Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pilihan raya ke 10 dan Kesahan Sosiologikal 9

POLA SOSIAL POLITIK MELAYU.

Meskipun pemerhatian boleh ditumpukan kepada tingkah laku individu kepimpinan Melayu dan kepada berbagai kelompok suku-kaum dengan menggunakan ukuran, menurut kepentingan kehidupan ; tetapi rujukan pandangan ini hanya ditumpukan pada persoalan utama yang dibangkitkan dalam siri penulisan sebelum ini.

MELAYU BERJUANG DENGAN DARAH DAN AAIR MATA :

PERJUANGAN ORANG MELAYU BUKAN BERMULA DALAM TAHUN 1946 YANG "DIKUMPULKAN" DALAM PERTEMUAN HAMPIR SELURUH PERSATUAN DAN INDIVIDU MELAYU atau "UMNO" TAK RESMI. Perlu maklum terutama golongan muda bahawa orang Melayu mempunyai sejarah dan peradaban. Dalam lembaran sejarah perjuangan politik (berorganisasi atas syarat British umpamanya Kesatuan Melayu Muda) mereka, sejak ratusan tahun, mempunyai ramai pemimpin dalam berbagai bentuk perjuangan. Mereka menuntut hak dan melawan 'yang batil' dan penjajahan. Justeru itu Melayu tidak tinggal diam atau menerima sahaja apa yang diperintah ; tetapi MEREKA BERJUANG dan BERJUANG. Dalam Zaman Melaka mereka berjuang ; zaman Portugis mereka berjuang ; zaman Belanda mereka berjuang ; zaman British mereka berjuang ; zaman Jepun mereka berjuang dan seterusnya dalam zaman merdeka pun MELAYU kena berjuang. Apa yang mereka perolehi sedikit banyak sekarang ini, bukannya datang bergolek. Banyak kelemahan "merdeka" 1957 yang orang Melayu kena berjuang mati-matian. Semuanya tidak didapati dengan mudah seperti yang digembar-gemburkan dalam isu politik tanah air. (Siri 1 menyentuh landasan perjuangan Melayu dan Islam.) [Pilihlah aku pahlawan bangsa. Lihat itu jasa aku dan kawan aku untuk aku dan kawanku merasa dan untuk juga kamu semua di bawah payung ku mengenang jasa.....] Sebagai bukti maka sila semak dan teliti sejarah semua institusi, sistem dan "policy" yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Lihat semua resolusi daripada berbagai parti dan persatuan yang orang Melayu. Mereka berseminar, menulis memorandum, mereka berdemonstrasi, mereka melobi, mereka mengkritik pemimpin yang beku dan kaku terhadap kepentingan bangsa. Mereka mencetus berbagai pemikiran dan perasaan dalam peribahasa lama dan baru seperti syair, pantun, sajak dan bahasa tempelak dan mengejek. " Cakap Tidak Serupa Bikin....ribuan peribahasa sosial politik Melayu yang perlu dipelajari.

Untuk mendapat kedudukan hak istimewa orang Melayu : Raja Melayu, bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam, dalam perlembagaan sekarang adalah hasil daripada perjuangan orang Melayu baik secara individu mahupun atas nama berbagai persatuan dan parti politik. Supaya tidak buta politik sebelah mata, maka kenalilah sejarah sebelum 1946. Semak semua memorandum, arkib negara dan British di London, baik perihal mengenai sejarah perlembagaan mahupun segala hal politik Melayu dan "sikap" dan matlamat kebanyakan orang bukan-Melayu. yang menjadi "alat" kebendaan dan kepada kuasa luar. [Lihat berita dan dengar cerita orang tua-tua terutama guru Melayu dan guru agama di kampung. KENANGLAH JASA PARA PEJUANG YANG TIDAK MINTA UPAH DAN KORUP SEPERTI MOTIF SEBAHAGIAN BESAR ORANG POLITIK SEKARANG. Bayangkan semula "hujan air mata dan wang derma" dalam ratusan ribuan pertemuan orang Melayu dari derma khairat kematian, perkenalan bakal mahasiswa dengan pungutan derma, terutama bagi pelajar agama yang melanjutkan pelajaran ke Mesir, Mekah, India, Indonesia dan lainnya , derma politik dan lainnya.]

Berbagai persatuan dan gerakan telah timbul, tenggelam dan ditenggelamkan. Mereka benar-benar berjuang untuk membela nasib agama, tanah air dan bangsa. Sejarah kemerdekaan bukan dapat tanpa darah, korban harta dan air mata. Kerajaan British terpaksa menyerahkan kemerdekaan Malaya kepada rombongan Tunku Abdul Rahman kerana itulah sahaja saluran yang mereka boleh "bertolak ansur" dalam berbagai segi politik terutama menghadapi tekanan pihak Parti Kebangsaan Melayu (MNP) dan sekutunya dan juga ancaman komunis tempatan dan antara bangsa.

ORANG MELAYU kena berjuang. Untuk mendapatkan pelaksanaan "apa yang tertulis dalam perlembagaan" pun, orang Melayu kena berjuang. Bukan mudah, ia tidak datang bergolek. Kena lawan dan lobi dengan pemegang kuasa. UMNO terikat dalam Perikatan ; banyak hal yang terikat dan diikat oleh berbagai tali temali politik dan kepentingan ekonomi. Satu daripada berbagai "masalah pelaksanaan", sebagai contoh ialah perihal pelaksanaan kedaulatan bahasa Melayu dan pendidikan.

[semak kembali fail guru Melayu, seminar dan kongres budaya Melayu, ekonomi Bumiputera dan lain-lain, dan memorandum mengenai pelaksanaan bahasa Melayu oleh TIGA BELAS PEGUAM MELAYU, termasuk arwah Dato' (Tun sesudah meninggal) Hussein bin Dato' Onn dan Tun Daim bin Zainudin, sekarang Menteri Kewangan antara yang menurunkan tanda tangan )] Sekarang ini pun ramai orang masih ragu dan berpura-pura dengan bahasa Melayu. Sebabnya dasar pendidikan sering berubah dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka kian lemah. Lihat sejarah : pejuang kemerdekaan dan guru Melayu ramai yang keluar dari UMNO kerana tidak setuju dengan sistem pendidikan. Seminar, forum dan kongres mengenai pendidikan, bahasa, budaya, ekonomi dan ribuan protes diikuti oleh ugutan, penukaran tempat kerja, dibersarakan, malahan di"ISA"kan, merupakan satu set perjuangan orang Melayu yang kita lihat sekarang ini beberapa institusi dan perubahan sistem terpaksa didirikan dan dijalankan oleh pihak "kerajaan". Dahulu undi Melayu merupakan satu ketentuan "semput atau lumpuh" politik UMNO.

Persoalan sekarang dan akan datang ialah dapatkah segala harga darah dan air mata itu diperkembangkan atau dipertahankan atau sekurang-kurangnya dikekalkan pada tahapnya dahulu ? Persoalan yang timbul ialah "kemerosotan" martabat dan kewibawaan kebanyakan institusi Melayu akibat daripada swasta yang dimonopoli oleh orang politik dan neo-capitalist yang "mencari untung korban apa saja', ....bukan harta kite' ; harta pusake' " Untuk bercakap dengan saksama dan adil pembaca kena melihat kembali sejarah perjuangan politik orang Melayu dan segala perbahasan dalam berbagai parti politik, persatuan, kongres, seminar dan forum orang Melayu. Secara ringkas pola aliran pemikiran kebanyakan orang Melayu sebagai berikut : dalam siri 10.

dr_ahmadkamar@hotmail.com
7 Mac, 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com