Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

MAKIN LAMA UMNO INI MAKIN REMEH MENGADA-NGADA!!

Orang Melayu hari ini tidak mau lagi berbincang atas perkara-perkara yang remeh-temeh. Walau di warung atau dimana-mana, makin berbincang pelbagai perkara yang saban hari makin menekan kebebasan mereka. Zaman orang Melayu berremeh-temah sudah tamat tempoh. Dulu bolehlah merengek macam bayi lapar susu. Kini bayi itu sudah sepatutnya besar panjang. “Udah kering lampin, tak lagi hingusan!!” kata orang Perak. Gusi dah tumbuh gigi – 32 batang, dengan taring makin panjang!!

Belum Matang

Malangnya, masih ada bayi-bayi “overaged” dalam deretan pemimpin puak UMNO yang bertele-tele macam budak-budak yang kencing dalam celana. Kadang-kadang makin merimaskan karenah mereka. Rakyat terang-terang bersemangat untuk bertindak dan berusaha gigih memajukan negara ini ke alaf baru yang mencabar. Malangnya pemimpin yang mentadbir bercakaran sesama sendiri. Keadaan malapetaka yang timbul semata-mata kerana mereka terlampau rakus mahu berkuasa.

Bagi mereka kuasa itu adalah punca yang akan menghalalkan mereka berlaku rakus mengisi tembolok tanpa memikirkan kesan akibahnya kepada rakyat jelata. Bagi mereka, hilang kuasa hidup mereka akan menderita. Puncanya, mereka sudah terlampau dalam tertimbus dalam lumpur rasuah dan salahguna kuasa yang pasti akan mengheret mereka ke mahkamah rakyat!!

Mahathir sendiri adalah Perdana Menteri paling dayus dalam banyak-banyak pemimpin dunia. Beliau tanpa segan-malu menggunakan sebarang ruang undang-undang untuk mewujudkan kekebalan “palsu” keatas dirinya. Walhal, tindakan beliau adaah mengancam dan menggugat hak asasi manusia dan kewibawaan undang-undang. Inikah pemimpin yang diagung-agungkan UMNO untuk diserahkan kepada rakyat?

Balas-dendam Satu Perjuangan UMNO?

Makin nampak kepada rakyat dan dunia bahawa pemimpin UMNO/BN makin menjadi-jadi mengambil sikap membalas dendam. Malangnya, yang didendami itu adalah rakyat. Umpama sebuah rumahtangga yang tidak tenteram, pertengkaran suami-isteri menyebabkan kesejahteraan anak-anak yang terancam. Apakah rakyat sudah tersilap pilih parti yang kununnya paling unggul untuk mentadbir rakyat dan negara ini?

Apa yang rakyat lihat sekarang, UMNO makin bercakaran sesama sendiri. Percakaran mereka kian tidak nampak berkesudahan. Bagaimana mereka mampu menangani 1001 macam masalah negara?

Adalah wajar mereka memandang kedalam diri mereka sendiri, apakah mereka yang bergelar pemimpin berjawatan kerajaan itu betul-betul matang dan ada kaliber?

Kalau mereka dari golongan bertaraf ketua Cawangan, tak ada orang nak pandang sebelah mata. Tapi kalau dah jadi Ketua Menteri, Menteri Besar, Menteri Kabinet pun nak macam budak-budak perlu ditimang-timang, bagaimana??!!

Kita seringkali melihat negara asing, bagaimana pemimpin mereka bersikap tegas, berwibawa dan berkesanggupan memikul tanggungjawab, berhadapan dengan kenyataan. Kita ingin juga pemimpin kita bersikap begitu. Paling kurang kita akan dapat nama.

Teringat kita, DS Anwar sekian tahun dipurukkan dalam penjara. Hari ini diaibkan, difitnah dan dicela pula. Tapi orang tak nampak dia mendengus dan meremeh-remeh macam anak lapar susu. Dia teguh menegakkan prinsip diri. Baginya – tiap-tiap perjuangan memerlukan pengorbanan.

