Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

TIDAKKAH KITA DILAHIRKAN SEBAGAI INSAN YANG BERAKAL DAN BERWADAH?

Rakyat Negeri Melaka tercengang hairan, apa dosa mereka sebagai penyokong UMNO/BN yang telah meletakkan parti itu sebagai pemerentah walau tanpa pembangkang dalam Kerajaan?

Dengan keluarnya arahan membatalkan kontrak tenaga profesional yang diambil Kerajaan UMNO/BN (perkhidmatan mereka secara kontrak) oleh kerajaan Negeri Melaka, dan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri menyokong tindakan itu sebagai ‘patut dan selaras dengan hak kerajaan Negeri itu’ (kerana tenaga profesional itu menyokong parti Pembangkang); makin nampak kepada rakyat Melaka (dan juga rakyat negeri lain dalam Malaysia) bahawa falsafah pentadbiran Kerajaan UMNO/BN sudah terang-terang “meletakkan pertelingkahan politik sesama mereka mengatasi kepentingan rakyat”.

Semario Khidmat Perubatan

Khidmat tenaga perubatan profesional – khusunya seperti doktor, adalah antara perkhidmatan kerajaan yang terpenting dalam negara membangun seperti Malaysia. Kerana majoriti rakyat tidak mampu (kerana kerajaan UMNO/BN gagal meningkatkan taraf pendapatan rakyat) membayar perkhidmatan perubatan yang tinggi di hospital-hospital yang diswastakan; kadar purata khidmat seorang doktor kerajaan dengan jumlah rakyat di negara ini amat jauh berbeda dengan kadar di negara maju.

Bermakna, dalam perkhidmatan perubatan kerajaan di hospital-hospital kerajaan, doktor-doktor kerajaan yang berkhidmat sepenuhmasa di hospital kerajaan tidak mencukupi. Dengan itu, khidmat dari tenaga doktor swasta yang diambil berkhidmat secara kontrak sangat-sangat diperlukan bagi menampung keperluan rakyat yang kian bertambah dengan drastik.

Kerana jumlah doktor-doktor Kerajaan itu masih tidak mencukupi (walaupun dengan bantuan khidmat kontrak doktor swasta tempatan), maka Kerajaan telah mengambil khidmat doktor negara-negara luar untuk menampung keperluan rakyat yang semakin meningkat itu. Itu senario rengkas.

Wajarkah Rakyat Menerima Padah

Sekarang timbul persoalan: Apakah kerana pertelingkahan sesama parti politik, maka parti yang menerajui Kerajaan (Kerajaan pimpinan UMNO/BN) menganggap sebagai berhak membelakangkan kepentingan rakyat dengan membatalkan kontrak perkhidmatan doktor-doktor swasta (rakyat tempatan) dengan kerajaan – semata-mata kerana mereka menyebelahi Pembangkang?

Apakah dalam sebuah negara demokrasi yang memperakukan kebebasan rakyat berpolitik dan memilih kerajaan wajarkah “membalas dendam” kepada parti lawan hingga rakyat harus menerima padah dan dijadikan korban?

Bagi rakyat, masalah percakaran politik sesama parti politik tidak ada kaitan dengan tuntutan dan hak mereka sebagai rakyat. Apa yang berlaku dan apa jua keputusan pilihanraya itu adalah selari dengan perakuan dan peruntukan Perlembagaan.

Begitu juga perkhidmatan dalam bidang-bidang khidmat yang lain seperti bantuan pelajaran (eg. buku-buku teks, biasiswa, tenaga pengajar, dll), khidmat utilities (eg. bekalan air, letrik, perhubungan, pembinaan jalanraya, pembersihan bandar, dll) – kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyelaraskan khuidmat dengan sempurna tanpa membezakan kecenderungan parti dan faham politik individu yang memberi khidmat atau yang diberi perkhidmatan; mengapa mesti wujud sebarang diskriminasi keatas rakyat?

