Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


SIAPA YANG SESAT DAN SONGSANG ? (2)

MENGAPA SARJANA JADI SONGSANG, PEMIMPIN SESAT, ULAMA TEPERANGKAP DAN RAKYAT BINGUNG (?) ~ (3).

Subjektif : peristiwa Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia.

Objektif : peristiwa Habil dibunuh oleh Qabil kerana ketamakan dan keingkaran Qabil.

Dua peristiwa awal sejarah tersebut merupakan satu petunjuk tentang kelemahan manusia. Pertama, faktor nafsu dan syaitan tidak kelihatan pada mata "kasar". Kedua, faktor kebendaan yang terdapat di keliling kita. Kita manusia sentiasa menghadapi berbagai macam ragam. Keluarga jauh dan dekat, sahabat dan kawan dan kita sendiri tergoda dengan keinginan nafsu dan tarikan kebendaan, kemegahan dan keseronokan dunia. Apakah kita termasuk dari keturunan langsung dan tidak langsung dari Qabil yang ingkar pada hukum Allah dan sunnah nabi, ayahnya. Kita pada setiap saat dicabar dengan semua perihal kuasa, sex, harta dan kemegahan.

Dua keadaan peristiwa tersebut di atas merupakan hal yang kait mengait, iaitu antara faktor dorongan dan tarikan. Nafsu dan syaitan mendesak untuk berlaku "curang" terhadap apa yang boleh diambil dengan banyak di keliling kita. Jika seseorang atau se golongan orang mengambil sesuatu melebihi dari haknya atau membuat sesuatu di luar norma dan nilai masyarakat maka mereka adalah "songsang". Faktor yang mendorong manusia melakukan kesalahan ialah kuasa. Makin luas kuasa maka makin cenderung ia menyalahgunakan kuasa itu. Bahasa Inggeris menyebut "power tends to corrupt" dan "absolute power corrupts absolutely". Peribahasa politik sudah lama dikenal dalam sejarah iaitu manusia sememangnya cenderung, menurut nafsu, menjadi tamak dan jahat MALANG bagi rakyat lemah apabila mereka menuntut hak mereka yang tertulis dalam undang-undang, walaupun sedikit maka mereka dituduh sebagai "melampau" dan merosak perpaduan..

Dalam dua makalah terdahulu, penulis membincangkan perihal kebanyakan daripada kita sangat mudah, tanpa bukti yang kukuh, menuduh orang lain sebagai sesat, seleweng, songsang dan perkataan yang sejenis dengannya. Ertinya, apabila memberikan pendapat, walaupun premisnya sama, tetapi kesimpulan menurut hati mereka iaitu berlainan dengan matan atau logik dan rasional. Di samping mereka yang "mabuk" dengan kemewahan sudah jadi bebal dan jahil dengan sebab musabab kegelisahan rakyat. Walaupun sebahagian daripada mereka mempunyai "kelulusan" universiti tetapi mereka berfikir sudah menjadi tidak keruan lagi apabila dikemukakan soalan. Justeru itu. kita dapati "orang" beralih kepada "alasan" bahawa kuasa dan kemenangan merupakan suatu yang benar walaupun ia dapati secara batil. Sebaliknya, kebenaran pula yang dianggap sebagai hal yang batil dan boleh dihukum Maka yang batil menjadi yang hak dan halal !. Ini satu hasil daripada "doktrin' politik Macheavelli yang berjaya dalam masyarakat yang mendasarkan "materialisme" : "Tujuan menghalalkan cara". Semua perbuatan sah asakan ia menguntungkan si penguasa.

NAFSU DAN SYAITAN

Dalam hal ini, secara kerohanian,dapat disebut bahawa nafsu dan syaitan begitu berjaya menguasai manusia. Bukan orang lain lagi, malahan kita sendiri pun, kadang-kadang bercakap dan berbuat sesuatu, secara langsung dan tidak langsung, menurut nafsu dan syaitan. Malahan, penyakit ini terkena juga pada mereka yang diberi gelar sebagai "ulama" ; mereka itu telah terjebak dengan sistem kehidupan dan ayunan kebendaan. Sebabnya, mereka tinggal dan terlibat dalam sistem yang tidak berdasarkan tauhid. Ulama sendiri telah meletakkan martabat diri mereka sebagai "orang bawahan" atau "di bawah arahan" atau "orang suruhan" dalam berbagai tempat cari makan yang mereka tidak bebas. Ertinya, ulama bukan seorang daripada pembuat keputusan atau "decision makers"

Jadi untuk mencari sumber kekeliruan dan kesesatan tersebut, kita bukan sahaja kena memahami sejarah Nabi Adam, Hawa, Habi dan Qabil, rasul, ulama dan para cendekiawan (seperti yang telah disentuh secara imbasan), tetapi juga kena memhami sejarah "ideologi" dan perubahan berbagai sistem kehidupan manusia pada umumnya .

Secara "ilmiah", sumber dan sebab musabab berlakunya gejala dan penyakit penyelewengan dalam kefahaman politik, ekonomi dan bidang kehidupan lain, sehingga akibatnya telah memisahkan ad-adin termasuk semua "igama". Antara lain yang pernah dikemukakan seimbas pandang, sila lihat : Ahmad Kamar, SIAPA YANG SONGSANG ? Sarjana dan Ulama (Petaling Jaya : Agensi Penerbitan Nusantara, 1981)

Buku kecil tersebut memberikan pandangan mengenai Ilmu dan Fungsinya ; Masalah Manusia dan Ilmu ; Paderi dan Sains Sosial : Kecetekan dan Kenyataan Ilmu ; dan beberapa hal yang berkaitan dengan martabat "igama" yang ditonjolkan sebagai "Ratu" atau Raja segala ilmu. Fakta ini dengan mengambil kira bahawa Allah itu adalah Pemilik semua ilmu sesuai dengan namaNya iaitu AL-ALIM. Tauhid berasaskan sifat dua puluh dan asma' al-husna.

Ilmu yang kita pelajari sekarang, hampir di semua sekolah dan universiti telah mendasarkan pada "FALSAFAH" sebagai ratu segala ilmu" atau Philosophy is the queen of all sciences. Ia telah mempengaruhi seluruh kehidupan manusia melalaui sistem pendidikan yang dipengaruhi "Barat" (doktorin membuang tauhid daripada ilmu}. Hal ini kelihatan dengan jelas apabila ia disesuaikan dengan sistem politik, pemerintahan, pembangunan dan sosio-budaya Yunani. Untuk memahami hal ini sila lihat rajah dan keterangan di bawah ini : [IKUTI DALAM SIAPA YANG SONGSANG (4), melihat kembali falsafah Roman-Yunani dan pengaruh ke dalam landsan sistem kehidupan seluruh manusia, termasuk masyarakat Islam yang meminggirkan tauhid Insya-Allah]

Ogos-September, 2000.

dr_ahmadkamar@hotmail.com


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com