Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

MAHATHIR DAN UMNO’NYA’ TERKURUNG DALAM KEPOMPONG DELIMA SENDIRI

Agenda Mahathir Makin Pincang

Tidak kira apa jua sebab-musabab Mahathir yang membatalkan validiti YB Mulia Tengku Razaleigh Hamzah dari menyertai pertandingan Naib Presiden UMNO Mei 2000 ini, hampir kesemua orang yang memerhatikan pergolakan politik dalaman UMNO tahu bahawa Mahathir dan ‘inner circle’nya tidak mahu sebarang ‘duri dalam daging’ yang menggugat kedudukan kelompok yang banyak agenda ini.

Begitulah keadaan setiap orang yang zalim dan bersalah. Mereka akan sentiasa dihantui oleh mangsa Kekejamannya dan hakikat Keadilan sejagat (Wicked guilty men are always haunted by the oppressed victims of injustice).

Memang diketahui umum, Mahathir sudah lama merancang untuk menyingkirkan orang-orang tertentu yang dikenalpasti akan mempertikaikan ke’Diktatoran’nya dalam UMNO/BN. Apa jua jenis manusia yang akan dilantik memimpin sektor-sektor dalam UMNO, Mahathir dan sekongkolnya akan mempastikan mereka adalah orang yang mempunyai kepentingan diri yang perlu mereka jaga sebagai perioriti diri. Dalam keadaan normal, orang itu akan diheret ke mahkamah pengadilan rakyat.

Coktohnya, Rafidah Aziz dengan pelbagai kes Rasuah dan salahlaku, berserta dengan keinginan membalas dendam dengan puak WANITA kelompok Siti Zaharah, pasti akan bertungkus-lumus menyokong Mahathir dalam semua keadaan. Beliau mahu dilantik sebagai Ketua WANITA. Hanya dengan itu semua jenayah beliau akan terlindung dari digugat. Mahathir adalah pelindung segala jenayah.

Hishamuddin Hussein yang mencemburui kebangkitan kelompok pro-Anwar anti-Mahathir dalam PEMUDA kebelakangan ini. Beliau tidak ada pilihan lain. Jika beliau tidak berwaspada dan menurut kemahuan Mahathir, masa depan politik beliau akan terhenti setakat ini saja. Nafsu muda dan cita-cita mahu kaya cepat meruntut hati beliau menafikan yang bernar dan mengalah.

Abdullah Bedawi yang kepingin sangat menjadi Perdana Menteri (hingga sanggup mengenepikan identiti ‘Mr. Clean’nya selari dengan anak seorang ulamak), komited sebagai ‘lembu’ Mahathir paling setia – sanggup melakukan apa saja – asalkan masuk ‘kantung’ Mahathir. Abdullah bukan lagi Abdullah yang dikenali UMNO selama ini. Beliau sanggup menganiaya dan mengikis identiti imej bersih dan hubungan silaturahim dengan rakyat, khususnya orang Melayu. Beliau terpaksa menjaga kepentingan beliau yang sekarang makin parah. Dengan terbongkarnya pelbagai rasuah, keterlibatan beliau dengan kekejaman terhadap rakyat, Abdullah tidak dapat lepas dari perangkap Mahathir. Abdullah telah jauh terlajak semata-mata kerana mau tergolong kepada ‘inner circle’ Mahathir.

Ku Li Tersisih?

Setakat ini, nampaknya Ku Li adalah mangsa agenda “penyisihan” Mahathir. Tetapi ramai yang menelah, sebelum beliau, Musa Hitam sudah lama mendapat ‘cue’. Sebab itu Musa berulangkali menyebut bahawa politik beliau sudah ‘terkubur’. Bagi beliau, lebih baik membiarkan UMNO hancur berkecai di tangan Mahathir sendiri daripada berjuang ‘kalah-mati’. Kerana adalah sia-sia membetulkan UMNO waktu ini. Apathlagi, Anwar yang bergitu berhati-hati masih diseret ke penjara dengan jalan paksa!!

Kebanyakan doyan-doyan UMNO telah mengambil kesimpulan bahawa orang Melayu memang telah lama bersedia memperbetulkan UMNO. Malangnya, Mahathir dan jongos-jongos dalam kepimpinan UMNO yang berkepentingan tidak mau mereformasi UMNO. Ini menyebakan UMNO makin terpinggir. Mereka (Mahathir dan jongos-jongos dalam kepimpinan UMNO) telah menolak kebenaran dan matlamat UMNO. Jika UMNO direformasikan, bermakna 75% pemimpin UMNO sekarang harus ditolak dan disingkirkan. Itu adalah sesuatu yang mustahil dilakukan semudah itu. Lebih baik membiarkan saja.

