Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Perlukan UMNO Diselamatkan ?

Apabila pergolakan dalam UMNo berlaku, kesedaran di kalangan UMNo terhadap kegagalan kepimpinan Mahathir begitu terserlah. Maka wujudlah keinginan sebahagian besar ahli-ahlinya supaya Mahathir ditentang. Maka yang jadi percaturannya ialah siapakah yang berani menentang Mahathir. Maka, riak di lautan telah kelihatan apabila nama Ku Li disebut sebagai satu-satunya manusia dalam UMNo yang "layak" melawan Mahathir.

Maka, jentera Ku Li secara senyap membuat risikan dan perkabaran yang akhirnya jelas banyak Bahagian yang inginkan Ku Li lawan Mahathir. Tetapi, orang UMNo khususnya semua rakyat Malaysia tahu siapa Mahathir. Bukan calang-calang manusia dalam arena politik, sepak terajang dan kung funya dalam politik telah teruji sehingga mana-mana orang yang ingin mencuba, disingkir dan diaibkan dengan mudah. Perisitiwa Ku Li lawan Mahathir kerusi Presiden dulu pasti tidak mudah dilupakan. Peristiwa DSAI disingkir masih baru dalam ingatan semua orang.

Seperti yang saya sebut sebelum ini, sudah ada gerakan SB dan strategi mengugut dijalankan oleh Mahathir kepada Ketua-ketua Bahagian yang "merancang" mencadangkan Ku Li sebagai Presiden. Maka bergeraklah SB-SB dari Bukit Tak Aman kali ini untuk memastikan penentang-penentang Mahathir awal-awal lagi telah diberi amaran keras. Fail-fail tertentu telah dibuka sebagai signal yang amat tidak demokratik.

Juak-juak Ku Li harus berfikir berkali-kali sebelum teruskan perjalanan tanpa mengira lampu merah di depan. Walaupun ahli UMNo memang muak dengan kepimpinan Mahathir, namun apa pilihan yang mereka ada?

Oleh kerana itu, Ku Li juga harus memikirkan survival politiknya dalam UMNo. Iaitu, kalau Ku Li ingin menang mudah tanpa calar balar dan diaibkan oleh Mahathir, maka beliau perlu fokus kepada kerusi Timbalan Presiden, kerana ternyata kerusi tersebut masih kosong, dan bukan milik Pak Lah.

Pak Lah - dalam UMNo, grass-root beliau sangat lemah. Beliau tidak berwibawa menjadi pemimpin yang ada pengaruh sebagaimana Mahathir, Anwar maupun Ku Li. Beliau mudah jadi Pak Turut dan takut berhadapan dengan risiko. Maka kerana itu beliau mudah dijadikan alat oleh Mahathir. Bukan Pak Lah tak sedar yang beliau diperalatkan, tapi apa pilihan yang Pak Lah ada?

Dari satu segi, kalau Ku Li lawan Pak Lah, pertimbangan yang akan diberikan oleh perwakilan ialah dari segi keperibadian dua calon itu sahaja, iaitu dari segi kekuatan semangat kemelayuannya, dari segi agamanya dan dari segi kewibawaan memimpin orang Melayu dalam UMNo serta kemampuan menyelamatkan UMNo yang telah dirosakkan teruk oleh Mahathir.

Pak Lah? atau Ku Li?

Jawapan itu bukan sahaja boleh dijawab oleh ahli UMNo, tetapi boleh dijawab oleh semua orang Melayu, baik ahli PAS ataupun ahli ADIL/PRM.

Seperti juga yang pernah saya sebut, ramai ahli UMNo yang sedar UMNo telah rosak. UMNo sudah tidak dapat diterima oleh orang Melayu sebagai sebuah parti yang dapat mendokong perjuangan/idealisme asal iaitu perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara. UMNo sudah jauh menyimpang.

Persoalannya, sejauh manakah ahli-ahli UMNo dalam Perhimpunan Aging UMNo Mei ini berani bersura dan meluahkan apa yang mereka bincangkan di warung-warung kopi?? Beranikah mereka menyenaraikan faktor-faktor kemerosotan UMNo di kalangan orang Melayu, kehakisan kepercayaan terhadap kempimpinan UMNo itu sendiri?

Pastinya seperti sebelum ini, kita akan lihat Badut-badut peliharaan Mahathir seperti Badaruddin (Yan-Kedah yang kalah)dan yang seangkatan dengannya akan terus berpuisi untuk menyelamatkan Mahathir di samping terus menghina DSAI dengan pelbagai cerita yang bodoh dan mengaibkan.

Apakah kali ini Perhimpunan Agong UMNo akan memperlihatkan kebodohan ahli-ahlinya atau kematangan mereka?

Sekadar menyediakan untuk rakyat Malaysia berfikir, apakah UMNo itu perlu diselamatkan? Atau, kalau sekalipun Mahathir berundur , apakah UMNo akan selamat? Apa kata Mahathir sudah tidak memimpin UMNo, apakah orang Melayu perlu menjadikan UMNo itu wadah perjuangan mereka? Adakah masih relevan perjuangan UMNo dengan perjuangan orang Melayu abad ini?

Memang ada golongan UMNo yang sedar tentang kehancuran UMNo, untuk itu, golongan ini terus berusaha menyelamatkan UMNo dengan membuat analisa, post-mortem dan cadangan. Malah ada juga yang mula menggerakkan jentera parti dengan membuat penerangan terhadap beberapa isu yang mereka anggap perlu dijelaskan kepada rakyat agar isu berkenaan terus tidak menghantui pemikiran rakyat, termasuk isu ketuanan Melayu, isu DSAI, isu-isu yang dibangkitkan oleh Barisan Alternatif serta isu yang ada kaitannya dengan kepimpinan dalam UMNo itu sendiri. Mereka terus ingin mempertahankan UMNo dan ingin memastikan UMNo terus memenangi pilihanraya pada tahun 2004 nanti.

Persoalannya :

Jika Mahathir benar-benar tidak diperlukan lagi dalam UMNo dan bilamana Mahathir telah tidak memegang tampok pemerintahan, adakah ahli-ahli UMNo yang kini telah memilih untuk berada di dalam BA perlu balik kepada UMNo?

Kalau itu terjadi, PAS/BA harus bersedia untuk lebih fleksibel dan pragmatik. Ahli-ahli PAS khususnya harus melihat jauh - jangan terlalu terkongkong dengan cara yang boleh menjauhkan orang Melayu dari parti berkenaan. PAS pasti dapat menganalisis bagaimana selama ini ( 42 tahun ) mereka kurang berjaya menarik kumpulan elit Melayu untuk berjuang bersama mereka, duduk bersama di dalam parti tersebut sehinggalah kepada berlakunya peristiwa DSAI/penolakan kepimpinan Mahathir baru-baru ini.

Kita harus bersedia membincangkan perkara ini demi memastikan semangat rakyat yang ada menolak UMNo/kezaliman dan ketidakadilan ini dapat kita pertahankan. Bukan sekadar membangkitkan isu DSAI/Lim Guan Eng dsbnya.

Atau , kita harus melupakan terus soal "kuasa" yang perlu kita miliki bagi memastikan kita dapat memanifestasikan janji kita kepada rakyat, kalau kita tidak sanggup dan belum bersedia berubah dalam beberapa perkara.

Sekian.
Dahlia/KL

Apakah orang Melayu boleh memaafkan UMNo?



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com