Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

JANGAN SESALKAN KAMI JIKA SUDAH TIBA DIPERSIMPANGAN JALAN

Acapkali saya terpegun mememerhatikan cara anak-anak muda sekarang berjuang. Memang jauh bedanya dari ‘tok nenek’ kita dulu. Jika Hang Tuah dan Hang Nadim berjuang dengan keris ditangan dengan luka-luka dilengan berdarahan; kita kata mereka memang berani. Tetapi perjuangan anak muda kita kini sudah lebih jauh berbeda. Namun, mereka tetap segagah dan gah Tuan dan Nadim.

Perhatikan sekarang, pena dan lidah mereka mampu untuk menggoncang-menggegarkan. Saya melihat mereka adalah seberani umat Bosnia, Kosovo, Afghanistan atau Cechnya. Cuma bezanya, mereka menggunakan akal dan fikiran, minda dan ilmu se zaman. Ini yang harus dipuji sangat-sangat.

Beberapa LamanWeb yang wujud dimaya Siber ini dipenuhi dengan tulisan dan nukilan yang sangat tajam, berkesan dan berani. Jika ini adalah perjuangan, kita tentu bersetuju bahawa mereka sedang berjuang menggunakan senjata terampuh dalam sejarah manusia madani, iaitu “Lidah dan Pena”.

Kita melihat kesan pena Russeau dan Voltaire. Umat Perancis berjaya menegakkan Revolusi Perancis hingga Maharaja Louise XXVl dan isterinya Marie Antoinette terpenggal kepala di mata kapak jilid pemancungan. Sebaik saja kepada mereka terpenggal dan terpelanting dalam jeritan ngeri, bergelombang sorakan rakyat bergemuruh tanda kemenangan.

Itu adalah kemenagan bagi mereka. Itu akhiran sebuahperjuangan – menghukum dan menghapuskan pemimpin yang menzalimi rakyat marhain. Itu cara mereka. Cara Feudal. Ratusan tahun dahulu. Tetapi kita dapat bayangkan.

Kini, tumbuhlah pula satu peradaban baru, iaitu menggunakan cara Russeau, Voltaire dan Boris Pasternak. Anak muda kita menggunaka “pena dan lidah”. Peradaban itu telah menjadi model perjuangan hingga sekarang.

Sebelum Russeau, Voltaire atau Pasternak berjuang, Brutus juga telah berjuang. Dengan meggunakan lidah yang perkasa, beliau telah menyebabkan Julius Ceasar tersadai-bongkang di Parlimen berpuaka orang-orang Roma. Rakyat diluar melaungkan sorak suara perjuangan hingga menggegarkan tembok-tembok pejal kota Rome. Cuma suara cengkerik Mark Anthony yang cuba membela. Akhirnya Anthony juga jadi mangsa keserakahan nafsu sendiri. Itu adalah urutan semangat perjuangan massa….RAKYAT!!

Sebelum Musa Hitam mendengus sumbang mengatakan “Kuasa itu amat mengkhayalan”, rata-rata pemimpin UMNO – khususnya Mahathir Mohammad, Abdullah Bedawi dan kuncu-kuncu sedang berkhayal dengan kekuasaan yang mereka ragut dari rakyat dan Raja-Raja Melayu. Mereka juga adalah lebih Arif. Mereka itulah pencipta kuasa untuk diri mereka.

Kadang-kadang kita tidak percaya bahawaindividu-individu sekekerdil cengkerik di pelusuk ulu di pendalam sana, jika mereka sudah bergelar Ketua UMNO diperingkat Cawangan, khayalan mereka adalah lebih hebat dari Mat Jenin. Dengan kuasa sekelumit yang dimiliki – mereka sewenang-wenangnya me”mat jenin”kan diri masing-masing. Ramai antara mereka yang jatuh dari pohon-pohon yang beranting rapuh setelah menjadi wakil-wakil kepada rakyat.

Ramai mereka yang diamanahkan mewakili rakyat itu dengan sekejapan bertukar diri. Menjadi naga walu tidak lebih sekerdil ular lidi. Atas dorong dan rangsangan nafsu bernama “Kuasa” itu, ramai diantara mereka tidak lagi segan-silu melakukan segala macam MAKSIAT, RASUAH, PENYELEWENGAN, KEZALIMAN, FITNAH, KHIANAT sesama sendiri.

