Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


'Sandiwara' PM dalam episod Sauk

Laporan asal :
Malaysia Kini

Fathi Aris Omar

Perdana Menteri sudah lama mentadbir negara ini dan ketajaman bacaan politiknya sudah mula menurun. Daripada jaguh yang disayangi Umno, Dr Mahathir Mohamad kini menjadi beban parti itu.

Itulah puncanya wawancara khas dengan PM semalam terpaksa dirakam.

Kerajaan, melalui jabatan perang sarafnya, sedar kata-kata tokoh Asia ini boleh menikam dirinya sendiri. Sandiwara Mahathir, misalnya tangisan dan bacaan doanya, sudah gagal memikat ahli-ahli Umno, apatah lagi bangsa Melayu.

Dahulu pernah aktivis Umno menyifatkan "setiap kali Mahathir bersuara, harga saham jatuh merudum." Kini, setiap kali beliau bersuara, ideanya itu menjadi bahan lawak yang membebankan kerajaan dan parti itu - sebenarnya tidak ramai ahli akar umbi yang sanggup memikul liabiliti berketuakan Mahathir.

Sidang pengarang sebuah akhbar berbahasa Melayu telah diarahkan agar memberikan perhatian khusus apabila melaporkan kenyataan atau ucapan PM. Khabarnya, kata-kata bersahaja pemimpin kedua paling lama memerintah di dunia ini akan menyusahkan lagi jentera parti dan kerajaan.

Tetapi tokoh yang tegas (baca juga: keras) seperti Mahathir sukar ditegur. Beliau akan bercakap apa sahaja semahu hatinya tetapi sebagai presiden sebuah parti dan PM, akibat ucapan peribadinya itu terpaksa dipikul bersama.

Sepanjang tempoh September 1998 hingga November 1999, Mahathir sering membuat kenyataan yang menyinggung Melayu dan kebijaksanaan rakyat Malaysia. Tetapi setelah menyedari kesilapannya itu melalui keputusan pilihan raya, kurang sedikit dikeluarkan kenyataan yang ada kalanya "karut-marut."

Mahathir memang mahu bercakap apa sahaja, khususnya tentang bekas timbalannya, seolah-olah dosa memecatnya dulu bertukar penunggu yang menagih jampi serapah.

Begitu juga kenyataannya terhadap isu-isu agama, misalnya isu janggut, ulama, Islam dan tudung dalam perhimpunan agung Umno 1997. Isu itu menolak golongan agama daripada partinya. Pengarang Tamadun waktu itu menyifatkan ucapan PM sebagai "latah dan nyanyuk" seorang tua! Akibatnya, kementerian berkenaan memanggilnya ke pejabat!

Dalam menghadapi isu serangan penyangak mata wang dan Soros khususnya, Mahathir beberapa kali dengan sinis menepis ingatan kepadanya agar lebih berhati-hati menjaga lisan. Maklumlah, kononnya tokoh Yahudi itu kuat cengkaman ekonomi di peringkat antarabangsa. Ulasan sinis PM itu juga membuktikan betapa tokoh sepertinya terlupa bahawa ada masanya "diam itu emas."

Pemimpin sepertinya memang sukar mengaku kalah. Diam baginya mungkin ditafsirkan sebagai kekalahan. Oleh itu, beliau akan bercakap dan bercakap semahunya. Apatah lagi, beliau boleh pula mengarahkan akhbar menerbitkan kenyataan-kenyataannya di halaman depan atau dua akhbar - lokasi strategik yang mempunyai nilai berita.

Pernah tahun lepas, melalui ketua pengarang sebuah akhbar Melayu yang lain, Mahathir menzahirkan rasa tersinggung apabila kenyataannya dimasukkan di halaman lebih ke dalam (tidak diutamakan) tetapi baginya kenyataan itu penting. Di muka depan, kedua terpenting, terpampang berita tentang Dr Munawar Anees yang mendakwa dirinya didera dalam tahanan polis.

