Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


KITA AKAN SANGKUTKAN PULA SE BILAH ‘KAPAK’ DI TELINGA “BERHALA” ITU!!

PERTEMUAN berkala antara beberapa orang “kawan lama” dengan saya sudah tidak seperti dulu lagi. Jika dulu, mereka membelasah saya dengan pelbagai hujah supaya tidak mengikut perasaan dan emosi; tetapi sekarang terbalik pula. Berbagai-bagai perkataan yang manis-manis memujuk disebutkan. Ada juga yang panas baran hingga sanggup mengeluarkan kata-kata bernada “ugutan”.

Setakat ini belum ada apa-apa yang terjadi kepada saya. Allah swt. masih lagi memberi saya kesempatan memperjuangkan apa yang tertanam dalam jiwa dan tersemai di lubuk hati saya. Alhamdulillah! Syukur atas nikmat yang dilimpah-ruahkankan Nya. Rupanya, doa saya hasil dari kegigihan usaha yang amat sedikit telah mulai tampak dimakbulkan Nya.

Hari ini saya lihat, hujjah ‘kawan-kawan lama’ saya itu tidak sekencang dulu menghentam saya. Sejak “kawan lama” seperti Shahril Samad sudah nampak berani melaung meletakkan kebenaran ditempatnya, saya kembali diberi kerusi di kepala meja. Kerapkali pula mereka mahu saya bercakap menggulung perbahasan mereka. Malangnya mereka tidak mendapat sesuatu yang baru dari saya. Sejak dua tahun dulu hingga sekarang apa yang saya gariskan tetap sama. Saya masih tetap dengan berpendirian yang saya. Saya tidak berpatah balik menganggotai kelompok kalian!!

Yang mentertawakan saya, bukan saya yang berubah hala, sebaliknya “kawan-kawan lama” itu pula yang mahu keluar dari kepompong lama. Mereka sudah sanggup berhijrah!! Tidakkah itu kemenagan bagi wadah perjuangan kawan-kawan baru saya?

Saya makin nampak bahawa yang berubah sekarang bukan seorang berdua. Makin “Si Bebal Laknatullah” itu merentetkan contoh-contoh baru yang bukan-bukan, makin tidak perlu lagi saya berhujah beralasan. “Si Bebal Bedebah” itu sendiri yang memperkuat hujah saya. Terasa benar bahawa perjuangan saya dan juga rakan-rakan baru saya kian dihayati oleh “kawan lama” saya. Segala bukti nyata terdampar di muka, dibawah hidung dan didepan mata mereka. Makin ramai yang mengikut jejak langkah saya. Sekali lagi saya tutup doa dengan “Al-fatihah”.

Dalam biji mata hitam mereka, makin memancar cahaya ngeri bila melihat keadaan yang telah, sedang dan akan berlaku. Mereka melihat satu agenda “petaka” sedang giat dirancang oleh sekelompok mereka yang beragenda besar, cukup dengan “tangan kasar”nya.

Baru kini “kawan-kawan lama” baru tersedar! Mungkin mereka tahu bahawa mereka adalah dalam proses untuk “dijual”. Terbalik pula sekarang; mereka pula yang lebih arif dari saya bila membahaskan isu yang dulunya cuma saya yang termalu-malu menyebutnya. Nampaknya, arah mata-angin sudah berkisar. Tiupan angin makin kencang, dan dentuman petir sudah mulai garang. Apa yang belum lagi cuma kilatnya saja yang belum memancar. Bergegar!

Tapi dari tenaga yang tersimpan, makin tampak kilat-petir itu PASTI akan sabung-menyabung. Mungkin hujan lebat akan turun mencurah-curah – bermula dari Arau di Perlis hingga ke Tanjung Ketapang di Johor. Siapa yang akan basah-kuyup dan dihanyut banjir ‘massa’, saya kurang arif mempastikannya. Tapi sudah pasti ada orang atau beberapa orang yang akan hanyut, ternggelam dan tersadai, membusuk rongganya setelah banjir itu surut dan hujan petir itu reda!

Semasa saya menggulung perbahasan, saya sarankan bahawa permasalahan ini bukan lagi demi kepentingan individu atau kepentingan generasi kita saja. Kita wajar melihat generasi anak-cucu yang masih belum lahir. Dan yang lebih afdhal, kita tidak mahu “Melayu Hilang Di Dunia”, atau “Melayu Kehilangan Dunianya” – walaupun hingga kiamat.

Ugama kita adalah junjungan kita. Negara kita adalah urusan kita. Bangsa kita adalah tanggungjawab kita. Dan paling penting: jangan biarkan orang yang menggelarkan dirinya “pemimpin” yang (hari ini) gemar bercakap pusing-pusing ‘putar alam’, mengadu-domba, beragenda, melumpuhkan Kemerdekaan yang diperjuang dan dianugerahkan oleh genarasi sebelum kita, merampas hak dan kebebasan lahir batin dan mengongkong minda kita, menukar-ganti, menjual-beli dan mencagarkan KETUANAN kita. Jika kita mahu bangsa, tanahair dan ugama kita dikenali dunia, itu adalah tanggungjawab kita berjihad bermati-matian mempertahankannya.

