Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Negara Islam Masih Panjang

Fathi Aris Omar

Apabila kaum bukan Islam tidak memahami negara Islam, sebenarnya itu perkara biasa. Malah, orang Islam sendiri juga tidak memahaminya. Jangan terkejut mereka yang aktif dalam pertubuhan-pertubuhan Islam sendiri tidak dapat menjelaskannya dengan baik! Isu negara Islam menjadi isu nasional bukan kerana ia merupakan asakan satu kepercayaan sesuatu pihak ke atas rakyat negara ini tetapi kerana ia sama-sama tidak difahami oleh kita semua!

Oleh itu, PAS, atau pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), yang sering dilihat memperjuangkan konsep negara Islam sepatutnya menjangkakan sikap menolak dan kebingungan dari kita semua. Tetapi pihak yang tidak peka selalunya tidak berasa perlu menjelaskan dan tidak pula berasa perlu mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

Paradoks kejahilan ini sungguh ketara di kalangan orang Islam, tidak mengira generasi tua atau muda. Mereka sebenarnya diwajibkan untuk mempelajari, mempercayai dan memperjuangkannya tetapi merekalah yang sama-sama dihanyutkan kebingungan setiap kali timbul isu Negara Islam.

Negara Islam muncul daripada kepercayaan bahawa Islam adalah satu cara hidup yang lengkap. Ayat Al-Quran dalam surah al-Baqarah: 208 menyebutkan hal ini. Sebagai satu cara hidup yang lengkap, politik dan ekonomi tidak terpisah daripada kepercayaan agama. Islam bukan sekadar amalan ibadat, menyembah Tuhan dalam acara sembahyang sahaja. Islam bukan sekadar berbuat baik kepada orang ramai dan haiwan sahaja.

Semua aspek kehidupan, bermula dari bangun pagi hingga ke saat masuk tidur, mesti diatur menurut cara Islam. Pakaian, kenderaan, makanan, kerjaya dan pergaulan mestilah ditentukan mengikut prinsip Islam. Itu tanggungjawab di peringkat individu.

Islam juga menetapkan tanggungjawab di peringkat keluarga, masyarakat dan negara. Salah satu tanggungjawab di peringkat masyarakat dan negara ialah memastikan negara ini diperintah menurut undang-undang yang adil, ekonominya diagihkan dengan adil, politiknya dikendalikan dengan jujur dan perhubungan kaum dikendalikan dengan saksama. Tanggungjawab ini tidak dapat dilaksanakan kecuali wujudnya Negara Islam.

Semua aspek ini sudah digariskan dalam Islam -- selain prinsip-prinsip asasnya dalam Al-Quran, Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya menjelaskan bagaimana Negara Islam didirikan. Oleh itu, tidak timbul soal melaksanakan Islam secara membuta-tuli atau meraba-raba.

Dari segi sejarah, Islam pernah membangunkan negara yang luas, pelbagai kaum, kaya-raya, mempunyai tamadun ilmu yang tinggi dan mempunyai kekuataan tentera yang besar.

Tetapi di kalangan orang Melayu, sama ada tua atau muda, pengetahuan tentang sejarah Islam, prinsip-prinsip Al-Quran dan kejayaan politik Islam tidak wujud. Mereka sama sekali jahil.

Tidak ganjil sebenarnya ramai orang Melayu yang Islam hanya kerana keturunan, bukan berdasarkan ilmu. Ramai juga yang bersembahyang, berpuasa dan naik haji (pergi ke Mekah) tidak mengikut ajaran-ajaran Islam yang sebenarnya. Apatah lagi ilmu-ilmu politik, ekonomi, dan sejarah tamadun Islam -- tentunya mereka tidak mengetahui apa-apa pun!

Bagaimanapun, golongan muda yang terpelajar dan terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan Islam, seperti PAS, ABIM dan JIM, mengetahui ilmu ini. Malah, mereka yakin bahawa membangunkan negara Islam merupakan satu tanggungjawab ke atas semua orang Islam. Tanggungjawab ini samalah tanggungjawab bersembahyang dan berpuasa -- dua amalan asas yang dilakukan oleh semua orang Islam, lelaki atau perempuan, tua atau muda.

Banyak sebab mengapa majoriti orang Islam tidak memahami konsep negara Islam. Pertama, pendidikan yang mereka terima di sekolah dan universiti sama ada di negara ini atau luar negeri tidak lagi mengajar mereka tentang ilmu-ilmu itu. Malah, mereka terpengaruh dengan kejayaan-kejayaan Barat dan ideologi-ideologi Barat.

Oleh itu, mereka lebih yakin pada sekularisme dan lebih memahami demokrasi daripada konsep negara Islam atau cabangnya, seperti hudud. Mereka mempelajari ekonomi Barat tetapi jahil tentang ekonomi Islam. Mereka mempelajari sistem politik Barat tetapi tidak kenal apa itu politik Islam.

Kedua, apabila mereka memegang jawatan-jawatan penting dalam negara dan masyarakat, orang Islam inilah yang awal-awal lagi mencurigai konsep negara Islam. Merekalah yang lebih kuat menolak idea negara Islam jika dibandingkan dengan orang bukan Islam sendiri. Sebab itu kita lihat di negara ini, isu negara Islam menjadi topik hangat antara Umno dengan PAS, bukannya antara PAS dengan MCA, MIC atau DAP. Perkara itu sungguh lucu dan ironic!

Ketiga, organisasi-organisasi Islam yang memperjuangkan konsep negara Islam selalunya berada di pihak pembangkang. PAS misalnya sebuah parti pembangkang utama di kalangan orang Melayu. Begitu juga JIM dan ABIM. Jika JIM dan ABIM berbeza pandangan dengan PAS dalam isu-isu tertentu tetapi dalam isu negara Islam, mereka tidak akan bertentangan. ABIM dan JIM, walaupun bukan parti politik, memahami konsep negara Islam tetapi Umno tidak memahaminya.

