Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

PERTEMPURAN MEI 2000: MAHATHIR TARIK SEMULA ANWAR ?

Pada tahun 1987 dahulu, Mahathir telah ditentang hebat oleh Ku Li dengan menyaksikan beliau cuma menang tipis 43 undi sahaja. Itupun undi tipu hasil dari perwakilan haram yang dieksploitasi oleh Sanusi Junid yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung UMNO. Tahun 1987 menyaksikan juga betapa Mahathir yang ketika itu tidaklah ramai musuh dan orang yang dimusuhinya, masih gagal meraih kemenangan majoriti. Ramai dari perwakilan UMNo sebenarnya sudah muak dengan beliau.

Kekalahan Kuli pada tahun 1987 itu menyebabkan Umno berpecah dua. Golongan berkepentingan tetap bergayut di dagu Mahathir manakala Kuli mengambil sikap membujur lalu melintang patah. Pertandingan itu juga menyaksikan Mahthir ditentang hebat oleh pemimpin-pemimpin veteran Umno dan bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Namun boleh dikatakan yang Mahathir masih mampu bertahan dan akhirnya mengalahkan dan melemahkan para pencabarnya dengan begitu “cemerlang”. Musuh-musuh politiknya terpaksa akur dan tunduk menyerah. Kuli terpaksa membubarkan Semangat 46 kerana kebanyakan askar-askarnya sudah ramai yang menyebarang masuk ke Umno Baru Mahathir. Kuli diibaratkan jeneral yang ketiadaan askar.

Kemenangan dan kekuatan Mahathir pada tahun 1987 sebenarnya banyak dibantu oleh kelebihan pengaruh Anwar. Walaupun Anwar ketika itu cuma Ketua Pemuda Umno sahaja, tetapi beliau berjaya mengimbangi pengaruh Team B Kuli dan juak-juaknya dengan imej Islamiknya. Mahathir banyak menumpang tuah bintang Anwar dimana golongan pro Islam yang menjadi penyokong Anwar dalam UMNo telah memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Mahathir demi memastikan idea-idea Islam Anwar dapat diteruskan. Kemenangan 43 undi oleh Mahathir tadi mungkin juga daripada undi perwakilan yang mahukan proses Islamisasi yang diperkenalkan Mahathir dengan bantuan Anwar dapat dilaksanakan selain kepercayaan yang diberikan kepada Mahathir kerana telah mengambil Anwar masuk ke dalam kerajaan. Tanpa sokongan kumpulan yang pro Anwar-Mahathir dalam tahun 1987 itu, saya yakin Mahathir sudah lama men jadi bahan sejarah.

Kini, igauan buruk itu datang lagi. Ketidaklantikan Kuli sebagai menteri kabinet atas alasan ‘tidak cukup syarat’ oleh Mahathir sebenarnya suatu petanda bahawa Mahathir amat takut yang Kuli akan kembali mencabarnya. Menjadi menteri kabinet memungkinkan Kuli akan membina pengaruh yang kuat dalam parti. Namun, meskipun tanpa apa-apa jawatan dalam menteri kabinet dan dalam keadaan ledakan kebencian yang begitu mendalam terhadap kepimpinan Mahathir, Ku Li dipercayai mampu meraih sokongan yang besar sekiranya beliau mengambil keputusan untuk bertanding menentang Presiden UMNO yang sudah usang itu dalam pemilihan Mei depan.

Desas desus terkini menyebut yang Ku LI sudah mendapat lebih dari separuh pencalonan daripada 50 pencalonan yang disyaratkan untuk merebut jawatan Presiden. Angin reformasi yang ditiupkan Anwar kini sudah melanda ke dalam UMNO dimana mereka yang mahukan Mahathir disingkirkan kian kuat terdesak untuk menyokong Ku Li bagi mencabar jawatan presiden itu. Mengharapkan orang lain untuk mencabar Mahathir yang sudah usang itu samalah seperti mengharapkan kucing bertanduk. Dollah Badawi ? Jauh panggang dari api.

