Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Perjuangan ini mesti ada keikhlasan

Sejak awal lagi, sebelum pilihanraya, berulang kali saya secara peribadi membuat posting di sini/di laman-laman reformasi supaya dalam soal perjuangan ini, mesti ada keikhlasan, mesti tahu fokus perjuangan, kita bukan buat kerana ikut-ikutan. Memandangkan kami dianggap golongan muda dalam kebangkitan reformasi ini, kami akan ditelah dengan pelbagai konotasi yang negatif, seperti ikut perasaan, tidak ada pedoman, tidak ada pengalaman, semangat tahi kucing dan hangat-hangat tahi ayam, cakap tak serupa bikin dan macam-macam lagi.

Apapun, kami buktikan bahawa perjuangan ini bukan ikut-ikutan. Kita tidak nafikan bahawa isu DSAI adalah pembuka jalan ke arah kebangkitan dan kesedaran ini, ia merupakan satu hikmah yang hanya Allah tahu akan rahsiaNya. Namun, sebagai manusia dan insan biasa, kita sedar bahawa dalam merentas kebenaran dan mempertegakkan keadilan, ia satu perkara yang berat memandangkan masih ramai manusia yang takut daripada diugut serta dilucutkan segala kesenangan dunia yang mereka miliki.

Sedikit demi sedikit, banyak perkara yang Allah perlihatkan akan kebenaran ini. Maka, bersilatlah Mahathir mempertahankan karenah dan kesombongan beliau tanpa segan silu kepada rakyat Malaysia dan dunia. Rakyat seolah-olah tidak punya pemikiran langsong! Rakyat dibodohkan dengan begitu mudah sekali! Alangkah hinanya menjadi rakyat Malaysia yang tidak tahu berfikir, atau takut berfikir mencari kebenaran.

Pada mula penglibatan saya di dalam gerakan reformasi, ia adalah atas kesedaran sendiri. Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana selama ini kerajaan banyak memperbodohkan rakyat, terutama dalam aspek perekonomian yang kebetulan saya terlibat di dalam sektor ini secara terus. Saya sangat marah sejak saya di belajar di Universiti lagi. Banyak perkara yang tidak betul, tapi ketika itu hanya PAS/DAP saja yang menyentuhnya yang akhirnya tenggelam dengan propoganda kerajaan di dalam media yang dikawal sepenuhnya oleh mereka. Ketika itu, kita banyak tidak tahu karenah jahat Mahathir sehinggalah tercetusnya isu Anwar Ibrahim Saya masih ingat pada satu forum eknomi ketika saya menjadi wakil pelajar, saya pernah bertanya kepada seorang tokoh korporat negara yang sangat berpengaruh (sehingga kini) yang merupakan kroni Daim. Soalan saya sangat bersahaja dan sangat terbuka menjurus kepada penglibatan beliau di dalam sektor korporat dan sejauh mana beliau dan mereka so-called "Usahawan Bumiputra Berjaya" melebarkan kejayaan ini untuk dinikmati oleh bumiputra yang lain.

Soalan itu nampak benar menampar keegoaannya. Beliau menggelabah untuk menjawab. Walaupun soalan itu dalam bahasa Inggeris yang mudah, tetapi nampak benar beliau menjawabnya dengan keadaan yang jelas nampak gugup. Ratusan mata turut menjadi saksi. Soalan saya tidak dijawab, tetapi mengalihkan soalan itu dengan pertanyaan semula, "adakah kamu ingat mudah untuk membina sesebuah empayar korporat?".

Saya tidak kisah sangat apabila beliau tidak menjawab pertanyaan saya. Memang tak kisah. Kerana saya tahu dia mempunyai jawapan yang dia saja yang tahu, Daim tahu dan Mahathir juga tahu. Yang pasti, Allah swt tahu. Mengapa saya cukup beria-ia benar supaya para rakyat yang bangun memberontak ini supaya tahu fokus perjuangan mereka? Kerana saya bimbang, semangat itu hanya sekadar berupa semangat marah yang sementara.

Mereka tidak tahu fokus perjuangan , bukan sekadar menegakkan keadilan kepada DSAI dan beberapa pemimpin pembangkang yang lain, tetapi jauh dari itu ialah memastikan kedaulatan negara, undang-undang negara, kesejahteraan dan kebebasan rakyat dilindungi, keadilan dapat ditegakkan. Kita wajib memperjuangkan panji Islam. Memastikan negara kita tidak terpesong dari Agama Islam yang diletakkan sebagai agama rasmi negara. Dalam perjuangan menentang kezaliman, apatah lagi musuh Islam, ia bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak mudah...... tidak mudah... banyak jiwa dan perasaan yang merana dan menderita, ditekan, dianiaya, dizalimi, difitnah dan pelbagai bentuk kezaliman akan dilakukan semata-mata menegakkan benang yang basah.

