Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

PERPECAHAN DAN PERPADUAN MELAYU 2(a)

Dr

                                                                                                     

       BANGSA MELAYU ujud di atas tiga unsur kekuatan. Pertama, atas dasar Islam dan budaya ; kedua, atas dasar kesultanan dan kerajaan ;  ketiga, atas dasar tanahair atau negara. Tiga unsur ini penting bagi orang Melayu yang berbangsa. Sebabnya, jika salah satu daripada tiga unsur tersebut hilang atau lemah maka tidaklah ada lagi bangsa Melayu atau mereka jadi lemah. Ibarat kedudukan bagi keluarga yang tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri. Lihat orang Melayu di Thailand, di Singapura, di Medan, di Langkat, di Siak dan beberapa tempat di Sumatra termasuk di Kepulauan Riau, Indonesia, di Sri Langka, Afrika Selatan, Saudi dan segala “pengembara” dan pelarian yang berkumpul dan berjemaah atas tuntutan agama*.

MELAYU : “Melayu” ertinya seorang yang menganuti Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu (a) lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau pada Hari Merdeka, ia adalah berdominasil di Persekutuan atau di Singapura ;  atau (b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut. Perlembagaan Persekutuan (Bah 12 ; Per 160)

Definisi Melayu lebih memberatkan  pada unsur sosial-budaya politik, kurang menekan pada unsur antropolgi fizik.  

        *[mungkin perumus konsep “Melayu Baru”ingin memasuki Melayu di perantauan yang tak punya raja dan negara  mempunyai hujah unsur          budaya  atau tujuan politik mereka tersendiri]   

        Sejauh dan sekuat mana unsur tersebut dipertahankan atau ditingkatkan dalam sejarah kebangkitan bangsa Melayu,  dapat dilihat dari beberapa segi pengukuran. Sejarah merupakan satu titik tolak yang penting. Begitu juga  keadaan sekarang dan jangkaan pada masa akan datang. Jika sekarang maka segi perangkaan dalam setiap bidang kehidupan orang Melayu sangat penting diberi perhatian dan perbandingan. Sebab jika graf perangkaan telah menurun terutama dibandingkan dengan bangsa (kaum) lain maka setakat itulah tahap dan taraf  kedudukan orang Melayu. Secara ilmiah itulah nilai harga orang Melayu, murah atau mahal. Jadi kalau satu pihak, UMNO dan Barisan Nasional menyatakan orang Melayu sudah maju dan berjaya tentulah boleh dibanggakan. Tetapi jika sebaliknya perangkaan pencapaian orang Melayu jauh ketinggalan dan “dihiris” pula dengan perangkaan “negatif” seperti ramainya penagih dadah, kematian akibat motosikal, buang anak, murtad dan berbagai perkara jenayah, kehilangan tanah pusaka, kemiskinan dan hutang sekeliling pinggang maka pihak pembangkang telah bercakap dengan fakta yang benar.  Justeru itu PERANGKAAN KEMAJUAN ORANG MELAYU ADALAH SATU CABARAN.        

       ~[Hal ini dapat diandaikan dari segi pekerjaan dan kegiatan ekonomi : jika begitu ramai orang Melayu menjadi drebar kepada tauke China dan tidak seorang pun orang China yang mahu jadi drebar kepada tauke Melayu atau menteri Melayu maka itu merupakan tahap nilai pekerjaan orang Melayu di peringkat bawahan. Begitu juga dalam dunia niaga tertera pada jenis dan lokasi kedai yang orang Melayu berniaga. Malahan kedudukan dan “force”Dewan Perniagaan mereka lebih merupakan “penumpang” kuasa politik, dengan kata lain UMNO daripada kekuatan struktur ekonomi dan niaga mereka] 

       Jadi bagi mereka yang sering menyebut atau berkeinginan dengan segala kasih  sayang dan seterusnya menjalankan usaha bagi “perpaduan Melayu” , tanpa meneliti dengan murni setiap unsur tersebut di atas maka usaha mereka sukar berhasil. Ertinya mereka, menurut ukuran penulis, tidak akan dapat satu “solution” atau penawar yang baik.

       Daripada apa yang tersiar terutama akhbar tempatan seperti menentukan keadaan perpecahan berpunca daripada pemihakan politik. Dengan kata lain orang Melayu terbahagi kepada dua pihak iaitu UMNO dan PAS yang disokong oleh Parti KeAdilan Nasional. Nampaknya PAS kena tubi pada setiap hari akibat daripada “pakai” Islam dan dituduh telah menyalahgunakan pengajarannya. Manakala UMNO dituduh menyalahgunakan nama Melayu sebagai sentimen dan menjadikan mereka kuda tunggangan untuk kepentingan se kumpulan pemimpin dan orang korporat.  Masing-masing “mahu” berjuang” demi  Melayu dan Islam.          

Unsur pertama : ISLAM

       Banyak pertanyaan yang boleh diketengahkan. Antara lain ialah tentang apa yang difahamkan tentang Islam oleh individu atau kumpulan orang Melayu dalam setiap jabatan kerajaan, media massa seperti akhbar, majalah, televisyen, radio, parti politik, persatuan buruh, nelayan, peladang, petani dan berbagai pihak lain   ? Penyelidik akan dapat tahu  SEDALAM MANA penghayatan Islam bagi orang Melayu ? Bagaimana pelaksanaan  mereka memahami dan menghayati rukun Iman dan Rukun Islam mereka ? Hal ini adalah perkara pokok iaitu satu dasar yang boleh dibuat tindakan selanjutnya. Dengan demikian dapat mengelak tekaan dan kesimpulan yang bukan-bukan terhadap sesuatu isu atau masalah Islam yang berlaku dalam masyarakat. Islam dengan kitab Al_Qran dan Hadith, Ijmak Ulama dan qias dengan sejarah yang lama mempunyai wadah landasan, pendekatan dan penyelesaian yang sempurna. Susunan tentang pendekatan “PERPECAHAN  bermula dengan pengenalan, maksud, rujukan, sebab musabab, akibat yang berfaedah dan memburuk  dengan penyelesaian kembali kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul.         

ISLAM :

(1)   Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama boleh   diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

      (2)  Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan yang diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya  sebagai Ketua agama Islam tidaklah tersentuh atau tercacat ; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang  telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang DiPertuan Agong mewakilinya.  

        (3) Perlembagaan negeri Melaka dan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang   hendakalah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang DiPertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam dalam negeri itu

(4)  Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain    dalam Perlembagaan ini.

 

Seterusnya insya Allah bersambung ke siri 2 (b)~PERPECAHAN MELAYU

dr_ahmadkamar@hotmail.com

 

.

 


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com