Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Talqin untuk ‘Harakah'

Fathi Aris Omar

Mac 4: Apa lagi yang Harakah boleh buat? Daripada boleh diterbitkan lapan kali kepada dua kali sebulan, Harakah sebenarnya sudah tidak berfungsi sebagai tabloid politik.

Politik dan isu semasa bergerak setiap hari dan ahli politik memerlukan media yang berkesan untuk memberikan response kepada isu-isu itu. Dua kali sebulan - atau sekali dalam tempoh 14 hari - bukannya tempoh yang sesuai untuk menyampaikan tindak balas politik dalam dunia elektronik selaju lebuh raya maklumat sejagat.

PAS pula baru sahaja memenangi lebih banyak pengaruh. Dua buah kerajaan negeri dan 27 anggota Dewan Rakyat - semuanya memerlukan media tetapi Harakah dikurangkan bilangan penerbitannya. Ini bukanlah logik demokrasi tetapi logik kuku besi!

Oleh itu, parti Islam sepatutnya membantah sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kecaman presidennya, Datuk Fadzil Mohd Noor dan penulis tamunya, Rustam A. Sani, tidak cukup kuat.

"Tindakan zalim", kata Fadzil dan "pengecut, berniat jahat, amat memalukan dan tidak bertanggungjawab," kecam Rustam, yang juga Naib Presiden PRM, tidak mengubah nasib malang - sebenarnya maut! - tabloid itu.

Lebih menggemparkan, kurang 24 jam keputusan Pak Lah itu, timbalannya Datuk Chor Chee Heung melatah pula. Katanya, edisi internet Harakah mesti diterbitkan dua kali sahaja - sama seperti edisi cetak - jika edisi siber itu memakai lambang "Harakah" yang sama.

Agensi berita nasional, Bernama, menyiarkan kenyataan latah timbalan menteri berkenaan hanya untuk ditarik semula beberapa jam kemudian. Bagaimana seorang timbalan menteri - dengan segala kejahilannya - boleh merumuskan satu ‘dasar' yang membawa implikasi yang sebegini serius, termasuk akibat buruk kepada akhbar web seperti malaysiakini?

Bagaimanapun, Jabatan Perdana Menteri dengan pantas mematahkan percubaan KDN yang kurang waras itu. Itupun kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, asyik-masyuk pada teknologi maklumat (ingat lagi lagu Siti Nurhaliza memuja IT?) dan projek kemanjaannya, Koridor Raya Multimedia. Kalau tidak, nasib laman web Harakah itu samalah juga dengan edisi cetaknya.

Kenapa harus ada dua standard - di laman web berbeza dengan di dunia nyata? Tidak mungkin seorang menteri seperti Pak Lah yang menganut akidah kebebasan media dan ruang demokrasi bersikap begitu.

Kalaulah tidak kerana kerajaan sedang tergila-gila pada nilai wang dalam ekonomi pengetahun (k-ekonomi) dan pelaburan langsung luar negara (FDI) dalam ruang MSC yang serba halal (satu lagi bentuk double-standard), tidak mungkin internet diberikan ruang kebebasan.

Barangkali inilah satu-satunya kewarasan Perdana Menteri akhir-akhir ini!

Bagaimanapun, nasib Harakah lebih baik daripada Detik, majalah dua kali sebulan yang sudah dikafankan - tetapi belum dibawa ke kubur - selama tiga bulan. Busuknya mayat Detik ini sudah sampai ke mana-mana. Bagaimanapun, KDN tidak peduli itu semua.

Harakah yang mempunyai pembaca sekurang-kurangnya seramai 1.5 juta orang, dan dimiliki oleh PAS yang mempunyai 600,000 ahli mendapat sedikit layanan istimewa. Tidak sampai 24 jam permit akhbar itu digantung tidak bertali, KDN ‘terpaksa' menyambungnya walaupun mengurangkan kekerapan terbitannya sebanyak 75 peratus.

Apapun, hakikatnya Harakah sudah mati. Memberikan keizinan sebanyak dua kali sebulan hanyalah satu percubaan memujuk pemimpin-pemimpin PAS.

"Daripada tidak ada apa-apa, biarlah dua kali!" atau "alhamdulillah, bersyukurlah, cukuplah ‘tu" atau "mungkin ada hikmatnya, pertolongan Allah tidak dapat diduga," mungkin itulah katanya - seperti hujah seorang wartawan kanan Harakah kepada penulis.

Apabila terbitannya setiap 14 hari, Harakah tidak mampu menyiarkan berita lagi. Semua berita akan menjadi basi. Harakah (baru) hanya boleh menerbitkan analisis berita dan rencana.

