Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Dr.AQ~PERPECAHAN MELAYU~ 2(b)


Dr.AQ : PERPECAHAN MELAYU~ 2(b)

ISLAM TERPERANGKAP, MENGAPA ?

Merujuk kepada siri 2 (a) mohon maaf, penulisan ini mengulang di bahagian Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan terkini :

ISLAM :

  1. Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan ; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
  2. Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan yang diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam tidaklah tersentuh atau tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
  3. Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.
  4. Tiada apa-apa dalam hal ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.
  5. Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan ; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.
UGAMA dan AGAMA Penggunaan perkataan agama dieja sebagai ugama. Sebenarnya terdapat tiga jenis ejaan iaitu agama, ugama dan igama. Kamus bahasa Melayu sekarang tidak memaparkan perkataan "igama". Agama dan ugama diberi erti yang sama padahal setiap satu itu jauh bezanya. Dahulu, sebelum penyamaan ejaan bagi Malaysia dengan Indonesia, selain daripada Johor orang mengeja atau memakai (u) iaitu "ugama", manakala Indonesia mengeja (a) iaitu "agama". Sekarang, semuanya orang memakai ejaan "agama". Majlis Agama Islam termasuk Johor pun sama menggunakan ejaan "agama". Kebanyakan orang boleh dikatakan tidak mengetahui sejarah asas perbezaan bagi tiga perkataan tersebut. Perkataan igama, ugama dan agama ini telah dipakai sebagai terjemahan daripada perkataan religion, dalam bahasa Inggeris. Sebabnya, berlaku demikian kerana "latar" penyampaian atau induk bahasa Perlembagaan Persekutuan termasuk Perlembagaan Negeri adalah bahasa Inggeris. Begitu juga terdapat dengan meluas tentnag terjemahan bagi perkataan ad-din dalam bahasa Arab ( umpama dalam al-Quran : innaddi-naindallahil-islam) di sebut sebagai agama, ugama dan dahulu di Johor disebut igama. Lantas setiap satu dihubungkan dengan Islam, disebut "agama Islam".. Di samping itu, ada juga secara sendirian, mereka menggunakan ad-din apabila membincangkan hal ehwal Islam dalam bahasa Melayu. Mereka hanya menggunakan perkataan agama bila merujuk kepada agama lain. Hal ini bagi makna sebenar adalah lebih tepat. Sebabnya, menurut rujukan al_Quran dan Hais bahawa ad-din itu sendiri mempunyai makna dan konseptual yang luas dan terpelihara. Terdapat 38 ayat memakai ad-din dan sebanyak 42 ayat yang merupakan kaitan dengannya.

[Satu penulisan yang mendalam ilmiah mungkin sudah ada tetapi penulis belum terbaca untuk dikutip bagi tajuk yang mencabar ini.].

Bahasa : Makna dan konsep. Di bawah ini akan dibincangkan tentang keadaan yang mengelirukan. Menurut penyelidikan penulis, bahawa tiga perkataan tersebut di atas memberi pengertian yang berbeza. Igama dahulu pernah dipakai oleh Melayu Riau-Johor walaupun mereka tidak meneliti tentang kedudukan makna asal Sebab bahasa Inggeris begitu berpengaruh dan sebahagian anak-anak pembesar negeri dan mereka yang ada pengaruh telah dilatih untuk jadi hakim, majistret dan peguam maka igama,agama dan ugama itu sama sahaja dengan konsep religion. Makna asal Igama bermaksud peraturan Tuhan iaitu ujudnya hubungan dengan Tuhan, Yang Ghaib. Manakala perkataan "agama" hanya merujuk kepada perihal peraturan negara seperti Perlembagaan dan akta yang ditentukan oleh ‘Majlis Negara’ ; dan perkataan "ugama" pula dipakai bagi peraturan masyarakat iaitu adat dan peraturan budaya kehidupan manusia.. Mengenai Islam dan yang berkaitan dengannya di Malaysia,antara lain sila lihat Ahmad Kamar,The Leadership of Parti Islam SeMalaysia (PAS), thesis Ph. (Hull 1977) dan versi lain (bahasa Melayu,UM, K.Lumpu 1984).
 
 
Suruhanjaya Lord Reid menghasilkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara ini dengan memberi lapik kata pertimbangan atas kehendak dan pendapat daripada berbagai pihak rakyat. Sebagai yang diketahui bahawa bahasa yang dipakai ialah bahasa Inggeris. Begitu juga bagi perlembagaan Negeri-negeri telah lama menggunakan bahasa Inggeris. Justeru itu bahasa Inggeris dengan sendirinya menduduki di tempat tertinggi. Ia menjadi bahasa induk untuk diberikan pengertian atau terjemahan. Kamus bahasa Inggeris, seperti Oxford dictionary, undang-undang Inggeris dan negara Komanwel merupakan rujukan undang-undang negara ini. Keadaan pengaruh yang tebal tentu sahaja makna "religion" membendung makna daripada pengaruh lain seperti perkataan Islam itu sendiri. Undang Islam pun dipakai oleh penulis Barat sebagai "Mohammadan Laws". Ertinya, undang Islam yang terdapat dalam Al-Quran itu telah dibuat atau direka oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.

Dari segi ilmu bahasa (linguistics), bahasa Inggeris mempunyai kekuatan rujukan dalam berbagai cabang. Sejarah bangsa Eropah memisahkan negara dari gereja merupakan satu titik tolak yang berani dan berat. Rujukan makna bahasa dengan cepat jadi berubah. Hal ini kerana nilai dan norma dalam sistem kehidupan mereka tidak lagi menumpukan pada pengajaran agama (terutama katolik). Jadi tidak hairan mengapa perkataan religion memakai makna yang terhad pada upacara yang dijalankan oleh kuasa yang diberikan kepada gereja sahaja.

Dalam hubungan ini kedudukan bahasa Melayu turut tergugat kerana bukan sahaja ramai yang kurang mendalam dengan dwi-bahasa, Melayu-Inggeris-Melayu, tetapi juga kesedaran dan pengetahuan yang cukup mengenai Islam dan kemasyarakatan. Pada umumnya golongan terpelajar undang-undang kurang kesedaran tentang unsur "makna dan konsep" Islam apabila mereka menjadi pendakwa atau pembela atau hakim. [Dosa dan pahala adalah tertakluk kepada apa yang tertulis...dan seperti dalam siri 1 timbul pertanyaan : SIAPA YANG MENGHAKIMKAN HAKIM ?]

sila ikuti sambungan siri 2 (c), CABARAN : APA ITU ISLAM ? insya Allah.

dr_ahmadkamar@hotmail.com
 
 


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com