Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


UMNO/BN – AKAN SENASIB DENGAN TITANIC DAN HINDENBERG…??

Amin Sapiro (UMNO sedang berenang di gurun pasir)

REAKSI pemimpin UMNO terhadap saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilaporkan sebagai berkata: ‘Pas tidak perlu wujud jika UMNO menerima pakai keseluruhan sistem berlandaskan Islam sebagai dasar perjuangan parti itu’; nampaknya telah membuat pemimpin UMNO semacam gelabah sakan.

TG Nik Aziz seterusnya dilaporkan sebagai berkata: ‘Kesediaan UMNO berbuat demikian akan mendorong penyelesaian sepenuhnya masalah perpaduan di kalangan orang Melayu di negara ini’.

TPM Abdullah Ahmad Badawi membalas sebagai jawapan dengan berkata, “UMNO sentiasa menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya sejak merdeka hingga sekarang walaupun parti itu menggunakan nama Melayu dan bukannya Islam.”

Kunci Perpaduan Melayu Di Tangan PAS/BA

Betitik-tolak dari senario ‘gayung bersambut, kata bersahut’ dari pemimpin UMNO itu, orang Melayu Islam di Negara ini sudah dapat membaca dengan jelas alasan sebenar mengapa Mahathir dan UMNO beriya-iya dan bermati-matian benar mahu perkataan “Islam” itu digugurkan dari semua persatuan dan pertubuhan.

Motif Mahathir terdedah sekarang bahawa beliau dan UMNO beragenda mahu melumpuhkan PAS. Dengan pengguguran perkataan ‘Islam’ itu dari parti tersebut, mereka berharap orang Melayu akan kembali menyokong UMNO yang semakin parah.

Sangkaan mereka, jika PAS ‘kehilangan’ perkataan ‘keramat’ itu, parti itu akan luntur pengaruhnya dikalangan orang Melayu. Dengan itu UMNO akan tegakkan sebagai parti juara yang memperjuangkan hak orang Melayu dan hak orang Islam. Itu adalah impian Mahathir dan sekongkol UMNO.

Jika benar itu tanggapan Mahathir dan pemimpin UMNO; maka kesimpulannya adalah mudah, iaitu: Mahathir dan UMNO sudah betul-betul sewel, bacol dan bebal. Mereka sedang bermimpi dan mengingau di siang hari.

Dollah Badawi boleh mendabek dada dengan berkata, “UMNO sentiasa menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya sejak merdeka hingga sekarang walaupun parti itu menggunakan nama Melayu dan bukannya Islam”. Tetapi orang Melayu dan orang Islam mempunyai penilaian sendiri terhadap arus perjuangan UMNO. Orang Melayu tidak sebuta 20 tahun dulu.

Kebelakangan ini, Parti itu (UMNO) sudah dinilai oleh orang Melayu sebagai terlalu jauh menyimpang dari perjuangan menegakkan kepentingan orang Melayu dan kedaulatan Islam. Malah, orang Melayu Islam masih tertanya-tanya pelbagai soalan yang masih belum terjawap oleh semua pemimpin UMNO. Akhirnya, jawapan dan perakuan Dollah itu tidak lebih dari “indah khabar dari rupa” semata-mata.

Majoriti Orang Melayu Garu Kepala

Undur sikit ke belakang, UMNO “Asal” sebelum dikuburkan oleh Mahathir dan sekongkolnya dalam UMNO dan regu Ku Li-Rais Yatim 14 tahun lalu, memang begitulah keadaannya. Tetapi itu adalah cerita lama yang sudah lupus dalam sejarah yang didukung oleh bekas pejuang Anti-Malayan Union.

Tun Ghaffar tentu lebih mengerti bahawa perjuangan pemimpin UMNO hari ini (selepas Dr. Mahathir me”mamak-malbari”kan UMNO “Baru(A)); orang Melayu sudah kehilangan banyak hak dan kedaulatan mereka. Itu semua adalah angkara Mahathir dan pemimpin terkini yang bersekongkol.

Pertama dan terpenting, UMNO Baru yang diterajui Mahathir sudah kehilangan wadah perjuangan sebenar. Perlembagaan batang tubuh UMNO sudah diubah-pinda total – hingga ramai mentafsirkannya sebagai parti menciplak cetak rompak nama “UMNO” tetapi telah di “Baru(A)”kan oleh Mahathir (dengan sokongan pemimpin pilihan beliau) demi kepentingan beliau (Mahathir).

Mahathir bersikap kacang lupakan kulit. Mahathir membiarkan UMNO kehilangan dayasaing. Buktinya, Mahathir memusnahkan unsur demokrasi dalam UMNO dengan melupuskan pertandingan untuk diri beliau sebagai Presiden party. Beliau “menang tanpa dipertandingkan”. Ini berbeda dengan “menang tanpa bertanding”. Itu bukan lagi cara amalan Islam.

Amalan Islam adalah jelas, Khalifah yang berempat dilantik atas persetujuan ummah tanpa calun-calun itu membunuh keterampilan saingannya, jauh sekali dari mengaib-fitnah saingannya.

Tetapi Mahathir telah mengatur sebuah KONSPIRASI mega untuk memusnahkan Anwar – seorang calun berkarisma hebat dan berkemampuan melebehi kewibawaan Mahathir. Rakyat semua kaum memperakukan beliau sebagai bakal menggantikan beliau (Mahathir).