Sebab itu, ABIM dan JIM dilihat "membangkang dan pro-PAS" di mata orang Umno. Inilah sebabnya ulama (Islamic scholar) yang bekerja dengan kerajaan sebagai ahli akademik di universiti atau sebagai imam (ketua sembahyang) di masjid kerajaan "dianggap" pro-PAS walaupun mereka bukannya ahli atau penyokong PAS! Persamaan itu semata-mata kerana orang Islam ini memahami dan mempercayai negara Islam, sedangkan parti pemerintah tidak dapat menerima konsep negara Islam. Perbezaan ini bukannya antara dua parti Umno dan PAS tetapi dua idelogi atau cara berfikir, antara Negara Islam dengan sekularisme.

Anak-anak muda Melayu-Islam, sama seperti mereka yang dewasa, majoritinya tidak memahami apa-apa pun tentang Negara Islam. Cuma bezanya, anak muda Melayu lebih kritis terhadap kerajaan atau gaya politik Umno. Sebab itu, idea negara Islam yang disebarkan oleh PAS lebih mudah diterima oleh anak-anak muda Melayu ini. Bukan kerana mereka faham, menghayati dan memperjuangkannya tetapi kerana arus popular politik semasa menuju ke arah itu.

Satu hal lagi yang jelas di kalangan orang Melayu, khususnya anak muda, ialah tiada lagi persaingan ideologi politik. Tinggal satu sahaja ideologi politik, "negara Islam." Generasi muda Melayu tidak kenal komunisme, sosialisme, nasionalisme, fasisme, demokrasi tulen (seperti di Barat) atau aliran-aliran berfikir yang lain, misalnya kapitalisme, feminisme, atau pasca-modenisme.

Sebelum 1970-an, orang Melayu berpecah kepada beberapa aliran, ada yang dianggap kiri (sosialisme dan komunisme) atau kanan (demokrasi liberal atau nasionalisme) tetapi sejak muncul Kebangkitan Islam pada lewat 1970-an, hanya Islam hidup sebagai ideologi politik di kalangan orang Melayu, khususnya di kalangan pelajar universiti dan profesional. Jika berminat terlibat dengan politik, anak muda ini akan menyertai PAS; jika tidak berminat, mereka akan menyertai ABIM dan JIM. Kumpulan-kumpulan anak muda Melayu yang lain tidak tersusun dalam organisasi, mereka masing-masing tiada ideologi politik atau minat yang mendalam terhadap politik. Mereka hanya mengikut arus politik semasa yang popular. Kini arus yang popular ialah arus Islam PAS dan arus anti-kerajaan seperti KeADILan.

Walaupun tiga organisasi Islam ini sama-sama yakin dan berpegang pada konsep Negara Islam, tetapi PAS, JIM dan ABIM selalu juga berbeza pandangan. Selalunya perbezaan pandangan mereka terletak pada cara-cara menegakkan negara Islam. ABIM dan JIM percaya pada persiapan ilmu yang rapi -- mereka mengutamakan penerangan, dialog, kajian, persediaan pakar dan proses yang perlahan-lahan (evolusi).

Tetapi PAS percaya pada jalan perubahan politik melalui pilihan raya. ABIM dan JIM tidak menolak pilihanraya sebagai satu cara perubahan politik tetapi dua pertubuhan ini tidak suka pada pendekatan PAS yang tidak mengutamakan penerangan, kajian dan persediaan pakar. Dalam parti Islam itu, kurang profesional dan kurang pakar; malah kurang kajian dan perbahasan tentang cara-cara melaksanakan Negara Islam. Itulah yang sebabnya ABIM dan JIM menyokong Umno (ketika Anwar Ibrahim bersama parti itu) kerana mereka percaya dialog, kajian dan kepakaran ada dalam kerajaan.

Kini, PAS, JIM dan ABIM sudah berubah. Mereka bersama. Anak-anak muda Melayu yang sudah menolak Umno akan bersimpati dan menyokong mereka. Tetapi isu negara Islam tidak akan selesai -- akan ada debat yang hangat tentang cara-cara menegakkan Negara Islam. Cuma, kali ini PAS lebih banyak pakar dan kajian hasil penggabungan dengan ABIM dan JIM.

Namun, gabungan tiga pertubuhan Islam mesti bertembung dengan Umno dahulu. Isunya bukan soal cara-cara pelaksanaan sebab hal itu akan dapat diselesaikan bersama PAS, JIM dan ABIM. Pertembungan Umno dengan tiga organisasi ini, walaupun semuanya orang Melayu dan orang Islam, kerana satu pihak yakin pada idealisme itu; sementara satu pihak lagi tidak yakin padanya -- tetapi parti itulah yang paling berkuasa dan memerintah Malaysia.

Isu Negara Islam masih panjang. Masih banyak debat, kajian, dialog dan kepakaran diperlukan. Tetapi anak muda Melayu tidak akan bersama Umno dalam hal ini. Walaupun mereka tidak memahaminya dengan mendalam, Negara Islam akan disokong oleh generasi muda Melayu yang menolak politik Umno. Itulah senario masa depan kami, orang Melayu.

--------------------------------------------------------
Artikel ini pernah disiarkan dalam akhbar Nanyang Siang Pau selama beberapa minggu mulai 5 Januari 2000. Fathi Aris bertugas sepenuh masa sebagai Pengarang Berita di akhbar harian dalam talian, malaysiakini.com



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com