Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


AGENDA MAHATHIR DAN UMNO PATAH DI HUJUNG

Amin Sapiro (tengok cerita Ayam Laga Patah Taji)

KITA harus berterima kasih kepada Raja-raja Melayu dengan keptusan yang diambil baginda secara bersama yang menolak usul Dr. Mahathir yang disokong UMNO untuk melupuskan penggunaan perkataan “Islam” oleh sebarang pertubuhan dan persatuan di negara ini. Kita mengucapkan syukur kepada Allah swt yang Maha Kuasa yang membukakan hati umatnya yang berkuasa untuk menegakkan amanahNYA. Alhamdulillah… ya Rab…!!

Raja-Raja Melayu Sudah Tahu Agenda Mahathir?

Kita membaca ucapan YB Datuk Hj. Fadhil Nor, ketua Pembangkang, di Parlimen. Dalam perkara (4) di hujung ucapan beliau, satu perenggan panjang terlihat beliau menyentuh perkara mengenai “Peminggiran kedudukan dan peranan Islam dalam negara” ini.

Antara lain beliau berkata:

[[“… PAS berkeyakinan bahawa perpaduan nasional dan pemulihan keyakinan terhadap kerajaan BN akan dapat kita garap seandainya peranan dan kedudukan Islam dibela dalam negara ini. Islam sebagai sistem pemerintahan dan pendorong utama sistem akhlak dan moral yang tinggi jangan dibiarkan terpinggir.

Maka PAS mencadangkan supaya seluruh ummat Islam khasnya pihak yang memilikki kuasa dan kedudukan supaya senantiasa berusaha untuk meletakkan Islam pada kedudukan arus perdana bagi membolehkan Islam berperanan mengatur kehidupan bermasyarakat dan bernegara…”]]

Ucapan YB Datuk Hj. Fadhil Nor itu memang ringkas berbanding dengan isu dan usul UMNO dan Dr. Mahathir berhajat melupuskan perkataan “Islam” itu.

Lebih setahun para pemimpinan UMNO merancang strategi dan membuat pelbagai persediaan asas dan kenyataan yang menggila-gila mengenai isu ini. Perhimpunan UMNO pernah membuat keputusan yang amat dangkal. Rais Yatim juga pernah memberi gambaran yang cukup negatif hingga celupar mulut memberi gambaran kejadian di Iran yang menyebabkan Shah Iran tertolak oleh para ulamak.

Kenyataan Rais seumpama itu adalah menghina kebijaksanaan Raja-Raja Melayu selain dari bertujuan mengugut baginda Raja-Raja Melayu secara terbuka – satu perbuatan “menghasut” paling busuk.

Sewajarnya, Mahathir dan Rais adalah orang yang harus diheret ke mahkamah kerana terlibat secara langsung menggugat institusi dan kuasa Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Rakyat Faham Desperado Regim Mahathir

Rakyat faham, kerana kesuntukan masa yang diberi kepada Ketua Pembangkang itu, ucapan beliau harus singkat. Kita faham ruang masa yang diberi kepada Pembangkang di Parlimen dalam pemerintahan regim Mahathir.

Tetapi, nilai ucapan singkat YB Datuk Hj. Fadhil Nor itu amat tinggi makna dan ertinya. Orang Melayu Islam merasa bahawa harapan mereka sudah benar-benar diwakili, dan hak mereka betul-betul telah diperjuangkan oleh wakil Pembangkang yang menjadi pilihan mereka terkini.

Sebagai orang Melayu, kita mengerti bahawa regim Mahathir yang didokong oleh UMNO – walaupun mereka seharusnya lebih mengerti berperanan menegakkan Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaan negara; kerana selama ini Dr. Mahathir telah mengkaburi penggunakan “Islam” dan memutarbelitkan “Islam” sebagai alat kepentingan politik dan perlanjutan kuasa beliau; tidak salah jika orang Melayu merasa bahawa UMNO telah mengkhianati mereka. Agenda Mahathir-UMNO wajib dikekang serta-merta.

