Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

SANGGANG : HILANG CERAH – KINI MENDUNG PULA MENDATANG..!!

KEHANGATAN suasana rioh Pilihanraya Kecil di Sanggang telah berlalu beberapa hari dulu. Kini rakyat Sanggang kembali menghadapi hidup biasa setelah dikhayalkan oleh suasana yang mengangkat mereka seperti raja-sehari.

UMNO/BN Menipu Licik

Beberapa hari dulu mereka diangkat setinggi langit. Jika mereka tidak berkampit beras, pasti ada orang UMNO yang bermurah hati menghantar ke dapur. Jika mereka tidak berwang, ada pihak yang akan menghulurkan. Kalau nak minum kopi susu pekat, silakan saja duduk dibangku warung – sebut saja nama diri penyokong UMNO, pasti 10 cawan akan dihidang. Makanlah…!! Ini hidangan dari kepuk duit UMNO yang sangat pemurah dan penyayang!!

Ada pula yang begitu murah hati menghadiahkan kain batik dan kain pelikat hingga ke celana dalam. Semua dihulurkan dengan sebuah harapan – “Tolong jangan lupa, undi calun UMNO/BN, ya!! Kita akan bawa Pembangunan untuk seluruh rakyat Sanggang!!”. Kata-kata itu di-ualang-ulang. Sungguh-sungguh mengadungi harapan!!

Janji UMNO/BN lebih manis dari madu-manisan. Jika selama ini rakyat Sanggang dianggap seperti ‘kucing kurap’; tetapi beberapa hari dulu, hampir semua kepala UMNO dan BN dari seluruh negara datang ke Sanggang. Berbagai-bagai acara dilaksanakan secara tiba-tiba. Berbagai-bagai janji yang muluk-muluk ditabur – umpama dunia ini akan runtuh kiamat jika wakil UMNO/BN tidak dipilih menerajui Sanggang.

Nama-nama hebat seperti Tun Razak disebut diulang-ulang. Hingga menggelatar roh allahyarham di alam Barzah. Dikaitkanlah, betapa hebatnya sumbangan UMNO/BN kepada rakyat selama 40 tahun silam. Semuanya disebut kecuali yang tidak disebut cuma satu iaitu: betapa besarnya tipu helah Mahathir dan segelintir pemimpin UMNO “Baru” yang sedang merancang memusnah kekayaan negara dan mengikis setiap sen harta rakyat demi kepentingan tembolok pemimpin UMNO/BN yang berdendam rakus!!

Janji Tinggal Janji

Sesudah beberapa hari berlalu, beberapa orang memaklumkan bahawa janji-janji UMNO seperti pemberian tanah, pembinaan sekolah dengan peruntukan RM50 juta, pembinaan jalan besar yang menelan puluhan juta; secara diam-diam diketahui tidak akan dilaksanakan.

Biasiswa anak-anak yang dijanjikan hanya bagi sekerat berdua saja yang akan diberikan. Hadiah “Haji UMNO” diberi alasan bahawa kerajaan Mahathir menunggu jika Kerajaan Saudi bermurah hati mengurniakan kepada warga Malaysia. Dan …dan…dengan puluhan “dan” lagi!!

Bila ditanya dan dituntut segala janji dalam kempen dulu, pegawai di jabatan terbababit dan berkenaan kini sudah tidak nampak muka hidung. Kununnya, mereka sedang bermesyuarat bagaimana jawapan yang sewajarnya diberi kepada rakyat yang menuntut janji. Maka terdengar desas-desus menyebut bahawa “peruntukan kerajaan masih lagi belum diluluskan, mungkin setahun dua lagi bila ekonomi pulih…..Bla…bla…bla…!!”

Nah …. sekarang orang Sanggang mulai saling berpandangan. Tanah yang dijanjikan kepada mereka akan hanya diberi dengan syarat mereka harus membayar dengan harga pasaran.

Berkata seorang dari pegawai yang bertugas, “Kerajaan UMNO/BN tidak pernah berjanji akan memberi tanah itu secara percuma. Sebagai dsar Kerajaan, swtiap bidang tanah kerajaan yang diagih kepada rakyat memerlukan sejumlah bayaran. Jika mampu membayar boleh memohon untuk dipertimbangkan – jika tidak alamat ‘meloponglah’ kalian……!!” Itu pun jika mendapat kelulusan.

Itu lah! Itu lah janji Kerajaan UMNO/BN!! Mereka sudah mula memutarbelit kenyataan mereka. Muka Abdullah Bedawi sudah hilang. Abdullah sedang pening kepala kerana kesebokan memikirkan bagaimana Perhimpunan Mei 2000 yang harus dirancang supaya agenda menipu 2500 delegasi seluruh negara diuruskan sebaik mungkin.

