Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


MAHATHIR SUDAH DILESANG TEBUAN – SATU BADAN..!

SELURUH rakyat terperanjat bila Dr. Mahathir ‘meletup’ bila beliau meng'cop' asakan rakyat yang menuntut Tun Eusoff Chin (bersabit dengan percutian beliau ke New Zealand) supaya disiasat sebagai tuntutan berbau politik.

Rakyat peduli apa, samada asakan itu berbau politik atau tidak! Tetapi yang menjadi isu ialah beberapa fakta yang membawa kepada syak-wasangka membabitkan peguam ternama V.K. Linggam dan beberapa latarbelakang yang tersembunyi disebalik bukti sekeping dua gambar semasa bercuti disana (pada tahun 1994). Dengan itu terbitlah beberapa sangkaan yang berpunca dari percakapan Datuk Rais Yatim – Menteri di JPM, sewaktu beliau diwawancara oleh sebuah radio di Australia.

Urutan dari itu, timbullah satu pertelagahan besar bersahut-sahutan cakap (diantara pihak Eusoff Chin dengan Rais). Kemudian masing-masing pihak meraih sokongan. Rais disokong kuat oleh Pemuda UMNO sementara Eusoff dibantu oleh Lamin, orang ke dua selepas beliau di Jabatan Kehakiman. Drama itu tersiar di akhbar-akbar tempatan.

Ini Bukan Zaman Feudal

Dalam peristiwa “lempar-melempar lumpur” (kalau tidak najis busuk) antara kedua pihak, rakyat mendesak dan menuntut supaya perkara itu wajib disiasat dan tentukan; dan tidak cuma dilenyapkan dibawah gulung tikar dengan menggunakan media massa sebagai medan mencari kebenaran.

Rakyat sudah cukup matang dan mendesak supaya pihak terbabit “tolonglah” ikut peradaban dan sistem sebuah masyarakat bertamadun. Kini bukan lagi zaman feudal yang berbudaya bahawa segala-galanya bergerak atas landasan fitnah; dan keputusan adalah bergantung kepada hitong dan budibicara orang yang “seorang itu” cuma.

En. Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP dan bekas Ketua Pembangkang, dalam kenyataan akhbarnya di Petaling Jaya bertarikh Sabtu, Jun 10, 2000, menghuraikan beberapa fakta asas. Kesemuanya memburai-huraikan dan membayangkan bahawa terdapat beberapa ‘keraguan’ yang memungkinkan adanya unsur-unsur rasuah disebalik percutian Eusoff Chin ke New Zealand itu.

Presiden Majlis Peguam, Tuan Haji Sulaiman Abdullah telah bercadang untuk membahaskan sesama anggotanya sama ada melantik sebuah ‘tribunal’ penyiasat atau, sebagai alternatif, mencadangkan perlantikan sebuah Suruhanjaya Penyiasat Diraja mengenai kelakuan Ketua Hakim Negara itu.

Rungutan rakyat terdapat di mana-mana. Walapun akhbar arus perdana pada mulanya begitu ghairah; tetapi seperti lazimnya tiba-tiba terhenti dan tidak lagi berpanjang-panjang mendedahkan sebarang urutan mengenai perkara itu. Biasalah!!

Mengapa Mahathir “Main Pusing-pusing Cakap, hah!”?

Anehnya Dr. Mahathir mentafsirkan asakan rakyat itu sebagai “political agenda” yang bertujuan untuk melaga mengadu-domba Kerajaan dengan Hakim-hakim. ("I think there is a political agenda behind this, an ill intention to pit the government against the judge so that when the judge is angered, they hope the judge will make a decision detrimental to the government").

Dr. Mahathir menuduh bahawa desakan Majlis Peguam itu sebagai ‘hasrat Majlis itu untuk menguasai Kehakiman (judiciary)’. Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa, sementara Majlis itu menuduh Kerajaan menyekat kebebasan hakim-hakim, mereka mahu kebebasan hakim-hakim dikuasai oleh mereka (Majlis Peguam). ["it seems as though while accusing us of not giving freedom to the judges, they want the freedom of the judges to be controlled by them”].

Ini membayangkan seolah-olah jika sesuatu perkara itu berbau politik (walaupun rasuah) maka Dr. Mahathir akan sepantas kilat memberi tafsiran ia adalah berbau politik dan dengan itu ia tidak harus di siasat. Ini menjelaskan bagaimana Dr. Mahathir cuba memusing-musingkan keadaan sedemikian rupa hingga membawa pengertian yang salah. Begitu parahkah sewel beliau ini?

Rakyat yang sudah matang berfikir amat tersinggung dengan tafsiran beliau itu. Kenyataan beliau itu dianggap rakyat sebagai memperlekeh kebijaksanaan minda. Bagi rakyat samada perkara itu suatu agenda politik atau tidak, fakta yang menjadi teras kesangsian rakyat adalah kerana ia berunsur rasuah. Kerana timbulnya keraguan tafsiran itulah seluruh insiden itu amat penting disiasat secara menyeluruh, kerana keraguan itu tidak wajar didiam dan di “hush-hush”kan saja! Tidakkah itu suatu tuntutan yang logik dan waras?

