Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Apa Erti "Mahathir”?"

Oleh Fathi Aris Omar

Saya masih ingat pertemuan pertama dengan seorang tokoh pemikir yang lama saya kagumi, Sdr Rustam A Sani. Dalam pertemuan pada Oktober 1998 lalu, saya masih ingat beliau cuba menjelaskan apa ertinya “menentang Dr Mahathir. Bagi dirinya laungan anti-Mahathir seperti “undur-Mahathir-undur” bukan

ditujukan kepada jasad atau peribadi Perdana Menteri itu sahaja. Malah, bukan bermakna menolak kepimpinan Dr Mahathir seorang diri dengan menerima Umno atau sistem buruk yang sedia ada -- seperti lazimnya difahami dan cuba dikempenkan oleh ahli-ahli Umno, “biar tak sokong PM, asalkan undi Umno. Dr Mahathir melambangkan (ulang: melambangkan) satu pemikiran, satu kumpulan dasar, satu tindakan politik dan satu kelas elit tertentu. Sebagai mana Anwar dijadikan simbol protes rakyat, begitulah juga konsep protes yang tersirat di sebalik Dr Mahathir, jelas beliau lagi. Agak panjang juga, walau sedikit sahaja yang saya tuliskan.

Pemikiran ini dikupas dengan lebih mendalam lagi oleh aktivis masyarakat dan juga kenalan saya Hishamuddin Rais -- tentunya anda sering terbaca idea seperti ini dalam ruangan tetapnya “Analog” dalam sebuah akhbar mingguan.

Sekali lagi, dalam satu wawancara dengan majalah DETIK, Sdr Hassan Karim, cuba mengungkapkan apa pengaruhnya Mahathir ke atas Umno. Idea yang sama cuba dilakarkan oleh rakan saya kartunis top masa kini, Zunar, dalam satu karikaturnya (juga dalam DETIK), bagaimana simbol Umno itu secara evolusi berubah menjadi wajah hodoh Dr Mahathir (itu penilaian saya terhadap kartun PM, wajah PM yang sebenar handsome juga!). Dan apa yang disebutkan oleh tokoh dan aktivis ini ialah apa yang cuba disebut dalam lingkungan Umno itu sendiri; umpamanya Umno ditakrifkan sebagai “Under Mahathir, No Opposition” atau yang lebih baru, “Undur Mahathir, Negara OK”.

Jadi, sebenarnya, sudah terbentuk dalam pemikiran umum -- walau mungkin kurang disedari dan tidak pula dikonsepsikan secara serius, barangkali karya The Paradox of Mahathirism terkecuali -- bahawa sebutan “Dr Mahathir” bukan sekadar merujuk jasad dan peribadi Dr Mahathir. Istilah “Dr Mahathir” itu sebenarnya jauh lebih luas pengertiannya dan cakupannya dalam konteks politik negara. Ia menggambarkan satu huraian atau konsep yang luas. Konsep itu boleh dicantumkan dari semua maksud yang saya nyatakan di atas, bermula huraian Rustam Sani, Hishamuddin Rais, Zunar hinggalah kemeluatan orang ramai apabila membicarakan “Dr Mahathir”.

Saya percaya apabila konsep atau maksud “Dr Mahathir” itu cukup luas, sudah tentu ada beberapa dimensi daripada Dr Mahathir, satu daripadanya ialah pemikirannya yang cuba digambarkan melalui beberapa aspek -- pertama, dasar-dasar negara; kedua, binaan-binaan; dan ketiga, melalui ucapan, tulisan dan reaksi-reaksi spontannya khususnya ketika berdepan dengan wartawan. Istilah “Mahathirisme” misalnya -- antaranya cuba dipopularkan oleh SN Shahnon Ahmad -- sudah tentu menganggap Dr Mahathir sebagai satu kumpulan buah fikiran atau “isme” atau ideologi, walau tarafnya tidaklah sama dengan ideologi-ideologi politik yang lain, tetapi kesan Mahathirisme cukup terasa di negara kita. Dan, saya sebenarnya suka menyarankan agar kempen anti-Mahathir atau laungan “undur-Mahathir-undur” tidak dilihat secara jasmani atau peribadi Dr Mahathir sahaja. Malah, tanggapan itu sebenarnya menyeleweng, malah boleh merosakkan. Misalnya, ada orang suka melaungkan (secara bergurau selalunya) di depan rakan-rakannya “bunuh Mahathir” atau menyebutkan keturunan beliau dengan gelaran-gelaran yang bersifat perkauman. Perkembangan ini tidak sihat, pejal, beremosi dan jauh sekali daripada budaya politik yang sihat. Dan saya juga menyarankan agar dua aspek tersebut dihentikan demi mengangkat martabat politik, khususnya di kalangan orang Melayu. Perkembangan ini nyata sekali dikongkong oleh tanggapan bahawa istilah “Dr Mahathir” itu merujuk pada jasmani dan peribadi Dr Mahathir.