Saya lihat senario ini ada kebenarannya. Apabila BA gagal memenangi pilihanraya dan menubuhkan kerajaan, sekalipun berjaya di beberapa negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah, kita lihat semangat ini sedikit sebanyak telah menurun akibat daripada pelabagai pendekatan yang diambil oleh Mahathir, termasuk propoganda yang berbentuk fitnah yang dimainkan oleh pihak media, agensi kerajaan, Kementerian dan sebagainya. Yang kita lihat seolah-olah kerajaan kini merupakan sebuah parti yang bergerak atas paltform yang diizinkan oleh Parlimen dan undang-undang yang kununnya telah diberi mandat menerusi pilihanraya.

Entahlah, berapa lama lagi rakyat Malaysia mesti dibodohkan. Ketika berhadapan dengan tekanan demi tekanan, termasuk kaum keluarga yang masih mementingkan survival perut dan kekayaan material, saya akhirnya nekad meneruskan perjuangan ini, bersama atau tidak dengan mereka. Itulah janji saya. Saya merasakan rakyat tidak boleh ditipu lagi. Cukuplah, cukuplah apa yang mereka rasai selama ini. Apa gunanya ilmu yang dituntut sehingga ke luar negara, tetapi saya tidak mampu menobatkan kebenaran di negara sendiri? Adakah ilmu itu hanya sekadar untuk dipelajari dan faham, tetapi bukan untuk diamalkan? Hukum manakah yang mereka pakai? Sukyur alhamdulillah apabila kita melihat penyokong BA terus menunjukkan sokongan tanpa berbelah bahagi dengan kehadiran mereka yang begitu ramai di Sanggang baru-baru ini. Kita kalah bukan kerana kita tak tahu strategi, tetapi kita kalah kepada segolongan pengundi yang masih boleh dibeli dengan wang ringgit, yang boleh digulai dengan projek yang datang sekali seumur hidup.

Apakah kita mahu semangat kita dituba hanya kerana alasan yang rapuh? Saya ingin memberitahu kepada sekalian generasi seangkatan dengan saya, masa kita masih jauh, perjuangan ini tidak ke mana selagi rakyat Malaysia tidak sedar mereka dibodohkan. Selagi mereka tidak tahu hak mereka. Mereka harus diperingatkan dari semasa ke semasa. Tugas siapakah itu? Itulah tugas kita, kita mesti pastikan bahawa rakyat Malaysia di setiap peringkat memahami erti perjuangan ini. Ia bukan sekadar memenangai pilihanraya, bukan sekadar mendapat projek prasarana , tetapi jauh dari itu ialah menegakkan keadilan dan hak-hak undang-undang dipelihara, hak rakyat tidak dipinggirkan! Agama Islam menjadi tunjang kekuatan kepada keseluruhan perlembagaan Negara!!

Demi Allah, selagi impian ini tidak tercapai, selagi itulah kita pastikan perjuangan kita tidak tamat di sini. Kita mesti terus berjuang dengan apa jua cara sekalipun. Pupuklah semangat ini agar tidak terkubur. Sememangnya perjuangan kita masih panjang dan sukar. Saya bersyukur, dalam siri-siri reformasi , termasuk Gelita 14 Sabtu lepas, saya melihat kehadiran rakyat dan anak-anak muda generasi bakal mewarisi kempimpinan negara masih utuh berdiri melaungkan kata hikmat, reformasi! Ribuan mereka hadir dengan semangat waja tanpa sebarang senjata seperti yang dihebohkan oleh puak-puak pro-Mahathir. Tak apalah , sepatah ucapan DSAI, berundur tidak beerti kalah. Kami tetap berada di sini, insyaAllah, ribuan rakyat dan anak-anak muda akan tetap berdiri di sini. Kami tetap akan memastikan kerajaan yang jahat, sombong dan zalim akan tegolek jatuh dengan aibnya! Kerana itu, jangan mudah putus asa atau mudah merasa lega! Kita akan terus melangkah. Kuatkan azam ini dan kita akan sama-sama melangkah!

Wassalam.
Dahlia/KL


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com