Penafian Hak Rakyat

Arahan terbaru Kerajaan Negeri Melaka yang dipersetujui oleh Mahathir (sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan BN) itu, mengimbau kita sebagai rakyat untuk bertanya kepada diri kita sendiri: Apakah dalam sebuah masyarakat yang merdeka dan demokratik seperti negara kita; hak dan kepentingan rakyat sudah menjadi perkara No.2 oleh Kerajaan yang mentadbir semata-mata kerana mereka rasa kecundang?

Adakah Parti yang diamanahkan menerajui kerajaan yang telah dipilih oleh majoriti rakyat dan telah melafazkan sumpah dihadapan DYMM Yang Di Pertuan Agung untuk berkhidmat kepada tanahair, bangsa dan ugama; tiba-tiba telah melupakan tanggungjawab mereka dengan menafikan khidmat mereka kepada rakyat kesan dari percangahan politik sesama mereka?

Adakah mereka yang menerajui kerajaan itu masih diiktiraf sebagai peneraju Kerajaan yang beramanah jika dalam tempoh 3 bulan mereka telah mengambil sikap mengharu-birukan rakyat dengan pelbagai karenah hingga rakyat jadi korban; semata-mata kerana mereka terus-menerus bersengkita sesama parti dan mengatur agenda semata-mata kerana memuas hati untuk “membalas dendam”? Apakah rakyat harus menerima kesan dendam kereka?

Rakyat Sudah Tahu Menilai

Sebagai rakyat yang berpendidikan, matang dalam sebuah masyarakat yang terbuka; kita sentiasa menilai sesebuah parti yang menerajui Kerajaan itu berasaskan kepada khidmat kelompok mereka dalam menilai diri kita (sebagai rakyat), hak kita, keperluan kita dan sejauhmana hak-hak kita dilindungi dan dianggap bermaruah dan berdaulat.

Kerajaan yang memerentah perlu memperakukan hak-hak asasi kita sebagai rakyat dan status kita sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka. Jika faktor-faktor itu tidak dijadikan perkara utama oleh parti politik terbabit, pasti kita sebagai rakyat yang dilindungi Perlembagaan akan merasa diri kita umpama dijajah semula. Jika itu berlaku, bermakna kita sudah tersilap besar memilih dan mendukung sebuah parti untuk menerajui Kerajaan yang hanya dan cuma mementingkan hak diri dan kelompok pemimpin sesama mereka semata-mata. Dalam waktu yang sama, mereka bersikap angkuh dengan kuasa yang diamanahkan dengan tidak memperakukan hak kita yang melantik mereka sebagai pemimpin dan peneraju Kerajaan.

Hakikat itu adalah persoalan pokok yang wajar dipertimbangkan oleh sebarang parti politik yang bercita-cita menerajui Kerajaan – tidak kira UMNO/BN atau Barisan Alternatif. Tetapi apa yang jelas sekarang, Kerajaan Melaka (khusunya) dan Kerajaan Pusat (amnya) dibawah UMNO/BN telah sewenang-wenangnya menafikan hak rakyat dengan membatalkan kontrak perkhidmatan tenaga perlu itu tanpa menimbangkan impliksi jangkapanjang kepada kesejahteraan rakyat umum dan kebebasan rakyat berpolitik dan memilih.

Bukan saja rakyat Negeri Melaka sendiri tertanya-tanya, malah rakyat di negeri lain juga akan menyoal. Jika dalam Pilihanraya ke-10, rakyat Negeri Melaka telah memberi sokongan penuh dan total kepada UMNO/BN hingga negeri itu 100% dikuasai oleh UMNO/BN; apakah justifikasi tindakan kerajaan Negeri Melaka seburuk itu terhadap rakyat Negeri Melaka?

