Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


AWANG-AWANG TERCINTA - MOTIVASI UNTUK ANAK-ANAK

Oleh : Azhari(s)

MUKADDIMAH:

Ibu bapa yang dianugerahkan cahaya mata adalah antara manusia yang paling bahagia dengan rasa keberuntungan berbanding dengan sepasang suami isteri yang masih belum menikmati kurnia Ilahi ini (golongan ini disarankan supaya bersabar dengan ketentuan Allah SWT, sambil berusaha bertawakkal dan terus berdoa). Sudah tentu ada hikmah yang tersembunyi disebalik ketentuan Allah SWT ini. Bersyukurlah dengan kurniaan yang kita kecapi disamping terus menyedari bahawa ini semua adalah amanah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan ke atas kita sebagai manusia yang bergelar 'Khalifah' Allah di muka bumi ini, dengan tujuan untuk memakmurkan dunia ini dengan keadilan Ilahi.

Untuk melaksanakan tugas yang berat ini sudah tentulah manusia yang bergelar sebagai ibu bapa itu, semestinya terus mencari jalan yang mana harus dilalui untuk menuju matlamat yang dikehendaki oleh Allah SWT yang telah mencipta mereka, anak-anak mereka bahkan segala makhluk dan kejadian. Kejayaan cemerlang sudah tentu menagih usaha yang cemerlang dalam segala sudut. Segala pancaroba sepatutnya dijadikan jambatan ke arah mencapai matlamat yang murni ini.

Dalam kita melipat gandakan usaha menuju kecemerlangan diri dan keluarga bahkan untuk manusia seluruhnya, terdapat ramai lagi manusia durjana yang usaha mereka lebih canggih lagi jika dibandingkan dengan usaha kita dalam menghalang segala impian murni kita dari tercapai. Semua ini tidak kira samada ianya manusia atau syaitan atau apa sahaja, harus kita kenal pasti bahawa mereka adalah musuh kita, lalu memantapkan syakhsiah diri dengan segala benteng yang kukuh serta senjata yang ampuh untuk menghadapi mereka itu. Mereka inilah sebenarnya sedang mewarnai hidup dan kehidupan kita didunia ini, sehingga kita begitu kabur mengenai erti sebenar hidup dan kehidupan.

HIDUP DAN KEHIDUPAN

Hidup dan kehidupan ini memang sesuatu yang unik untuk ditakrifkan, dijelajahi, diterokai, justeru itu ia kadang-kala terlalu kompleks untuk difahami atau dimengerti, bahkan kadang- kadang ia terlalu seni untuk didefinisikan apatah lagi untuk diterjemahkan berupa sesuatu yang praktik. Ini menyebabkan rata-rata orang yang hidup dan menjalani kehidupan ini masih tercari-cari dalam keadaan meraba-raba, namun ada juga hidupan yang merasakan diri mereka benar-benar tahu, mengerti, faham, lalu mendatangkan berbagai takrif, definisi, mengikut perspektif mereka sendiri lalu menjelajahi, menerokai dan melakukan semahunya berdasarkan kaca mata mereka yang terlalu kabur untuk melihat kebenaran, apatah lagi pertunjuk dari "Yang Hidup lagi menghidupkan, Yang Tidak mati lagi Maha Berkuasa mematikan"(Allah SWT). Lantaran itu mereka dihukum oleh perspektif mereka sendiri, diperangkap oleh pendapat mereka yang dikemudikan oleh keegoan nafsu dan kemaharajalelaan akal mereka yang gagal berfungsi, kerana gagal dikendalikan oleh hati nurani, kerana kemurnian hati mereka telah dinodai oleh kemungkaran yang berakar umbi dalam jiwa mereka yang mengkufuri nikmat dan "Pemberi nikmat" itu sendiri.

Apapun pendapat mengenai hidup dan kehidupan ini hanyalah tekaan, bayangan dan angan- angan kosong yang didalangi oleh nafsu "lauwamah" dan minda yang sempit yang terumbang- ambing tanpa penyelesaian. Hanya "KALAM" yang diwartakan melalui satu warta yang tidak diragui lagi akan kebenarannya yang datang dari Yang Menghidupkan dan menunjukkan bagaimana kehidupan ini harus dilalui sahaja, yang layak dipercayai kebenarannya yang unggul lagi "syumul".