Tetapi sebagai sebuah surat berita parti, Harakah nanti tentunya akan mempromosikan aktiviti, sikap dan program PAS. Walaupun sudah hilang nilai berita, maka akan disiarkan juga kenyataan-kenyataan pemimpin utamanya.

Menurut wartawan kanan itu, Harakah bukan bertujuan komersil atau mencari keuntungan - walaupun selama ini keuntungan Harakah sering dikorek untuk program-program politik PAS.

Nilai komersil bukan isunya tetapi apabila ramai orang membeli, maka ramailah pembaca mengetahui dunia politik Malaysia melalui kaca mata PAS dan Barisan Alternatif. Apabila kurang pembaca, tidak sampailah tujuan dan pengaruh sesuatu penerbitan.

Harakah diterbitkan bukan untuk digunakan sebagai bungkusan nasi lemak, betul 'tak?

Apabila hilang nilai beritanya, pembaca - khususnya penyokong dan ahli PAS - terpaksa merujuk sumber maklumat yang lain. Akhbar mingguan Eksklusif dan laman-laman web seperti harakahdaily, malaysiakini atau detikdaily (selain laman-laman web reformasi) tentunya menyaksikan peningkatan jualan dan kunjungan yang mendadak - ‘kenduri arwah' selepas kematian Harakah.

Memang selama ini, nilai berita - khususnya untuk mengetahui suara pembangkang - yang pantas menjadikan Harakah pilihan pembaca.

Orang ramai tidak berminat membaca ‘tazkirah' atau ‘tafsir', walau mungkin pembaca yang ‘sentimental' dengan tabloid itu akan tetap setia membeli apa sahaja konsep penerbitan dari PAS - oleh itu penulis ini menolak pandangan wartawan kanan Harakah itu.

Pandangannya hanya relevan ketika tabloid PAS itu baru diterbitkan pada 1987 atau ketika edarannya masih 60,000 setiap keluaran, seminggu sekali.

Nilai berita yang pantas - sebenarnya lebih pantas daripada Eksklusif dan lebih berwibawa dari Laman Reformasi - dari sumber PAS dan Barisan Alternatif menyebabkan Harakah ditagih saban Khamis dan Ahad. Tidak ada sebab-sebab lain.

Hampir separuh pembaca daripada 360,000 naskhah itu berada di Lembah Klang - mereka merupakan golongan terpelajar, yang tidak mestinya Islamik macam ahli PAS, yang kritis, muak dengan propaganda media arus utama dan juga tidak puas dengan sumber-sumber berita lain.

Jadi, hujah bahawa Harakah mempunyai pembaca tetap, setia, fanatik dan ‘ketagih' itu tidak tepat menghuraikan kenapa tabloid itu mempunyai jumlah pembaca yang besar.

Tetapi apabila dikurangkan sekadar dua kali sebulan, apakah masih ada lagi kekuatan ini pada Harakah (baru)? Tidak! Akhbar PAS itu, mulai hari ini, harus membanyakkan analisis dan rencana. Selama ini pun, Harakah memang tersohor rendah mutu kewartawanannya dan rendah juga mutu analisis dalam rencana-rencananya.

Pembaca di Kuala Lumpur dengan sifat yang digambarkan itu dan dengan persembahan rencana dan analisis Harakah itu langsung tidak congruent. Jadi, pastilah kita membaca Harakah bukan kerana sebab-sebab lain kecuali berita yang pantas dari kaca mata pembangkang.

Selain daripada itu, ibarat kata seorang hakim, "tidak relevan."

Jika kualiti analisis dan rencananya baik pula, sebahagian besar pembacanya akan berasa terlalu ‘tinggi' dan selalunya tidak ramai orang mengejar bahan bacaan semasa seperti itu di negara kita.

Apatah lagi, Harakah dikhabarkan akan menambahkan halaman (dan menaikkan harga), makin kecillah jumlah pembacanya. Pendek kata, tanpa memikirkan soal komersil sekalipun, Harakah (baru) sudah gagal berfungsi sebagai organ parti.

"Saya berani betting, separuh sahaja pembaca Harakah sekarang akan terus membacanya," kata penulis ini kepada wartawan Harakah itu. Maksudnya, lebih sedikit daripada 100,000 naskhah setiap 14 hari sekali.

Peluru KDN betul-betul mengena Harakah. Apa boleh buat lagi? Talqin sahaja untuk Harakah.

Bukan untuk keinsafan tabloid ini - kerana sememangnya ia sudah mati - tetapi untuk ingatan Tamadun (akan tamat permit bulan April nanti) dan Wasilah (permit tamat pada Ogos nanti) yang masih hidup.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com