Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


DEMI KADILAN – SIAPAKAH MANGSA YANG WAJAR DIBANTU?

Amin Sapiro (Teringat nasib jiran setenggan)

KITA tersentak bila mendengar khabar bahawa sebanyak 77 buah rumah telah terbakar di Kampung Perangsang Permai (berhampiran Kg. Medan) petang Ahad 13hb Mei. Mungkin ramai diantara kita yang melihat kejadian itu. Tetapi lebih ramai yang melihat bara yang sudah padam – dipadamkan oleh pasukan bomba yang bertugas. Itu tugas mereka yang dijalankan dengan jujur tanpa memilih bulu.

Di wajar masing-masing yang menyaksikan kebakaran itu akan tersimbah kesedihan. Ada yang mencucurkan airmata pilu. Bagi yang setakat melihat dan tidak mengalaminya, tepat sangat bagai dikata, “berat mata memandang”. Bagi mereka yang mengalami kemalangan itu, “berat lagi bahu yang memikul”. Mereka setakat berlinang airmata saja. Tetapi airmata itu “jatuh ke dalam”; kata orang tua-tua yang bijak mencerminkan kesedihan yang tidak terhingga.

Siapa Yang Ketawa?

Bertanya kita: Ada atau tidak yang ketawa? Wallahu’alam, kita tidak tau. Tetapi bagi mereka yang berhati batu tidak akan merasa kepedihan yang ditanggung mereka yang malang itu. Maklumlah, manusia di dalam dunia ini banyak jenisnya. Ada yang suka melihat orang lain dalam kesusahan, apatahlagi jika kesusahan orang lain menjadi sumber kegembiraan mereka. Lebih-lebih lagi jika kesusahan orang lain menjanjikan keuntungan dan faedah diri kepada mereka. Itulah sifat dunia yang mengejar kebendaan. Kemanusiaan semakin tidak ada nilai.

Kebetulan saya ada di sana pada lewat petang. Niat saya pada asalnya hendak ke Pandamaran, Kelang untuk mengahdiri majlis kenduri kesyukuran seorang teman yang baru saja dikurniakan Allah swt seorang cahaya mata sulung setelah berumahtangga 11 tahun. Kerana kejadian itu melalui jalan saya akan pulang ke JB, terpanggil saya untuk singgah melawat, melihat dengan mata kepala.

Cerita Kesyukuran

Oh ya! (potong cerita sikit). Sedikit tentang teman saya yang baru dikurniakan Allah swt. anak sulung ini: Beliau suami-isteri adalah orang berada juga. Keadaan hidup mereka sekeluarga lebih dari selesa. Pendapatan selumayan itu sewajarnya termampu menyarai sebuah keluarga yang besar. Tempat kediamannya adalah sebuah banglo 2 tingkat tersergam indah, di kelilingi sebuah taman di perkarangan sebelah hadapan. Di belakangnya sebuah dusun buah-buahan di sebidang tanah seluas 5 ekar. Perabut rumah, tak payahlah cakap – saya rasa takut nak duduk di kerusi sofanya yang empuk gebu. Makumlah, saya orang kampung yang lebih selesa duduk di atas tikar mengkuang yang dianyam rapi berwarna putih.

Phobia Warna

Seorang teman pernah bertanya mengapa pilih warna-warna itu. Kalau diwarnakan dengan merah atau kuning, tidakkah akan menambah seri lagi?

Secara berseloroh saya menjawab, “Warna hijau PAS, warna biru laut KeADILan. Tak mungkin seganding dengan merah, kerana itu warna UMNO. Saya dah berkerat rotan dengan UMNO. Warna kuning, walaupun cantik digandingkan; tetapi itu warna “raja”. Saya bukan keturunan raja-raja. Jauh sekali kerabat raja-raja”. Kami gegak ketawa. Jadi, lebih tepat kalau warna putih macam itu.

Saya rasa tak bersalah bersikap begitu, kan? Mahathir sendiri phobia warna Hijau kerana meluat sangat dengan PAS. Jadi, tidaklah saya phobia warna merah-kuning. Sebabnya pun sama macam Mahathir gak. Kan zaman ini kita dilatih supaya menghayati “Kepimpinan Melalui Teladan”, kan? Haha… kena Madey “selepuk” ‘tang hidung “besau” nyeee…!!