Jika keras, kita lawan dengan lembut, TETAPI tidak punya makna apa-apa; maka biarkan saja “buku bertemu dengan ruasnya”, kita lihat siapa yang akan menerima padahnya!! Dalam “Salatu as Salatin” kita dinyatakan oleh Tun Seri Lanang bahawa orang Melayu tidak gentar menentang sebarang musuh negara, samada yang dari luar atau “belukang darat” yang bergelumang dengan kita, bersifat khianat dan penjarah terhadap kedaulatan bangsa dan tanahair kita!!

Kita harus ingat dalam benak kita dikepala: Kita bukan HAMBA-SAHAYA kepada sesiapa. Jauh sekali menjadi bahan untuk di serah-cagar kepada sebarang bentuk ‘penjajahan’. Hampur 450 tahun kita dijajah; baru lebih sedikit dari 40 tahun kita dimerdekakan. Apakah kita semudah itu tertipu dengan pembohongan dan tipu-helah hingga tidak sedar bahawa sebenarnya kita telah dijajah oleh seorang dari kita; ATAU, sekelompok mereka yang menyembunyikan agendanya? Apakah kita akan semudah itu menyerahkan harga diri dan KETUANAN kita semata-mata kerana memikirkan kununnya kita adalah lemah dan tidak ada daya melawan kekuasaannya!! Apakah itu benar?

Kita harus ingat dalam kepala. Kita bukan DAYUS hingga tidak kenal antara kaca dengan intan. Minda kita sudah lama terbuka. Selama hampir setengah abad kita dimerdekakan, masakan kita tiba-tiba hilang daya-tahan, sanggup minda kita tertekan dan ditekan, hak kita diperlekehkan, tuntutan kita dinafikan, undang-undang kita dipersetankan, kebebasan kita sengaja dilupuskan dan semangat kita dimomokkan, ugama kita disekularkan!! Jika itu yang kita relakan, bermakna kita sudah kembali DAYUS dan sanggup DIJAJAH!!

Paling anihnya, “PENJAJAH” itu bukan datang dari ‘negara atas angin’, bukan zuriat ‘anak buluh betung’, atau keturunan ‘Wan Empuk Wan Malini’ yang turun dari Bukit Seguntang, bukan orang yang membuatkan esok siang padi kita di sawah akan menguning! Sebetulnya, kelompok itu adalah ‘wakil penjajah’ yang representatif total dari segelintir individu dari kelompok yang bernafsu liar!!

Budi apa yang kita terhutang besar kepada si “beliau” ini, jika yang kayaraya adalah dia sekeluarga, suku-sakat dan kroninya. Sebaliknya, kita yang satu kaum, satu bangsa dan satu ugama kini merempat papa kedana!! Wajarkah kita berterima kasih jika dia sendiri yang meminta tanggungjawab dan amanah supaya diberi kepadanya? Tetapi yang nampak sekarang, HANYA seklompok kecil dari kita yang terkinja-kinja supaya dia didudukkan di mahligai kencana, dengan kuasa seperti FIRAUN Laknatullah, membenarkan dia bercakap dengan lidah bercabang saling tak tumpah seperti “biawak besar” di zaman ‘Jurasik’..!!

Tanya diri anda: Setelah bertamaddun begini lama, setelah ilmu bersarang di dada; masihkah kita harus menadah tempurung dan akur ‘merafaq’ sembah kepada ‘berhala’ kaum yang satu ini? Tidakkah kita yakinlah bahawa rezki kita datang dari langit dengan keredhaan Nya, dengan tulang empat kerat dan mengalirkan keringat, kita sendiri yang mengusahakannya. Masakan kita berhutang kepada sepasang ‘berhala’ yang tidak bernyawa? Wajarkah kita bersifat “taksub” dengan kata-kata yang kununnya wajar ditafsir sebagai ‘titah-perentah’ atas momokan kaum mereka?

Jika tangan kita yang mengukir bentuk jasad ‘brhala’ itu; jika ia sudah lupus guna – masakan kita takut untuk mencampak dan menghumbankannya! Mengapa tidak diruntuhkan saja ia sejihad Nabi Ibrahim a.s. yang mencincang “bapak berhala dan anak-cucu” nya?

Akhir kata: Tidakkah sudah sampai giliran kita pula kini untuk menyangkutkan sebilah ‘kapak’ di telinga “patung-berhala” itu? Pasti, selepas itu, dunia yang akan didiami oleh anak-cucu kita akan lebih makmur, selamat dan sejahtera!!

Jika tidak dimulakan sekarang, kemungkinan kita TIDAK akan mampu melakukan sampai bila-bila.

Salan dan hormat dari
Amin Sapiro

Dipetik : http://www.mach.org/members/telukkemang/wwwboard/index.html


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com