Ini jelas meyakinkan kita bahawa apapun tanggapan selain dari kaca mata Al-Quran dan Al- Hadis hanya berada diawang-awangan, jauh dari sampai kesinggahsana yang selayaknya. Ia juga menjelaskan kepada kita bahawa hidup ini mesti berjuang dan kehidupan ini pula mesti diperjuangkan berasaskan semangat juang yang disarankan oleh agama Islam itu sendiri. Berjuang untuk hidup dan memperjuangkan kehidupan dengan membelakangkan anutan agama, jelas dipesongkan oleh runtunan hawa nafsu yang buas dan akal yang liar. Itulah sebabnya Allah SWT mengutus para Rasul AS bertujuan menjinakkan nafsu dan menambat akal supaya berfungsi sejajar dengan keinginan yang luhur dan kesejahteraan yang hakiki.

AGAMA ISLAM TERCINTA

Islam adalah agama kita dan kita berbangga menganut agama Allah SWT ini melebihi kebanggaan kita terhadap apa jua yang layak kita banggakan. Marilah sama-sama kita berjuang dan memperjuangkan hidup dan kehidupan ini menurut landasan agama yang kita bangga-banggakan.

Kenapakah agaknya kita begitu bangga dan memangpun kita layak berbangga dengan agama yang kita anuti, kita pertahankan dan kita cintai ini ?

Sebagai menjawab pertanyaan ini, Allah SWT telah berfirman di dalam kitab suci Al-Quran (Surah : Aali 'Imraan : Ayat : 19) yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah (SWT) ialah agama Islam"

Kalau kita senaraikan nama agama yang terdapat di dunia ini, sekian jumlahnya, agama Islam pula termaktub sebagai yang pertama, utama dan unggul atau "The top of the tops", sedangkan yang meletakkannya ditempat tersebut adalah Allah SWT yang MAHA segala- galanya, sudah tentu kita layak berbangga. Mereka yang agamanya tidak mendapat keistimewaan serupa ini (?), kerana tidak mampu berbangga dan membanggakan agama mereka, mereka telah menuntut hak kelayakan untuk mencemburui, memfitnah, menghasut, meracuni, memusuhi, memerangi, pendek kata ingin memusnahkan, menjahanamkan, memporak-perandakan, memecah-belahkan, mengadu-dombkan, lalu akhirnya ingin menguburkan penganut dan ajaran agama Islam tanpa nisan.

Inilah juga hak yang telah dituntut oleh Iblis laknatullah 'alaih apabila ia disingkir dari syurga kerana sifat 'takabbur' dan dengkinya terhadap kelebihan yang diberikan kepada Nabi Adam AS yang dilantik sebagi 'Khalifah' di muka bumi ini. Kerana kedengkiannya yang maksima telah mengheret sipendengki itu merangkul sifat takabbur yang mengundang padah 'kemurkaan' Allah SWT, hingga dicop sebagai makhluk terkutuk sehingga Hari Kebangkitan dan akhirnya akan dicampakkan ke dalam neraka 'Jahannam' serta kekal di dalamnya.

Semua mangsanya yang terdiri dari jin dan manusia juga bakal menerima nasib yang sama, melainkan mereka yang segera insaf dan bertaubat dari segala keterlanjuran, kesalahan, kesilapan, maksiat, kemungkaran, pendek kata dari segala bentuk jenama atau label yang dikategorikan atau disenaraikan sebagai dosa. Dosa yang bukan sahaja yang dipromosikan oleh syaitan dalam bentuk menghiburkan, menyeronokkan, mengasyikkan, bahkan dalam bentuk mengkhayalkan, melalaikan, pendek kata merosakkan, memesongkan dan juga boleh menjahanamkan.

GODAAN SYAITAN DAN SEGALA BENTUKNYA

Dosa itu dihidangkan oleh syaitan kepada mangsanya dalam bentuk menyelirakan, mengiurkan bahkan boleh membangkitkan keinginan mencuba yang sampai ketahap paling maksima. Kalau ia gagal memerangkap mangsanya dengan kata-kata manis madu, pujuk rayu, janji manis, maka godaan akan dipertingkatkan sehingga kepada ugutan dan paksaan.

