Jom, pandang ke Timur

Fathi Aris Omar edisi lengkap Malaysian kini

Dec 18: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada awal pentadbirannya memperkenalkan dasar ‘Pandang ke Timur’. Dasar ini pada umumnya usaha mempelajari dan meniru kemajuan ekonomi serta teknologi yang dicapai Jepun dan Korea Selatan. Di seluruh negara, kempen baru ini mendapat pujian yang melimpah ruah dan pernah juga Mahathir dianggap sebagai ‘pemimpin hebat’ kerana berjaya menemui kekuatan dari bangsa Asia sendiri - Asia yang dianggap kawah emas kaum penjajah.

Kali ini, walaupun beliau mungkin tidak suka - dan pastinya tidak suka - Mahathir mesti memandang ke Timur lagi. Timur kali ini tidak jauh tetapi hanya di Pantai Timur apabila dua buah negeri di situ berjaya ditawan PAS dalam pilihan raya umum ke-10 lalu. Tidak seperti selepas pilihan raya ke-8 pada 1990 lalu, kali ini dua negeri yang ditadbir parti pembangkang itu tidak mempunyai seorang pun wakil dalam kabinet.

"Mahathir sengaja hendak menghukum pemimpin Umno di dua negeri itu," komen seorang pemandu teksi yang berani menampal simbol-simbol parti pembangkang di dalam keretanya.