Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


MAHATHIR DAN UMNO/BN DI AMBANG KEHANCURAN YANG NYATA

Dipetik daripada :
Laman Fitnah e-UMNO


Berikut ini kami siarkan artikel Wak Amin yang ditranskripkan daripada pita rakaman dan dikirimkan kepada FeU melalui insan perantara. Sama-samalah kita doakan kesejahteraan Wak Amin.
Apa lagi yang harus digembar-gemburkan oleh Mahathir, UMNO dan BN? Biarlah berjuta alasan dimuntahkan sekalipun, jika nawaitu perbuatan itu tidak besertakan dengan niat yang ikhlas, jujur dan sehaluan dengan tuntutan rakyat; maka kalian nantikan sahajalah saat-saat kehancuran.

Kebenaran UMNO Sudah Hilang

Musibah bikinan Mahathir Mohamad mempunah-ranahkan identiti UMNO “Asal”. Memang pada mula UMNO ditubuhkan atas tuntutan bangsa memperjuangkan Kemerdekaan. Tetapi setelah bangsa Melayu bertungkus lumus menegakkan Kemerdekaan tanahair, bangsa dan agama, datanglah seorang pemimpin yang telah terbuang ke longkang dari saka-baka zuriat pendatang haram merebut kuasa dari tangan orang Melayu.

Cuma dengan sebuah buku hikmatnya berjudul “Dilema Melayu”, rata-rata orang Melayu dikelirukan umpama Yahudi mengakui bahawa ‘dirinya’ saja yang dianugerah Tuhannya dengan kelebihan pembela umat!! Disajikanlah pelbagai resepi keramat, impian dan kebanggaan. Ditaburlah pelbagai janji yang bukan-bukan. Maka nampaklah, yang haram dihalalkan. Akhirnya ramai orang Melayu dihambat dosa dan kemunafikan hingga keliru tidak dapat membezakan antara yang haram dan yang halal.

Apa jadi sesudah itu? Dalam tempoh yang singkat satu demi satu pemimpin berbaka Melayu disingkir dan tendang. Hampir semua pemimpin Melayu yang berpotensi memusnahkan peluang memimpin bangsa menyambung wadah nenek moyang kita.

Dengan itu, tertegaklah prinsip membela nasib orang perseorangan. Barisan Nasional yang berasal dari ikatan ‘setiakawan’ hilang identiti bertukar menjadi parti yang menegakkan unsur Penjajahan. Masing-masing yang bergelar pemimpin tiada urusan lain melainkan melakukan perkosaan terhadap hak asasi rakyat, merogoh setiap titis keringat dan darah rakyat – diperah dan dihisap. Terbatal dan terkuburlah piagam UMNO “Asal”. Digantilah dengan UMNO “Baru”. Berlakulah proses “PemBARUAan” yang berkepanjangan. Mahathir menjadi perancang di samping mencambah tumbuh kelompok mereka yang berkepentingan.

Rakyat kian dibelenggu dengan pelbagai Akta dan Peraturan yang bukan-bukan. Setiap sumber rezki dikawal dan disekat. Pendidikan anak watan dicagarkan, usaha berdikari dan keusahawanan bangsa Melayu dinafikan, agama Islam disekularkan!! Orang Melayu makin papa di celah kekayaan kaum mendatang yang dimanjakan. Itu dasar “UMNO Barua”.

Identiti Melayu Ikut Hilang

Kian lama kian hilang identiti bangsa Melayu dijual-beli oleh pemimpin yang terpesona dengan hasutan dan termakan racun “penjajahan”. Mahathir Mohamad terus merancang. Perbidalan Melayu, “tak dapat tanduk telinga dipulas”. Ia merancang untuk memusnahkan kekuatan orang Melayu melalui pegangan agama kita – Agama Islam. Hasutan beliau dengan bantuan jongos-jongosnya sudah melampaui batas. Telah dikenalpasti individu segolongan mereka untuk memutar kepala dan minda anak-anak, pelajar dan mahasiswa Melayu supaya berfikiran terbuka dengan mensekularkan Islam. Jentera awam dan media massa menjadi saluran.

Ramai yang menceritakan kepada saya, bukannya sedikit yang tertanya-tanya ke manakah hala tuju yang sebenarnya UMNO telah difokuskan sekarang. Menderita saya untuk mendengar keluhan mereka. Tidak ada jawapan dari saya!!

Rata-rata mereka beranggapan betapa dahsyatnya kemusnahan bakal dialami oleh orang Melayu – Ketuanan dan Kekuatan agama kita dalam pembentukan sebuah bangsa yang berwibawa. Mahathir merancang: menjelang tahun 2020, bangsa Melayu akan hilang identiti keMelayuannya, andainya UMNO dan Barisan Nasional masih berkuasa. Objektif ‘Wawasan 2020’ Mahathir adalah bertujuan merobah status bangsa Melayu dari pemegang hak dan amanah Kemerdekaan kepada antara kaum yang kehilangan hak itu.

