Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KEPERIHATINAN RAKYAT SUDAH SAMPAI KE TAHAP “KEMUNCAK”

Amin Sapiro (nampak Mahathir-UMNO/BN diliput kabus)

DARI gambaran yang terpapar pada hari pengkebumian Allahyarhamah Hjh. Mak Yan, bonda Datuk Seri Anwar Ibrahim, seseorang yang berada dalam suasana begitu akan merasa suatu kelainan yang amat menginsaf diri.

Hati Yang Luka Diubati Rakyat

Dari ribuan rakyat yang mengunjungi dan sukar ditaksir jumlah sebenar ke rumah Datuk Seri Anwar sejak sebelah malam hingga ghurub mata hari; seseorang pemerhati yang prihatin pasti akan merumuskan bahawa tanggapan rakyat terhadap Anwar sebagai pemimpin bukan semakin berkurangan malah berlipat ganda.

Hikmah kepulangan Allahyarhamah ke alam baqa’ dapat ditafsirkan sebagai satu khidmat terakhir seorang ibu kepada anak kandungnya. Seolah-olah ibu itu memberi petanda bahawa rakyat masing sayangkan anaknya.

Seolah-olah terdengar bonda beliau berbisik sayu semacam berkata: “Wahai anakku! RAKYAT yang diperjuangkan sungguh-sungguh memerlukan mu, wahai anakku.. Teruskanlah perjuangan ini. Roh bonda akan terus mendoakan kejayaan rakyat yang menegakkan Keadilan dan menumbangkan Kezaliman. Tegakkanlah Kebenaran oleh mu dengan bantuan semua rakyat dan rakan-rakan seperjuangan mu..!!

Semasa di tanah perkuburan, kita sempat melihat perbedaan fizikal Anwar kini dengan kelincahan beliau pada 20 September 1998. Pada waktu itu, Anwar betul-betul artikulet, penuh vigour, dan bertenaga. Hari ini, dengan pinggang berbalut dan berkerusi roda, beliau nampak semacam lemah.

Tetapi dari anak mata beliau, terpancar sinaran cahaya yang meransang kuat dan gigih bahawa “Perjuangan” beliau selama ini tidak pernah pudar seperti sangkaan Mahathir dan kuncu-kuncu UMNO yang bersekongkol menyiksa beliau.

Kehadiran ribuan pengunjung ke hari permakaman bonda beliau sudah cukup menggambarkan satu petanda sokongan paling sukar dipatahkan oleh musuh-musuh politik beliau. Puncanya: Perjuangan beliau adalah Perjuangan Rakyat..!!

Mahathir Semakin Kecewa

Seperti seorang Panglima yang berjuang dengan kelengkapan peperangan serba terkini, Mahathir amat kecewa dengan sokongan rakyat yang semakin hebat menyebelahi musuh politik beliau No.1 nya – ie. Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dari kelesuan Mahathir dan percambahan masalah parti yang menggugat keterampilan UMNO/BN sebagai peneraju yang memerentah; Mahathir semakin lemas, lemah dan tidak berupaya. Isu-isu politik, ekonomi dan sosial yang terbit dan sekarang sedang memamah ke tulang sumsum kesejahteraan rakyat jelata, Dr. Mahathir semakin dipersalahkan rakyat.

Rakyat semakin ramai menyalahkan beliau. Kerakusan kuasa dan tamak-haloba kepada harta dunia Mahathir adalah punca segala masalah yang menyebabkan negara porak-peranda.

Orang Melayu beragama Islam menyumpah-nyumpah kerana Mahathir merosakkan agama mereka dengan pelbagai karenah dan ragam. Mahathir cuba memperguna dan memutarbelitkan isu agama dan Islam semata-mata untuk kepentingan politik beliau.

