Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


DARI SANGGANG KE TELUK KEMANG…

Satu lagi pilihanraya kecil berlaku dan kali ini penduduk di kawasan Parlimen Teluk Kemang mula dihujani dengan pelbagai janji dan ganjaran. Pemberian bantuan mangsa JE dibuat secara tergesa-gesa, setelah lebih setahun mereka yang terlibat menunggu pampasannya. Jalan-jalan kampung bertanah merah ditar dan projek-projek untuk faedah rakyat dijanji oleh para menteri dan pembesar UMNO yang terburu-buru turun ke Teluk Kemang dengan harapan pengundi-pengundi di Teluk Kemang akan memilih BN semula.

Sudahkah janji-janji yang dibuat oleh menteri dan pembesar UMNO dan BN semasa pilihanraya kecil di Sanggang dulu telah dilaksanakan? Kini Sanggang tetap Sanggang,satu daerah kecil yang sunyi sepi tidak semeriah ketika musim pilihanraya kecil dulu. Perkara yang sama akan berulang di Teluk Kemang,rakyatnya akan disogokkan dengan berbagai kemewahan termasuk wang ringgit asalkan arus Teluk Kemang tidak mengalir ke tangan Barisan Alternatif.

Bagi Mahathir modus operandinya adalah sama. Semasa pilihanraya kecil Sanggang dulu dia lari ke luar negara. Sekarang ketika kempen pilihanraya kecil Teluk Kemang sedang rancak,Mahathir cabut ke Jepun pula.

Mahathir sepatutnya datang sendiri ke Teluk Kemang untuk menjawab berbagai pertanyaan yang melibatakan rasuah,salahguna kuasa, fitnah,ugutan serta propaganda yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat pada masa ini. Mahathir juga harus menjelaskan kenapa bayaran pampasan JE lewat diberi? Kenapa masalah saham Maika masih menjadi buah mulut kaum India di sini.

Wayang cina yang dimainkan oleh Ling Liong Sik,"sekejap mau,sekejap tak mau" menjadi menteri dan telatah Samy Vellu berhubung dengan skandal saham Maika Telekom sebanyak 120 juta serta tingkahlaku Mahathir yang lari setiap kali berhadapan dengan masalah telah melemahkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN yang begitu bangga dengan cogankata bersih cekap dan amanah itu.

Sesungguhnya kes-kes rasuah,salahguna kuasa dan penipuan begini boleh dibuktikan dengan dokumen-dokumen yang sah,tetapi Mahathir dan menteri-menterinya lebih senang mendiamkan diri daripada menjawab tuduhan-tuduhan tersebut.

Kisah Eusoffe Chin makan angin di New Zealand bersama-sama peguam V.K. Lingam dan kisah peguam negara Mohtar Abdullah dikatakan makan angin di Itali bersama-sama peguam V.K.Lingam dan Vincent Tan,seorang tokoh peniaga yang terkenal telah diketahui oleh masyarakat umum dan gambar-gambarnya dipertontonkan untuk makluman semua,tetapi tidak seorang pun daripada mereka berani tampil untuk menafikannya secara terbuka.

Bila Rais Yatim buat teguran terhadap ketua hakim negara Eusoffe Chin setelah ditanya oleh pengulascara radio ABC, barulah Eusoffe Chin cuba buka mulutnya menafikan bahawa dia pernah pergi bercuti bersama-sama peguam V.K.Lingam dan keluarga. Sebaliknya Eusoffe Chin menegaskan bahawa pertemuan mereka itu adalah secara kebetulan saja,kononnya di zoo,tetapi gambar di atas kapal itu pula pertemuan jenis apa pula?

Kenapa hakim negara Eusoffe Chin terpaksa mengambil masa yang begitu lama untuk menafikan tuduhan-tuduhan tersebut? Kalau dia tahu itu adalah satu fitnah, dia boleh menafikan serta merta kerana dia mempunyai bukti-bukti seperti resit dan tiket kapalterbang yang menunujukkan pemergiannya ke New Zealand adalah tanggungan sendiri. Tindakan Eusoffe Chin untuk menafikan tuduhan pada masa ini setelah begitu lama mendiamkan diri menimbulkan berbagai pertanyaan. Apakah mulutnya telah dikunci oleh Mahathir?

Tindakan mereka ini telah menimbulkan kesangsian masyarakat terhadap kebebasan badan kehakiman. Tambah lagi dalam beberapa keputusan mahkamah berkaitan dengan DSAI yang disampaikan oleh makamah tinggi dan mahkamah rayuan menunjukkan keputusan yang amat berat sebelah,tidak munasabah seolah-olah kerajaan cuba hendak melindung sesuatu dan memperboh-bodohkan rakyatnya.

Kita berharap pengundi-pengundi Telok Kemang akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan bijak dan undi mereka tidak akan dibeli oleh kerajaan BN dengan sehelai kain pelaikat atau sekampit beras atau sekarung gula atau dengan wang tunai RM 100 atas alasan mengwujudkan keamanan dalam negara.

Kemenangan pembangkang di Teluk Kemang tidak bererti kita akan tukar kerajaan. Mahathir tetap menjadi Perdana Menteri,BN masih lagi berkuasa,tetapi kemenangan pembangkang akan menambahkan satu lagi suara rakyat dalam parlimen yang boleh memperjuangkan nasib rakyat daripada tekanan,kezaliman dan penipuan yang dialami oleh rakyat di bawah kerajaan sekarang. Jika kerajaan tidak menghiraukan masalah rakyat,rakyat berhak menolaknya.

Sanggupkah saudara-saudari melihat segala wang ringgit rakyat digunakan Mahathir untuk menyelamatkan anak pinak,suku sakat Mahathir termasuk menteri-menteri dan kroni-kroninya,sedangkan soal rakyat yang miskin diabaikan,soal kenaikan harga barang diketepikan. Bertindaklah sekarang,dari Sanggang ke Teluk Kemang pastikan Barisan Alternatif menang !!

ALI ALLAH DITTA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com