Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KEINSAFAN YANG MENDATANG BUKAN DIDORONG NAFSU YANG MEMBAKAR

Seorang rakan datang bertanya kepada saya, bagaimana secara tiba-tiba saya menulis sebanyak ini. Katanya ada LamanWeb yang mempamirkan koleksi saya. Bermakna saya sudah banyak mentulis, dan berurutan pula. Kenapa dalam sebulan dua ini saja bangkitnya ragam begini. Kalau bersebab dari pergolakan Reformasi, tentu saya sudah menulis sejak dari 2 September 1998. Kenapa sekarang – selepas pilihanraya ini?

Saya cuma dapat menjawab pendek, “Saya sudah lama atas pagar berduri. Kini, duri itu sudah mencucuk ke jantung-hati. Sudah tidak tahan lagi”.

Rakan itu bertanya, bagaimana saya boleh membuat keputusan yang begitu drastik?

Lantas saya ceritakan…

Bila tiba masanya, pasti kita akan membuat sesuatu keputusan. Itu adalah satu kebiasaan dalam hidup seseorang manusia. Tidak kira siapa dia – miskin kaya, hina mulia, kecil besar, tua muda, lelaki perempuan, samada ulamak atau penyangak …. Semua!! Kita pasti akan membuat sebarang keputusan untuk diri, keluarga dan masuarakat. Kita akan lakukan sebagai satu urusan yang pasti akan dilakukan. Itu adalah satu tuntutan.

Hari ini, kita berhadapan dengan satu senario yang mewajarkan kita membuat keputusan. Dalam konteks yang lebih luas, kita harus meneliti dan memandang jauh ke hari-hari yang mendatang. Pada hari itu, (sebelum ia datang) – bermula dari hari ini kita harus merancang. Rancanglah, usahakan dan akhir sekali serahkan kepada Allah swt. yang berhak menentukan. Pasti kita akan nampak kesannya!!

Saya katakan lagi :

Saya terimbau rasa dan perasaan dengan keputusan yang buat oleh saudara kita rakyat Kelantan. Kemudian diakhir-akhir ini, kita kehairanan bagaimana rakyat Terengganu juga membuat keputusan yang sehaluan. Tidakkah kita kagum bagaimana mereka nekad dalam hati semasa membuat keputusan?

Kita lihat lagi… rupa-rupa rakyat Kedah, Pahang, Perlis, Perak dan Selangor juga tidak mahu ketinggalan. Tidaklah semacam N. Sembilan, Melaka dan Johor yang seolah-olah masih duduk di kepala simpang. Seakan-akan mereka belum nampak jalan yang terang.

Saya berputar-putar selama 3 bulan yang lalu melihat perkembangan. Bukan itu tugas saya, tetapi adalah wajar bagi saya menilai apa yang sedang berlaku sebelum memutuskan – samada akan terus menetap di rumah yang akan runtuh atau membantu mendirikan tiang balai buat tempat rakyat sekampung berteduh.

Saya akui terang-terang, amatlah malu saya kepada diri sendiri kerana tidak seberani mereka yang menjadi rakyat di Terengganu dan Kelantan, atau negeri yang memberi petanda – sesungguhnya mereka tidak mahu diperkuta-katikkan.

Saya tanya diri saya, bagaimana pula perjuangan saya. Apa saluran yang wajar dan sejauhmana saya akan menang.

Dengan azam dan ilmu yang secebis, tetapi atas desakan semangat yang kental; saya mula merobek kertas meluahkan rasa dan perasaan.

Kadangkala, tengah malam saya terjaga. Saya lihat anak-anak saya terkapai tidur nyenyak menanti hari esok, lusa, tulat dan seterusnya 50, atau 60 tahun lagi (atas umur panjang). Saya pandang diri saya sebagai manusia tempat mereka menumpang.

Saya terfikir, adakah saya dipihak yang benar sekiranya jika masa depan mereka saya abaikan dengan membiarkan mereka hidup dalam kerangka sebuah negara yang ditadbir-kuasa oleh orang lain? Mamapukan mereka berjuang seperti allahyarham Tunku dan rakan-rakan beliau?