Padahal jika konsep Dr Mahathir itu lebih luas, maka secara automatis tidak timbul ungkapan “bunuh Mahathir” secara fizikal; dan juga tidak berbangkit soal-soal keturunan. Sebab Mahathirisme sebagai satu kumpulan dasar, idea, dan tindakan politik (malah, lebih jauh lagi, sebagai satu kelas kecil masyarakat teratas dan satu “sistem”) tidak boleh dimatikan dengan cara membunuh beliau, atau mendesaknya berundur, atau menggantikan beliau seseorang yang lain. Malah kelas itu tidak boleh dihapuskan dengan mengekalkan cara berfikir dan budaya “Dr Mahathir” itu sendiri.

Ertinya, desakan “undur-Mahathir-undur” bukannya desakan agar seseorang bernama Dr Mahathir bin Mohamad meletakkan jawatan. Yang penting, rangkaian pengaruhnya, dasar-dasarnya, cara berfikirnya, amalan-amalan politik pragmatisnya, budayanya dan idea-ideanya (yang boleh dirangkumkan secara umum sebagai “sistem”) haruslah turut berundur, haruslah digantikan dengan sejenis “sistem” yang lebih baik daripada “Dr Mahathir”. Dengan itu, saya berharap agar penyokong dan aktivis reformasi tidak lagi melihat Dr Mahathir secara peribadi, jasmani dan berseorang diri tetapi hendaklah memahami bahawa sebutan “Dr Mahathir” itu jauh lebih luas maksud dan konsepnya. Dengan kata lain, kita tidak mahu lagi melihat “Dr Mahathir” yang baru selepas perginya seorang Dr Mahathir yang ada kini. Tidak ada istilah Dr Mahathir Junior, misalnya! Kita tidak mahu juga parti-parti politik alternatif mengambil tindakan-tindakan politik “ala Mahathir” di dalam parti-parti mereka sendiri, atau selepas berjaya menguasai negara.

Dengan itu juga, usaha untuk mengundurkan Dr Mahathir tentunya akan dilihat lebih rumit dan kompleks daripada menghilangkannya atau menjatuhkannya daripada jawatannya yang ada kini. Barulah semua orang sedar sebenarnya untuk menewaskan beliau -- katakan dalam pilihan raya umum nanti -- bukanlah sekadar di Parlimen Kubang Pasu atau mana-mana kawasan yang ditandinginya tetapi lebih luas lagi. Dan, reformasi yang kita semua harapkan tentunya bukan sekadar memasukkan semula Anwar ke dalam Umno atau menabalkannya sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir. “Dr Mahathir” sebagai satu sistem tidak memungkinkan reformasi seperti itu berjaya.

Pada waktu yang sama juga, kempen politik yang cuba diserapkan di kalangan ahli-ahli Umno (sebenarnya untuk memujuk mereka menyokong parti Mahathirisme itu) seperti “tidak mengapa benci Mahathir, asalkan kekalkan Umno atau Mahathir tidak lama lagi, nanti naik pemimpin baru yang lebih baik” atau “biarlah kita bergaduh dengan bapa (Mahathir) tetapi jangan kita lari dari rumah (Umno) pula” semuanya tidak relevan. Malah, sempit semata-mata. Ia hanya propaganda kosong ahli-ahli Umno semata-mata.

Dalam konteks yang sama, sebenarnya (walau tidak pernah diungkapkan orang) kita boleh menjadikan istilah Mahathir (asalnya, kata nama khusus) sebagai kata kerja kerja (verb) atau kata keterangan (adverb), atau kata nama (noun). Misalnya, kita boleh sebut: “Umno telah dimahathirkan sejak 1981 lagi” atau “Ustaz XX dari parti YY cuba melumpuhkan musuh politik dalam partinya dengan gaya mahathir” atau “terdapat usaha pemahathiran rakyat Malaysia.

Dalam kamus politik, sebenarnya tidak pelik untuk mewujudkan istilah “mahathir”. Misalnya “gerrymander” (asalnya nama seorang tokoh politik Amerika), boleh menjadi satu kata kerja (verb) -- kalau kita kaji aspek tata bahasa. Apabila disebut tindakan “gerrymandering”, maka terbayanglah tindakannya yang asal -- mengubah sempadan-sempadan kawasan pilihan raya untuk memastikan dirinya dan partinya menang. Beliau sudah tiada, tetapi tindakan ala Gerry Mander akan disebut dengan istilah itu.

Seperti yang saya selalu tegaskan, penciptaan istilah atau perkataan sebegini akan sentiasa berkembang apabila sesuatu masyarakat mempunyai konsep, makna atau paradigma tertentu untuk diluahkan secara lisan. Di kalangan remaja lepak, kita dengar ungkapan berikut: “lu kencing wa punya port”. Istilah “kencing” di sini sama sekali berbeza dengan istilah kencing atau buang air kecil.

Jadi, saya merumuskan, janganlah anda memahathirkan diri anda sendiri”!




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com