Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


BADAN KEHAKIMAN - ANTARA KEPERCAYAAN ATAU KESANGSIAN ?

Rakyat umumnya menanggap badan kehakiman negara begitu komited sekali dalam melaksanakan hukuman dan undang-undang secara adil dan saksama. Jarang sekali badan kehakiman negara kita dipersoalkan. Sejak sedekad lalu wujudnya kebimbangan terhadap terhakisnya keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman negara kita. Tindakan pemecatan bekas hakim negara Tun Salleh Abas, telah membangkitkan kemarahan rakyat yang menyebabkan rakyat mula ragu akan kebebasan badan kehakiman tersebut.

Sekarang timbul kisah Ketua Hakim Negara Eusoffe Chin yang pergi makan angin di New Zealand bersama-sama peguam V.K. Lingam dan keluarga. Mereka juga dikatakan tinggal disebuah rumah peranginan kepunyaan Vincent Tan,seorang tokoh peniaga yang terkenal. Gambar-gambar percutian ini telah dipertontonkan untuk makluman semua selama dua tahun,tetapi tidak seorang pun daripada mereka berani tampil untuk menafikannya secara terbuka.

Sehinggalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rais Yatim membuat teguran terhadap peristiwa tersebut setelah ditanya oleh pengulascara radio ABC dalam satu temuramah dengannya baru-baru ini. Peristiwa tersebut didiamkan saja,walaupun hampir seluruh rakyat Malaysia mengetahuinya.

Teguran Rais Yatim telah menyebabkan Eusoffe Chin melenting menafikan bahawa dia pernah pergi bercuti bersama-sama peguam V.K.Lingam dan keluarga. Sebaliknya Eusoffe Chin menegaskan bahawa pertemuan mereka di New Zealand adalah secara kebetulan saja.

Kenapa hakim negara Eusoffe Chin terpaksa mengambil masa yang begitu lama untuk menafikan tuduhan-tuduhan tersebut? Kalau dia tahu itu adalah satu fitnah, dia boleh menafikan serta merta kerana dia mempunyai bukti-bukti seperti resit dan tiket kapalterbang yang menunujukkan pemergiannya ke New Zealand adalah tanggungan sendiri. Tindakan Eusoffe Chin untuk menafikan tuduhan pada masa ini setelah begitu lama mendiamkan diri menimbulkan berbagai pertanyaan.

Presiden mahkamah rayuan Lamin Yunos mencela Rais Yatim sambil mengecap Rais Yatim sebagai menteri "hal ehwal kerusi dan meja" dengan berkata "the number one here(bermaksud Eusoff Chin) is above him(bermaksud Rais Yatim)." "Rais was only in charge of the Chief Registrar's Office,and not law." Tambah Lamin Yunos lagi "I suppose when we need tables and chairs or a new court room,we go to him."

Cerita pasal Eusoff Chin tidak berakhir setakat penafiannya dan kini timbul pula cerita baru pula bahawa pemergian Eusof Chin dan V.K.Lingam ke New Zealand telah disiasat oleh sebuah agensi penyiasatan persendirian,Bowman Investigations yang berpusat di United Kingdom.

Mengikut Laporan Bowman ini,Eusoff Chin dan V.K.Lingam telah bertolak ke New Zealand dari Singapura dalam penerbangan yang sama. Begitu juga perjalanan mereka di New Zealand dilakukan melalui penerbangan yang sama. Jelaslah laporan Bowman ini adalah bercanggah dengan kenyataan Eusoff Chin minggu lalu bahawa pertemuannya dengan peguam V.K.Lingam adalah secara kebetulan saja ketika mereka bercuti di New Zealand. Pihak penyiasat Bowman ini telah menunjukkan bukti seperti jadual penerbangan Eusoffe dan V.K.Lingam serta salinan tiket-tiket penerbangan tersebut. Sekarang siapa yang berbohong siapa?

Tindakan mereka ini telah menimbulkan kesangsian masyarakat terhadap kebebasan badan kehakiman. Tambah lagi dalam beberapa keputusan mahkamah berkaitan dengan DSAI yang disampaikan oleh makamah tinggi dan mahkamah rayuan menunjukkan keputusan yang amat berat sebelah,tidak munasabah seolah-olah badan kehakiman tersebut akur dengan kehendak kerajaan dan mereka cuba hendak melindung sesuatu dan memperboh-bodohkan rakyat jelata.

Dalam suasana sekarang rakyat boleh meneka hakim mana yang pro -kerajaan dan anti- kerajaan akibat daripada percaturan yang dimainkan oleh Jabatan Peguam Negara dalam menentukan hakim mana yang patut menghakimi kes mana. Contoh yang jelas ialah kes DSAI di mana hakim yang sepatut menghakimi kes itu diganti dengan tiba-tiba oleh seorang hakim yang baru dilantik menjadi hakim mahkamah tinggi.

Bukan setakat hakim mana menghakimi kes mana tetapi juga peguam mana yang dipilih untuk mewakili siapa. Kalau peguam itu rapat dengan hakim sudah tentu keputusan-keputusan yang dibuat akan menyebelahi anak guam peguam yang rapat dengan hakim tersebut. Dengan itu jelas badan kehakiman sudah berpuak-puak,satu yang meyokong kerajaan dan satu lagi yang menentangnya.

Kalau Eusoff Chin tidak bersalah, Eusoff Chin patut diberi peluang yang sewajarnya untuk membersihkan namanya. Oleh itu,Majlis Peguam telah mencadangkan untuk diwujudkan satu tribunal bagi mengadili kes ini. Masyarakat sentiasa mohon layanan yang adil bagi setiap kesalahan perilaku Eusoff Chin.

