Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PERJUANGAN PEMBANGKANG MEMBUKA RUANG RAKYAT BERSUARA LANTANG ..!!

RAKYAT makin nampak bahawa pelbagai tuduhan regim Mahathir terhadap Pembangkang makin tidak dapat dibuktikan di mahkamah.

Bermula dengan tuduhan aib terhadap Anwar hinggalah mengaitkan PAS dengan peristiwa al-Maunah; rakyat sudah menamakan rentetan kejadian itu (dalam bahasa mudah) sebagai siri “SANDIWARA UMNO” sahaja.

Regim Mahathir makin termalu – ‘malu alah’. Keadaan UMNO/BN makin parah – merudumkan reputasi Mahathir dan UMNO.

Perhatikan Agenda Seterusnya

Apabila Pemuda UMNO cuba menunjukkan “patriotik” pada waktu dan peristiwa yang salah; dengan menyusun dan melaksanakan “demo” di Putera Jaya dan di pekarangan bangunan Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur, rakyat makin sedar dan insaf. Slogan yang berbau perkauman, ugutan dan provokasi yang tidak diingini rakyat telah menimbulkan tafsiran yang berbagai-bagai.

Kemudian terdengar laungan sumbang seorang anak muda yang baru ‘menyisip keris di pinggang’ dan cuba pula berlagak sebagai ‘wira panglima’, mengakui sanggup ‘bermandi darah’ – UMNO makin terperuk dalam kancah masalah besar!

Semakin suasana dalam UMNO/BN yang harus dicerahkan secara tiba-tiba dikelamkan oleh kurangnya daya pengawalan nafsu pemimpinnya, maka berakhirlah dengan UMNO terluka, terpuruk dan parah.

Komponen BN makin sedar bahawa UMNO sedang menggunakan sentimen perkauman untuk menyelesaikan masalah dalaman yang mereka sendiri reka dan cipta.

“Pukulan Maut” terakhir terhadap UMNO dilakukan oleh Mahathir sendiri. Ucapan sambutan perajaan ulangtahun Kemerdekaan beliau yang tersiar dalam semua saluran TV, Radio dan mass-media telah membenamkan “paku terakhir” ke keranda UMNO dan BN. Kompnen BN sudah mengasyaki agenda “udang disebali batu” Mahathir sebenar. Rakyat makin berhati-hati dalam keresahan.

Senario tadi memperlihatkan betapa tersepitnya Mahathir, pemimpin UMNO, UMNO sebagai sebuah parti dan BN sebagai sebuah gabungan (coalition); menyebabkan barisan itu makin kecundang. Ini semua adalah kesan dari pelbagai perlakuan sumbang langkah UMNO yang bermula sejak Anwar dilucutkan semua jawatan oleh Mahathir dengan bantuan sebuah KONSPIRASI Politik yang tidak bermaruah.

Mahathir mungkin lupa, ditambah dengan keangkuhan mendadak dalam dirinya; mendorong beliau berfikir bahawa rakyat negara ini semudah itu beliau anggap bebal. Hematnya, Mahathir tersilap besar.

Sebaliknya, rakyat semua kaum di negara bermasyarakat majumuk yang sudah cukup terdidik dan terpelajar hingga wujud budaya politik toleransi, menghormati kepentingan sesama sendiri, kesanggupan bekerjasama, memahami keperluan dan objektif negara, dan seumpamanya; sekaligus mencabar beliau.

UMNO Tercicir 10 Tahun Kebelakang

Mahathir makin nampak masih tercicir 10 tahun kebelakang dalam konteks memahami hati dan budaya politik rakyat. Dikatakan 10 tahun kerana PAS di Kelantan telah mencerminkan persefahaman kaum sejak mengambilalih Kerajaan dari UMNO/BN.

Tafsiran itu makin jelas apabila Mahathir dilihat semacam mengigau dalam mimpi bilamana beliau mencetuskan ‘Krisis Perlembagaan kali Ke-2” (awal 90-an). Memang benar beliau berjaya menggerakkan emosi rakyat (khususnya orang Melayu) hingga sanggup mengubahpinda Perlembagaan Negara yang melibatkan ‘kekebalan raja-raja’ dan UMNO menganugerahkan kuasa itu kepada Mahathir (Presiden UMNO).

Tetapi kejadian pada 2 September 1998 tidak semudah itu beliau selesaikan walaupun bermati-matian menggerakkan emosi rakyat supaya mengutuk Anwar. Sebaliknya, Anwar yang dibuang dari parti dan dilucutkan jawatan melalui sebuah Konspirasi jelek lagi jijik, telah menemukan Mahathir “buku dengan ruas”.