Bukan pula bertujuan memfitnah, tetapi kerana kebenaran yang nyata: Jahanamnya UMNO hari ini adalah bersebab dari itu. Bermula dari “Kepala Ikan” (pinjam kata-kata Leong Sik) hingga ke engsang, dan melorot pula kehujung ekor UMNO telah membusuk-rentung; maka hari UMNO tidak terhidu lagi oleh rakyat banyak.

Betapa tidak? Sirip kiri (WANITA UMNO) dan sirip kanan (PEMUDA UMNO) tidak lagi meletakkan maruah diri dan perjuangan untuk menegakkan kepentingan rakyat untuk mengisi Kemerdekaan orang Melayu yang mengarapkan wadah yang diamanahkan pekuang terdahulu.

Sudah lenyap tiada kesan, telah ditukarganti dengan “Wadah perjuangan menegakkan karenah busuk seorang Dikator”. Kita sudah nampak bagaimana Tajol Rosli membuat kenyataan terbuka bahawa perjuangan beliau cuma untuk “Mahathir”. Itu bukan fitnah. Itulah ucapan beliau.

Aduhai……!! Betapa malangnya nasib orang Melayu. Dimanakah tempat orang Melayu berteduh sekarang? Dimanakah rakyat hendak menumpang!! Apakah amanah mereka sebagai rakyat terhapus begitu mudah dan sepantas itu, cuma dalam tempoh tiga bulan? Mengapa begitu sekali karenah dan sikap pemimpin mereka?

Bertanya kita, dimanakah segala janji-janji mereka yang kununnya akan bekerja untuk menegakkan tanahair, bangsa dan ugama, jika setelah diberi amnah; selancang itu pula mulut mereka bercakap. Makin nampak bahawa perjuangan mereka dalam UMNO hanya untuk menegakkan kuasa seorang “tukang salib” seperti Mahathir yang sudah “berkhayal dengan asyik-ma’syok runtunan Kuasa, Darjat dan Kekayaan”..!!

Malang..! Malang..! Memang malang orang Melayu ini. Setakat ini, orang Melayu cuma tahu berjuang untuk membebaskan negara. Tetapi mereka tidak tahu memelihara KEMERDEKAAN yang dimiliki. Kini bagai dibiarkan terlepas semula dari genggaman. Kepala orang Melayu diinjak dengan tapak kaki oleh se gerombolan pemimpin mereka yang sekongkol beragenda busuk lagi jahat.

Pintu-pintu perjuangan sudah mulai ditutup rapat sewenang-wenangnya oleh mereka yang cemburukan kuasa mereka akan dikecundangkan rakyat. Mulut rakyat sudah disita, tangan mereka dibelenggu, langkah mereka disekat, suara mereka dipenyapkan dan gerak-geri mereka diperhatikan. Saban hari minda mereka diindoktrinasi dengan kata-kata ransangan bohong dan penipuan bontang.

Sejarah UMNO yang dulunya lambang perjuangan bangsa; kini bertukar menjadi “perjuangan demi kepentingan perut” cuma. Jika menganggotai UMNO dan dilantik menjadi memimpin pula; maka harapan mereka yang bergelar pemimpin itu hanya satu, itu: Untuk mencari kekayaan diri!!

Bertanya kita sekarang, apakah UMNO akan memaksa orang Melayu menyukai pemimpin mereka yang tidak berprinsip?

Makin nampak sekarang, “sepuloh jong masuk, namun anjing bercawat juga ekornya”. Begitulah ibaratnya pemimpin UMNO. Tukar dan gantilah mereka dengan 1000 yang lain; namun UMNO tetap membudayakan ragam UMNO. Paling kurang, umpama anjing-anjing yang diajar makan taik, jika tak makan sekalipun – paling kurang dihidu juga!!

