Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Mat Sabu dikehendaki polis, 7 ke mahkamah

Fathi Aris Omar

Malaysia Kini . Com

7:30pm, SEL: Ahli jawatankuasa pusat PAS dan juga anggota Dewan Rakyat, Mohamad Sabu, yang memimpin perhimpunan membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri ke atas Harakah hari ini dikehendaki oleh polis.

Seorang pemimpin Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, juga dikehendaki oleh polis berhubung perhimpunan di Masjid Negara pada Sabtu lalu.

Perhimpunan yang menggunakan slogan 'Bebaskan Suara Rakyat' itu dikatakan bertujuan mempertahankan kebebasan bersuara di negara ini selepas tabloid PAS itu dibenarkan terbit hanya dua kali sebulan daripada dua kali seminggu sebelum ini.

Peguam hak asasi manusia, Sivarasa Rasiah yang turut dipanggil untuk soal siasat hari ini memberitahu malaysiakini bahawa polis akan memanggil dua pemimpin PAS itu kemudian.

"Tangkapan ini tidak berjaya menakut-nakutkan rakyat Malaysia daripada terus bersuara," kata Sivarasa, yang juga ahli jawatankuasa Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Salahuddin Ayub (baju hitam, kanan sekali) dan Mohamad Sabu (tiga dari kanan) bersama sekumpulan peserta perhimpunan di perkarangan Masjid Negara.

Beliau bersama enam lagi, termasuk seorang penulis tamu malaysiakini, Hishamuddin Rais, kartunis Harakah, Zunar, bekas aktivis PAS, Abd Malek Hussin dan tiga lagi penyokong setia gerakan reformasi, termasuklah seorang wanita Nor Azimah didakwa terlibat dalam perhimpunan tanpa keizinan polis.

Tujuh orang ini disoal siasat lebih empat jam di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mulai jam 2:30 petang.

Semua mereka dituduh di bawah Seksyen 27 (5), Akta Polis kerana terbabit dalam perhimpunan haram dan akan didakwa di mahkamah magistret pada Jumaat ini.

Sementara itu, Naib Presiden KeAdilan, Tian Chua dan ahli jawatankuasa pemuda parti itu, Lokman Noor Adam yang juga dikehendaki polis gagal hadir hari ini. Difahamkan mereka berdua berada di luar Kuala Lumpur.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi KeAdilan, Gobalakrishnan Nagapan, yang turut berucap dalam perhimpunan itu tidak dikehendaki oleh polis. Beliau bagaimanapun hadir tidak sampai setengah jam di IPK apabila diberitahu bahawa polis mencari beliau.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com