Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

SAMPAI BILA KALIAN MAHU DIJAJAH OLEH KAUM SENDIRI ?

BEBERAPA hari sebelum 14 April 2000, Dr. Mahathir dan isterinya (keluarga? Kroni?) telah terbang keluar negara dengan kapalterbang khas – Global Express – yang beliau tempah khas untuk dirinya merayap keliling dunia. Dengan pembaziran RM200 juta, rakyat dipaksa mengokosi pembelian itu. Berkata seorang Timbalan Menteri Kewangannya, “Kita menghargai nyawa pemimpin kita – wang bukan persoalannya!!”. Begitu sekali nilai nyawa seorang Perdana Menteri.

Tak cukup dengan itu, Perdana Menteri “yang ini” telah mengarahkan sebuah Mahligai direka khas berbentuk “Baroque art and architecture” ala kepunyaan Maharaja Perancis Louise XVl yang dipenggal kepala oleh rakyat Perancis bersama Maharani gilanya, Marie Antoinette dengan mata kapak guilottine. v Disebelah Mahligai kencana itu, dibina sebuah Masjid ‘thirar’ terindah untuk dipandang-pandang oleh pelancung luar negara. Harapan beliau, mereka yang melawat akan menyangka betapa tingginya resapan keISLAMan dalam hati si PM Malaysia “yang ini”…..!!

Dengan Airmata Rakyat

Titisan airmata rakyat tidak menjadi simpatinya. Walaupun waktu itu (hingga hari ini pun) negara sedang mengalami kepayahan ekonomi yang sedang merudum, arahan beliau tetap sah diperlakukan. Kerana, beliau adalah seorang Diktator perkasa, dengan kuasa mutlak yang dianugerahkan oleh parti yang memperakukan kuasanya sebagai “total”. Dengan itu, dengan mudah beliau memberi alasan dengan menyalahkan orang lain!!

Titisan airmata mengalir lagi!! Hari ini, bermula dari 14 April 2000 itu juga, sudah mulai satu sesi tangkap-menangkap, kurung-mengurung, ugut-mengungut oleh jongos-jongos ala “Sekuritate” Caucescue. Beliau telah mengarakan supaya menangkap seorang yang memperjuangkan Hak Asasi rakyat yang menuntut Keadilan. Tak terfikri dalam benak kita, regim Mahathir memerlukan 15 orang menangkap seorang pejuang yang sedang berehat di rumah bersama keluarga. Tidak kira didalam Masjid atau dimana-mana, arahan tangkap dan kurung akan dilaksanakan. Satu ketumbukan ratusan “sekuritate” akan digerakkan.

Itulah dia tafsiran “Demokrasi” paling hina pernah dialami oleh sebuah negara yang telah dimerdekakan rakyat lebih 40 tahun dahulu. Pejuang kemerdekaan itu sudah tidak ada lagi. Cuma yang tinggal hanya sisa kelompok mereka yang masih bernyawa dianugerah Allah swt.

Mungkin mereka masih hidup untuk melihat kehancuran sebuah masyarakat majmuk. Mereka kini melihat dengan matakepala betapa haru-birunya jika sebuah negara aman makmur diserahkan mentadbir kepada seorang pemimpin dan sekongkolnya yang gila kuasa, gila harta, gila nafsu dan tidak amanah, lupa janji…!!

Airmata mengalir lagi! Hiba hati masih diruntun sedih. Rakyat masakini dan zuriat yang akan datang akan terus-menerus menaggung kesengsaraan, andainya puak yang mentadbir negara sekarang terus-menerus mengakkan regim keparatnya.

Bagi regim ini, “PERSETANKAN Demokrasi..! Pergi JAHANAM dengan Hak Asasi….!!”. Bagi si tua kutuk itu, masa dan usia beliau sangat suntuk untuk membolot segala harta kekayaan dunia – kerana umur beliau sudah sampai ke detik-detik terakhir!! Masakan beliau harus memperjuangkan perihal kehidupan orang Melayu – bangsa yang sejak 500 tahun dulu hidup melarat, dijajah dan sering diperkosa bangsa yang lebih superior. Hari ini, pemimpin mereka begitu mudah ditipu dengan rasuah; hingga sanggup membunuh kaumnya sendiri!! Mahathir sudah berjaya.

Bagai Raja Mandeliar dan si Kitul, hatinya tidak akan merasa perit melakukan sebarng durjana. Memang adat dunia – “si dungu makanan si cerdik”. Nak dikesalkan apa? Jika anda tidak sanggup merobah diri, masakan datang hujan emas mencurah dari langit!!

Mahathir “Berdondang Sayang”

Portugis datang ke Melaka cuma dengan sebuah armada. Dengan kebijaksanaannya mengumpan mereka yang tidak taat dan belot kepada negara dengan membantu mebuka pintu kota Melaka; maka semudah itu bala tentera Portugis menyerang pahlawan Melayu Melaka.