Beraneka bentuk dan jenis jerat, jerangkap samar, perangkap dipasang di sana sini, di tempat-tempat menunggu bas, dikaki-kaki lima kedai, di tembok-tembok, di dalam semak- samun, di taman-taman permainan, di tempat-tempat rekreasi, di tempat-tempat perkelahan, di tepi-tepi pantai, di bukit-bukau, di pergunungan dan banyak lagi tempat yang dianggap sesuai untuk dikunjungi oleh pasangan, atau kumpulan yang dianggap bersifat "privacy".

Namun ada juga perangkap yang berupa 'magnet' ada juga yang berupa gam, yang berkuasa menarik dan memukau atau memaku seseorang yang terlibat menjadi mangsa, seperti kedai- kedai kopi, pusat-pusat permainan video, pasar-pasar malam, di pasar-pasaraya, di pusat- pusat membeli-belah, yang menarik mangsanya untuk 'berlepak-lepak'.

Manakala tempat-tempat seperti kedai-kedai "snooker" kedai-kedai "TOTO" atau menjual nombor ekor, bukan sahaja tempat berlepak-lepak tetapi sebagai institusi pendidikan judi secara terbuka. Manakala 'mini teater', pawagam,'bar', rumah-rumah urut, sarang-sarang pelacuran, sebagai agensi yang dijadikan oleh syaitan sebagi magnet atau gam yang paling ampuh untuk menarik mangsanya mendekati zina.

Oleh kerana untuk mengheret mangsa bukanlah satu kerja yang mudah, maka syaitan menawarkn hiburan, keseronokan, melalui penyalahgunaan dadah, menghidu gam, minum ubat batuk, mengambil pil khayal, arak dengan segala jenama dan jenis masing-masing serta tahap kekuatan "kick" masing-masing sebagai "starting point" ke arah langkah-langkah yang lebih tragis, mengerikan, mengerunkan, bila terjebak dengan kes-kes 'juvana' oleh anak- anak remaja kita yang sepatutnya menjadi "staring" dalam "the top ten" dalam peperiksaan yang diduduki di sekolah, bukan menjadi jagoan kepada kumpulan "Gangstar" di dalam atau di luar sekolah.

HARI KIAMAT SEMAKIN HAMPIR

Begitulh hidup dan kehidupan ini telah diwarni dengan beraneka ragam tindak-tanduk manusia yang mungkin juga pada pandangan Allah SWT telah bertanduk seperti yang dimiliki oleh syaitan dan iblis yang digambarkan kepada kita oleh 'nas-nas' daripda Al-Hadis. Hidup dan kehidupan kini bagaikan diselubungi oleh jerebu yang datang dari pencemaran oleh gejala sosial, kes juvana, sumbang muhrim, jenayah kolar putih, pecah amanah, rasuah, dan banyak lagi yang kesemuanya menjadi penyumbang saham terbesar kepada pencemaran awang- awang kita, bahkan lapisan 'orzon' juga turut menipis, menandakan 'Hari Kiamat' semakin bertambah hampir.

Hari Kiamat yang sebenarnya pasti akan tiba bila sampai masanya, tetapi sebelum ia benar- benar berlaku, satu demi satu 'kiamat kecil' berlaku di sana sini, setiap hari, setiap saat, mungkin di negara jiran, di negara kita sendiri, di negeri kita, di daerah kita, di kampung kita, di rumah jiran kita, mungkin juga berlaku di dalam rumah kita sendiri, mungkin juga dalam diri kita sendiri.

Fenomena ini sewajarnya menyedarkan kita, ibu-ibu, bapa-bapa, anak-anak, pakcik-pakcik, makcik-makcik, bahkan semua penghuni awang-awang itu sendiri, betapa awang-awang yang tercinta ini dikhuatiri akan tidak selamat lagi untuk didiami.

