Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Media bebas tuntutan reformasi

www.malaysiakini.com

Fathi Aris Omar

Internet memberikan ruang, peluang dan keberanian kepada ramai pengguna teknologi maklumat berangkaian. Berselindung di sebalik e-mel percuma berasaskan web dan tapak web yang tidak dikenali, seseorang pengguna boleh sahaja melepaskan geramnya sesuka hati. Budaya itu - jika itulah yang dinamakan ‘‘budaya’’ - sedang menguasai alam siber tempatan. Tetapi perangai itu bukannya budaya sebenar Internet dan bukan juga kemudahan yang sewajarnya kita kecapi.

Memang, teknologi maklumat berangkaian ini memungkinkan kelahiran anarki - sesiapa sahaja boleh berbuat apa sahaja di Internet. Tetapi, seperti juga di luar alam siber, masih banyak pihak dan individu yang waras. Mereka mahukan Internet dijadikan ruang keberanian untuk berkomunikasi, termasuk komunikasi massa seperti malaysiakini.com, secara bebas, bertanggungjawab, rasional dan terbuka.

Oleh kerana budaya internet (Net-culture) sedang dikuasai oleh tanggapan silap terhadap kemudahan teknologi maklumat itu dan juga kongkongan media arus perdana yang keterlaluan di luar alam siber, banyak pihak beranggapan kewujudan sesebuah tapak web, misalnya malaysiakini, sama seperti tapak-tapak web reformasi yang lain.

Mereka beranggapan tapak web seharusnya menulis apa sahaja, dengan gaya bahasa apa sahaja, ditulis oleh karyawan tanpa wajah, mengecam kerajaan sesedap rasa dan menyokong "reformasi" vis a vis mengidolakan Anwar dan pembangkang. Tanggapan cetek dan stereotaip itu cukup kuat - dan laman-laman web seperti itu cukup popular.

Sebenarnya itu semua budaya internet yang silap dan reformasi yang lompong! Rakyat harus diajak lari daripada budaya itu dan tafsiran - secara halus dan tidak disedari - reformasi yang kosong itu. Inilah waktu yang sesuai.

Oleh kerana negara ini masih baru dalam alam siber, pembekal maklumat (content provider) yang profesional dan bertanggungjawab masih kurang. Kebanyakan laman web dimiliki oleh organisasi tetapi tidak ada bahan-bahan bacaan yang bertanggungjawab di Internet. Oleh kerana kewujudan utamanya di luar alam siber, organisasi dan penerbitan cetak hanya menggunakan alam siber untuk memanjangkan promosi.

Tetapi malaysiakini berbeza. Akhbar dalam talian ini bergantung semata-mata pada ruang siber. Ia dikendalikan oleh manusia-manusia dengan wajah, maklumatnya dipersembahkan selepas semakan yang teliti dan komunikasi antara pengguna (atau pembaca) dengan pembekal maklumat ini jelas - seperti juga kewujudan syarikat-syarikat penerbitan yang lain. Oleh itu, pengguna Internet seharusnya melihat kami seperti juga mereka menilai akhbar dan majalah lain yang wujud di kedai-kedai akhbar.

Misalnya, mereka harus mengirim surat atau rencana kepada malaysiakini dengan bahasa yang baik, dengan hujah yang kuat dan butiran peribadi yang lengkap. Malaysiakini bukannya Mahazalim! Tulisan yang rendah mutunya atau isu yang tidak relevan dengan konsep penerbitan atau fakta yang tidak dapat disahkan tidak ada tempat di semua akhbar dan majalah tempatan - begitulah juga di malaysakini.

Konsep tapak web ini ringkas sahaja: sebuah akhbar harian dalam talian yang bebas - yang tidak ditunggangi oleh mana-mana pihak dan juga berani mengkritik atau membuka ruang kritikan kepada semua pihak.

Perjuangan media bebas seperti ini juga satu reformasi - malah inilah perjuangan reformasi media yang lebih tulen dan asasi.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com