UMNO perlu mencari jiwa dan rohnya sendiri. Untuk menemukannya, tidak ada cara lain selain dari cara parti Konservatif British merekonstruksi parti itu. Sementara Parti Liberal akan meletakkan parti Konservatif dipinggir.

Sekarang ini, kebanyakan pemimpin UMNO dan BN makin sedar bahawa ‘semangat’ Anwar masih kuat dalam UMNO. Ini membuatkan UMNO kucar-kacir. Mahathir dan sekongkolnya tidak dapat mengikis ‘Anwar’ dari hati setiap sisa-sisa penyokong UMNO. Mungkin Anwar secara fisikal tidak ada dalam UMNO, tetapi bagi mereka Anwar hanya disingkirkan oleh konspirasi Mahathir dan sekongkolnya. Semangat dan ideolgi Reformasi Anwar tetap dan terus hidup. Mereka tahu penyingkiran Anwar adalah konspirasi Mahathir dengan sekongkolnya. Kerana itu, ramai pemimpin UMNO sendiri telah menduga P/raya November 1999 akan membayangkan manifesasi bantahan mereka (khususnya orang Melayu). Dugaan itu ternyata benar.

Diakhir-akhir ini, Mahathir dan sekongkolnya sedang tersingkiir. Mereka kini hidup dalam satu ruang gelap, sedang tercari-cari helah untuk bersandiwara lagi. Tapi itu tidak akan dapat mengimbau sokongan orang Melayu lagi.

PAS dan Barisan Alternatif

Wujudnya Barisan ini adalah hasil dari penentang rakyat terhadap gejala yang menjadi budaya pemimpin UMNO/BN. Terpenting ialah penentang mereka terhadap RASUAH - identititi paling jelas Regim ini. PAS dan Barisan Alternatif menentang sebarang pihak yang melindungi pelakunya. Barisan Alternatif mencegah Kezaliman bersama-sama dengan rakyat. Parti KeADILan mendedahkan perbuatan mereka yang terlibat merancang dan mendapat manfaat dari kesulitan rakyat. DAP sebagai sebuah parti bukan Melayu telah memberi ruang kepada segolongan besar pengundi yang bencikan perasuah dikalangan pemimpin MCA dan MIC.

Barisan Alternatif telah muncul melalui sebuah “gagasan” terulung selepas Perikatan @ BN. Kejayaan cemerlang BA dalam P/raya terakhir itu telah mengejutkan BN. Mahathir dan seluruh pemimpin UMNO/BN terperanjat besar! Walaupun mereka telah menggunakan pelbagai taktik dan ikhtiar kotor pelbagai cara, dua (2) negeri telah tidak langsung memberi sisa maruah kepada UMNO/BN. Beberapa negeri lain telah hancur ketokohan UMNO/BN.

Pada mulanya REFORMASI cuma satu pemikiran terbuka. Tetapi setelah DS Anwar Ibrahim dikhianati oleh sebuah KONSPIRASl yang didalangi oleh Mahathir dan sekutunya, maka rakyat makin nampak bahawa ia satu keperluan yang wajib bagi rakyat menghayati dan mengekalkannya. Walaupun ia suatu pemikiran (thought), tetapi rakyat yang insaf dan sedar-politik. Mereka sensitif bahawa keperluan perobahan makin jelas. Dengan itu mereka telah sama-sama mengangkat REFORMASI sabagai wadah.

Hari ini REFORMASI adalah sinonim dengan BARISAN ALTERNATIF. Seluruh komponen parti yang menggotainya telah sekutu menyaring semula keadaan yang haru-biru yang berlaku dibawah pentadbiran Regim Mahathir. Mahathir dan Barisan Nasional makin sukar untuk melakukan reform dalam partinya. Kerana, UMNO/BN dan seluruh regim telah berkarat dengan unsur rasuah dan kezaliman, percanggahan sesama sendiri, saling berkhianat, beragenda singkir-menyingkir sesama sendiri hingga Parti itu hanya dikuasa kelompok yang semata-mata berurusan demi kepentingan diri. Yang menanggung seksa adalah rakyat.

Jika selama ini Tengku Razaleigh dan Musa Hitam adalah dua pemimpin berpotensi yang boleh merobah UMNO menjadi diterima orang Melayu semula, malangnya Mahathir telah mewujudkan kem sendiri bagi menyingkirkan mereka berdua. Sementara itu Barisan Alternatif makin menguat dan berpengaruh dimana-mana.

Adalah satu hakikat yang benar, iaitu sesebuah parti politik itu hanya akan kuat dan berpengaruh sekiranya ia mendapat sokongan rakyat. Malang sekali UMNO/BN sudah kehilangan pengaruh itu. Parti itu perlu membeli pengaruh. Sebagai allternatif, mereka akan mengugut rakyat dengan pelbagai cara. Ini telah mendatangkan pelbagai musibbah yang sangat merosakkan budaya politik parti itu dan kesulitan terhadap rakyat.

UMNO Makin Berpuak-puak

Perincian terkini menunjukkan bahawa UMNO sendiri sudah berpecah kepada tiga (3) puak. Kem Mahathir adalah kelompok terbesar. Kuasa dan ugutan beliau menjelajah keseluruh nadi UMNO/BN. Cuma rakyat saja yang Mahathir tidak termampu melemahkannya. Rakyat telah menyelebahi Anwar. Ini adalah malapetaka paling besar kepada kekuatan Mahathir.

Kelompok kedua adalah kem Abdullah Bedawi dengan sokongan beberapa orang pemimpin UMNO, MB dan Menteri UMNO. Mereka adalah individu yang menadah tempurung dan dalam ketakutan diugut dengan tindakan mahkamah dan penjara.

Kem ketiga adalah Kem Najib yang disekongkoli oleh Md. Taib bekas MB Selangor dan Muhiddin Yassin serta beberapa beberapa orang pemimpin UMNO, MB dan Menteri UMNO. Mereka sekarang sedang bergerak dengan satu tujuan asas iaitu menumbangkan Abdullah Bedawi setelah Mahathir mati atau tersingkir.

Ku Li dan beberapa doyan UMNO telah menetapkan bahawa beliau akan diletakkan sebagai orang yang bertanggungjawab mereformasi UMNO/BN apabila kedu-dua kem itu (yang pasti) akan bertelagah kelak.

Bermakna UMNO sedang bergerak atas ‘thin ice’ dalan menghadapi 2004 ini. Sementara UMNO/BN hilang kewibawaan politik, Barisan Alternatif pula makin rancak dengan pelaksanaan perancangan dan tindakan yang disokong rakyat.

Dengan sokogan padu rakyat yang makin menjalar ke desa-desa, termasuk dikalangan itu sejumlah besar pengundi muda dari kelompok terpelajar dan golongan ugama; Barisan Alternatif makin nampak terserlah dan mendapat sokongan ramai. Yang paling menakutkan UMNO/BN sekarang ialah masalah dalaman pemimpin mereka sudah mulai memecah penyokong dan pengundi yang akan menetukan Kerajaan pada p/raya 2004 ini. Karenah mereka dan dendam yang dilakukan terhadap rakyat telah membuatkan rakyat hilang keyakinan.

Dengan kemampuan UMNO/BN setakat menggunkan pengaruh politik wang dan ugutan, tindakan kejam dan menggunakan jasabaik pemimpin terdahulu; ini menyebabka orang Melayu telah siang-siang menolak UMNO Baru.

Beberapa janji mengenai Pembangunan dan pembelaan terhadap kesejahteraa rakyat adalah tipu helah untuk meraih undi semata-mata. Semua janji-janji itu hanya ‘silap mata’ bagi membohongi rakyat saja. Majoriti rakyat telah mengambil kesimpulan bahawa UMNO “Baru” adalah platform untuk segelintir pemimpin disekeliling Mahathir yang cuma berurusan dengan rakyat tiap-tiap 5 tahun sekali. Itupun demi kepetingan diri mereka.

Terperangkap Sendirian

Melihat persekitaran politik dan keadaan yang makin menekan, Mahathir dan beberapa kroni sekongkolnya telah terperangkap. Di satu pihak adalah rakyat. Di pihak yang lain adalah golongan dalaman UMNO yang tidak akan memberi kerjasana dan menjadi duri dalam daging kepada keududukan Mahathir dan sekongkolnya. Dan yang paling menyakitkan, Pembangkang telah sampai ketahap sokongan dari rakyat banyak. Mereka menganggap UMNO/BN tidak berupaya membawa rakyat dan negara ke Alaf Baru yang mencabar. UMNO/BN tidak releven lagi.

Akan tinggallah Mahathir dalam kepompongnya bersama UMNO “Baru” dan BN. Ibarat sekumpulan ‘general’ yang cuma tinggal pingat dan tokoh seorang panglima, soldadu banyak telah bertempiaran menyeberang ke pihak musuh. Pasti panglima yang kecundang itu akan menyerah tanpa syarat sebelum menerima hukuman rakyat. Bayangkanlah!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com