Make your own free website on Tripod.com

Islam, Demokrasi,

Kezaliman Pemerintah dan Kebebasan Rakyat

Oleh Fathi Aris Omar [e-mel: wanparis@yahoo.com]

 

Islam adalah satu cara hidup yang lengkap. Ia berdiri atas beberapa prinsip yang tetap, tidak akan berubah sama sekali dan juga beberapa garis panduan umum yang boleh menyerap perubahan dan seterusnya memberikannya keanjalan untuk menyerap realiti-realiti baru kehidupan manusia. Asas-asas Islam itu terdapat dengan nyata dalam al-Quran dan Hadith, serta kajian-kajian yang sudah dicapai oleh tokoh-tokoh ulama (pemikir). Namun, al-Quran dan Hadith merupakan dua sumber yang kekal dan sah sepanjang masa.

 

Dalam realiti sistem bernegara yang tidak memenuhi kriteria Islam sepenuhnya, malah ada percubaan politik untuk mengongkongnya, realiti-realiti itu perlulah difahami dan DIMANFAAT-kan dengan baik. Realiti politik di Malaysia ialah sistem demokrasi Barat, yang dipelajari dari pengalaman penjajahan British.

 

Apakah Islam menolak demokrasi ini dan apakah seruan ke arah demokrasi dan kebebasan rakyat TERKELUAR atau BERCANGGAH dengan Islam dan perjuangan Islam?

 

Soalan ini selalunya mengelirukan ramai orang Islam, khususnya mereka yang beranggapan dirinya "pejuang Islam tulen" tetapi hanya mempelajari beberapa konsep umum yang dilihat bercanggah dengan Islam. Negara ini dituduh sekular, demokrasi ini datangnya dari Barat, dan malah sistemnya digubal dari pengalaman dan campur tangan "penjajah". Tanpa menafikan ada juga kebenaran hujah-hujah konsep dan faktor sejarah tersebut, demokrasi di Malaysia (walaupun sempit) membenarkan beberapa ruang untuk umat Islam, organisasi Islam dan aktiviti Islam diadakan. Ruang-ruang ini mestilah dimanfaatkan dengan baik untuk meluaskan lagi pengaruh Islam dengan pelbagai cara:

 

  1. membina organisasi-organisasi (dan sumber manusia) yang dapat meletakkan Islam sebagai satu cara hidup yang operational. Misalnya, alam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan politik.

 

2.      membina rangkaian kerja (dan aktivis) yang komited pada prinsip Islam dan seterusnya beramal dengan moral dan idea-idea Islam.

 

  1. memastikan RUANG-RUANG demokrasi ini terbuka lebih luas, dan menentang sebarang bentuk percubaan secara terbuka atau tertutup, secara perlahan-lahan atau secara segera untuk MENYEMPITKAN ruang-ruang demokrasi. Sebarang usaha menutup atau menyempitkan ruang demokrasi bermakna tindakan-tindakan untuk melumpuhkan usaha-usaha (1) dan (2) di atas.

 

Oleh itu, perjuangan membuka ruang demokrasi, memastikan demokrasi (dan sistem-sistemnya) terus bersifat demokratik dan tidak diperalatkan oleh orang-orang berkuasa adalah TIDAK bercanggah dengan Islam. Malah, perjuangan sedemikian masih dalam lingkungan dan definisi perjuangan Islam kerana ia MEMBANTU proses-proses (atau usaha-usaha) pengislaman atau penyebaran dakwah melalui organisasi-organisasi Islam dalam pelbagai bidang, khususnya parti politik, perniagaan, pendidikan, dan sosial.

 

Usaha ini bolehlah diibaratkan "mengambil wudhu' untuk mendirikan solat wajib 5 waktu sehari". Wudhu' (mengambil air sembahyang) umumnya tidaklah wajib tetapi menjadi wajib kerana tidaklah sempurna tanggungjawab solat sehinggalah sah wudhu' seseorang.