Samada disedari atau tidak, Mahathir sebenarnya sudah menjerut dirinya sendiri. Mungkin beliau ingat dan fikir yang dirinya sudah cukup bijak berpencak silat dalam politik ini. Tetapi Ku Li juga, sebagai seorang ahli politik veteran juga seorang yang agak cerdik dan pintar. Beliau mungkin mengatur startegi tertentu dengan ‘melepaskan’ panglima-panglimanya terlebih dahulu untuk menguasai UMNo. Apabila situasi sudah menampakkan kelebihan kepada beliau, maka dengan bantuan ‘panglima’panglimnya’ tadi, Ku Li mengatur langkah bagaimana menjerat Mahathir.

Orang kanan KU LI dalam Team B Pertandingan 87 dahulu seperti Rais Yatim, Abdullah Badawi, Najib Tun Razak, Kadir Syeikh Fadzir dan lain-lain lagi kini boleh dikatakan sudah “menguasai” UMNO. Ibrahim Ali boleh dikatakan antara ‘panglima’ terawal KU Li yang berjaya menjilati buntut Mahathir ke dalam kabinetnya dahulu sebelum tewas dalam pilihanraya baru-baru ini. Mahathir kini benar-benar sudah keseorangan dalam UMNo selepas beliau secara ganas dan kejam melemparkan Anwar ke dalam penjara. Orang yang telah banyak berjasa dan menyelamatkan karier politiknya dahulu kini diperlakukan seperti kucing kurap dan dihina sebegitu rupa. Kini tiada siapa lagi yang boleh membantu beliau dalam parti.

Pertembungan Kedua Mei depan antara Ku Li – Mahathir bakal menyaksikan bahawa, ‘general yang luka parah’ itu (menurut ZAM) akan tersungkur menyembah bumi. Kebencian terhadap beliau bukan sahaja dari kalangan part-parti pembangkang malah dari dalam UMNo sendiri. Namun dari dalam UMNO tiada siapa yang berani menentang sikap kuku besi beliau itu, sebaliknya mereka sangat mengharapkan akan ada seseorang yang tampil berani menentangnya dan mereka akan beramai-ramai memberikan sokongan. Penentang beliau yang paling layak tidak lain dan tidak bukan ialah Ku Li sendiri. Pertembungan antara dua musuh lama itu juga bakal menyaksikan UMNO akan hancur berkecai dan jambatan yang dibakar oleh Rais Yatim dahulu mungkin sudah tidak boleh diperbaiki lagi.

Menyedari yang dirinya kini sudah begitu tersepit dan terhimpit oleh asakan Team B yang sudah menguasai 90 % UMNO, Mahathir sudah tiada pilihan untuk menyelamatkan dirinya. Si diktator gila yang amat sukar dibaca pemikirannya yang kadang-kadang suka menentang arus itu tidak mustahil akan membuat kejutan politik lagi kali ini. Kejutan yang dimaksudkan itu ialah membebaskan Anwar dari segala pertuduhan terhadapnya dan membawa masuk kembali Anwar ke dalam UMNO dengan meletakkannya semula ke kedudukan kerusi Timbalan Presiden. Tidak ada yang mustahil dalam kamus kepala orang tua nyanyuk itu.

Umum mengetahui yang pemecatan Anwar dahulu pun TIDAK SAH dan boleh dipertikaikan. Bertitik dari sini, tidak mustahil Mahathir akan mengambil semula Anwar atas alasan “mahkamah mendapati beliau tidak bersalah” . Pertuduhan liwat ke atas Anwar masih berjalan dan belum dijatuhkan hukuman. Manakala kesalahan rasuah beliau dulu akan didengar rayuannya pada 28 Februari ini. Mahathir, demi untuk menyelamatkan dirinya yang sedang terkepung oleh para panglima Ku Li, mungkin terpaksa meminta ‘bantuan’ Anwar untuk kelangsungan hayat kekuasaannya. Dengan janji untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar beberapa bulan selepas ‘kemenangan’ nya menewaskan KU Li, Mahathir mungkin dapat meyakinkan Anwar bahawa beliau tidak lagi akan mengelat pada kali ini. Tidak juga mustahil yang Mahathir akan membuat kenyataan terbuka meminta maaf kepada Anwar dan keluarganya dan seluruh penyokong-penyokong Reformasi terhadap kesalahannya ke atas Anwar semenjak 2 September 1998 lalu. Orang gila itu tidak akan teragak-agak untuk berbuat apa sahaja asalkan dirinya terselamat. Jika diperhatikan apa jua perbuatan dan perkataan yang keluar dari mulutnya semenjak berkuasa lebih 18 tahun lalu, manusia bernama Mahathir ini akan sanggup berbuat apa sahaja yang bersifat kontra dan tidak terduga oleh rakyat terbanyak.