Lebih-lebih lagi, Mahathir dan UMNO mahu Anwar kehilangan nyawa setelah dicederakan oleh Rahim Nor seteruk itu; dan Mahathir berkarenah supaya Anwar tidak dibenarkan menerima rawatan sempurna. Inilah yang menyebabkan majoriti orang Melayu garu kepala dan tertanya-tanya: Islamkah amalan UMNO jika begitu?

Orang Melayu “Kecewa” Dibawah Naungan UMNO

Sebagai penganut Islam, orang Melayu sangat-sangat mengharapkan UMNO terus menegakkan syiar Islam secara berkesan tanpa memilih bulu dan fahaman politik kepartian.

Tetapi, setelah PAS berjaya menawan Kelantan dan Terengganu melalui proses demokrasi yang diperakukan oleh Perlembagaan Negara; pemimpin UMNO melaksanakan pelbagai dasar dan pelaksanaan dasar yang membunuh kemajuan orang Melayu (rata-rata beragama Islam).

UMNO memecah perjanjian hingga Royalti Minyak Terengganu dikaut oleh pemimpin UMNO dan gunakan untuk menubuhkan satu sistem dua-pentadbiran di Terengganu. Elemen “tidak menepati perjanjian” bukan amalan Islam. Yang orang Melayu dan Islam tahu perbuatan itu adalah budaya YAHUDI laknatullah..!! Islamkah dasar regim Mahatir ini?

Di Kelantan, kita boleh tanya YAB TG Nik Aziz, adakah regim Mahathir yang didukung UMNO menyerahkan per kapita grant yang hak bagi rakyat negeri itu mengikut sepertinya? Mengapakah pemimpin UMNO tidak merasa bersalah kepada orang Melayu dan orang Islam disana kerana menyekat pemberian subsidi yang diperlukan rakyat yang rata-rata kaum petani?

Tidakkah dalam Islam terang-terang menuntut pemerentah membantu kelompok rakyat yang miskin tanpa mengira fahaman politik dan dan kaum? Tidakkah Islam menegah segala perbuatan menganiaya? Mengapa pemimpin UMNO bergembira melihat rakyat Kelantan dan orang Melayu beragama Islam meminta-minta? Dasar apakah yang diamalkan UMNO ini?

UMNO: “Islam Pada Nama” Saja

Orang Melayu sudah semakin sedar, faham dan insaf sekarang bahawa sikap pemimpin UMNO memang pandai bercakap tak serupa bikin. Presiden UMNO, lidahnya bercabang. Beliau menggunting dalam lipatan. Telunjuk lurus kelingking berkait.

Fikirkan ini: Dr. Mahathir pernah berkata, “Jika seseorang pemimpin itu terlalu lama menjawatan jawatan yang berkuasa, orang itu akan cenderung melakukan rasuah dan penyelewengan”.

Hematnya, memang cakap Mahathir itu betul, terang dan benar. Tetapi siapakah orang itu? Tidakkah Mahathir yang bercakap itu juga orang yang melakukan seperti saranan beliau?.

Buktinya, tidakkah berpuluh kes Rasuah dan Penyelewengan bernilai ratusan billion ringgit dilaporkan oleh Pembangkang @ rakyat mengenai rasuah Mahathir kepada polis? Kita boleh semak semua laporan Ezam, Mahfoz. Kita boleh rujuk apa Datuk Shafie Yahya kata di mahkamah. Apa sudah jadi? Tak ada kes kah?

Bertanya kita: Apakah nilai Islam yang diperjuangkan UMNO jika (sehingga hari ini) hanya Datuk Fauzi Rahman saja yang tegak dengan semangat PERWIRA melaporkan rasuah Khalil Yaakob? Yang lain itu mana dia? Menyorok celah kangkang bini saja ke?

Itupun kita tidak tau apa nasib yang akan menimpa beliau akhirnya. Apakah Fauzi akan diheret ke mahkamah belantara Mahathir dengan tuduhan meliwat juga?

Nasib UMNO Umpama Sebuah “HINDEDBERG”

Jika pemimpin UMNO masih berkeras mengakui perjuangan menegakkan Islam oleh UMNO, rakyat tidak peduli dan juga tidak akan menegah mereka mengakui ‘apa yang tidak ada pada mereka’.

Orang Melayu sudah tahu menilai yang mana intan dan yang mana kaca. UMNO boleh mendabek dada. Orang Melayu dan orang Islam tidak acuh sedikit jua pun walau UMNO dabek dada hingga patah tulang selangka. Orang Melayu peduli apa….!!

Tetapi makin jelas sekarang, jika UMNO terlalu besar ‘gelembong’ hingga menjadi sebuah belon terbang walau segagah “Hindenberg” sekalipun; akhirnya belon UMNO yang kosong dan merbahaya itu akan meletop dan akan terbakar di udara jua.

Jika UMNO/BN megah dengan kehebatannya, perlu diingat analogi ini: TITANIC pun boleh pecah menenggelamkan ribuan penumpang yang sedang bersenang-lenang tanpa memikirkan bahawa Allah swt menguasai setiap detik dan setiap maksiat yang mereka lakukan.

UMNO makin parah. Orang Melayu, orang Islam dan rakyat semua kaum sedang melihat proses pereputan BN yang semakin ketara. Selagi Mahathir menerajui UMNO/BN, dan selagi pemimpin UMNO seperti kerbau cucuk hidung; orang Melayu tidak perlu runsing apa-apa. Mereka akan terus berpadu di dalam BA sebagai parti pilihan.

Setakat ini Barisan Alternatif sedang meniti jembatan lurus luas terbentang untuk menggantkan BN di seberang sana, insyaAllah..!!

Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO berkerat Rotan)


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com