Implikasinya, semakin jelas kepada orang Melayu hingga keyakinan mereka semakin memuncak kini; bahawa Pembangkang Melayu wajib ditegakkan untuk menerajui Kerajaan dalam masa terdekat. Hasrat orang Melayu begitu bukan isu politik tetapi khusus berkisar dalam parimeter kesejahteraan sosial orang Melayu sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Kerana itu, kita berterima kasih kepada Raja-Raja Melayu yang telah mengambil keputusan yang sangat bijak itu. Orang Melayu Islam yakin, memang Dr. Mahathir dan UMNO sudah ketandusan modal untuk merarik orang Melayu menyokong parti sekularnya. Keputusan Raja-Raja Melayu telah menamatkan agenda Mahathir yang melampaui batas etika politik negara mengamalkan demokrasi.

UMNO Makin Terpinggir

Mahathir sudah lama dilihat sebagai “pelampau” dalam semua perkara. Usul beliau yang itupun adalah petanda bahawa UMNO di bawah pimpinan beliau sudah semakin pudar, terpinggir dan akan terus tersingkir dari lubuk hati orang Melayu Islam. Kerana itu, beliau dan partinya tidak peduli apa akan jadi kepada orang Melayu – implikasi kerakusan agenda beliau mahu terus berkuasa. Itu salah siapa? Salah Islamkah?

Memang tidak disangka-sangka pemimpin UMNO seperti Dr. Mahathir begitu nekad untuk memporak- perandakan negara dan masyarakat Melayu yang telah memberi beliau tempat, kedududkan dan kekayaan melimpah ruah. Jika ini cara beliau “berterima kasih” kepada orang Melayu, memang Mahathir cari nahas besar..!! Raja-Raja Melayu pasti sudah nampak apa akan jadi.

Pohon Pengisytiharan Oleh Raja-Raja Melayu

Keputusan Raja-Raja Melayu diberitakan menolak cadangan Mahathir dan UMNO itu telah melegakan hati rakyat. Malangnya ia cuma diketahui rakyat melalui akhbar saja.

Orang Melayu Islam masih ingat, selama hampir dua tahun, minda majoriti rakyat dan orang Melayu sudah dihasut oleh pemimpin UMNO supaya memandang Islam seolah-olah sebagai agama memecah-belah, kununnya atas perbuatan pemimpin PAS.

Padahal, apa yang sebenarnya berlaku, Dr. Mahathirlah pemimpin UMNO yang paling lancang mentafsirkan Islam sesuka hatinya. Orang Melayu masih sabar melihat agama Islam diperlekeh oleh pemimpin elit komponen BN tanpa sanggahan oleh pemimpin UMNO dan Ulamak sekongkol mereka.

Implikasinya, dalam keadaan tertentu, ada beberapa pemimpin BN kaum bukan Islam terdorong menganggap bahawa Islam itu boleh dibicarakan oleh mereka mengikut logik mereka. Pemimpin UMNO diam membisu seolah-olah mereka bersetuju. Inilah yang lebih menimbulkan masalah besar, bukan kenyataan pemimpin PAS.

Pemimpin PAS Bersama Orang Melayu

Sehubungan itu, ucapan YB Datuk Hj Fadhil Nor amat relevan dalam konteks ini, yang menyebut:

[[“….PAS mencadangkan supaya seluruh ummat Islam khasnya pihak yang memilikki kuasa dan kedudukan supaya senantiasa berusaha untuk meletakkan Islam pada kedudukan arus perdana bagi membolehkan Islam berperanan mengatur kehidupan bermasyarakat dan bernegara…”]]

Bermakna, Pembangkang Melayu yang mewakili majoriti orang Melayu berharap supaya agama Islam tidak semudah itu dibiarkan oleh baginda Raja-Raja Melayu diperlekeh sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak yang tidak arif mengenainya. Andainya perkara yang dinyatakan itu dibiarkan berpanjangan, keharmonian kaum yang dipupuk bertahun dengan penuh toleransi akan berakhir dengan malapetaka yang sukar dibaiki sampai bila-bila.

Oleh itu, amatlah wajar baginda Raja-raja Melayu memperkenankan satu pengisytiharan rasmi dan terbuka dari Majlis Raja-Raja Melayu berthabit keputusan itu. Sebaik-baiknya, pengisytiharan itu dilakukan melalui media elektronik seperti lain-lain pengisytiharan oleh Raja-Raja Melayu selari dengan fungsi baginda.