Sejak dari tahun puaka “1511” hingga ke detik ini, orang Melayu masih lagi terjajah, dijajah dan diinjak di ubun-ubun kepala. Dengan bantuan pemimpin rasuah dikalangan kaum kerabat sebangsa dan seugama, 10 juta orang Melayu hari ini masih diperangkap dalam kurungan “penjajahan”. Tetapi muka pemimpin keparat itu hampir serupa dengan orang Melayu yang 10 juta ini. Lidah dan pertuturan mereka saling tak tumpah lingua franca Melayu jati. Cuma bezanya: “Hati mereka tidak sama warna dengan hati mereka yang berkulit sawo matang” yang 10 juta ini!!

Mahathir berdendang dimana-mana pelusuk dunia. Dengan nada “seorang perjuangan” kunun, beliau melupakan keresahan hati dengan bercerita betapa buruknya dunia ini. Hanya beliau seorang saja yang layak merobah.

Tapi, disebalik lidah bercabangnya, makin nampak kepada semua orang yang ‘mahu berfikir’, memang ‘jembalang’ spesis ini petah bercakap – kerana dalam lubuk hatinya 1001 iblis sedang beranak pinak!! Satu dunia mentertawakan beliau!! Malangnya, puak UMNO masih akur lagi!!

Sejarah Bangsa Melayu Memang Sensasi

Jika Hang Tuah pahalawan perkasa, Hang Jebat bagaimana? Sepanjang penceritaan orang Melayu, Hang Tuah itu adalah lambang manusia yang taat-setia, lurus bendul. Hang Jebat pula dikatakan seorang manusia “durjana” menentang raja. Itulah dia tafsiran “penjajah”. Penjajah memang arif menggunakan sejarah bangsa untuk menghasut orang Melayu membenci kaum sendiri.

Pada 14 April 2000, sekali lagi ‘Jebat-jebat” dikalangan rakyat diseranah dengan kutukan yang menjadi-jadi!! Dua tahun dulu, seorang “Jebat” telah dirantai dan dipenjarakan angkara fitnah dan konspirasi. Tiga belas tahun dulu, seorang lagi telah dinyahkan keluar kelompok ini. Dan empat tahun sebelumnya – rakyat melihat konspirasi pertama dilancarkan dengan saksama dan hati-hati. Mahathir Mohammad berjaya lagi!!

Hari ini kita dapat lihat, “Bangsa Melayu mengkejami bangsa dan kaum-kerabat sendiri”..!! Namun, berapa ramai yang insaf dengan ujian ini? Saban hari hati rakyat dibuai dengan khayalan yang muluk-muluk.

Sementara itu, emas mereka dikeruk, rantai-ranta besi waja dibelenggukan ditengkuk. Tangan diikat dan mulut ditutup. Mulut kalian dikerat lidahnya supaya tidak akan berkata-kata yang lain cuma sebagai “kakak tua”!!

Jika itu amalan penjajah yang kita baca, begitulah adanya hari ini. Mustahil tidak ada antara kita yang teringat cerita lama. Nampak sangat sifat orang Melayu yang “mudah lupa” diri. Masih tak ingatkah peribahasa Melayu, “Kera di hutan disusui anak dikendong kelaparan mati”? Nah…fikirlah dalam-dalam. Peribahasa itu sedang menghentam ubun-ubun kepala sendiri!!

Orang Melayu Dalam “GELITA”

Begitu lama Dr. Mahathir Mohammad menyelidik budaya Melayu. Akhirnya dikumpul segala fakta dan diolah menjadi teragungnya: “Delimma Melayu”. Orang Melayu bersorak tanda riang menyanjung betapa hebatnya “kitab” itu. Diusunglah Mahathir keliling dunia, diagung-agung diangkat setinggi langit.

Hari ini, “Delimma Melayu” itulah bagai keris menikam tuan. Orang Melayu tersadai kering bagai belulang tidak ada harga, cuma setakat berguna dibuat kempeling (sejenis kompang Jawa yang perlu ditepuk sekuat hati memberi bunyi nyaring)!!

Namun orang Melayu masih tidak sedar diri bahawa belulang mereka sudah lama disiat-siat oleh sepuak bangsa dan kaumnya. Jadilah mereka kaum seumpama “Red Indian” Amerika atau “Maori” Auistralia.

Jika zaman batu lebih maju, kini orang Melayu sudah dikembalikan ke zaman “Jurasik”. Peraturan yang dikenakan keatas orang Melayu jari ini saling tak tumpah mengikut “Undang-undang Belantara”. Siapa kuat dia menang!!

Sampai bilakah orang Melayu akan terkurung dalam kegelapan yang mereka cipta dan akur ini. Masihkah mereka akan “menyembah” PATONG PUAKA ini?

Berfikirlah anak bangsa. Alaf baru adalah alaf ‘globalisasi’. Masa tidak akan menunggu kalian. Sampai masa dunia mu akan hilang sendiri!! Jika kalian sudah merasa apa yang ada tidak berkenan dihati…Nah!! ROMBAK dan PINDA – berISLAH dengan slogan REFORMASI..

Allahu Akbar..!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com