Dengan tindakan Kerajaan Melaka itu , kita dapat membayangkan apakah agenda buruk dan busuk yang tersedia oleh Kerajaan UMNO/BN terhadap rakyat Terengganu dan Kelantan (yang dikuasai BA/PAS?), atau Kedah, Perlis dan Pahang yang telah menggugat kekuatan UMNO/BN di negeri-negeri tersebut.

Walaupun setakat ini kita belum dengar sebarang tindakan oleh MB-MB di negeri lain, tetapi perakuan Dr. Mahathir yang telah merestui dan bersetuju dengan tindakan Ketua Menteri Melaka itu, pasti akan dijadikan “signal” yang menghalalkan tindakan yang sejejar untuk ikutan MB-MB di negeri lain. Ini diyakini akan berlaku kerana sifat semua MB-MB dan Ketua Menteri UMNO/BN adalah seperti “pondan” yang tidak mempunyai prinsip dan pendirian sendiri yang memungkinkan mereka membantah sebarang arahan Dr. Mahathir!!

Jangan Kesal Nanti

Jika perkara seumpama ini dilakukan oleh Kerajaan pimpinan UMNO/BN, jangan sekali-kali rakyat dipersalahkan sekiranya parti Pembangkang akan lebih hebat mengkritik gelagat “balas dendam” UMNO/BN terhadap rakyat.

Apakah Dr. Mahathir dan UMNO/BN akan hanya berfungsi dengan baik sekiranya Dr. Mahathir dan UMNO/BN memerentah negara ini tanpa Pembangkang 100% (Totalitarian) baharulah rakyat akan diberi khidmat penuh dan sempurna?

Selagi negara ini mengamal demokrasi dengan Perlembagaan yang sedia ada, sekiranya rakyat memberi riaksi memperkuat sokongan terhadap Pembangkang (yang telah menunjukkan daya kematangan dan rasional yang lebih tinggi berbanding pemimpin UMNO/BN) dengan lebih hebat dari masa-masa sebelum ini; sekiranya Kerajaan UMNO/BN tumbang – maka itu bukan lagi satu perkara yang wajar dikesalkan oleh seluruh kepimpinan UMNO/BN.

Mahathir dan pemimpin UMNO/BN harus faham bahawa sesebuah kerajaan yang mengugut dan menzalimi rakyat tidak akan lama bertahan. Sejarah telah membuktikan, dan Firman dan Sunnah juga telah memberi kepastian yang luhur lagi benar. Seandainya UMNO/BN menafikan “kebenaran” itu, bermakna kepimpinan UMNO/BN sendiri sedang mencipta episod duka yang pasti akan mengheret mereka menuju kehancuran diri bersebab dari penentangan mereka terhadap “kebenaran” hakiki itu.

Rakyat tidak peduli siapa Mahathir, UMNO, MCA, MIC atau GERAKAN dll. Jika Mahahthir mampu menguasai pemimpin dalam kelompoknya dengan pelbagai cara dan peraturan yang memperkuatkan kedudukan beliau; tidak bermakna rakyat tertakluk dengan kehebatan beliau (Mahathir), mereka (pemimpin sekongkol) sebuah Barisan (UMNO/BN); walau sehebat mana…!!

Bagi rakyat, kedudukan majoriti UMNO/BN di Parlimen tidak bermakna wakil-wakil mereka harus sekongkol hingga memperakukan sesuatu yang bertentangan dengan tuntutan rakyat. Jika persekongkolan mereka itu berterusan seperti yang sudah-sudah dengan tujuan menafikan kepentingan rakyat banyak dan mengutamakan kepentingan kelompok mereka; lambat-laun parti yang bersikap Zalim dan menafikan Keadilan itu pasti akan ditumbangkan oleh rakyat.

Itu adalah hukum alam dan tabii manusia sejagat yang berakal dan berwadah!! Sesungguhnya RAKYAT tidak akan mengalah lagi. Makin hebat tuntutan REFORMASI rakyat!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO Atas Pagar Berduri,
zuriat Melayu-Bugis Nusantara)



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com