Peribahasa Melayu yang disebutkan itu ada kebenarannya. Telah berkali didulang-ulang. Sudah hampir 40 tahun. Berkata seorang dari mereka bagai pendita, kununnya “Kuasa itu adalah mengkhayalkan!!”. Itu pandangan pemimpin UMNO sendiri. Bukan Fitnah yang dirancang!! Rakyat tahu dan makin nampak terang. Mungkin beliau termakan cili dan sedang kedasan!!

Tetapi kita peingatkan beliau, “Hanya pemimpin yang dari puak UMNO saja yang berkhayal dan terpukau dengan ‘kuasa’..!!” Punca yang jelas, mereka sudah hilang panduan dan tidak tahu arah-tuju dan pedoman!!

Berbeza sekarang dengan pemimpin yang mengambil iktibar dan panduan dari jejak-jejak yang diamanahkan oleh para Rasul-Rasul.

Kita imbau seluruh pemimpin UMNO ke Kelantan dan ke Terengganu. Silalah bertandang kesana. Sila bertemu muka dan berbicara dengan pemimpin mereka. Pati kita akan nampak satu perbezaan yang amat ketara. Rakyat bebas bagai unggas berterbangan. Bila tiba waktu dan ketika, mereka berkumpul dan mengerjakan suruhan Allah yang Maha Esa. Mereka perbetulkan pedoman diri. Kemudian mereka berterbangan semula mencari nafkah dengan nawaitu yang satu – iaitu mencari keredhaan Allah.

Jika dalam 10 tahun yang lalu mereka berjuang menentukan pemerentahan, kini makin nampak betapa nikmat hasil perjuangan mereka yang serba luhur dengan nawaitu pemimpin yang beramanah. Tidak ada kecurangan yang berlaku. Tidak ada syak wasangka dalam hati. Tidak ada rungutan rakyat yang tidak didengari oleh pemimpin mereka – akan ditasi secara bersama.

Ibarat Pepatah Melayu yang kerap didengar: “Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Begitulah cara antara pemimpin dan rakyat berinteraksi sesama sendiri. Antara pemimpin dan rakyat, tenaga mereka dipadukan demi kesejahteraan bersama.

Bagi mereka, telah dipersetujui bahawa ugama dan politik tidak terpisah. Tidak mungkin dipisahkan. Jika terpisah dan dipisahkan, maka politik akan berobah sifat umpama “terlayang-layang bagai bulu sehelai”. Jika tidak ada panduan, maka hawa nafsu pasti akan menguasai hati pemimpin. Dengan itu, rakyat juga yang akan jadi korban. Itulah dia cara UMNO. Itulah falsafah pemimpin yang memimpin UMNO sekarang. Bagi mereka tidak ada lagi halangan dan pantang larang. Membujur lalu melintang patah. Biar semua punah ranah. Persetan semua!!

Padan jugalah UMNO sekarang sanggup memperakukan Kezaliman dan Penganiayaan. Itulah contoh pemimpin umat yang memisahkan siasah dengan ugama. Itulah contoh yang berlaku di Barat kesan dari pengaruh Yahudi yang amat licik dan pintar.

Mungkin UMNO sekarang bukan milik orang Melayu lagi. Cuma pada mukanya saja orang Melayu yang memimpin, tetapi didasar hati masing-masing tercorak “isma” disebut sebagai “Alaf baru” yang bakal mewujudkan identiti “Melayu Baru”. Malangnya, Melayu Baru yang bakal dilahirkan oleh puak UMNO adalah generasi yang bertentangan dengan amanah Firman dan Sunnah. Seolah-olah, Al-Quran sudah terpadam. Itulah kesan dari memisahkan Ugama dari Politik.

Jika itu yang mereka lakukan, kini sampailah masanya orang Melayu kembali ke pangkal jalan untuk mencari simpang jalan yang luas terbentang. Jika kita masih berkhayal dan dilalikan, mungkin dalam waktu yang terdekat, orang Melayu akan jadi penumpang di tanahair sendiri.

Jika itu pegangan kalian, teruskanlah perjalanan mu. Pemimpin kalian hak kalian. Kami akan memisahkan diri dari kamu. Jika kami mencari jalan sendiri, nak salahkan siapa?

Amin Sapiro
(UMNO Atas Pargar Berduri)



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com