Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

10 lagi dicari polis, jangan takut ugutan kerajaan - Mahfuz

Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, berpesan kepada kumpulan penyokong tabloid parti itu, Harakah, agar jangan gentar terhadap ugutan terbaru kerajaan. Mereka sebaliknya disarankan meneruskan "langkah-langkah perlu."

Beliau juga berkata biro undang-undang Pemuda PAS akan dirujuk untuk menentukan jenis khidmat guaman yang diperlukan oleh mereka yang ditahan dan dihadapkan di mahkamah.

"Tindakan kerajaan menghukum penyokong Harakah yang menyertai tunjuk perasaan sebenarnya ‘counter-productive' terhadap usaha kerajaan membangunkan k-ekonomi," katanya kepada malaysiakini hari ini, sebagai mengulas tangkapan ke atas sekumpulan penunjuk perasaan di Masjid Negara pada Sabtu lalu.

Perhimpunan yang menggunakan slogan 'Bebaskan Suara Rakyat' itu dikatakan bertujuan mempertahankan kebebasan bersuara di negara ini selepas tabloid PAS itu tidak dibenarkan terbit dua kali seminggu seperti sebelum ini.

Semalam, tujuh orang ditangkap untuk soal siasat selama lebih empat jam di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Mereka dituduh di bawah Seksyen 27 (5), Akta Polis kerana terbabit dalam perhimpunan haram dan akan didakwa di mahkamah magistret pada Jumaat ini.

Mereka yang didakwa hadir dalam tunjuk perasaan yang berjaya mengumpulkan lebih 100 penyokong kebebasan bersuara itu antaranya, penulis tamu malaysiakini, Hishamuddin Rais, peguam hak asasi manusia, Sivarasa Rasiah, kartunis Harakah, Zunar, bekas aktivis PAS, Abd Malek Hussin dan tiga lagi penyokong setia gerakan reformasi, termasuklah seorang wanita Nor Azimah Mohd Nor.

Hari ini, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan tujuh foto lelaki yang masih dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.

Sementara itu, menurut ASP Manoharan yang dihubungi malaysiakini pagi tadi menjelaskan polis "tiada maklumat" terhadap tujuh lelaki itu dan mengharapkan maklumat orang ramai.

Pegawai polis itu juga berkata pihaknya belum berjaya menghubungi ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohamad Sabu, dan ahli jawatankuasa pusat Pemuda KeAdilan, Lokman Noor Adam, untuk tujuan yang sama.

Seorang pemimpin Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, yang turut dikehendaki untuk siasatan berjaya dihubungi polis semalam. Naib Presiden KeAdilan, Tian Chua, belum lagi hadir untuk soal siasat semalam kerana difahamkan berada di luar Kuala Lumpur.

Menurut Mahfuz, dua pemimpin PAS ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Sementara itu, apabila ditanya berapa ramai lagi yang sedang dicari polis, Manoharan berkata, "setakat ini, belum ada lagi (penambahan).

Fathi Aris Omar
http://www.malaysiakini.com/



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com