Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Drama Rais-Eusoff Chin : Rakyat Mahu Suatu Kelangsungan

Preamble & Sinopsis----- Rakyat tidak mahu satu lagi hidangan siri perbicaraan berbentuk ‘cacamarba’ seperti ‘rojak mamak’ juga!!

DRAMA yang berbangkit diantara Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin dengan YB Datuk Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilihat orang ramai sebagai satu episod yang menarik. Disamping itu, ia amat meresah dan mencabar kedua-dua pihak. Umpama dua pihak sedang main bola, ramai penonton mau melihat apa kesudahan permainan itu.

Isu itu timbul berpunca dari wawancara Datuk Rais dengan Australia's Radio National pada 28 Mei lalu. Beliau ditanya mengenai gambar dalam Internet yang menunjukkan Ketua Hakim Negara itu bersama En. V.K. Lingam (seorang peguam ternama) bercuti di New Zealand pada 1994. En. Lingam merupakan peguam yang mengendalikan kes ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Vincent Tan. Kes itu pula didengar oleh Eusoff pada peringkat rayuan dan masih tertangguh hingga kini.

Tun Eusoff yang tidak senang dengan kenyataan Rais itu dan menjelaskan bahawa beliau menanggung sendiri segala perbelanjaannya semasa percutian itu. Menurut Eusoff, beliau tahu gambar tersebut sudah lama disiarkan (dalam Internet). Tun Eusoff menunjukkan beberapa resit penyata kad kredit kepada pemberita untuk membuktikan beliau menanggung sendiri percutiannya

Sekarang isu itu makin menghangat antara kedua-dua belah pihak. Ia menjadi lebih hangat kerana masing-masing sudah mulai bercakap dengan media. Seolah-olah terbayang semacam ‘tug-of-war’ untuk mempertahan kebenaran diri. Masing-masing sekarang terjebak dalam satu drama ‘bersahutan cakap’ dengan komen yang, jika tidak dibendung, kemungkin besar akan mencemarkan maruah.

Hakikatnya, siapa yang menang atau kalah tidak menguntungkan rakyat. Apa yang penting kepada rakyat hanya satu, iaitu kepastian sejauh manakah isu berbangkit disebalik “bergambar” itu benar-benar wujud atau sebaliknya. Dengan itu kewibawaan jabatan terbabit akan dapat dipastikan samada benar atau tidak terdapat unsur yang tidak diingini itu wujud.

Kita dengar Tun Tun Eusoff Chin dilaporkan akan menyaman sesiapa yang menuduh beliau. Bermakna beliau yakin dengan kebenarannya. Walaupun penafian yang menghangat diperkuatkan dengan hasrat beliau untuk menyaman, tetapi itu tidak memadai untuk meredakan tanggapan orang ramai. Isu masih dilihat tergantung tanpa kesudahan.

Sebagai seorang peguam yang menduduki tempat terpenting dalam perundangan dan kehakiman, majoriti rakyat tidak akan melibatkan diri untuk berhadapan dengan perkara yang mereka sendiri tidak fasih dan mahir. Jika begitu, siapa dan pihak mana yang wajib menjelaskan perkara itu bagi pihak rakyat?

Datuk Rais Yatim, sebagai seorang peguam, menduduki jawatan Menteri yang terlibat dengan Jabatan Kehakiman; beliau yang mewakili kerajaan adalah bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjelaskan kedudukan sebenar perkara itu. Beliau adalah wajib menyelesaikan bagi faedah semua pihak. Apatahlagi perkara ini timbul setelah wawancara beliau diluar negara.

Bermakna, kedua-dua pihak adalah wajib memberi rasa puashati guna mengembalikan keyakinan rakyat yang telah terjejas.

Mereka harus ingat bahawa DS Anwar berkesanggupan menegakkan kebenaran beliau di mahkamah. Sebagai “anak jantan” beliau tidak sedikit pun gentar berhadapan seluruh jentera regim Mahathir Mohamad yang membawa pelbagai tuduhan, hingga melakukan pelbagai pindaan. Tak taulah sama pindaan itu mengikut ‘prosdure’atau sebaliknya.

Pastinya, kedua-dua pihak tentu merasa bertanggungjawab dan mahu rakyat yakin bahawa Jabatan Kehakiman dan seluruh kakitangan yang menganggotainya adalah bersih dari gejala yang tidak diingini seperti itu. Begitu juga, Kerajaan yang mewakili rakyat dalam urusan pembersihan kakitangannya, wajar meneliti supaya rakyat terus yakin dan berpuashati.

Dalam suasana kelamkabut begini, penafian dan sindir-menyindir antara kedua-dua pihak tidak akan menghasilkan satu keterampilan yang diminati rakyat. Ia akan lebih memburukkan keadaan. Mungkin ada pihak yang akan mencari publisi murahan tanpa mengira implikasi yang memalukan kerajaan, negara dan rakyat.

Kita sudah pun melihat Pemuda UMNO menyokong pihak Datuk Rais Yatim. Jika begitu, kemungkinan Tun Eusoff Chin seolah-olah sudah menerima tekanan berbau politik. Politik dalam konteks ini ‘kuasa majikan’. Keadilan dan kesaksamaan hanya akan tercapai tanpa sebarang bentuk tekanan apa jua.

Tun Mohd. Eusoff Chin dan Tan Sri Lamin Mohd. Yunus (orang nombor dua dalam institusi kehakiman) telah mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dikatakan cuba mendedahkan kelemahan badan kehakiman negara kepada media asing. Lamin, semasa mempertahankan Eusoff berkata, institusi kehakiman adalah badan yang sensitif dan menjadi tulang belakang kerajaan serta mencerminkan imej negara.

Perkembangan makin menghangat dengan tajuk berita Utusan Malaysia (9/6/2000) menulis “Eusoff, Lamin bidas Rais -- Dikatakan tidak tahu prosedur 'memukul' badan kehakiman di luar negara”.

Bagi rakyat yang membaca tajuk akhbar tersebut memberi gambaran bahawa Datuk Rais (juga seorang peguam berkelulusan Doktor Falsafah di bidang Undang-undang) disebut sebagai “tidak tahu prosedur” sangat menyakit dan menjatuhkan maruah. Bermakna, jika isu ini makin diheret lebih lama; kedua-dua pihak akan dapat berhubung dalam satu silaturahim yang damai. Ini amat membimbangkan.

Sebagai rakyat banyak, pastinya seluruh negara mengharapkan satu ketelusan nawaitu kedua-dua pihak untuk menjernihkan keadaan. Rakyat bosan dengan kenyataan akhbar. Lebih-lebih lagi kerana akhbar memang berfungsi untuk mengutip bahan-bahan “hangat” untuk dijadikan modal besar. Sekali lagi, jika dibiarkan, pasi ia hanya akan memburukkan keadaan.

Persoalan terakhir, “Mengapa tidak kedua-dua pihak bersetuju dan bersefahaman untuk membawa kes mereka ke mahkamah?” YAB Perdana Menteri sendiri pernah menjelaskan, tidak ada siapa mengatasi undang-undang.

Tentu Peguam Negara sedia membantu memperjelaskan perkara ini mengikut sewajarnya. Rakyat adalah dalam cemas dan ternanti-nanti mahu tahu apa kesudahannya. Tetapi janganlah berlaku pula satu lagi hidangan siri perbicaraan berbentuk ‘cacamarba’ seperti ‘rojak mamak’ juga!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com