Tun Sri Lanang menceritakan bagaimana sejarah bangsa Melayu itu amat gemilang. Tetapi jika negara ini, setelah di Merdekakan, kembali semua diperentah-jajah orang; apakah sifat saya sebagai seorang ayah, seorang manusia yang bertanggungjawab kepada keluarga?

Hematnya, saya tidak perlu lagi menghunus keris atau mengasah parang untuk berjuang menegakkan Kebenaran. Saya cuma perlu menentukan supaya keputusan yang saya buat adalah tepat dan benar-benar memberi nilai dan makna untuk masa depan anak-anak saya yang menanti mentari hari esok.

Saya tulis apa yang terfikir dalam kepada saya waktu itu. Tujuan saya cuma untuk menyelamatkan zuriat saya yang akan datang. Jika selari dengan fikiran orang, marilah sama-sama kita perjuangkan. Rakyat Kelantan dan Terengganu bukan berjuang bersaorangan. Mereka bersatupadu, sepakat-muafakat dan menentang …terus menentang. Akhirnya, UMNO TUMBANG!!

Bagi saya, keadaan sekarang memerlukan satu perobahan yang tidak wajar dibuat secara ‘tampal sana, tempek sini’.

Saya yang sudah sekian lama menganggotai Barisan perdana ini; sudah terlalu lama dan terlalu banyak menahan ragam puak-puak yang makin hari makin rakus perawakan mereka. Jika dibiarkan juga, negara ini akan tergadai ke tangan orang. Bumi mana lagi bagi orang Melayu hendak berpijak? Bagi saya inilah saja. Saya dan zuriat saya lahir di bumi ini, dan mati disini. Saya bukan anak dagang, bila sampai angin berlayar lah saya. Tidak! Tidak!!

Jika kita tidak menyelamatkan tanah tumpah darah kita ini, tidak ada siapa yang akan tampil menyelamatkannya. Jika rakyat Afghan berjuang dengan darah dan nyawa; masalah kita sekarang tidak menuntut kita supaya bertindak seperti rakyat Afghan. Ruang masih luas bagi menetukan apa yang kita mahu. Masakan tergugat kemahuan kita seramai ini oleh sekelompok umat yang sedang disingkirkan.

Hematnya, kita hanya berhadapan dengan satu fenomena yang biasa iaitu perjuangan bagi menegakkan KEADILAN dan menumbangkan KEZALIMAN. Musuh kita bukan manusia, tetapi ialah falsafah yang tidak pernah dihayati oleh mana-mana insan yang berugama dan berwadah. Mustahil kita akan kalah.

Sebenarnya Mahathir dan kuncu-kuncu sedang gentar berhadapan dengan rakyat. Senjata mereka cuma rasuah, ugutan, kuasa, fitnah dan pembohongan. Jika ditakrif dengan mudah, Mahathir dan sekongkolnya bukan saja sedang berbantah-bantah dengan rakyat; malah beliau sedang melawan tuntutan Tuhan seru sekelian alam. Bermakna, Mahathir sedang berperang dengan Rakyat dan Allah swt. Belum ada pun satu makluk dimaya-pada ini pernah menang melawan rakyatnya dan menafikan Tuhannya.

Jadi, keputusan saya amat mudah. Keputusan saya sama seperti saudara kita di Kelantan dan Terangganu, dan negeri lain yang mengkecundangkan puak yang ditentang itu. Selagi nawaitu dan iltizam perjuangan kita adalah menegakkan KEBENARAN, KEADILAN DAN KETELUSAN; lambat lain pasti kita akan menang. Rakyat akan bersama-sama kita.

Bagi saya dan keluarga, saya sudah berada di pihak yang menang. Kerana; saya tidak lagi memihak kepada mereka yang pengecut melakukan perubahan, takut berhadapan dengan kebenaran, lari dari tanggungjawab kepada zuriat kita yang sedang menunggu hari esok…!!

Mungkin ini yang menyebabkan pemimpin UMNO yang ada sekarang masih tergagap-gagap, tekapai-kapai dalam pergelutan untuk membuat keputusan. Jika begitu, pasti mereka akan kecundang jua!!

Biarkanlah. Masanya akan tiba!!

Amin Sapiro
(UMNO Atas Pargar Berduri)



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com