Kalau Mahathir boleh bertindak tegas dan membentuk tribunal untuk memecat Salleh Abbas, Mahathir juga patut bentuk satu tribunal untuk mengadili Eusoff Chin. Mahathir tidak sepatutnya melindungi Eusoff Chin, semacam mana Mahathir melindungi kes rasuah Rafidah Aziz, Daim Zainuddin,Rahim Thamby Chik,Mohd.Taib dan Eric Cheah.

Sekembalinya Mahathir dari Jepun,Mahathir telah menyelar tuntutan majlis peguam untuk ditubuhkan sebuah tribunal sebagai satu agenda politik yang bermaksud bagi melaga-lagakan kerajaan dengan hakim-hakim. Kata Mahathir, "I think there is a political agenda behind this,an ill intention to pit the government against the judge so that when the judge is angered,they hope the judge will make a decision detrimental to the government" Mahathir juga menuduh bahawa majlis peguam berhasrat untuk menguasai badan kehakiman dan tindakan majlis tersebut adalah berunsur politik. Jika ianya bermotifkan politik menurut Mahathir,dia tidak perlu tubuh tribunal siasatan.

Tambah Mahathir lagi tindakan majlis peguam untuk memecat ketua hakim negara Eusoff Chin itu, disamakan dengan dengan peristiwa tindakan Mahathir memecat Tun Salleh Abbas pada tahun 1988 dulu. Menurut Mahathir,"if the Bar Council could accuse the government of removing a judge(bermaksud Salleh Abbas) who was unfavourable to the government, the council could now be accused of doing the same(bermaksud bertindak untuk memecat hakim yang tidak seaksi dengan majlis peguam).What's the difference?" Kenyataan Mahathir itu seolah-olah bermaksud kalau dulu majlis peguam boleh kritiknya kerana memecat Salleh Abbas,maka sekarang Mahathir pula berhak untuk kritik majlis peguam yang berhasrat untuk memecat Eusoff Chin.

Apa yang Mahathir lupa ialah Eusoff Chin dan beberapa orang hakim-hakim lain seperti hakim Lamin Yusof dan hakim Mokhtar Sidin telah melibatkan diri dalam beberapa kes yang dibawah oleh peguam V.K Lingam bagi pihak anakguamnya. Keputusan-keputusannya sememangnya menyebelahi peguam V.K.Lingam. Masyarakat tahu bahawa wujudnya perhubungan yang intim antara hakim-hakim ini dengan peguam V.K.Lingam dan ini telah mengugat kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman tersebut.

Masyarakat juga sedar tentang hubungan peguam V.K Lingam dengan Vincent Tan dan hubungan Vincent Tan dengan kerajaan terutamanya Mahathir. Setiap kali kes yang melibatkan Vincent Tan,yang diwakili oleh peguam V.K Lingam akan diadili hakim-hakim yang mempunyai perhubungan rapat dengan peguam V.K.Lingam dan setiap kali peguam V.K Lingan akan menang.

Dalam keadaan begini,macam mana masyarakat tidak meragukan keutuhan badan kehakiman tersebut? Maka tidak hairanlah kes-kes terhadap DSAI,Lim Guan Eng dan Murray Hiebert telah menimbulkan persoalan tentang kebebasan pengadilan yang hingga kini sememangnya berat sebelah,kerana kerajaan dan Mahathir mahukan demikian. Mahathir menguasai polis,jabatan peguam negara dan badan kehakiman maka Mahathir boleh menetukan apa jenis pertuduhan yang patut dikenakan, siapa hakim yang patut mengadilinya dan akhirnya memastikan mereka ini bersalah walaupun bukti-bukti yang diketengahkan oleh pendakwa tidak logik belaka.

Agak menghairankan ialah cara Mahathir menangani masalah Eusoff Chin. Mahathir begitu liat untuk bertindak terhadap Eusoff Chin berbanding dengan kes Salleh Abbas dan DSAI di mana proses siasatan dilakukan dengan begitu pantas sekali. Mahathir cuba sedaya upaya hendak melindungi Eusoff Chin walau dengan apa cara sekalipun daripada dihadapkan ke tribunal penyiasat. Sebaliknya Mahathir menuduh tindakan memalukan Eusoff Chin beragendakan politik dan mungkin kemundian Mahathir akan menuduh adanya campurkan anasir-anasir asing bertujuan untuk memalukan badan kehakiman dan menjatuhkan kerajaannya.

Sedang Eusoff Chin berpeluh-peluh cuba menafikan segala tuduhan,peguam V.K Lingam masih mendiamkan diri. Malang sekali bagi Mahathir dalam usahanya untuk menghapuskan DSAI, konspirasi Mahathir mula terlondeh satu persatu!

Tun Suffian pernah berkata tidak gunanya kerajaan saja yang menunjukkan keyakinan dan kepercayaan terhadap badan kehakiman itu kalau masyarakat umum sendiri tidak lagi mempunyai keyakinan sepenuh terhadapnya. Adalah tidak cukup sekiranya keadilan itu nampak seolah-olah dilaksanakan walhal keadilan tidak pernah dilaksanakan.

Kesangsian Tun Suffian terhadap badan kehakiman jelas terbayang dari ungkapan kata-katanya,"Judges who joined in downing their boss have been rewarded by promotion.Judges who did not have been cowed into silence.Judges are at sixes and sevens.Some dare'nt speak to each other.While there are judges whose integrity and impartiality have never wavered,the public perception is that the judiciary as a whole can no longer be trusted to honour their oath of office. When I am asked what I thought,my usual reply is that I wouldn't like to be tried by today's judges,especially if I am innocent."

ALI ALLAH DITTA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com