Perlunya Satu Pengisytiharan Terbuka

Rakyat berharap satu Kertas Pengisytiharan dibuat untuk disebarkan ke seluruh negara untuk bacaan dan simpanan rakyat. Setakat mengharapkan ulasan media arus perdana UMNO, seringkali terjadi isu-isu seperti ini kerap diputar-belitkan. Ini akan menyusahkan rakyat memahami perkara sebenar.

Dengan itu, adalah dirasakan perlu satu pengisytiharan rasmi dari pihak Raja-Raja Melayu, kerana usul Dr. Mahathir dan UMNO itu membawa DUA tafsiran yang sangat buruk:

Pertama: Usul itu adalah bertentangan dengan roh Perlembagaan Negara kita terhadap Islam sebagai agama rasmi.

Jika sebuah parti seperti UMNO yang seharusnya mendokong inspirasi orang Melayu yang rata-rata Islam telah beragenda pula dan bertentangan dengan perlembagaan negara; bermakna Perlembagaan Negara yang menjunjung kedaulatan Islam telah digugat oleh parti yang memerintah ini. Pengisytiharan keputusan itu oleh Raja-Raja Melayu wajib dilakukan bagi menghilangkan keraguan rakyat yang sudah lama “memanas” telinga. Rakyat berhak dimaklumakan dengan rasmi.

Tambahan pula, rakyat sudah sekian lama diasuh, dididik, diugut dan dimomokkan oleh pemimpin UMNO berjawatan melalui puluhan kenyataan mereka secara terbuka. Pemimpin UMNO begitu ligat memberi justifikasi yang mengelirukan dan bukan-bukan terhadap usul parti mereka itu.

Dengan Pengisytiharan itu, kegundahan rakyat, khususnya orang Melayu, akan kembali reda. Tekanan jiwa umat Islam di negara ini akan pulih seperti sedia kala.

Kedua, orang Melayu Islam di negara ini sungguh-sungguh malu kepada negara-negara Islam seluruh dunia kerana imej negara ini sebagai sebuah negara Islam sudah terjejas dan tercemar teruk kesan dari usul yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir dan UMNO (parti Melayu). Dengan pengisytiharan rasmi itu, kedaulatan bangsa dan agama Islam akan pulih seperti sediakala, insyaAllah.

Peringatan Terakhir

UMNO dan Dr. Mahathir akan dapat diberi ingatan terakhir bahawa orang Melayu adalah satu bangsa yang berdaulat, terlindung dan dilindungi oleh Raja-Raja mereka. Jika beliau dan partinya terlalu cenderung mempolitikkan agama sebagai kaedah mendapat kuasa dan sokongan rakyat; eloklah jangan sekali-kali meragam-karenahkan Islam yang sudah bertapak di negara ini sejak 400 tahun lebih sewenang hati mereka.

Kerana Dr. Mahathir memang terkenal sebagai seorang yang degil dan berkesanggupan melakukan apa saja demi mencapai hasrat dan cita-cita buruknya; rakyat sudah menduga beliau tidak akan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

Agenda beliau pasti akan “diletupkan” dalam bentuk-bentuk lain. Dengan itu, orang Melayu wajar berwaspada supaya apa juga momokan Mahathir dan UMNO berhubung-kait dengan isu dan keputusan Raja-Raja Melayu hendaklah dinafikan.

Sebagai peringatan, andainya Mahathir dan UMNO mahu terus berpolitik, eloklah mereka mencari modal politik dan ikhtiar yang sehat dan sehaluan dengan budaya dan kemahuan rakyat.

Islam Bukan Kepunyaan Mahathir

Bagi orang Melayu, walaupun UMNO terhapus dari bumi negara ini – namun orang Melayu mahu terus menganut agamanya sebagai unsur penegak kekuatan bangsa. Orang Melayu semakin nampak agama Islam semakin diUMNOkan. Lebih teruk lagi, Islam sudah cuba diMAHATHIRkan. Ini amat mengelirukan..!!!!

UMNO adalah ciptaan manusia dan Dr. Mahathir akan mati dan terhapus dari alam ini. Kerana itu, masakan kedaulatan agama orang Melayu wajar terhapus bersama mereka juga. Apatahlagi, UMNO dan Mahathir masih tinggal nyawa-nyawa ikan, masakan orang Melayu sanggup membiarkan Islam dihapuskan sebelum mereka mati!

Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO berkerat Rotan)


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com