Mahathir akan mempasti supaya semua komponen Pembangkang akan berstatus parti “Serpihan”. Sesiapa juga menggantikan Mahathir sudah diprogram begitu rupa supaya mempertahankan status quo dan dasar yang diwariskannya. Sekiranya Presiden menyalahi apa juga yang dimanahkan, serta-merta orang itu akan disingkirkan. Naib Presiden akan menggantikan. Bermakna setiap pemimpin tidak dapat lari dari dipantau, dan diperhatikan. Sistem “check and balance” ini akan berfungsi dan beroperasi sepenuhnya sebaik saja Mahathir mati. Sistem baru itu akan berjalan.

Hematnya inilah sistem yang menyerupai “Komunis”. Ahli-ahli yang menganggotai UMNO dan BN akan hilang hak menetukan halatuju dan objektif parti, bangsa dan kekuatan agama. UMNO tidak lagi berkesan sebagai parti Melayu, khususnya untuk membela umat Melayu.

Oleh itu, bagi orang Melayu yang mahu dikeliru, dibelenggu dan dikongkong oleh ideologi yang akan memusnahkan ketuanan Melayu dan kebesaran agama Allah, wajar berbalik semula kepad sejarah perjuangan yang asas.

Jika terpaksa bermandikan darah – “titis ditampung curah ditadah”. Serahkan jihad kerana Allah. Ingat bahawa 500 tahun negara ini dijajah, masakan Mahathir seorang dan segelintir mereka yang korup akan memusnahkan hasrat 10 juta orang Melayu dan ratusan generasi yang akan datang.

Orang Melayu Akan Terus Malang

Sebelum merdeka orang Melayu kaum paling malang. Nenek moyang kita telah menunaikan tanggungjawab terhadap cita-cita setiap anak-cucunya yang inginkan kemerdekaan. Digemblenglah setiap tenaga dengan semangat nasionalisme. Diangkatlah senjata dan digemblenglah semangat anak-anak bangsa menentang gejala Komunis dan onar hasutan luar. Ratusan ribu para jihad terkorban, puluhan nasionalis Melayu dikebumikan. Jika tidak kerana wujudnya jihad pengorbanan tenaga mereka, orang-orang Melayu hari ini, di negara ini tidak lebih dari “melukut di tepi gantang”.

Tetapi, setelah negara makmur dan orang Melayu insaf kemundurannya, ada satu puak yang menjadi petualang memusnahkan kita semula. Jika sejarah membuktikan dengan nyata bahawa semangat dan kepimpinan tenaga muda mampu mewujudkan satu bangsa Melayu yang kukuh, bertenaga dan bersemangat; pada hari ini, api yang mula bernyala-nyala jangan sekali-kali dibiarkan padam. Buangkan segala keremehan dan titik-bengek serta perbedaan. Nyalakan semula obor semangat pejuang-pejuang kebangsaan Melayu dalam tahun-tahun sebelum negara mencapai Kemerdekaan. Kita sedang berhadap dengan musuh yang sama dan yang satu!! UMNO dan dalang-dalang Mahathir itulah!!

UMNO “Baru” bukan untuk orang Melayu. Jangan percaya, jangan keliru kununnya peristiwa sejarah UMNO yang diwarwarkan oleh Mahathir dan jongos-jongosnya adalah urutan dari sejarah silam. UMNO “Lama” sudah terkubur pada tahun 1988. Sudah padam.

Terlalu banyak perkembangan terbaru yang tidak sehaluan dengan hasrat dan kemahuan orang Melayu yang dirangkum oleh Mahathir. Memang tidak ramai orang Melayu yang memahami sejarah Kemerdekaan bangsanya. Ke dalam minda generasi baru wajib dipahatkan bahawa UMNO/BN yang dipimpin Mahathir akan memusnahkan sebahagian besar perjuangan orang Melayu zaman berzaman.

Oleh itu, sudah sampai ketikanya, jika orang Melayu benar-benar menghayati dan memahami segala implikasi perkembangan politik semasa; demi survival bangsa Melayu – orang Melayu wajib mempertahan bangsa dan agama sebagai puak yang berjihad mati-matian!!

Pemimpin Bodoh Sombong Akan Kecundang

Makin hari mendatang, muncul golongan-golongan pemimpin dalam UMNO yang bodoh sombong menidakkan ketuanan orang Melayu dan keunggulan agama Islam. Makin berani pula mereka meracuni minda dan pemikiran kaum Melayu dan rakyat amnya. Pelbagai asas Islam yang amat pasti dipertikaikan.

