Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Dr. AQ - SURAT TERBUKA KEPADA SEJARAWAN MELAYU

APAKAH TUAN/PUAN SEORANG SEJARAWAN ATAU PERIWAYAT ATAU PENCERITA ?

HAKIKAT SEJARAH SERING DIKABURI OLEH BISIKAN SIFAT BERLEBIH-LEBIHAN DAN SERING MIRIP KEPADA PERIHAL YANG ANEH DAN LUAR BIASA DAN MUDAH TERSILAP TANPA BANAYK BERGIAT UNTUK DAPAT BUKTI.

Menginsafi berbagai keadaan buruk yang sedang MELANDA orang Melayu, maka saya berpendapat perlu dinilai kembali langkah sejarah perjalanannya. Sebab, pada umumnya orang Malaysia, terutama Melayu sendiri yang sudah ramai tidak mengetahui sejarah dan asas perjuangan hidup mereka. Antara lain, di samping mereka tidak kenal sejarah, proses kehidupan dasar agama, warisan sosio-budaya dan hak tanah, air, api dan angin maka mereka juga lemah dalam pendidikan dan pendirian politik. Sejarah pula ditulis hanya terdapat dalam buku teks sekolah dan universiti, dan yang lingkupnya terbatas begitu rupa. Meskipun ia , jika dapat disebut sejarah, tetapi keadaannya pula telah diatur menurut aliran pemikiran "penentu kurikulum" dan penulis tertentu saja. Ertinya bergantung pada "nasib" iaitu jika ia berasaskan kepentingan "kebenaran" sejati dan kebangsaan maka cantiklah susunan urutan peristiwa sejarah. Jika tidak maka berlakulah rungutan demi rungutan penggelapan peristiwa penting. Penulisan dan penentuan dasar, bagi kehidupan orang Melayu kelihatan seperti ketiadaan data dan "asas" sejarah terutama mengenai perjuangan, warisan, hak dan jasa seseorang. Demikian pendapat saya dan kawan-kawan.

Untuk itu seorang hakim besar, bapa ilmu sejarah dan sains sosial, Abdul Rahman Ibn Muhammad ibn Khaldun (1332-1406), 500 ratus tahun dahulu telah melihat penyelewengan sejarah yang diberikan oleh ramai "sejarawan" periwayat dan pencerita (pilih mana satu yang layak bagi diri seseorang) tentang penggelapan sejarah dan "kebenaran". Hakikat sejarah, di negara Asia-Afrika-AmerikaLatin, termasuk di Malaysia ini, yang saya faham, sudah jadi kabur. Ramai yang menepikan prinsip atau tidak tahu ujudnya prinsip* sejarah yang dikemukakan oleh Bapa Sejarah itu sendiri.

*[ Seorang pelajar peringkat sarjana di sebuah universiti "Islam" apabila saya menanyakan siapa itu Ibn Khaldun dan apa yang telah ditulisnya, ia "terpinga-pinga" ! Sila bayangkan kedudukan perjalanan sejarah negeri ini. Ada beberapa contoh yang sensitif digelapkan. Bayangkan lantaran mengembangkan Islam dan kedaulatan tanah-air. moyang saya yang dikejar Belanda dan nenek saya yang dikejar British, maka oleh "orang politik"( pembolot harta rakyat ini) telah memberi pandangan kepada saya (tanpa tahu sejarah keturunan saya}, bahawa "pahlawan Melayu" termasuk nama datuk dan paman saya, dimasukkan ke dalam senarai "penderhaka" bersetuju dengan "cap" penjajahan !]

Apa yang ditonjolkan ialah "hasil" (tertakluk untuk dipersoalkan) untuk dimakan oleh pembaca dan pendengar. Antara lain daripada tujuh perihal yang sejarawan/periwayat jadi lemah ialah sebagai berikut :

"KEINGINAN yang umum untuk mengambil hati orang yang berkedudukan tinggi, dengan jalan memuji-muji, menyiarkan kemasyhuran, membujuk-bujuk, menganggap baik barang apa perbuatan mereka dan memberi tafsiran yang selalu menguntungkan terhadap semua tindakan mereka. Hasilnya semua itu memberi gambaran yang terbaik kepada kejadian sejarah. Sebab semua orang senang dipuji, dan manusia pada umumnya mencari kesenangan dunia ini dan mencari segala jalan untuk mencapai kesenangan itu, seperti kehormatan dan kekayaan, dan pada umumnya mereka tidak mencari perbuatan yang baik atau mencuba mendapatkan kebaikan daripada orang yang baik-baik."

Pembelaan terhadap kedaulatan Melayu, menurut pendapat saya, hanya boleh bergerak dengan teratur jika kita mempunyai bahan ilmiah yang lengkap mengenai orang Melayu. Malangnya, jabatan PENGAJIAN MELAYU atau "MALAY STUDIES " dan JABATAN SEJARAH di UNIVERSITI kita, dan "MALAY STUDIES" di beberapa universiti luar negeri, hanya berkisar pada soal sastera dan budaya Melayu yang terbatas. Ia tidak mencakup bidang politik dan ekonomi. Padahal data yang lengkap, bagi memperkatakan keadaan orang Melayu, masih kurang sekali.

JUSTERU ITU, SUATU "RUMAH MELAYU" (APA SAJA NAMANYA) YANG KHUSUS DAN BERWIBAWA MEMBUAT PENILAIAN BANGSA MELAYU PERLU DIUJUDKAN SEGERA. BAHAN YANG HARUS DILENGKAPI, ANTARA LAIN, ADALAH SEPERTI KERTAS YANG SAYA LAMPIRKAN. Data dari RUMAH MELAYU boleh dijual untuk perbelanjaan dan perkembangannya. Semoga ada manfaatnya. Untuk mengembalikan hakikat sejarah menurut landasan ilmiah maka perjumpaan dalam bentuk cermah, forum,. seminar, penulisan dalam berbagai majalah, akhbar dan sebagainya sangat perlu diadakan dari masa ke masa. Buku, Malaysia Warisan dan Perkembangan oleh Zainal Abidin bin Abdul Wahid (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996 ) dapat dijadikan satu daripada beberapa rujukan untuk dikaji dan dibahaskan dengan mendalam.

Mengenai perihal yang kemukakan ini, meskipun bukan satu kewajipan pihak tuan, tetapi justeru ia berkait rapat dengan bahasa, sains dan budaya dan bidang kehidupan orang Melayu maka saya, sebagai seorang "melukut di tepi gantang", ingin menyampaikan fikiran ini.

ALLAH SAHAJA YANG MENGETAHUI SEMUA NYA. WASSALAM.

YANG IKHLAS,
Dr. Ahmad kamar
12 Julai, 2000
(suntingan surat lama)
dr_ahmadkamar@hotmail.com


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com