Jika di tahun 1987 dahulu beliau ‘diselamatkan’ dengan pengaruh Anwar, tidak mustahil di tahun 2000 ini sekali lagi beliau akan diselamatkan oleh Anwar. Saya cukup yakin bahawa tanpa Anwar, Mahathir sebenarnya “tidak boleh hidup” dalam politiknya. Lihat sahajalah pengaruhnya yang begitu buruk merosot semenjak beliau bertindak menendang keluar Anwar dari dalam UMNO dan kerajaan. ‘Sokongan’ orang-orang Melayu yang diterima UMNo dalam pilihanraya baru-baru ini menjadi bukti bahawa kekuatan Mahathir sebenarnya terletak kepada Anwar. Selama 18 tahun menjadi PM dan selama 16 tahun Anwar dalam kerajaan dan UMNO, Mahathir mendapat nama yang begitu gemilang dan cemerlang bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.

Mungkin ramai tidak terfikir bahawa di awal beliau menjadi PM dahulu, Mahathir begitu pantas ‘menarik’ masuk Anwar ke dalam kabinetnya kerana beliau amat sedar akan kekuatan dan pengaruh yang ada pada Anwar. Selama 16 tahun Anwar bersamanya, Mahathir telah menjadi PM paling berpengaruh dan disegani oleh kawan dan lawan. Kini, orang yang telah membantu menaikkan imej dan martabat beliau itu sudah dihumban ke tempat yang hina, maka beliau terpaksa menerima risiko mendapat penghinaan yang sama dari rakyat dan masyarakat antarabangsa, seperti mana perbuatannya ke atas Anwar.

Mahathir patut sedar dan insaf bahawa beliau popular selama ini adalah kesan pengaruh Anwar dan gandingannya membangunkan negara bersama Anwar. Jika tidak percaya, cuba bandingkan ketika Anwar berada dalam kabinet dengan selepas beliau disingkirkan. Dan lihat pula apa yang terjadi kepada pengaruh dan populariti Mahathir di mata rakyat sebelum dan selepas Anwar disingkirkan. Lihat dan akuilah kebenarannya. Secara sinis saya katakan bahawa Mahathir sebenarnya memang bergantung penuh dengan kehebatan pengaruh Anwar. Tanpa Anwar tiada siapa yang mahu menyanjung beliau. Realiti yang berlaku hari ini mengesahkan apa yang saya katakan di sini. Jadi, hendak tak hendak Mahathir perlu mengambil semula Anwar demi membersihkan kekotoran najis yang beliau sendiri lumurkan ke mukanya.

Jika Anwar kembali sebagai TPM semula, saya percaya Ku Li patut melupakan sahaja niatnya untuk mencabar Mahathir pada Mei depan. Pak Lah bagaimana? Lupakan saja hasrat Pak Lah untuk merasa kerusi PM. Pak Lah hanyalah TPM sementara sebagaimana Ghaffar Baba dahulu. Seorang yang tiada kredibiliti dan meyakinkan seperti Pak Lah ini tidak seharusnya meletakkan negara di kancah risiko ketidaktentuan.

Mahathir – saudara masih boleh selamat dari asakan Ku Li and Team B jika saudara bersikap terbuka dan menerima saranan saya ini. Walaupun saudara bersikap zalim terhadap Anwar sejak setahun lebih yang lalu, tetapi saya yakin rakyat akan memaafkan saudara jika saudara membebaskan Anwar, sebelum masa saudara berakhir. Saudara pun tahu yang orang Melayu ni cepat pemaaf dan mudah melupakan kejadian lalu.

Apapun yang berlaku, Mei depan bakal menyaksikan pertembungan kedua antara seorang ‘anak raja yang kalah perang’ (kembali untuk menebus kekalahannya 13 tahun dahulu) dengan seorang ‘general yang sedang luka parah’.

Cucu Datuk Bahaman


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com