Mahathir menggelarkan dirinya pemimpin sebuah parti bertahap nasionalis dengan membangkitkan isu “PM buikan-Melayu”. Apa yang sebenarnya berlaku, Mahathir sengaja menghasut rakyat supaya menutup maruahnya yang telah habis-kikis. Perjuangan UMNO yang diterajuinya cuba setakat untuk memberi nikmat kepada dirinya, anak-anak, suku-sakat dan kroninyua sahaja.

Apa yang lebih menyedihkan, dalam usia UMNO “Baru” sejak 13 tahun lampau, ledaksan ekonomi dunia yang makmur memberi Mahathir dan sekongkolnya kemampuan mengaut setiap nikmat yang tidak hak baginya. Hari ini rakyat baru sedar bahawa Mahathir dan UMNO/BN sudah tidak relevan lagi untuk diangkat dan disanjung. Perpanjangkan serangan atas faktor-faktor kelemahan UMNO/BN dalam Pilihanraya ke-10 dulu.

Sebagai Pembangkang, jangan fikir kita akan terus-menerus di petak sempit di Parlimen. Hingga ke saat ini, Mahathir dan UMNO/BN tidak habis-habis menongkah arus. Gelombang dan badai sudah bermula, perjuangan Pembangkang dinilai rakyat sebagai perjuangan menegakkan kemerdekaan Kali Ke-2. Rakyat tidak mau lagi sekadar retorika yang mengila-gila sahaja. Rakyat mahu penyertaan yang direncana!!

Pasti UMNO/BN akan menyaksikan lebih ramai lagi pemimpin Pembangkang dan rakyat bertindak menyingkirkan pemimpin UMNO/BN dan mereka yang sudah termakan “habuk-habuk candu duitan”. Pastikan mereka akan kecewa dan tidak dipercayai kedua-dua pihak.

Jika rakyat di negara dididik supaya melihat politik bangsa dengan matang dan tidak mudah dikelirukan dengan dakyah palsu puak UMNO; insyAllah perjuangan menegakkan Keadilan dan menumbangkan Kezaliman akan di pihak kita menjelang 2003/4.

Tetapi syarat utama, rakyat akan hanya percaya dan benar-benar yakin sekiranya setiap pemimpin Pebangkang tidak HANYA asyik mengahabis masa berceramah tanpa bersama-sama rakyat merancanakan aktiviti luaran. Rakyat mahu melihat nasib mereka dibela. Terjemahkan semua aspek isu berbangkit dan perjuangan melampaui isu Anwar. Anwar adalah permata bagi rakyat. Jadikan Anwar sebagai madu dan Mahathir sebagai racun kepada rakyat.

Orang Melayu Wajar Insaf

Insafkan orang-orang Melayu bahawa Islam dan cita-cita keagamaan yang suci dan murni, nasionalisme telah diperlemahkan oleh dasar dan karenah pemimpin UMNO. Dengan membandingkan kedua-duanya, sokongan rakyat akan terus kukuh dan kuat, insyaAllah.

Rakyat tidak perlukan tokoh-tokoh politik yang hebat dalam UMNO untuk memujuk mereka. Pendidikan dan rasional minda rakyat sudah tahu membedakan antara ‘intan dan kaca’. Walaupun ada dalam UMNO para alim ulama dan pemikir Islam yang dulunya berwibawa, tetapi kerana mereka tidak ada lagi nasionalisme Melayu, mereka sanggup dijual murahan ‘sekupang dua’ saja.

Kita berharap PAS akan terus menjana tenaga merangsang minda rakyat. Jangan pula ada pemimpin mereka “lebih cakap kurang buat”. Rakyat akan terkeliru jika tafsiran pemimpin Islam dalam PAS tidak mengotai kata sepakat. Belajarlah dari pengalaman dua zaman, PAS sendiri telah terperangkap. UMNO hari ini adalah satu tenaga dan kekuatan yang sukar diyakini kata-kata dan perjanjian mereka. Tindak-tanduk UMNO hanya bertujuan satu haluan sahaja, iaitu untuk memusnah Pembangkang hingga hancur berkecai tidak bangkit lagi!!

Orang Melayu Mahu Perobahan Total

Ingatlah bahawa setiap orang Melayu dalam negara ini sudah sampai ke tahap ingin merobah kepimpinan negara secara total. Perahu dan pendayung di tangan kita, jika kecundang karamlah negara, bangsa dan agama!!

Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)
(Yang Terlantar di Katil ...... maaf Wak Amin, nombor katil terpaksa dipadamkan - FeU)
2 Julai 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com