Bandingka Mahathir? Kita rasa amat keciwa bila ada pemimpin yang cari jalan keluar dengan mudah. Mahathir Mohammad pakai perisai kebal tak mau diheret ke mahkamah. Macam-macamlah olah-karenahnya. Kalau kita rasa bosan memang dah sudah. Tapi kini dah naik malu bila berhadapan dengan orang asing bila kita ditanya, “Hei..kenapa masih dilantik PM macam itu lagi? Mana kepala hotak anda..!!”.

Bandingkan pula si Zahid Hamidi. Belum sempat tukang ugut tanggalkan celananya, kencingnya sudah mendidih, melorot membasahi pesak seluar!! Murad pun begitu – sekarang sudah ‘cabut’ entah kemana!!

Aduhai…MALU rasa muka ini. Tebal macam belulang kering. Malangnya, orang luar tidak tahu majoriti orang Melayu sudah lama menyingkirkan Mahathir dan UMNOnya dari lubuk hati ini. Tapi masakan mereka tahu, sebab Mahathir sentiasa mengakui bahawa “UMNO adalah parti orang Melayu”!! Maka kita yang jadi orang Melayu dan penganut Islam turut terseksa dimalukan kerana menjadi orang Melayu – semata-mata UMNO sudah tidak macam parti “Manusia”..!! Terlalu hina. Busuk. Zalim. Korap. Segala macam penghinaan ditempekkan kepadanya!!

Ali Rustam – “Budak Gila”?

Pada mulanya kita fikirkan Ali Rustam akan bersyukur kerana setelah 10 kali ulang membilang undi, baru dia diistiharkan “menang”. Pada mulanya beliau lingkop habis hancur, kalah kecundang undinya meleset langsung tak menang. Sesudah bertengkar dan ada pula peti yang kununnya belum dikira, barulah dia dikira menang. Mungkin ada ‘pelesit-jembalang’ dalam peti undi itu yang duduk berconggok melukis tanda (X) atas perakuan SPR.

Tapi, yang kita paling sakit hati sekarang, tak satu-satu penyakit yang dijangkitkan kepada rakyat massa. Tahulah kita yang lepas-lepas apa dianya. Tapi yang terbaru ini memang melanggar Perlembagaan Negara. Masakan tidak!! Mana dalam Perlembagaan yang menyekat mana-mana rakyat untuk hilir mudik melawat mana negeri di Semenanjung ini?

Dulu zaman Melaka dibawah Portugis, Belanda dan Inggeris, Kerajaan Penjajah itu tak sekat orang Melaka pergi kemana-mana. Cuba si Ali tu rujuk Hikayat Munsi Abdullah, beliau pergi ke negeri Pantai Timor – Stamford Raffles tak tegah!! Tak larang. Habis kenapa zaman UMNO memerentah ada undang-undang lebih ketat dari Penjajah? Remeh, kan?

Kita hairan, apa sebab sebuah replika “Tembok Berlin” didirikan oleh puak UMNO disempadan Terengganu dan Kelantan bagi menyekat orang Melaka jangan menyeberang? Kalau zaman emperor Cina mendiri tembok panjang 1000 batu merentas benua; kita nampaklah manasabahnya.

Begitu juga, kalau kota Melaka didirikan Portugas untuk menyekat orang Melaka menyerang soldadu Portugis yang melakukan maksiat didalamnya, memang ada logiknya!

Yang kita tahu, tembok Berlin didirikan supaya kominis tidak melihat kemajuan yang dibawa oleh negara demokrasi disebalik tembok itu.

Bebal Pengetahuan Mengenai Perlembagaan Negara?

Mungkinkah sekarang Ali Rustam dan UMNO sedang mengadaptasi teori “segregation” ala Kominis Russia? Mahathir adalah antara mereka yang terang-terang sedungu-dungu manusia memperakukan tindakan Ali itu sebagai wajar. Mungkin juga Mahathir sendiri yang punya angkara!! Jika tidak mustahil begitu berdegil-degil Mahathir memperakukan tindakan Ali Rustam sebagai ‘berpatutan’.

