak di sana sini kononnya dia tahu segala-galanya. Tetapi,bila dicabar menghadapi kebenaran dan keadilan Mahathir lari macam tikus berselindung di bawah ketiak seorang hakim suruhannya.

Inilah pemimpin UMNO yang diagung-agungkan,pembela orang-orang Melayu yang dikatakan mendapat sokongan padu orang Melayu,walhal tidakkah ahli UMNO sekalian sedar bahawa kekalnya BN/UMNO untuk berkuasa semula bukan kerana sokongan padu orang-orang Melayu tetapi hasil bantuan sokongan daripada orang-orang bukan Melayu?

Perhimpunan agung UMNO ini adalah peluang terbaik untuk menyatakan apa yang tersirat dan tersurat. Bincanglah pasal ketidakadilan,kepincangan, salahguna kuasa,isu rasuah dikalangan menteri-menteri dan menteri besar. Kalau Mahathir cuba mengungkit kisah-kisah tentang kes DSAI, para perwakilan harus suruh Mahathir pergi ke mahkamah untuk menceritakannya secara panjang lebar.

Apa saja yang Mahathir bangkitkan dalam persidangan ini perlu dipersoalkan dan pertikaikan kerana setiap tindakan yang Mahathir lakukan itu sememangnya ada agenda tersembunyi di sebaliknya. Mahathir memang pandai berbohong dan suka kelentong,sanggup menitis air mata kononnya mengenang nasib orang-orang Melayu yang miskin. Kalau Mahathir sudah sedar kemisikinan orang-orang Melayu apa yang telah dibuatnya selama 18 tahun dia memerintah?

Tidak guna mendirikan istananya di Putrajaya yang menelan berbiliom ringgit. Mahathir patut gunakan wang tersebut untuk membantu orang-orang Melayu miskin. Mahathir boleh buat sesuatu untuk membantu orang-orang Melayu yang tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi atau membantu dalam menyediakan sistem rawatan kepada pesakit-pesakit yang tidak mampu.

Mahathir juga patut membantu ratusan orang-orang Melayu yang telah melabur dalam saham ASN pertama yang hari ini hanya bernilai tidak sampai 60 sen sesaham. Sebaliknya, Mahathir lebih gemar melancarkan saham amanah yang baru yang mengandungi portfolio syarikat-syarikat kroninya dan harga saham amanah ini melambung naik secara gila-gila. Sedangkan para petani,penoreh getah,tukang kebun,guru sekolah dan kerani yang memiliki saham amanah ASN pertama dulu meratap kesedihan kerana harga sekeping roti canai hari ini adalah lebih mahal lagi daripada harga saham amanah ASN mereka miliki itu.

Mahathir lebih gemar bercakap pasal hendak membina jalanraya yang canggih sedangkan kadar tol meningkat tiap-tiap tahun. Mahathir berminat untuk swastakan hospital supaya anak dan kroninya dapat menikmati kontrak sedangkan rakyat jelata megeluh kesangsaraan kerana bayaran untuk rawatan meningkat. Mahathir lebih berminat hendak meletakkan Malaysia dalam buku Guinness Book of Record sebagai jaguh dan juara dalam hal itu dan ini tetapi soal keadilan,rasuah,penyalahgunaan kuasa dan penderitaan rakyat tidak dipedulikannya.

Sudah tiba masanya untuk para perwakilan bangun dan bersuara tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat,khususnya orang-orang Melayu. Tidak guna menjadi perwakilan kalau hadir dalam Perhimpunan Agung di PWTC hanya sekadar untuk menepuk tangan, menganggokkan kepala,berpantun berjenaka sebagai penglipur lara untuk disiarkan dalam TV1,TV3 dan NTV7.

Tidakkah para perwakilan sedar bahawa selama ini ahli-ahli UMNO semuanya telah digamkan supaya tidak boleh bersuara. Malah hendak datang ke Kuala Lumpur melawat ibukota beberapa hari sebelum perhimpunan agung UMNO bermula juga telah dilarang,yang sudah berada di ibukota dihalau balik. Apa guna jadi ahli kalau hak bersuara disekat dan dihalang ?

Bersuaralah untuk didengar jangan jadi pak turut semata-mata, UMNO mengamalkan sistem demokrasi di mana setiap ahlinya bebas bercakap dan berfikir bukan mengikut demokrasi terpimpin ala Mahathir yang sentiasa menyekat dan melarang ahlinya berfikir dan bersuara. UMNO adalah kepunyaan ahli-ahlinya bukan milik Mahathir.

ALI ALLAH DITTA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com