Kini, soal Sanggang tidak perlu lagi difikirkan. Itu bukan soal negara, itu isu tempatan yang harus ditanngani oleh Adnan Yakob dan wakil rakyat yang baru dilantik. Bagi pemimpinn UMNO/BN, Sanggang adalah bahan sejarah silam – walau baru 3 hari beralu!!

Menangis Tak Berlagu

Aduhai sayangggggg…!! Menyanyilah mereka sambil harapan tinggal harapan. Pada firasat mereka dulu, jika Timbalan Perdana Menteri yang berjanji; mustahil Adnan Yakob akan berani buat-buat lupa. Tapi nampaknya makin itu makin mudah Pejabat MB memberi alasan…

”Pergilah ke Kuala Lumpur, sebab yang berjanji kan Dollah Bedawi? Kami orang Pahang – orang kecil..!!”. kata seorang pegawai yang dilatih memberi jawapan.

Makin tercengang mereka yang mendengar. Nak diikutkan marah hati, Adnan Yakob adalah ‘samseng garang’. Silap-silap bercakap dengan beliau, mereka yang datang akan dihalau macam binatang…..!!” Malang….malang… !! Sungguh malang!!

Hari ini, selepas 3 hari UMNO/BN meraih kemenangan, mereka baharu insaf bahawa mereka sudah tertipu bontang. Rupa-rupanya mereka jadi patung mainan. Mereka cuma menjadi perkakas untuk digunakan oleh UMNO/BN untuk meraih kemenangan. Jika mereka tahu begini jadinya, tidak lah mereka terpukau dengan hadiah kain batik dan kain pelikat dan sehelai celana dalam. Amat malu mereka kepada diri sendiri.

Apa Yang Dibanggakan UMNO sekarang?

Kini, apa yang disebut Mahathir dan seluruh pemimpin UMNO ialah kehebatan UMNO/BN. Kata Mahathir, “kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Sanggang semalam adalah hasil kesedaran di kalangan pengundi bahawa BN masih lagi parti terbaik”.

Berkali Mahathir menyebut dengan nada riak bahawa “rakyat kini sudah tidak terpengaruh dengan emosi yang dicetuskan oleh pihak pembangkang termasuk isu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianiaya”.

Menggeleng beberapa orang dari mereka yang tertipu itu dengan bujuk rayu dulu bahawa “kemenangan UMNO/BN di Sanggang dipergunakan oleh UMNO dan kepimpinan mereka untuk berlaku lebih zalim dengan ego mendadak bahawa UMNO boleh buat apa mereka suka sekarang. Amanah rakyat telah diputarbelit seburuh itu”.

Tetapi sesal dulu pendapatan, dan sesal kemudian tidak berguna lagi. Mereka sekarang jadi bahan mainan yang cuma membangga pemimpin UMNO/BN semata-mata. Hidup mereka kembali kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Redzwan Harun, Wakil rakyat BN yang baru tidak nampak muka hidung lagi. Khabarnya sedang memcari kaki untuk mengganti kereta usangnya dengan sebuah kereta Mercedez baru. Itu adalah acara pertama sebagai wakil rakyat UMNO didalam BN. Satu kelumrahan. Selepas ini, rancangan selanjutnya ialah melantik beberapa kroni untuk merebut kekayaan. Dan dipenghujung tahun, beliau akan bergelar “Datuk”. Bagaimana pula nasib orang Sanggang? Ditakuk lama juga!!

Pembangkang Bukannya PAS/BA

Baru mereka sedar bahawa Pembangkang itu bukannya PAS/BA. Kerana, dari apa yang mereka dengar, rakyat Kelantan dan Terengganu sekarang tidak sesulit itu memohon sesuatu dari kerajaan yang beramanah itu. Rakyat tidak lagi memikirkan politik. Mereka sekarang memikirkan bagaimana hendak memajukan kampung halaman, memberi pelajaran kepada anak-anak dan merancang hidup dengan bantuan Kerajaan yang mereka pilih.

Mungkin pada tahun 2004, bukan hanya Sanggang yang harus diserahkan kepada PAS/BA, tetapi seluruh Pahang wajib diterajui oleh parti yang telus dan bermanah dengan janji. Persetankan kain batik, beras 5 kilo dan RM50 yang dirasuahkan oleh jongos-jongos UMNO dan BN yang penipu, pembohong dan khianat……!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com