Suatu Keganjilan

Berbalik kepada cerita teman saya yang berbanglo besar itu. Anak sulungnya ini diraikan dengan adat resam Melayu yang dilapik dengan amalan Islam. Kehadiran bayi yang didatangkan Allah swt ke dalam keluarganya di sambut dengan penuh tertib dan kesyukuran. Beliau mengatur sebuah kumpulan marhaban. Berzanji dialunkan oleh sekumpulan gadis-gadis dari sekolah agama yang ditempah khas untuk keraian itu. Orang kampung sekitar dijemput ke majlis kenduri itu. Tepung tawar celak-melak dilangirkan kepada bayi yang tak kenal dunia lagi. Begitulah meriahnya keduri beliau.

Tetapi yang ganjil dan tak pernah saya alami dulu sebelum ini ialah, sebuah khemah khas didirikan di tengah halaman berhampiran sebuah jambangan bunga. Sebuah pancaragam pemusiknya adalah 5 orang kurang penglihatan memainkan lagu-lagi Nasyid dari nyanyian Syarifah Aini. Khabarnya, kumpulan pemusik itu adalah sekeluarga orang cacat penglihatan yang bermain musik cari makan di kaki lima Jln. Tunku Abdul Rakman, KL. Khabarnya, tuan rumah sengaja menghargai kebolehan mereka

Tak kurang dari 60 – 70 orang di khemah yang besar itu berkumpulan dan sedang makan. Anak mereka ikut sama. Mereka memakai baju Melayu yang baru-baru belaka. Namun di wajah mereka yang gembira itu, tersembunyi keresahan jiwa. Saya tidak tahu mengapa.

Makin Hairan

Dalam kehairanan itu, saya bertanya kepada tuan rumah siapakah mereka. Dengan berbisik-bisik dia menjawab, “Mereka adalah jiran-jiran di kampung Taman Seri Setenggan di seberang sungai, di kawasan tanah Kerajaan. Merekalah yang banyak membantu kami semasa banjir dulu, bukan Wakil Rakyat UMNO” katanya besahaja. Saya geleng kepala.

Saya dapat tahu (bukan dia yang ceritakan), beliau menghadiah sepasang baju Melayu kepada tetamu lelaki dan se pasang baju kurung kepada isteri-isteri dan anak gadis mereka (jiran-jiran di kampung Taman Seri Setenggan) itu. Bagi kanak-kanak, dihadiah pakaian seragam untuk ke sekolah. Mereka dijadikan tetamu khas pada majlis itu.

Maka bergaullah tetamu sesama mereka – kecil-besar, tua-muda, yang berada dan penghuni Taman Seri Setenggan. Nampak kepada saya nikmat bersekaum dengan warga setinggan – bangsa kita yang seagama; cuma mereka kurang bernasib baik dari kebanyakan kita.

Kesah Yang Menjijikkan

Saya sempat mendengar seorang Wakil Rakyat (kebetulan saya kenal) sedang bercakap dengan seorang berperawakan seorang ahli korporat. Mereka berura-ura untuk mengambil tanah yang diduduki oleh saudara kita penghuni Taman Seri Setenggan itu. Untuk dimajukan, mengikut rancangan mereka.

“Kita boleh bina Flat. Jual Rm45,000 satu. Lain-lain kita bina banglo mewah dan rumah berkembar. Boleh buat duit nih..!!” kata si Korporat itu.

Wakil Rakyat itu menjawab, “OK. Esok datanglah ke pejabat. Kita bincang dengan MB”. Masing-masing nampak seperti biawak nampak anak ayam saja.

Saya kebetulan dalam kelompok berlima itu bertanya, “Apa kata kalau tak ada yang nak keluar dari tanah itu sebab tak sanggup membeli dengan Rm45 ribu sebuah?”

Si Korporat tadi pantas menjawab, “Tak mau keluar, kita upah orang bakar. Tak sanggup beli Rm45 ribu sebuah, kita jual kepada orang lain..!!” jawabnya.

“Bagaimana hidup mereka yang tak mampu itu..?” saya tanya lagi.

“Well. I’m sorry, that is not for me to answer. In corporate world, somebody has to be sacrificed. Mercy is not an igredient to make money…!” katanya membalas.

Saya terduduk. Termenung panjang. Rupa-rupanya inilah jenis orang yang akan gembira tersenyum lebar bila Kampung Perangsang Permai terbakar!!

Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO berkerat Rotan)


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com