Kebimbangan, kerisauan, ketakutan, kegerunan, yang kini mula bertapak di lubuk hati kita ini, sepatutnya disuntik dengan keyakinan, keprihatinan, semangat kerjasama, iltizam, komitmen yang tinggi supaya dapat membangkitkan semangat juang yang kental serta tahan uji untuk berjuang dan memperjuangkan hidup dan kehidupan ini, bukan sahaja hidup dan kehidupan di dunia yang 'fana' ini bahkan untuk hidup dan kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti.

SUNTIKAN MOTIVASI UNTUK ANAK-ANAK

Marilah kita sama-sama bangun membuktikannya dengan tindakan seperti yang dianjurkan oleh agama yang murni, bukan hanya dengan laungan yang berapi-api dari lidah yang tidak bertulang, mahupun dengan hati yang sebal, apatah lagi dengan hanya diam membatu, yang hanya akan menyebabkan kita menjadi bagaikan batu yang 'jumud'.

Bangun, biar rebah kita bangun kembali, biar seribu kali, biar sejuta kali, kalau patah sayap paroh kita tongkahkan, namun membiarkan awang-awang kita terus hancur tidak selamat untuk didiami, terus musnah tidak sihat untuk dihuni, tidak sekali. Jangan mengaku kalah, apatah lagi menganggap bahawa kita telah gagal. Percayalah bahawa sesungguhnya kita belum gagal, belum kalah, hanya barang kali yang kalah atau gagal hanyalah percubaan kita yang mungkin belum menepati sasaran kerana terdapat kepincangan di sana sini.

Biarpun percubaan kita telah rebah bangun, namun apa yang penting ialah; jangan sekali-kali kita mendakwa yang kita telah gagal sebelum kita pernah mencuba, teruskan mencuba dan tiada salahnya untuk kita terus mencuba, bahkan keinginan untuk terus melakukan percubaan itulah yang harus kita miliki sebagai senjata, azimat dn tangkal untuk kita bersila di atas menara gading, hatta untuk meraih sijil kecemerlangan di dunia mahupun untuk menerima anugerah ijazah kegemilangan di akhirat nanti insya Allah.

Sesungguhnya tiada siapapun yang tahu melainkan DIA (Allah SWT), kalau kejayaan sedang menanti-nanti dan menunggu-nunggu dengan sabar ketibaan kita, dipercubaan yang keseratus (umpamanya), sedangkan kita telah berputus asa pada percubaan kita pada kali yang ke-99. Andaikata kita tahu bahawa percubaan kita untuk kali yang keseratus akan membuahkan hasil yang ditunggu-tunggu selama ini, sudah tentu kita tiada halangan untuk meneruskan percubaan dengan penuh kesabaran, bahkan dihalang macamanapun kita akan terus melakukannya.

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil terhadap sekelian hambaNya. Pelajarilah keadilan Allah SWT itu melalui neraca hidup dan memori kehidupan kita sehingga kita berada diusia ini. Sesungguhnya kita sendirilah yang menzalimi atau menginaya yakni berlaku tidak adil terhadap diri kita sendiri.

Oleh itu kita hendaklah sentiasa memohon ampun beristigfar kepada Allah SWT kerana dosa kita telah menzalimi dan menginaya diri kita sendiri, serta disusuli dengan daya usaha yang maksima dengan menyuntikkan harapan yang tinggi dan keyakinan yang penuh untuk memperbaiki nasib kita. Kita akan menerima ganjaran dari keadilan Allah SWT berdasarkan sejauh mana usaha kita. Ini dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam Al-Quran (Surah : Ar-R'ad Ayat : 11) yang bermaksud :

" Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri (berusaha) mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..."

Ini bermakna, kalau "A" usaha kita maka cemerlanglah yang kita dapat, tetapi kalau "B" usaha kita maka terbaiklah sahaja yang kita miliki, demikianlah seterusnya kalau kita gagal berusaha maka gagallah pula yang layak kita perolehi. Itulah keadilan Allah SWT namanya. Sesungguhnya keadilan Allah SWT memanglah keADILan yang tidak terpermanai, dan tiada sesiapa yang dapat menyangkalnya.

Wallahu a'alamu bissowaab.

Wassalam!

Sekian terima(lah) kasih!

AZHARI(S)
2JULAI2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com