 

Ada segelintir orang Islam keliru dalam aspek ini. Mereka menyangka demokrasi satu ideologi (idea manusia) yang datang dari Barat dan bersifat liberal-sekular. Maka itu, demokrasi itu bercanggah dengan Islam. Hujah mereka lagi, Islam berasaskan aqidah, berdasarkan al-Quran dan hadith; sementara demokrasi berasaskan akal manusia semata-mata, khususnya manusia yang bukan Islam. Walaupun hujah mereka itu BENAR dari segi konsep dan falsafahnya, tetapi tidaklah benar dari segi MASLAHAT perjuangan yang lebih besar. Kebanyakan pemikir dan ulama dari organisasi-organisasi Islam di seluruh dunia lebih "menyukai" pendekatan demokrasi berbanding negara-negara yang tertutup demokrasinya, negara yang diperintah oleh elemen-elemen autokrasi, regim diktator atau komunis (suatu masa dulu). Lebih-lebih lagi pemerintah-pemerintah dalam sistem tersebut mengambil sikap bermusuh SECARA TERANG-TERANGAN dan ganas ke atas pengamalan Islam, pemimpin Islam dan organisasi Islam. Sehinggakan tindakan ganas, ekstrem itu tidak memungkinkan aktiviti Islam dan organisasi Islam hidup subur atau lebih positif.

 

Demokrasi yang difikirkan sesuai dalam konteks sekarang ialah amalan demokrasi yang MEMBENARKAN atau menggalakkan aktiviti-aktiviti umat Islam, organisasi Islam dan pemimpin gerakan Islam ke arah Islam yang lengkap dan sempurna.Ada pun, jika demokrasi itu bersikap keras terhadap Islam, maka demokrasi itu tidaklah serasi dengan tabie perjuangan Islam. TETAPI, tentunya demokrasi itu akan terus diawasi agar tidak lebih merosot.

 

Sebenarnya gerakan Islam bukanlah suka atau setuju dengan falsafah demokrasi yang asal. Tetapi umumnya mereka boleh bersetuju dengan demokrasi itu SELAGI ruang-ruang demokrasi itu memberikan keizinan kepadanya untuk menyampaikan mesej (dakwah) Islam. Gerakan Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, memilih jalan penerangan dan amalan daripada peperangan senjata (kecuali keadaan meminta cara seperti itu, misalnya di Palestin dan Bosnia). Mereka percaya penerangan (dakwah) dan amalan (peribadi & institusi) akan mudah menarik orang bukan Islam memahami Islam, dan seterusnya turut serta di bawah panji-panji politik Islam (dan negara Islam).

 

Lagi pun, beberapa idea asas yang terkandung dalam idea-idea demokrasi itu - misalnya ketelusan, akauntabiliti, pengasingan kuasa, perundingan, penyertaan rakyat, profesionalisme tidaklah dilihat bercanggah dengan Islam secara khusus. Malah ada juga hujah-hujah yang membenarkan sifat-sifat itu wujud dalam pemikiran politik Islam.

 

Perlu ditegaskan, apabila wujud beberapa persamaan ciri dan konsep antara demokrasi dengan Islam, ini TIDAKLAH BERMAKNA demokrasi itu sama dengan Islam.Tidak juga bermakna demokrasi itu sebahagian dari Islam. Tidak juga bermakna adanya keadaan atau istilah "demokrasi Islam" seperti kononnya wujud "sosialisme Islam" atau apa-apa sahaja. Bukan, bukan begitu. Islam itu tersendiri dari segi sumbernya dan jalannya.

 

Wujudnya pertindihan nilai dan persamaan tertentu antara Islam dengan beberapa ideologi manusia (misalnya demokrasi atau sosialisme) membuktikan manusia dari segi fitrahnya adalah sama. Mereka yang berfikir secara serius akan sedikit sebanyak menggali fitrah mereka (manusia) yang asal. Misalnya semua manusia inginkan keadilan, inginkan pengagihan sumber kekayaan secara saksama, inginkan ruang-ruang kebebasan asas (bersuara, berkumpul, berpersatuan), inginkan maruahnya dan hartanya terjaga. Walaupun pemikir-pemikir ideologi itu gagal menggali SEMUA fitrahnya, tetapi sedikit sebanyak terjumpa juga dengan tabie atau fitrah asalnya itu. Sebab itu, Islam sebagai agama fitrah mempunyai nilai-nilai asasi dan persamaan ini. Islam sebagai agama fitrah lebih luas dan sempurna daripada ideologi ini kerana Islam diwahyukan oleh Allah yang menjadikan manusia. Oleh itu, Allah mengetahui aspek-aspek yang tidak diketahui oleh manusia. Maka, walaupun ada persamaan tetapi Islam lebih luas dari itu.