Orang Melayu lemas dengan timbulnya cadangan “Perpaduan Melayu” yang diwarwarkan oleh Mahathir-UMNO. Parti itu bersikap bebal seperti “budak-budak jahat” yang cuba mencuri di dalam gelap. PAS telah memberi respon yang sehat dengan mengambil kira kepentingan rakyat semua kaum. Nampaknya Mahathir cuba memutarbelitkan ketulusan PAS dengan Mahathir cuba beragenda pula.

Mahathir dan UMNO cuba berdolak-dalek sejak dari mula dengan cuba mengelat dengan memperlekehkan kepentingan rakyat – menggunakan cadangan itu untuk kepentingan politik UMNO semata-mata.

Akhirnya, rakyat semua kaum – khususnya orang Melayu semakin terasa wujudnya agenda tersembunyi disebalik "perbincangan"”itu. Walaupun ia jadi juga dilaksanakan, sebarang kira-bicara yang diwarwarkan tidak akan merobah status quo “Penghijarahan orang Melayu menyokong parti Pembangkang”..!! Mahathir-UMNO akan kecundang.

Ekonomi Negara Semakin Merudum

Mahathir mungkin boleh berfatwa dengan 1001 falsafah dan formula dengan membentangkan pelbagai ‘rancangan bertindak’ untuk meransang ekonomi negara (konon). Baru-baru ini, di Parlimen Mahathir berlagak seperti pendekar “langkah sumbang” dengan maksud memancing rakyat (khususnya rakyat miskin) dengan berkata, “pendapat rakyat akan meningkat sekali ganda dalam tempoh 10 tahun”.

Mungkin Mahathir buat-buat lupa bahawa rakyat miskin sudah nampak apa jadi kepada Dasar Ekonomi Baru yang diwarisi beliau dari Tun Razak. Tidakkah selama 20 tahun Mahathir menerajui pemerentahan negara, DEB bertukar menjadi Dasar Ekonomi Baru(A) yang di bolot oleh “UMNOputera” yang memfaraitkan pula kepada puak Kroni pilihan dari kaum bukan Melayu berjenama “SuperBUMI”?

Semua Korporat-korporat bikinan Mahathir itu sekarang lingkop-muflis. Tidakkah pelbagai jenis BAILOT yang dilakukan itu ditampung dari titik peluh rakyat miskin yang mencarum di KWSP, KWP, Tabung Haji dan caruman simpanan peneroka FELDA?

Bandingkan apa jadi setelah harga getah dan kelapa sawit merudum tinggal tak berapa “duit”, apa habuan peneroka FELDA sebagai ganjaran yang dipaksa membayar “cess”? Tidakkah mereka diperdaya bulat-bulat, sementara anak-anak Mahathir dan Kroni pilihannya bersuka ria bertepuk tangan membelasah wang negara? Itu baru cerita kulit selerang saja, belum isi padu!!

Kepada Siapa Rakyat Mahu Mengadu?

Setakat ini rakyat tidak ada tempat hendak menyandar untung nasib. Seorang pejuang rakyat seperti Anwar yang diketahui prihatin sudah dikhianati, diaib dan dipenjarakan oleh regim Mahathir. Setakat ini, hanya Pembangkang Melayu sajalah tempat mereka menerima maklumat benar.

Malangnya, jumlah kerusi Parlimen belum sampai ketahap membolehkan mereka berkuasa penuh menerajui negara dan menguruskan pentadbiran.

Tetapi rakyat sudah nampak, Kerajaan pimpinan PAS/BA di Terengganu dan Kelantan sudah menampakkan kemajuan yang telus dan mampu memberi manfaat kepada rakyat. Walaupun Royalti Minyak Terangganu disekat dari nikmati oleh satu juta rakyat miskin disana; namun pentadbiran PAS/BA dibawah kendalian YAB TG. Hadi Awang tidak rasuah dan tidak melakukan pembolotan hak rakyat seperti puak UMNO yang di ketuai oleh Wan Mokhtar dulu.