Perbualan saya dengan seorang peguam berilmu mahir dalam Perlembagaan Negara menjelaskan, ketiga-tiga arahan, tindakan dan perbuatan Ali Rustam selama ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Perlembagaan Negara terang-terang menjamin kebebasan rakyat. Kebebasan adalah sebagai hak asasi yang memberi hak-hak tertentu yang tidak boleh digugat oleh sebarang parti politik dan pentadbir di negara ini. Itu adalah ‘essence’ demokrasi yang teras, dan ia terang-terang terkandung dalam Perlembagaan.

Dalam perbualan rengkas kami, antara perkara yang disebut oleh beliau ialah:

a) Ali telah melanggar Artikel 8 Perlembagaan Negara yang menjamin kesamaan hak (equality) kepada semua rakyat dari segi undang-undang. Dengan itu, tegahan pelbagai bentuk dan cara yang dilakukan oleh Ali dan dibenar, sokong dan alu-alukan oleh Mahathir Mohammad menunjukkan mereka berdua adalah penggugat hak asasi rakyat,

b) Arahan Ali adalah satu penindasan dan diskriminasi terhadap hak asasi asas seseorang, hak-hak Perlembagaan yang menjadi teras demokrasi rakyat di negara ini,

c) Ali menafikan hak rakyat untuk memilih dan menyokong mana-mana parti politik yang yakininya, dengan arahan itu bermakna Ali telah melakukan satu penindasan hak keatas rakyat.

d) Arahan yang boleh menggugat demokrasi dan perpaduan kaum seperti yang dilakukan oleh Ali adalah sesuatu yang bertepatan untuk dicegah dan dituntut oleh rakyat supaya dimansuh dan batalkan.

Mungkin Ali Rustam dan Mahathir menganggap remeh perkara sebesar itu. Dengan melakukan ‘constitutional violation’ yang melibatkan hak asasi rakyat dari segi undang-undang yang dijamin oleh Perlembagaan, bermakna rakyat boleh membawa perkara ini ke Mahkamah, kata beliau. Jika ini tidak berkesudahan dengan keputusan yang tidak memuaskan, kata kawan itu, rakyat boleh membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa di Den Hague (The Hague, Netherlands).

Cuba Ali Rustam, Mahathir Mohammad, Rais Yatim dan seluruh pemimpin UMNO yang mewakili rakyat, bahagian mana Perlembagaan dan undang-undang yang menghalalkan tindakan mereka itu sah dari segi Perlembagaan.

Jika Musa Hitam jaguh “Hak Asasi Manusia” di arena antarabangsa, cuba bincang dan ambil pandangan dunia, apa sebenarnya Kerajaan UMNO/BN ini sudah jadi? Adakah negara ini sudah diterajui oleh sekumpulan orang-orang “gila”?

Pembangkang Makin Berwibawa

Makin nampak bahawa Pembangkang makin disanjung oleh rakyat kerana membebaskan mereka dari cengkaman pentadbiran ala “Kominis” yang sedang diterap oleh para pemimpin UMNO!! Langsung tak terfikir dalam benak kepala kita betapa bebal, dungu dan bodoh bangang-ketetelnya arahan kelompok manusia UMNO yang makin jelas sewel dan hilang kewarasan seorang manusia.

Apakah negara ini sedang mengalami zaman gelap? Jika benar, maka bertepatanlah imbaun Gagasan “BLACK 14” itu. Mereka segigih itu berjuang menegakkan satu zaman baru demi membuka semula pintu-pintu yang terkunci hingga rakyat dikurung dalam ruang gelita didalamnya!! Malangnya, setakat ini kunci pintu itu berada diluar bilik itu. Namun akan sampai masa kunci itu akan berada ditangan mereka yang dikurung.

Rakyat yang prihatin tentu nampak mesej disebalik gagasan (kalau boleh disebut gagasan – perbetulkan saya) itu. Apatahlagi, jika ia memberi imbasan bahawa kita sedang terperangkap, terjerat dan tercekik oleh sebuah Regim keparat yang tidak mengenal Neraka dan dosa!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite