Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

DR. MAHATHIR DAN UMNO “BARU”NYA TIDAK MAMPU MENGISI TUNTUTAN ORANG MELAYU LAGI

Makin berpanjangan pelbagai kekucar-kaciran dalam UMNO, pentadbiran undang-undang Negara, ekonomi dan kewangan, pengagihan ‘cake negara’, penghakisan hak-hak rakyat bersuara yang didalangai Dr. Mahathir dan jongos-jongosnya; makin nampak negara kita sudah dimasukkan Mahathir kedalam satu sistem “Kuasa Terpimpin” yang diurus sendiri oleh “satu orang” saja, iaitu Mahathir Mohammad – Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO (menang Tanpa Bertanding..!!)

Suatu Zaman Yang Berbeza

Setiap zaman membawa nilai berbeza. Era zaman penjahan membawa tumpuan rakyat berhadapan dengan perjuangan menuntut Kemerdekaan untuk membebaskan Negara dari penjajahan. Diperingkat selepas mencapai Kemerdekaan pula, terlahirlah pelbagai tuntutan politik, ekonomi dan sosial yang berbeda-beda dan beragam.

Tempoh dekad sebelum 50-an, nilai dan keyakinan politik orang Melayu di negara kita adalah untuk mendepani musuh bersama (common enemy) yang dinamakan “Penjajahan”. Yang paling ketara ialah orang Melayu, dengan keseluruhan tekad dan tenaga sama-sama ingin mengusir British. Kepedihan hidup di zaman Jepun mengajar mereka nilai-nilai kemerdekaan. Kesedaran politik yang menjadi darah daging sejak lebih 400 tahun silam menjadi ‘duri dalam daging’ kepada orang Melayu.

Dengan tercetuslah Peristiwa Mei 13 pula, maka banyaklah mata tercelik, terbuka buntang!! Maka bekejar-kejaranlah mereka mencari perlindungan kerana sinaran cahaya keras yang terus memanah mata yang baru tercelik.

Akhirnya terwujudlah satu harapan menggunung semoga rakyat akan mengembeling dayausaha fisikal dan mental untuk mengisi Kemerdekaan. Pengembelingan itu disealirkan dengan tututan Pembangunan (harus ditafsirkan dalam konteks yang lebih luas).

Dengan memandang kedalam diri secara kritis, didapati khayalan pimpin Melayu di zaman awalan Kemerdekaan itu terlalu berlama-lama. Mereka menikmati manisnya nostalgia pekikan MERDEKA di Stadium Merdeka hingga ramai yang terlalai dan lali.

Hari ini, Dr. Mahathir seringkali menyebut-nyebutnya dengan bangga (Tak taulah samada beliau ada bersama-sama Allahyarham para pejuang ulung kita di Selangor Club; atau cuma satu penyedap retorika saja). “Mile stone” yang dinostalgiakan beliau ialah rapat umum “Anti MALAYAN UNION”. Tetapi, berbeza dengan seruan pejuang dulu, kini Mahathir menggunakannya sebagai alat untuk ‘berleka-leka’. Harapannya, UMNO “Baru” akan bersatu semula. Dengan itu, Mahathir akan menkonsolidasi kuasanya. Tidakkah itu satu agenda pembohongan paling besar?

Sesudah Terantuk Baru Menegadah

Berapa kali orang Melayu tertipu oleh penjajah? Mula-mula Portugis, kemudian Belanda. Inggeris berpakat dengan Belanda membahagi-bahagikan Melaka, dan Singapura seperti milik mereka bersama. Datang Jepun dirempuh semua. British datang lagi dengan niat yang berbeda. Mujur orang Melayu (ingat: Orang Melayu saja) sedar diri dan nasib anak cucu apa akan jadi. Malaya dimerdekakan.

Maka diwujudkablah satu resolusi rakyat bagi membendung perkara yang jelas dan kerap menjadi masalah, iaitu aspek ‘Ekonomi dan Pengagihan’ kekayaan negara. Terciptalah satu Dasar yang sangat murni yang dinamakan ia Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalamnya terkumpul segala harapan orang Melayu. Kerana orang Melayu yang memerlukan pertolongan bagi peningkatan taraf sosio-ekonomi, maka dipersetujuilah tanpa bantahan. Amat bagus. Itulah dia konsep Perpaduan Nasional terulung di negara ini…!

Dasar Ekonomi Baru umpama dasar yang timbul atas hakikat “sesudah terantuk baru menegadah”. Seluruh orang Melayu berharap akan dikendalikan dengan rapi. Tempoh 30 tahun bukan lama. Diragukan – mana mungkin DEB berjaya menyelesaian permasalahan yang sekian lama kusut dalam tempoh sesingkat itu. Orang Melayu sangat-sangat berharap, UMNO akan melaksanakan melalui satu daya dan kesungguhan yang jujur, ikhlas dan matang.

Malangnya, tidak ramai dikalangan UMNO yang sedar. Tidak ramai yang nampak wujudnya faktor-faktor negatif yang memungkinkan inspirasi rakyat itu akan gagal. Walapun segala-galanya nampak seolah-olah menjurus kepada keinginan untuk menjaga keseimbangan, tetapi orang Melayu sekali lagi dilekakan dengan ritorika pemimpinnya.

Dr. Mahathir Dengan Agendanya

Keprihatinan seorang pejuang anak bangsa tidak akan berupaya membawa perobahan dasar yang banyak. Apatahlagi jika beliau adalah terkepung diantara orang-orang yang mencemburui prinsip perjuangannya. Sdr. DS Anwar Ibrahim telah memberi suatu kesedaran dan keinsafan kepada orang Melayu. Anwar nampak wujudnya faktor-faktor negatif yang memungkinkan inspirasi rakyat itu akan gagal. Malangnya ramai orang politik seangkatan dengan beliau tidak nampak atau pura-pura tidak nampak gejala Rasuah, Nepotisma dan Kronisma sedang berleluasa. Bermakna Anwar sedang mencari musuh dalam partinya.

Beliau menyarankan keseimbahan pembangunan fisikal dan material wajib diselarikan dengan kekuatan ciri-ciri penghayatan keugamaan (khususnya Islam). Diyakini dengan itu, rakyat sendiri akan terlepas dari kesulitan menjaga keseimbangan semoga mampu menilai antara yang bermoral dan tidak bermoral.

‘Jihad’ Anwar

RASUAH dan Penyelewengan menjadi perjuangan beliau seterusnya. Walaupun sebagai TPM, tidak semestinya beliau menjadi pemutus kata dalam semua hal. Walaupun ada ruang untuk beliau melakukannya, tetapi beliau semacam terkepung oleh keadaan yang mengancam dari segenap penjuru. Neliau menerima suatu tentangan hebat.

Apa yang dilakukannya memang memerlukan iltizam dan keyakinan diri yang kental dengan usaha yang sangat gigih dan tenaga padu. Lebih-lebih lagi, dalam gejolak manusia mengejar kebendaan dan kepentingan diri; beliau pasti mengundang banyak musuh yang sukar dilihat dengan mata kasar.

Namun, prinsip kepimpinan Sdr. Anwar itu amat jelas dan disokong penuh oleh majoriti rakyat. Hajat baik dan unggul Anwar itu telah disambut baik dan cuba dihayati rakyat banyak (khususnya orang Melayu). Harapan Anwar adalah harapan rakyat. Seluruh rakyat menyokong penuh penghakisan beberapa penyakit masyarakat yang buruk-buruk seperti Rasuah, Penyelewengan, Kerakusan, Kehilangan pedoman objektif bernegara. Rakyat dan Anwar menjadi satu.

Malangnya, apa yang berlaku kemudiannya amat menyedihkan. Anwar terperangkap diantara dua “forces” yang berpanca. Di satu pihak ialah mereka yang ingin memperaktikkan Rasuah, Penyelewengan, Kerakusan dan lain-lain keburukan sikap. Di satu pihak lain adalah sebaliknya. Anwar mendapat sokongan rakyat. Tetapi malang sekali ia bertentangan pula dengan keinginan puak yang pertama. Mereka lebih berkuasa walaupun tidak ada lunas undang dan peraturan yang sah.

Akhirnya kepanikan mereka yang berdosa itu terus merancang untuk membuat honar. Mereka yang kian kehilangan pedoman, terlalai dan terlali sekali lagi. Mereka lupa objektif bernegara. Jika bagi Sdr. Anwar, musuh bersama yang sebenar itu ialah Rasuah dan Kronisma; malangnya bagi sekelompok opportunis itu pula menganggap sebaliknya: BAHAWA musuh sebenar mereka ialah ANWAR per se!! Anwar dikhianat.

Khianatan Teraib Selepas Raja Mandeliar

Pengkhianatan kali ini adalah paling aib dalam sejarah peradaban dan anutan ugama orang Melayu. Jika Raja Mandeliar an Si Kitul dikutuk habis-habisan oleh orang Melayu sebaik saja Bendahara Seri Maharaja dianiaya, Anwar berdegil melaungkan REFORMASI sebagai enjutan mengembalikan maruah Dasar rakyat dan Negara. Rakyat banyak merasa dan dapat melihat beliau benar-benar berusaha untuk menyirat dalam hati supaya cita-cita bernegara wajib dicapai, mesti dipelihara dengan usaha bersungguh-sungguh. Sewajarnyalah ia mesti bermula dari “Kepimpinan Melalui Teladan”.

Malangnya, pihak dalam kelompok “Kepimpinan Melalui Teladan” itulah yang menerajui puncak kuasa. Mereka lebih arif bermainkan ‘kayu tiga’. Kelompok orang ini telah menciptakan "hantu-hantu PALSU” bergelar neokolonialisme-imperialisme. Mereka mencipta cita-cita agung, kununnya untuk menjadikan negara salah satu pusat budaya dan kekuasaan dunia. Kelompok itu diketuai oleh Dr. Mahathir, Perdana Menteri dan Presiden parti tertinggi UMNO – rakan kongsi, rakan seperjuangan Anwar.

Dr. Mahathir bermati-matian mencipta pelbagai VISI, seumpama orang sedang berkhayal. Sumber rakyat dipergunakan tanpa hemah, ketepatan waktu dan keperluan. Banyak yang dilaksanakan tanpa mempedulikan cita-cita bersama yang sewajarnya memihak kepada rakyat. Banyak sumber rakyat yang dihamburkan dengan mewarnakannya indah-indah bahawa itu lah dia “Pembangunan ekonomi” (mungkin baginya, tapi tidak bagi rakyat). Sambil itu, kantungnya, anak-anak dan suku sakat serta kroni/proksi disumbat dengan kekayaan yang dirompak!!

Konsep Hadiah “Se Bahara Emas”

Seperti Raja Mandeliar, Mahathir Mohammad yang sama keturunan berimpian sama seperti Raja Mandeliar. Melalui “Kitul-Kitul”nya, Khianat dan Fitnah menjadi asas beliau untuk mengkhianati sesiapa juga. Konsep “Hadiah Sebahara Emas” sah diperlakukan, dan Mahathir menjadi Ketua pengagihnya.

Contoh yang paling ketara, jika idealnya Pembangunan dalam sebuah masyarakat demokratis, seharusnya mensyaratkan struktur dan institusi eksekutif negara wajib berbentuk “vertikal” (iaitu dari bawah keatas), tetapi bagi Mahathir adalah sebaliknya.Bagi Mahathir, rakyat TIDAK perlu membentuk rencana dan rancangan Pembangunan. Bagi Dr. Mahathir itu lah dia “My Way” yang diagung-agungkannya.

Maka wujudlah semula nilai-nilai pemerintahan “kolonialisma”. Rakyat sekali lagi mewarisi struktur dan institusi penjajahan yang seharusnya sudah lama dilemparkan. Mahathir dan UMNO/BN telah memakai norma-norma penjajah itu semula. Akhirnya, dengan sendiri terciptalah satu drama “horor”. Dengan kuasa mutlak yang licik, masyarakat makin dilanda ketakutan. Kini terjelmalah segala bentuk kejutan-kejutan paranoid.

Masyarakat hanya berpeluang untuk berinteraksi (dalam sektor ekonomi) berasaskan kronisma saja. Akibatnya, seluruh golongan keusahawanan rakyat yang kecil-kecil (Pertanian, Nelayan, IKS, kontraktor kecil, dll) makin terpinggir. Mereka tidak berkesempatan untuk berinteraksi secara alamiah untuk merevolusikan keupayaan masing-masing. Ramai yang hidup segan mati tak mau. Dengan itu, kembalilah orang Melayu ketampuk dan ketahap lama – merintih didalam gugatan suasana pacuan ekonomi moden yang mendesak.

Orang Melayu Dijajah Semula

Walaupun tempoh 30 tahun DEB itu berlangsung, walaupun komuniti majmuk di negara kita hidup bersisian (neighbourhood) didalam unit politik yang sama; tetapi amat jelas orang Melayu masih terpisah. Umumnya, mereka hanya berinteraksi dalam sektor sosial dan dalam ekonomi “jual-beli”.

Sebagai contoh, individu orang Melayu berinteraksi dengan kaum lain hanya sebagai pemilik warung, sebagai buruh-buruh atau eksekutif rendah. Kita tidak nampak mereka berinteraksi dalam konteks sebagai pedagang dan ahli korporat pesendirian. Majoriti orang Melayu tidak lebih sebagai penonton. Mungkin mereka adalah penjaja Pasar Malam saja.

Majoriti golongan orang Melayu masih terpinggir. Walaupun kononnya mereka disebut sebagai kaum yang mempunya Ketuanan bangsa; tetapi itu cuma dipermukaan saja. Ini berpunca dari Dasar yang cenderung Mahathir ialah “Kronisma dan Nepotisma” itu. Sambil itu, Rasuah dalam pelbagai bentuk (termasuk tipu-helah Penswastaan dan Pengkorporatan) membolehkan mereka menguasa semua seumber.

Mahathir telah mewujudkan golongan elit sesama mereka disekelilingnya, iaitu berinteraksi sesama sekolompok mereka yang berjaya saja. Sebaliknya mereka yang diluar kelompok memang tidak dimungkinkan mendapat apa-apa.

Dasar Ekonomi ‘BARUA’

Akhirnya, pintu dan jendela menuju kedalam interaksi yang lebih menyeluruh dan aktif telah ditutup rapat. Ia dilapis oleh pelbagai permasalahan yang berasaskan keinginan lebih kaya dan lebih bersepakat sesama sendiri. Golongan Melayu yang kaya (kroni yang berjaya dan ahli politik yang mewah) juga sudah melupakan tanggungjawab. Maka wujudlah satu transformasi dasar ekonomi yang lebih baru iaitu transformasi dari Dasar Ekonomi Baru kepada DASAR EKONOMI BARU(A)..!!

Nampaknya, usaha Anwar terputus ditengah jalan. Beliau disekat secara lahiriah. Dengan pertolongan Allah swt. kesedaran orang Melayu tentang agenda Penipuan, Pembhongan, Kerakusan, Kezaliman, Ketidakadilan, Hidup tanpa Moral (khusus jadi peradaban Mahathir dan jongos-jongosnya) telah membulatkan JIHAD orang Melayu menentang UMNO/BN.

PAS/BA Merangka Perjuangan

kita nampak sekarang, Kerajaan PAS (BA) di Terengganu dan Kelantan sedang memulakan satu usaha cuba merobah keadaan ini. Selaras dengan konteks apa yang diperjuangkan oleh Anwar – “KEADILAN”, Regim Mahathir makin kecundang.

Walaupun rumit dan sulit (kerana sistem lama itu terlalu rosak dan merosakkan); namun usaha permulaan Kerajaan PAS yang berkewajipan itu adalah contoh dayausaha positif. Kita nampak, walaupun mereka melangkah setapak demi setapak, tetapi halatuju itu adalah jelas dan telus dan mara kehadapan.

Bagi rakyat, jika kebaikan itu yang mereka mahu, maka itulah yang mereka dapat. Rakyat makin yakin, rancang menentukan struktur dan peradaban ekonomi selaras dengan peradaban Islam itu lebih adil dan saksama. Memang orang Melayu wajar berhijrah dan berjuang dalam kerangka politik yang baru itu.

DR. Mahathir dan UMNO “BARU”nya tidak mampu lagi mengisi tuntutan orang Melayu. Orang Melayu harus memahami keadan ini. Sudah sampai masa dan ketikanya dan melupakan UMNO “Baru” yang cuma milik Mahathir Mohammad seorang. Jika masih enggan merobah diri dan pendirian, orang Melayu akan hilang segala-galanya!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO diatas Pagar Berduri)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com