Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Dibuang UiTM tanpa didapati bersalah

Fathi Aris Omar

Lapotan penuh : Malaysiakini.com

Jan 22: Kejadian memecat seseorang atas suatu dakwaan melakukan kesalahan sebelum didapati bersalah di mahkamah bukan hanya untuk bekas Timbalan Peradana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seorang aktivis pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Zaki Yamani Zainon, juga berhadapan dengan ‘tatacara yang sama.’ Barangkali kesilapan beliau ialah bergerak aktif bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebuah pertubuhan yang mempunyai sejarah dengan aktivisme belia dan politik Anwar.

Setiausaha Agung PKPIM ini dibuang dari UiTM atas dakwaan menyertai satu perhimpunan haram pada 14 April bulan sebelumnya, hari Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara. Tetapi institusi pendidikan Bumiputera itu tidak pernah menghantar surat rasmi memanggil Zaki ke mahkamah disiplin.

Selalunya menurut tatacara lazim, surat rasmi yang mengandungi pertuduhan spesifik dikirimkan kepada pelajar untuk perbicaraan tatatertib. Dalam surat itu juga dimasukkan tempat, masa dan tarikh perbicaraan, selain kebenaran bagi pelajar tertuduh itu memanggil saksi-saksi bagi pihak dirinya.

Menurut Zaki, UiTM hanya memaklumkan kepadanya melalui telefon agar menghadiri satu temubual dan perbicaraan sebenarnya akan diadakan selepas itu.

Zaki yang sudah dua kali dihadapkan ke sidang perbicaraan tatatertib pelajar – dan seperti selalunya kes perbicaraan pelajar UiTM sebelum ini, sungguh mudah seseorang pelajar didapati bersalah – tidak pula ditahan polis pada hari kejadian 14 April kerana "menyertai perhimpunan haram di Kuala Lumpur."

Polis tidak pernah mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau. Aktivis pelajar itu tidak pernah ditahan di mana-mana balai polis dan tidak pernah disoal siasat oleh polis selepas itu berhubung dakwaan penyertaannya dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun UiTM dalam satu surat bertarikh 22 Mei tahun lalu mengambil keputusan memecat Zaki, berkuatkuasa serta merta, atas alasan tidak menghadirkan diri dalam perbicaraan tatatertib pada 7 Mei untuk mendengar pertuduhan kononnya beliau terlibat dalam perhimpunan haram pada hari yang disebut itu.

Ya, pelajar UiTM itu memang ditahan dan disoal siasat oleh polis kemudiannya, pada 22 Disember. Selepas Zaki mengeluarkan kenyataan dalam afidavitnya Julai lalu, bagi memulakan saman terhadap UiTM dan Menteri Pendidikan, mempertikaikan tindakan terburu-buru institusi tersebut.

Dalam afidavit itu, Zaki berkata: "Saya tidak pernah didakwa, dituduh atau disoal berkaitan dengan kesalahan ini atau kesalahn berkaitan dengan ini oleh polis. Maka alegasi ini [...] yang dikemukakan oleh ITM [sekarang UiTM] kepada Menteri tersebut [untuk membuang Zaki] adalah alegasi semata-matanya dan tidak disokong apa juga bukti pun."

Hanya kini, selepas Zaki berjaya mendapatkan arahan Mahkamah Tinggi meneruskan saman tersebut, polis menahan beliau di pejabat PKPIM di Wangsa Maju dan dibawa untuk soal siasat selama hampir empat jam di Balai Polis Jalan Stadium.

Beliau sudah dua kali didapati bersalah oleh UiTM, pertama beliau didenda 200 ringgit pada November 1998 dan kedua, digantung pengajian selama dua tahun (empat semester pengajian) dan dilarang memasuki kawasan kampus UiTM pada Februari, 1999.

Zaki, ketika menghubungi malaysiakini dua hari lalu, berkata, "saya sudah dimaklumkan akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan itu." Malah, katanya lagi, seorang inspektor menghubunginya melalui telefon mendakwa pihak polis mempunyai rakaman video yang menunjukkan penyertaannya dalam perhimpunan 14 April itu. Nampaknya polis bertindak menurut jejak institusi pengajian tersebut yang bertanggungjawab membela Bumiputera.

Tetapi, bagaimanakah jika beliau tidak didapati bersalah oleh mahkamah? Atau...




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com