Begitu juga rakyat Kelantan. Walaupun mereka dimiskinkan oleh Kerajaan Pusat dengan membebankan mereka dengan RM600 juta hutang lapok, namun YAB TG Nik Aziz tetap tabah bersama rakyat memberi khidmat cemerlang kepada golongan miskin.

Memang semakin nampak, Rancangan Mega pemimpin UMNO/BN – khusunya Mahathir Mohamad-Daim Zainuddin cuma setakat “besar gelembong” saja. Dalam keadaan terdesak, pemimpin UMNO/BN bermatian-matian menulis program yang diolah dalam perenggan-perenggan memuatkan kata-kata indah. Sebenarnya mereka cuma bermaksud untuk “membeli undi” saja. Semua “tipu-muslihat”.

Apa Yang Ditakuti Rakyat?

Jawabnya: BANYAK..! BANYAK..!! Antaranya:

Bila Mahathir dan UMNO/BN merancang pembangunan Ekonomi, semua pelan bertindak akan berakhir dengan peningkatan hutang negara ke angka ratusan billion. Kroni mereka kayaraya, rakyat akan papa membayar hutang hingga ke anak cucu.

Mahathir dan pemimpin UMNO/BN cuma tau merancang saja. Yang membolot rezki dan kemakmuran ialah “puak-puak mereka” saja. Rakyat marhain tinggal terkulat-kulat, terlopong mulut masuk langau. Pengusaha kecil akan terbiar mencari makan di warung-warung tepi jalan dan dikaki lima kedai mamak. Mereka akan terbiar begitu saja, tanpa sebarang pembelaan dari puak UMNO/BN yang gila-gila buat harta secara rasuah.

Komuniti yang berpendidikan akan terus makan gaji, walaupun mereka ada dayausaha mahu merobah profession menjadi usahawan. Tetapi, bila mereka cuma mendekati bank-bank yang kununnya bersedia memberi pinjaman – mereka diberitahu siang-siang, “duit sudah habis dipinjamankan kepada Korporat UMNO/BN”.

Bila hutang negara berlipat ganda, yang kena “dera” membayar adalah rakyat. Korporat UMNO akan membuat pelbagai projek Mega. Kebanyakan projek-projek itu akan terbengkalai. Puluhan darinya akan salahurus hingga jatuh muflls. Kepimpinan UMNO/BN akan akan meluluskan skima “Bailout” tanpa merujuk kepada rakyat. Mahathir sanggup menipu dan membohongi rakyat dengan memberi alasan, kununnya demi menjaga maruah negara. Sebetulnya, untuk menjaga “tembolok rakus” mereka.

PERJUANGAN Rakyat Semakin Berhasil

Pada 4 April 2000 kemarin, sempena tarikh permakaman bonda DS Anwar, Wira Rakyat itu sudah nampak bahawa rakyat masih gigih memperjuangkan hak mereka. Lungan REFORMASI dan ALLAHU AKBAR yang bergema yang beliau cetuskan dulu bukan semakin pudar, sebaliknya makin hebat dan bertenaga.

Mana-mana rakyat yang tidak sempat bersama menyaksikan suasana itu, kemungkinan besar akan melihat pita-pita rakaman yang akan disebarkan sebagai peransang semangat dan jiwa.

Orang Selatan Semenanjung dapat menyaksi melalui siaran Berita Perdana TV negara jiran bagaimana teransangnya semangat perpaduan rakyat (mewakili semua kaum) bila bertemu bersemuka dengan pemimpin kesayangan Mereka.

Keadaan itulah yang membuatkan Mahathir dan pemimpin UMNO/BN semakin sedar bahawa hari mereka memerentah sudah dibilang dengan jari. Mahathir cukup-cukup KECEWA – nasib UMNO/BN sudah dihujung tanduk!! Tempoh beliau “bertakhta” di mahligai Puterajaya semakin singkat. Mahathir cukup takut berpinda mahligai ke Sungai Buloh..!!

Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO berkerat Rotan)


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com