Berserabut Dengan Tandatanya

Dalam kes tuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, contohnya; sejak dari mula rakyat melihat ia sebagai satu “ploy” berbau politik juga. Makin lama kes itu didebatkan dimahkamah, makin saksi-saksi yang tampil nampak jelas mendedahkan satu Konspirasi sengaja dirancang dan berbau politik juga. Tetapi mengapa ia diteruskan?

Paling aib kini, semakin ramai saksi yang tampil memberi keterangan makin keseluruhan perbicaraan itu menunjukkan insiden-insiden yang berlaku Dr. Mahathir sendiri terlibat. Mengapa ia disiasat dengan begitu teliti. Tak cukup dengan ‘tilam buruk’ menjadi saksi, atau Azizan yang huru-hara; seorang anak baru lepas bedungan pun nyaris-nyaris dipanggil menjadi saksi. Mengapa boleh semua?

Akhirnya keseluruhan perkara itu membawa pengertian bahawa sebenarnya Anwar adalah ‘tahanan politik” Dr. Mahathir sendiri!

Bagaimana dengan kes mata lebam DS Anwar? Rakyat hairan mengapa pada mulanya ia didiamkan selama beberapa bulan? Tidakkah akhirnya Rahim Nor sebenarnya mengahyun “penumbuk politk” hingga bukan saja melebamkan mata beliau malah melebamkan UMNO hingga parah di Terangganu, Kelantan dan di beberapa buah negeri lain.

Nampaknya, bagi beliau, jika sesuatu perkara itu akan menguntungkan politiknya – walaupun ia tidak demi kepentingan rakyat, maka bagi beliau ia tidak ditafsir sebagai berbau politik. Dengan itu penyiasatan boleh diteruskan. Begitukah?

Nampak sangat sekarang fakulti minda berfikir Mahathir ini sudah sampai ke tahap “betul-betul” sewe!!

Begitu juga kes seperti Lim Guan Eng dan MGG Pillai ia adalah dirasakan berbau politik juga. Tetapi mengapa ia disiasat dan dibicarakan hingga hukuman dijatuhkan! Apakah kerana “bau politik” itu mengharumkan nama baik Mahathir dan regimnya, maka ia boleh disiasat, dibongkar dan dibicarakan di mahkamah!!

Bagimana pula dengan pendedahan Datuk Shafie Yahya (bekas Ketua Pengarah BPR) yang menyatakan di mahkamah dilaporkan sebagai menyebut Dr. Mahathir mengarahkan “siasatan keatas sebuah kes rasuah melibatkan bekas Ketua Pengarah EPU: Abol Hassan itu, dihentikan”. Kerana ia berbau politikkah? Kalau benar, siapakah orang politiknya yang terjebak itu? Rakyat berhak mahu tahu!!

Rakyat juga masih ragu-ragu apakah kes melibat Rafidah Aziz juga; kerana ia melibatkan politik maka dengan itu ia disahkan sebagai batal. Apakah ia terbatal atas campurtangan sepasang “tangan perkasa” kerana Rafidah akan jadi Ketua WANITA yang dipersetujui oleh orang paling berkuasa – sesungguhnya orang tidak tau. Tetapi kes rasuah Rafidah itu berbau politikkah?

Nampaknya, yang wajar bagi Mahathir ini, jika sesuatu itu akan menambah ‘daya tahan’ supaya beliau dapat ‘menegakkan benang basah’; apa juga jenis “bau” tidak jadi soal. Samada ia adil atau zalim, tidak menjadi isu. Begitulah keadaannya.

Kesimpulan Terkini

Makin nampak jelas dan makin bertimbun pula petanda yang memberi keyakinan kepada rakyat untuk beranggapan bahawa Dr. Mahathir memang sah “pelindung” kepada rasuah yang berlaku melibatkan kakitangan awam dan orang politk kelompok beliau. Sekira kejadian itu melibatkan kepentingan dirinya (Mahathir), maka fail-fail kes dikembalikan kepada BPR dengan nota: “NFA”, bermaksud “tidak perlu tindakan lanjut” (No Further Action).

Makin nampak, kedaulatan undang-undang kepada Mahathir ini tidak ada makna. Seolah-olah sesuatu yang berlaku adalah mengikut suka hatinya saja. Apakah Mahathir ini seorang yang tidak mempercayai sistem yang diterima pakai oleh rakyat bertamaddun atau beliau berbalik menggunakan undang-undang “Jurasik” Zaman Batu, tidak ada orang yang tau!!

Mungkin kerana segala siasatan itu akan menyebabkan “sarang tebuan tergegar” – dan Mahathir dan kuncu-kuncu Keroninya akan dilesang satu badan, maka bagi beliau ia tidak wajar diketengahkan. Begitu kah? Kalau begitulah adanya, padan jugalah tempua “Mahathir” bersarang rendah’!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com