 

Perbezaan antara Islam dan ideologi Barat (termasuk demokrasi) terletak pada aspek-aspek sumber ambilan, nilai dan perinciannya. Kemudiannya, pada model pengamalannya. Hakikatnya, selagi wujud nilai-nilai umum Islam dalam demokrasi itu, maka tidak syak lagi, demokrasi seperti itu wajarlah terus dipertahankan (agar jangan merosot menjadi sistem diktator atau autokrasi pula!) dan terus dipulihkan dengan program-program Islam - dalam jangka masa yang panjang dan dalam konteks dakwah yang berterusan.

 

Oleh itu, adalah salah atau palsu sama sekali jika ada orang Islam menuduh perjuangan meluaskan ruang-ruang demokrasi di Malaysia (baik atas nama "reformasi" atau "Barisan Alternatif") dianggap tidak Islam atau terkeluar dari Islam. Kritikan, teguran dan bantahan kumpulan pro-reformasi atau pro-demokrasi itu sebenarnya untuk memastikan agar demokrasi di Malaysia TIDAK BERTUKAR menjadi sistem autokrasi atau kediktatoran. Lebih-lebih lagi, pemerintahan Mahathir dilihat telah merosotkan (dan merosakkan) lagi keadaan demokrasi di Malaysia.

 

Realiti demokrasi di Malaysia, misalnya RUNTUHNYA atau RETAKNYA aspek-aspek semak dan imbang (check & balance) cabang-cabang kehakiman, eksekutif serta legislatif; keraguan terhadap kebebasan sistem kehakiman; tindakan polis yang ganas, memilih, memihak dan tidak profesional; pemusatan ekonomi di tangan kroni dan pengagihan ekonomi yang tidak saksama; sempitnya ruang muhasabah dan kritik dalam parti-parti pemerintah; pemusatan sumber maklumat dan media massa; sempitnya ruang-ruang bergerak bebas di luar kerajaan (misalnya yang dialami oleh NGO, parti-parti pembangkang dan juga orang perseorangan yang kritis) BERMAKNA sempit juga ruang islah, dakwah dan reformasi yang hendak dibawa oleh pemimpin Islam dan organisasi Islam.

 

Oleh itu, menentang kemerosotan demokrasi seperti itu dan menuntut demokrasi diberikan ruang yang lebih luas SEBENARNYA salah satu cabang jihad dan saluran dakwah yang paling utama buat masa kini. Tidak pernah ada pemimpin gerakan-gerakan Islam yang dihormati di Malaysia (baik PUM, JIM, PAS atau ABIM) memutuskan isu-isu yang dihadapi oleh negara ini sebagai isu-isu kecil, malah mereka melihatnya sebagai satu keadaan politik yang SANGAT serius dan memerlukan pembabitan yang lebih BERTENAGA. Jauh sekali pemimpin-pemimpin dan organisasi-organisasi ini untuk menyatakan bahawa perjuangan itu BERCANGGAH dengan Islam atau terkeluar dari garis perjuangan Islam.

 

Hanya mereka yang buta sahaja, atau berangan-angan sahaja, atau terkeliru sahaja, atau tidak mahu mempelajari sahaja, beranggapan usaha-usaha perjuangan pro-demokrasi atau pro-reformasi seperti itu bercanggah dengan Islam. Hakikatnya, jika ada aktivis-aktivis Muslim atau aktivis-aktivis dari gerakan Islam terlibat (dan bergabung) dengan NGO yang dimiliki oleh aktivis-aktivis bukan Islam, itu menunjukkan satu TAHAP PENCAPAIAN yang positif. Sebarang bentuk penyelewengan atau kezaliman (khususnya yang berselindung di sebalik nama demokrasi, ala pemerintahan Dr Mahathir ini) adalah TIDAK ISLAM. Dan menentangnya adalah JIHAD yang utama. Ulama mana yang berani menyatakan sebaliknya?

 

**