Tabiat suka bercakap apa sahaja kembali merasuk PM, bermula dalam ucapan dasar dalam perhimpunan Umno pada Mei lalu. Hantu bekas timbalannya diberikan perhatian serius, selain melampiaskan kritikan terhadap musuh tradisinya, PAS.

Ulasan terbarunya tentang kes kebakaran sekolah yang membabitkan beberapa kumpulan pelajar mengundang reaksi seperti tahun lalu. Masakan mungkin akibat hasutan pembangkang dan ajaran berdemonstrasi (maksudnya kumpulan reformasi), pelajar membakar sekolah? Tetapi PM tetap juga Mahathir!

Dalam wawancara yang disiarkan semalam, Mahathir tidak sabar-sabar lagi menunggu siasatan dua badan di Kementerian Pertahanan dan juga laporan kertas putih. Sebelum siasatan lengkap, beliau dengan bantuan media arus perdana menghukum Al-Ma'unah dan mengaitkan episod Sauk dengan pembangkang, khususnya PAS.

Katanya, semua insiden ini berpunca daripada "kempen membenci kerajaan" yang dijalankan pembangkang. Sebenarnya ungkapan "kerajaan" itu bermaksud dirinya sendiri kerana beliaulah ketua kerajaan!

Hakikatnya, beliau memang sangat kurang digemari, termasuklah di kalangan perwakilan Umno. "Nasihatnya" dalam ucapan dasar parti langsung tidak diendahkan sehingga kembali ditegakkan "Team Wawasan" sebagai naib presiden dan protes berlanjutan melalui pemilihan anggota-anggota Majlis Tertinggi.

Baginya, kritikan kepadanya seolah-olah mengkritik kerajaan. Demonstrasi mendesak beliau berundur diolah seolah-olah kempen "antikerajaan, rusuhan atau perkauman."

Rentetan isu-isu politik, seperti afidavit memburuk-burukkan timbalannya pada 3 September 1998, tilam yang diusung-usung dan mata lebam, menjadi landasan untuk mengajar rakyat berfikir beberapa kali sebelum menelan muntah propaganda kerajaan.

Sikap kritis secara kolektif inilah yang menjadikan episod Sauk lebih panjang. Kerajaan terpaksa menggerakkan jentera penerangannya untuk menjawab keraguan di kalangan orang ramai. Bagi masyarakat, ‘sandiwara' itu bukan berlaku di Grik, Banding atau Sauk sahaja tetapi sandiwara Perdana Menteri sendiri!

Mahathir berpura-pura, seperti burung unta menyembunyikan kepalanya di dalam tanah tetapi membonjolkan punggungnya, bahawa beliau tidak ditolak oleh banyak pihak. Beliau berlakon seolah-olah kerajaannya mempunyai kredibiliti yang tinggi - apa sahaja yang disuap akan ditelan mentah-mentah.

Mahathir berpura-pura bahawa pembangkang berada di sebalik kempen membenci kerajaan dan menggalakkan sejenis politik yang mencetuskan episod Sauk. Jika tidak mampu menyebut sesebuah parti atau organisasi, beliau akan mengatakan tindakan itu datangnya daripada laman-laman web proreformasi, yakni sejenis musuh maya.

Beliau terus bersandiwara bahawa ahli-ahli Umnolah yang harus berubah untuk memastikan parti itu terus relevan. Dalam ucapan dasar dan juga ucapan penggulungan pada pertengahan Mei lalu, semua pihak salah kecuali dirinya sendiri!

Beliau mahu terus bercakap dan wawancara khas di televisyen semalam tentang episod Sauk itu menunjukkan keghairahannya untuk bercakap. Semua orang salah walaupun banyak pihak menyifatkan krisis politik - dalam Umno, Melayu dan negara ini - berpunca daripada pemerintahannya yang terlalu lama.

Tidakkah ini juga sandiwara?

Tetapi pelakon yang gagal mengajak penontonnya menangis bersama-samanya pastinya tidak lagi layak berada di pentas. Sesekali wajar juga pelakon itu berada di belakang pentas.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com