Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kebebasan Internet online hanya kepalsuan

Fathi Aris Omar

Laporan asal : www.malaysiakini.com

Mac 11: Selasa lalu, sebuah akhbar dalam talian (online newspaper) yang paling popular di Indonesia, Detikcom menemubual saya bagi meninjau perkembangan maklumat online di negara ini. Sebenarnya, secara khusus akhbar yang mendapat sejuta hits sehari itu berminat mengetahui kebebasan akhbar dalam talian di Malaysia.

Isu ini menjadi gamat seketika selepas seorang timbalan menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Harakah edisi internet harus diterbitkan dua kali sebulan, seperti juga edisi cetaknya.

Saya membuat kesimpulan umum bahawa kebebasan – khususnya kebebasan akhbar – dalam talian sebenarnya bukanlah kebebasan yang sebenar. Malah, kebebasan itu boleh menghalang rakyat negara ini bangkit menuntut perubahan dan reformasi.

Kebebasan itu akan menyebabkan kita tertipu dan leka. Kebebasan itu merupakan ‘safety valve' – satu istilah sains politik yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia sebagai ‘katup pengaman' – agar rakyat tidak memberontak atas kongkongan pihak berkuasa.

Saya juga berhujah kebebasan di internet sebenarnya tidak demokratik. Walaupun anda mencapai maklumat dalam talian, anda akan menggunakan dalam lingkungan peribadi sahaja. Sedangkan 90 peratus lagi penduduk Malaysia tidak access kepada maklumat tersebut.

Dari sudut perundangan, sebaik sahaja anda mencetak dan mengedar maklumat tersebut, anda layak dituduh mengedarkan bahan penerbitan tanpa permit!

Oleh itu, saya berhujah akhbar atau sebarang bahan penerbitan bercetak – walaupun sehelai kertas – lebih baik atau lebih demokratik untuk mencapai erti kebebasan akhbar. Sebenarnya, sebarang bahan penerbitan yang murah atau mampu dibeli oleh ramai orang, bebas dan berkesan lebih dekat dengan hasrat demokrasi – satu cabang utamanya ialah prinsip kebebasan akhbar.

Tetapi pengguna Internet di Malaysia – oleh kerana sedang "menjarah kebebasan" yang baru dikecapinya dalam Internet – berasa cukup selesa dengan ruang maya yang luas terbentang di depannya. Mereka menyangka kebebasan untuk menjelajah segala bahan dari seluruh dunia, menulis apa sahaja sesuka hati, menerbitkan propaganda hitam dan berkomunikasi secara senyap-senyap merupakan satu kenikmatan yang perlu disyukuri.

Sebenarnya tidak begitu, malah perasaan itu hanyalah kepalsuan.

Memang, pengguna di negara ini sedang dilamun keindahan masa berbulan madu dengan kemudahan internet dan sebab itu juga, mereka tidak mempedulikan perjuangan sebenar menuntut kebebasan sejati – bukan di ruang maya – di alam nyata.

Bagaimanapun, kerajaan kita yang dianggap menindas ini sedar keterbatasan Internet dan juga kebebasan palsu yang diciptakan daripada teknologi maklumat berangkaian itu. Sebab itu, kerajaan tidak berasa perlu menapis (censorship) bahan-bahan di Internet.

Lagipun, semua bahan itu dinikmati seorang diri secara diam-diam di dalam bilik seseorang. Kenapa pula kerajaan perlu mengganggu aktiviti individu secara sulit itu dan bukankah banyak lagi perkara sulit yang dilakukan seseorang secara diam-diam?

Kebebasan palsu ini hanya dinikmati oleh segelintir pengguna Internet yang bersifat political sahaja. Selebihnya – daripada 10 peratus penduduk negara ini – menggunakan Internet untuk bersembang (chat), bermain video, melihat bahan porno, berkomunikasi melalui emel dan mencari bahan-bahan hiburan dan foto artis.

Tidak ramai pengguna internet membaca Laman Reformasi atau berdebat secara berkualiti dalam kumpulan-kumpulan diskusi seperti sangkancil, sastera-malaysia, alternatif-net, atau islah-net.

Bahkan, kualiti maklumat pada laman-laman reformasi itu masih lagi di tahap propaganda hitam atau kelabu, selain keratan akhbar dan kenyataan pemimpin politik.

Jika kebebasan akhbar online itu tidak boleh dinikmati oleh ramai orang dan jika kebebasan dalam talian itu tidak mendorong penyertaan masyarakat dalam menggubal dasar-dasar awam, maka selagi itulah internet tidak mencapai hasratnya.

Teknologi maklumat mampu memberikan kebebasan sedemikian tetapi kerajaan di sesebuah negara tidak bersedia.

Sebenarnya banyak juga negara Dunia Ketiga menghabiskan wang untuk memiliki teknologi ini, malah sejak 1970-an lagi tetapi sebahagian besar daripada negara itu menggunakan IT untuk mengawal dan menindas rakyatnya sendiri. Mereka membeli alat dan kemudahan IT untuk menguatkan pasukan polis dan tentera yang menyokong kediktatoran.

Begitu juga Internet. Sudah ada impian – bukan kerana teknologi ini mustahil tetapi kuasa politik menghalangnya – agar teknologi ini digunakan untuk mendapatkan maklum balas segera dari masyarakat. Dengan IT sebagai faktor pemboleh atau enabling factor, kita mampu menghidupkan budaya demokrasi berpenyertaan atau participatory democracy.

Dengan kemampuan teknologi maklumat dan natijah yang dijanakannya, kerajaan kini lebih berminat pada ‘k-ekonomi' bukan kerana ‘k' atau pengetahuannya tetapi kerana ekonominya. Kegiatan ekonomi negara ini dipusatkan di tangan kroni dan memiliki kekayaan bermakna mengukuhkan lagi kuasa politik. Menguasai maklumat dan pengetahuan (baca: media dan pusat pengajian tinggi) juga mempunyai maksud yang sama.

Hakikatnya, teknologi maklumat masih boleh diekspolitasi oleh kerajaan yang menggubal dasar negara bergantung kepada paradigma kuasa yang ada padanya.

Perdana Menteri yang ada sekarang sebenarnya tidak silap menggalakkan Koridor Raya Multimedia (MSC) walaupun teknologi maklumat itu digunakan oleh penyokong reformasi atau parti pembangkang.

Sebenarnya kerajaan bertindak jauh selangkah ke depan daripada kita semua sehingga kita sendiri tidak sedar kebebasan yang diberikannya itu samalah membenarkan Detik menulis apa sahaja (sebelum ini) dan Harakah diterbitkan dengan sedikit kebebasan. Sebaik sahaja kerajaan rasa tergugat, Detik berkubur tanpa nesan dan Harakah tinggal nyawa-nyawa ikan.

Jika anda tidak percaya, cetaklah bahan-bahan dari dalam Internet (yang anda boleh baca, edar dan diskusi sebebas-bebasnya, semahu-mahunya dalam alam maya) dan edarkan seluas-luas mungkin di mana-mana sahaja, mungkin juga anda boleh mendapat sedikit wang daripada kegiatan pengedaran itu, dan anda akan tahu bahawa itulah sebenarnya harga kebebasan!



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com