Ketakburan Mahathir yang mengaku (kununnya) sokongan rakyat terhadap Anwar akan dapat dipadamkan dalam tempuh seminggu; akhirnya menampakkan gegagalan Mahathir, UMNO/BN paling memalukan.

Kesan yang nampak, dalam Pilihanraya November 1999 menyebabkan UMNO kalah teruk. Kerajaan UMNO/BN di Terengganu terkubur tanpa nisan! Beberapa MP Pembangkang bertambah dengan berlipat ganda. Yang makin menggusarkan UMNO/BN, selain dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan; negeri-negeri lain di Semenanjung sudah hampir dirogoh oleh Pembangkang.

Di Terengganu dan Kelantan, UMNO/BN dikenali rakyat sebagai Pembangkang. Tetapi status Pembangkang UMNO/BN di kedua buah negeri tersebut amat dhaif, berbanding dengan status Pembangkang di negeri-negeri lain yang hebat membelasah kerajaan UMNO/BN.

Sekarang rakyat sudah nampak nikmat dan manfaat mereka memilih Pembangkang dan meletakkan wakil-wakil Pembangkang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Wakil-wakil itu menjadi jurucakap dan penyambung lidah rakyat penuh amanah dan berhemah.

Di Selangor, asakan Pembangkang dengan kerjasama rakyat melalui LamanWeb Pro-Reformasi telah mendedahkan pelbagai skandal dan jenayah yang dilakukan oleh pemimpin dan ketua kerajaan terbabit.

Kesan dari pendedahan rakyat terhadap pelbagai kes-kes rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin regim Mahathir (termasuk beliau sendiri, suku-sakat, koni-proksi) telah menggegarkan kewibawaan regim itu. Akhirnya, Mahathir sudah hilang tempat mengadu.

Keberanian Bukan Calang-calang

Seperkara yang paling terpuji ialah keberanian yang bukan calang-calang yang ditunjukkan oleh pemimpin parti Pembangkang. Mereka menunjukkan kesanggupan yang sangat terpuji dengan mendepani regim Mahathir di mahkamah. Perjuangan mereka semata-mata demi “menegakkan Keadilan dan menumbangkan Kezaliman”. Hati rakyat sudah terimbau oleh ketulusan pengorbanan mereka!! Alhamdulillah…!!

Walaupun mereka tahu bahawa mereka mengambil risiko peribadi yang sangat tinggi, dan sebaliknya menduga akan menerima proses pengadilan yang tempang; namun sebagai memimpin yang berkeyakinan cukup tinggi – Mahathir wajar merasa malu kerana beliau “kecut-mecut” dan “menggigil kepala lutut” bila saman mengheret beliau ke mahkamah diserahkan kepada beliau. Itu baru setakat menjadi saksi, belum lagii mengahadapi satu senarai panjang pelbagai tuduhan!

Perbandingan itu amat ketara di mata rakyat banyak. Sekarang mereka dapat membedakan diantara kelompok “pemimpin mengisi mandat rakyat” dengan “pemimpin mengisi tembolok hingga padat”..!!

Ezam dan Azmin adalah diantara puluhan jaguh-jaguh KeADILan yang cukup matang dalam Barisan Alternatif. Secara terbuka mereka memperakukan bahawa semangat cintakan negara, bangsa dan agama itu adalah warisan dan didikan Anwar.

Rakyat sudah dapat menilai: jika pemimpin dalam kelompok Pembangkang begitu konsisten dengan perjuangan yang direstui rakyat, UMNO/BN sudah sahih tercicir jauh kebelakang.

Soalan Bakal Terjawab

Soalan yang masih belum terjawab, “Apakah UMNO dan sekongkol BN akan terbangun dari tidor lena, didendang dan dilalaikan oleh Mahathir dengan pelbagai RASUAH, PECAH AMANAH, perogohan Undang-undang yang berkesudahan rakyat dizalimi dan diragut Hak Asasi mereka? Jika belum teringin merobah diri, bila lagi?”.

Dengan perjuangan Pembangkang dan penyertaan rakyat yang makin ketara, pasti pada tahun 2003/4 ini – rakyat akan memberi satu jawapan yang berakhir – dengan UMNO/BN akan menemui kecelakaan paling besar!! Faham sajalah apa maksudnya, Insyaallah!!

Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO atas Pagar Berduri)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com